Adakah Adil Meletakkan 'Ranking' Terhadap Sesebuah Negara Hanya Berdasarkan Pengalaman Peribadi?
- Pengembara Nomad
- 24 Ogo
- 2 min membaca
Updated: 5 Sep
Saya sedar bahawa semakin ramai yang berkongsi 'ranking' sesebuah negara berdasarkan pengalaman peribadi. Dahulu, saya juga seperti itu, dan tidak terlepas dalam melakukan kesilapan. Namun, setelah saya menyelami dengan lebih mendalam dan melihat dari sudut yang lebih menyeluruh, saya dapati tindakan meletakkan 'ranking' adalah tidak adil dan tidak wajar.
Hal ini kerana ia boleh menimbulkan persepsi yang kurang menyenangkan dalam kalangan penduduk tempatan, malah terhadap sesiapa sahaja yang mempunyai tahap kesedaran (awareness) yang tinggi berkenaan isu ini. Meletakkan 'ranking' sedemikian boleh mengundang salah faham dan ketidakadilan terhadap sesebuah negara dan lebih-lebih lagi pada masyarakat yang berada di dalam negara tersebut.
Bagi seorang pengembara yang mempunyai sikap yang menyeluruh dengan melihat semua aspek tidak akan meletakkan ‘ranking’ sesebuah negara mengikut pengalaman peribadi.
Seperti yang kita ketahui bahawa penilaian terhadap sesebuah negara ternyata kompleks dan ianya bersifat subjektif. Malah, tidak boleh diukur dengan pengalaman peribadi. Pengalaman peribadi bukanlah bersifat mutlak. Ini bermaksud setiap pengalaman seseorang merasai dan melaluinya adalah berbeza. Pengalaman seseorang tidak boleh dijadikan sebagai alat pengukur benarnya tentang sesuatu perkara. Ini kerana pengalaman peribadi boleh dipengaruhi ‘bias’ atau berat sebelah.
Sebagai contoh, apabila diselami secara lebih mendalam, mungkin individu tersebut mendapat ‘privilege’ sewaktu berada di negara tersebut seperti mendapat penginapan percuma. Menurutnya, itu adalah pengalaman yang terbaik buat dirinya. Sebaliknya, terdapat individu yang mengalami pengalaman buruk, terus melabelkan sesebuah negara sebagai negara yang teruk atau tidak baik.
Sebagai contoh lain, seseorang mungkin melihat Jepun sebuah negara terbaik kerana sistemnya yang efisien, tetapi pada kaca mata pengembara yang mempunyai tahap kesedaran yang tinggi dengan berpandukan kajian tentang kesihatan mental, Jepun dianggap sebagai sebuah negara yang menghadapi cabaran besar, khususnya dalam aspek tekanan sosial dan budaya kerja yang tidak sihat. Tiada keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi.
Justeru, meletakkan 'ranking' terhadap sesebuah negara adalah tidak adil hanya berdasarkan pengalaman peribadi semata-mata. Malah, ini boleh membawa kepada ‘judgemental’ kerana meletakkan satu penilaian mutlak terhadap sesuatu tempat tanpa mengambil kira konteks yang lebih luas.
Ketahuilah bahawa setiap negara juga memiliki sisi kelebihan dan kekurangannya. Meletakkan negara itu “terbaik” dan “terburuk” juga adalah tidak adil dan tidak wajar. Paling penting, sebagai seorang pengembara, tidak seharusnya menilai sesebuah negara hanya berdasarkan ‘ranking’ yang dibuat daripada pengalaman peribadi seseorang di media sosial. Sebaliknya, apa yang lebih utama ialah mengambil ibrah atau pengajaran daripada setiap pengalaman yang dilalui. Apabila menerima kebaikan daripada mereka, zahirkan rasa berterima kasih dan syukur atas nikmat yang diperolehi.
Sebagai pengembara yang sedar akan peranan dan tanggungjawabnya, seharusnya menghormati budaya setiap negara yang dikunjungi kerana setiap negara mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Keputusan untuk berada di sesebuah negara adalah pilihan sendiri. Sama ada pengalaman itu baik atau buruk, ia tetap sebuah pengalaman yang bermakna.
(Artikel ini belum disunting oleh tim editor Pengembara Nomad.)