top of page

Apakah Peranan dan Tanggungjawab Pengembara?

  • Writer: Pengembara Nomad
    Pengembara Nomad
  • 1 Jun
  • 8 min membaca

Updated: 3 Jun

Assalamualaikum w.b.t dan Salam sejahtera kepada pembaca platform digital ‘Pengembara Nomad’.


Pada artikel kali ini, saya membawakan satu tanggungjawab yang besar dan berat untuk dikongsikan kepada para pembaca. Meskipun tajuk yang ingin saya ketengahkan ini mungkin kelihatan tipikal pada sesetengah pembaca atau pada pandangan pembaca tajuk seperti ini boleh dicari melalui platform Google, akan tetapi saya percaya bahawa ini adalah antara bentuk tanggungjawab yang paling mencabar untuk dilaksanakan dalam kalangan pengembara termasuk diri saya sendiri. Penulisan ini juga bertujuan sebagai peringatan buat diri saya agar tidak lupa terhadap tugas dan peranan saya sebagai seorang pengembara secara tidak langsung memberi pendedahan awal dalam melahirkan pengembara yang bertanggungjawab. Di samping itu, artikel ini juga ditulis berdasarkan pengalaman peribadi saya sebagai seorang pengembara serta melihat dari perspektif saya sebagai hos kepada pengembara luar negara yang pernah tinggal bersama saya dan juga dari sudut penglibatan saya dalam pertukaran kerja (work exchange).


Menurut Abdullah Hadi dalam bukunya Berbasikal Menuju Tuhan, beliau menyatakan bahawa “Kita pengembara atau apa sahaja yang kita telah lakukan telah bersifat individualistik, maka itu adalah sesuatu yang buruk”. Kenyataan ini merupakan satu peringatan penting yang ingin saya kongsikan kepada masyarakat mengenai peranan seorang pengembara yang bertanggungjawab. Bahkan, saya percaya bahawa kebanyakan daripada kita sebagai pengembara jarang sekali mengambil kira soal tanggungjawab. Kita beranggapan bahawa aktiviti mengembara tidak mempunyai sebarang kaitan langsung dengan tanggungjawab kerana tujuan utama hanya untuk berseronok semata-mata. Namun, adakah kita sedar bahawa ramai yang menyimpan keinginan untuk mengembara seperti kita, akan tetapi terhalang oleh komitmen yang tinggi atau kekangan kewangan?. Sedangkan pada hakikatnya, kita telah diberi peluang untuk menimba pengalaman yang tidak semua orang berpeluang untuk merasai dan melaluinya. Kita telah diberikan peluang untuk melihat dunia nyata atau 'real-life experience' untuk menyaksikan kehidupan dari pelbagai sisi. Maka menjadi tanggungjawab kita apabila kembali semula ke tanah air untuk menyampaikan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat demi sebuah perubahan.


Malangnya realiti pada hari ini, termasuk diri saya sendiri, sering kali kita mengembara dengan meletakkan tujuan hanya untuk kepuasan diri. Kita berasa bangga dengan pencapaian yang membolehkan kita menjejakkan kaki ke luar negara. Tanpa disedari, kita mula memiliki rasa eksklusif iaitu merasa diri lebih hebat berbanding dengan orang lain hanya kerana telah ‘melihat dunia’. Saya juga memerhati trend semasa di mana, masyarakat pada ketika ini cenderung menilai seorang pengembara berdasarkan jumlah pengikut yang dimiliki. Penilaian di mata mereka mungkin sebegini, semakin ramai pengikut maka semakin tinggi pula mereka diangkat sebagai ‘pengembara contoh’. Bahkan, terdapat segelintir individu yang menggelarkan diri mereka sebagai pengembara, namun masih memiliki mentaliti atau cara berfikir seperti seorang pelancong. Semua ini seharusnya menjurus kepada persoalan seperti, pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri tentang apakah sebenarnya peranan kita sebagai seorang pengembara yang bertanggungjawab?


Perkara yang paling ketara saya perhatikan ialah ketidakmampuan kita untuk menunjukkan rasa hormat terhadap budaya tempatan. Tidak kira siapa pun kita, perkara yang paling asas apabila berada di tempat orang adalah menghormati adat, tradisi dan sensitiviti budaya setempat. Ramai dalam kalangan masyarakat tempatan sebenarnya melahirkan rasa tidak puas hati terhadap cara pemakaian segelintir pengembara yang dianggap tidak sopan, bahkan menjolok mata, sehingga menimbulkan rasa tidak selesa. Situasi ini seharusnya membuka mata kita, sebagai orang luar apabila berada di tempat orang, kita perlu sentiasa menjaga adab. Lebih-lebih lagi apabila berada di kawasan religious tidak kiralah Islam, Hindu, Buddha, atau mana-mana kepercayaan sekalipun. Saya mempunyai pengalaman dalam menerima pengembara dari luar negara ke rumah saya. Namun, pengalaman tersebut telah menimbulkan rasa kurang selesa di dalam kalangan orang terdekat, apabila mereka tidak menghormati etika berpakaian budaya setempat ketika berada di sini. Malah, terdapat juga individu yang secara terbuka menasihati saya agar menyampaikan pesanan kepada mereka supaya mengenakan pakaian yang lebih sopan.


Sebagai hos, saya telah pun menjalankan tanggungjawab saya dengan mengingatkan mereka mengenai perkara ini. Mereka turut sedar akan tanggungjawab mereka. Namun, masih ada segelintir di kalangan mereka yang kurang prihatin dan tidak mempunyai empati lalu nasihat yang saya berikan tidak diendahkan. Mereka beranggapan bahawa perbuatan mereka itu tidak salah dari sudut moral, malah mengambil ringan soal sensitiviti masyarakat setempat. Sebaiknya, kita perlu mengambil kira sentimen budaya tempatan serta aspek keselamatan diri bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Masih banyak contoh lain yang ingin saya kongsikan mengenai kepentingan menghormati budaya tempatan. Namun, cukup dengan memberikan sedikit contoh ini sahaja dapat memberi gambaran yang jelas dan tepat terhadap tanggungjawab kita sebagai pengembara dalam menghormati budaya setempat.


Saya tidak menafikan bahawa keterbukaan itu perlu, tetapi ia perlu disertai dengan kepekaan (sensitivti) kita terhadap budaya setempat. Jangan sampai kita terlalu terbuka hingga mengabaikan adat dan budaya masyarakat setempat. Ini mengingatkan saya terhadap sebuah buku yang pernah dibaca oleh saya dan sangat memberi kesan mendalam kepada saya. Buku yang bertajuk Lonely Planet: A Traveller's Guide to Making a Difference Around the World di mana terdapat satu frasa ringkas tetapi cukup mendalam maknanya, "Think globally, act locally." Ayat ini benar-benar menyedarkan saya tentang peranan sebagai pengembara yang bertanggungjawab. Saya juga turut tidak menafikan bahawa pemikiran global (antarabangsa) itu penting, akan tetapi setiap tindakan harus disesuaikan selari dengan budaya tempatan, khususnya apabila kita sebagai pengembara berada di tempat orang.


Pada waktu yang sama, sebagai pengembara yang bertanggungjawab, mereka yang memiliki common sense akan secara automatik memahami peranan mereka apabila berada bersama penduduk tempatan. Tidak kiralah ketika menumpang di rumah hos atau melakukan aktiviti dalam sesebuah komuniti tempatan. Kebiasaannya, pengembara akan melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan, melakukan kerja atau tugas secara sukarela atau pertukaran kerja (work exchange) walau hanya membantu dalam sudut menyumbang tenaga kerja. Bagi pengembara, ini merupakan satu bentuk usaha dan inisiatif yang bukan sahaja memberi pengalaman bermakna, malah dapat menyumbang manfaat kepada komuniti setempat. Namun demikian, masih ramai yang belum memahami tujuan sebenar serta rasional di sebalik penglibatan dalam aktiviti sebegini. Malah, terdapat juga segelintir individu yang hanya berfikiran untuk mendapatkan tempat tinggal percuma tanpa menyumbangkan sebarang peranan atau bantuan kepada hos mahupun komuniti yang mereka diami. Pada waktu yang sama, terdapat juga dalam kalangan mereka yang mengambil kesempatan atas peluang yang diperolehi demi kepentingan diri sendiri. Pemikiran sebegini perlu diubah kerana ia membawa imej negara secara tidak langsung akan menjadi buah mulut dalam kalangan masyarakat tempatan. Jika tingkah laku atau sikap kita baik, maka baik jugalah tanggapan mereka terhadap negara tersebut. Namun jika sebaliknya, maka yang buruklah tanggapan mereka.


Apa yang saya katakan ini mungkin kelihatan seperti sesuatu yang tidak memberi kesan. Namun pada hakikatnya, ia mampu memberikan impak kepada ekonomi sesebuah negara. Tambahan pula, dengan kemajuan teknologi yang semakin canggih di hujung jari, segala perkara boleh dikongsi dan berpotensi untuk menjadi tular ke seluruh dunia. Sebagaimana yang dapat kita lihat, pelancong dari China sering dilabel sebagai pengotor, tidak tahu beratur, dan gemar bercakap dengan nada suara yang kuat sehingga tular di media sosial. Implikasi daripada tanggapan negatif ini menyebabkan sesetengah orang berasa enggan untuk melancong ke China. Inilah realiti yang berlaku pada masa kini. Hal ini bukan sahaja melibatkan hubungan dengan penduduk tempatan, malah tanggungjawab terhadap alam sekitar juga tidak seharusnya diabaikan. Ia merupakan sesuatu yang saya rasa tidak perlu dihuraikan secara terperinci kerana ini merupakan perkara asas atau logik akal (common sense) bagi setiap pengembara yang sedar akan tanggungjawabnya.


Berdasarkan kisah pengalaman saya sebagai hos kepada pengembara dari luar negara, saya pernah berasa kecewa terhadap pemikiran serta tindakan segelintir daripada mereka yang tidak menghormati budaya setempat, khususnya dalam aspek pemakaian yang sopan. Ada juga yang datang ke sini semata-mata untuk mendapatkan tempat tinggal percuma, namun hasil kerja yang diberikan oleh mereka sangat mengecewakan. Ibarat hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Ini merupakan antara pengalaman peribadi saya yang paling mengecewakan sepanjang saya menjadi hos. Kekecewaan ini dek kerana sikap ignorance terhadap tanggungjawab mereka. Mereka perlu sedar bahawa hos atau komuniti telah mengeluarkan kos daripada segi wang ringgit yang boleh mencecah ratusan ringgit sehari. Ini juga termasuk kos daripada segi tenaga dan masa, demi memberi peluang kepada mereka, dengan harapan agar kerja-kerja pertukaran dapat dilaksanakan dengan baik. Kerja-kerja ini pula bertujuan untuk disumbangkan kepada komuniti bagi menyokong pembangunan komuniti setempat. Hakikatnya, mereka tidak akan rugi sedikit pun sekiranya melakukan sesuatu yang dapat menyumbang kepada hos atau komuniti setempat, malahan ianya merupakan bukti terhadap sumbangan yang telah diberikan lalu akan menjadi sumber rujukan pada orang lain pada masa hadapan.


Walau bagaimanapun, apabila kerja yang diberikan tidak disempurnakan oleh mereka, hos terpaksa menanggung kerugian yang besar. Kerja yang tidak dilaksanakan dengan sempurna itu bukan sahaja boleh melibatkan kos tambahan lain seperti mencari tenaga kerja lain, malahan turut merosakkan imej dan tanggapan terhadap mereka. Saya percaya hos-hos lain seperti saya tidak meminta wang, bayaran, atau sebarang balasan daripada mereka. Apa yang kami harapkan ialah sekurang-kurangnya mereka dapat menunjukkan sikap yang baik atau paling tidak, dapat menghormati budaya tempatan. Jangkaan (expectation) mengenai nilai moral terhadap pengembara dari luar negara sememangnya tinggi, dan kami berharap agar jangkaan tersebut dapat dipenuhi. Hal ini kerana pengembara dan pelancong mempunyai perbezaan yang ketara dari segi sikap, motivasi, cabaran, risiko serta tahap kesedaran (awareness) mereka.


Pada waktu yang sama, untuk menjadi seorang pengembara yang bertanggungjawab, sila berikan sokongan kepada penduduk tempatan dengan menyokong perniagaan mereka. Utamakan peniaga-peniaga kecil tempatan berbanding membelanjakan wang kepada perniagaan yang memiliki nama yang besar. Antara contoh ketara lain, dapat kita lihat ialah jika kita membeli belah salah satu beg berjenama terkemuka. Di mana kita sedia maklum dan jelas bahawa jenama itu sendiri merupakan jenama yang terkenal pada tahap antarabangsa yang telah kukuh kedudukannya di pasaran hampir seluruh negara. Oleh itu, elakkan daripada membelanjakan wang kepada jenama-jenama yang bukan milik tempatan. Sebaliknya, utamakan pembelian barangan buatan tempatan seperti beg tangan yang diperbuat daripada hasil tangan mereka sebagai tanda sokongan terhadap hasil usaha mereka. Antara contoh lain, kita boleh memberikan galakan dengan menggunakan pengangkutan awam tempatan.


Sebagai lanjutan mengenai perkara ini, saya menggalakan untuk kita mengelakkan berbelanja wang kepada perniagaan yang tidak dikendalikan oleh orang tempatan. Saya mula menyedari hal ini semasa menjalani tempoh mengembara jangka panjang, apabila saya melihat banyak perniagaan diusahakan oleh warga asing semata-mata untuk tujuan pelaburan di luar negara. Kita mungkin melihat perkara ini sebagai sesuatu yang positif, namun hakikatnya ia berpotensi melemahkan ekonomi setempat kerana saya bimbang peluang dan hasil keuntungan tidak akan dikembalikan kepada penduduk asal. Malah, adakalanya wujud risiko eksploitasi terhadap masyarakat tempatan. Pada hari ini, kita sudah dapat melihat banyak syarikat dari luar negara yang beroperasi di Malaysia membayar pekerja dengan kadar upah yang rendah kerana mereka sedar bahawa Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai struktur gaji yang rendah dan mereka mampu untuk membayar dengan kadar gaji yang rendah bagi mengurangkan kos. Dalam jangka masa panjang pula, situasi ini tidak memberi manfaat yang besar kepada komuniti setempat. Seharusnya, kita sebagai pengembara memberi bantuan dalam membangunkan komuniti tempatan agar mereka mampu berdikari pada masa hadapan serta terus bertahan dengan hasil usaha mereka sendiri. Tambahan pula, saya mendapati bahawa apabila kita memberikan sokongan terhadap perniagaan orang tempatan, secara tidak langsung kita dapat memahami dan menyesuaikan diri dengan cara hidup serta budaya orang tempatan.


Poin terakhir daripada saya adalah sebagai seorang pengembara yang bertanggungjawab dan sedar akan peranannya, seharusnya menyampaikan ilmu serta pengalaman dengan cara mendidik pengembara lain agar menjadi pengembara berkualiti serta memiliki sikap yang menyeluruh. Ini merupakan peluang yang baik untuk membimbing dan berkongsi pengalaman dengan pengembara lain. Hal ini kerana tidak semua pengembara mempunyai kesedaran tentang realiti sebenar yang sedang berlaku, termasuk sisi gelap mereka mungkin tidak tahu sehingga ke hari ini. Malah, ada antara mereka kemungkinan tidak menyedari kesan atau implikasi daripada setiap tindakan yang dilakukan ketika berada di tempat orang.


Saya juga sering menerima kenyataan daripada pengembara bahawa mereka lebih cenderung menilai sesebuah negara berdasarkan layanan orang tempatan terlebih dahulu. Ini adalah sebelum mereka mempertimbangkan aspek-aspek lain dalam menentukan sama ada negara tersebut baik atau sebaliknya. Apabila saya selidiki, rupa-rupanya jawapan yang baik diberikan hanya kerana mereka telah menerima layanan yang istimewa seperti mendapat tempat tinggal percuma serta layanan mesra daripada penduduk tempatan. Namun, sekiranya mereka tidak dilayan dengan baik, negara tersebut akan dianggap sebagai kurang baik. Pada pandangan saya, tanggapan sebegini boleh dianggap sebagai suatu bentuk bias atau berat sebelah. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya pengembara mendidik diri sendiri tentang kesedaran (awareness) kerana setiap tindakan mereka boleh membawa implikasi yang kurang baik dalam jangka masa panjang. Meskipun pada awalnya ia mungkin memberi manfaat yang baik, namun kesan di kemudian hari mungkin tidak seperti yang dijangkakan.


Sebagai solusi kepada perkara ini, saya tidak menafikan bahawa mendidik seseorang untuk menjadi pengembara yang bertanggungjawab bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, perubahan boleh dimulakan dengan langkah yang kecil terlebih dahulu walaupun hanya daripada jumlah komuniti yang kecil. Tidak perlu mengejar kuantiti, sebaliknya utamakan kualiti dalam membentuk kesedaran. Saya percaya bahawa usaha yang dimulakan dengan langkah yang kecil ini mampu melahirkan impak yang besar dalam diri seorang pengembara.

 

Bak kata pepatah perjalanan seribu batu bermula dengan langkah yang pertama.

 

Alhamdulillah 'Ala Kulli Haal.


Disunting oleh:

Idayu A.

Editor | Pengembara Nomad

 
 
  • Instagram
  • Facebook
  • TikTok

Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman ini bertujuan semata-mata untuk memberi inspirasi dan ilustrasi.

Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2025 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U).

SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page