top of page

Ali Shariati & Pembebasan Golongan Tertindas

2 hari lalu
17 min membaca

Updated: 5 jam lalu

Sesi podcast khas kali ini menampilkan Profesor Dr. Wan Abdul Manan Wan Muda, seorang tokoh akademik, aktivis masyarakat dan juga penterjemah karya Ali Shariati. Antara karya yang pernah diterjemahkan beliau ialah Dia, Fatimah dan Pembebasan Golongan Tertindas, dibawah terbitan Republik Buku. Melalui kepakaran akademik dan pengalaman luas dalam menterjemah karya Ali Shariati, kita akan mengupas gagasan pembebasan golongan tertindas serta kaitannya dengan kesedaran dan tanggungjawab sosial pengembara.


Dari segi latar belakang akademik, Profesor Dr. Wan Abdul Manan pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) selama hampir 35 tahun. Sejak tahun 2019 sehingga kini, beliau meneruskan khidmat akademiknya di Universitas Alma Ata, Yogyakarta, Indonesia. Walau bagaimanapun, beliau kebanyakannya berada di Malaysia dan hanya ke Yogyakarta apabila diperlukan, khususnya bagi urusan penyeliaan dan pemeriksaan akademik.


Selain berkhidmat sebagai pensyarah, beliau juga merupakan Pengerusi Persatuan Hak Dapat Makanan Malaysia (HADAM). Persatuan ini ditubuhkan sewaktu pandemik COVID-19 bagi membantu masyarakat yang terjejas dari segi bekalan makanan. Menerusi HADAM, beliau aktif menangani isu ketidakterjaminan makanan (food insecurity). Beliau turut mengkritik dasar pertanian dan perancangan negara yang disifatkannya masih terikat dengan corak pemikiran zaman kolonial, khususnya dari segi pengutamaan tanaman komersial (cash crop) seperti kelapa sawit berbanding tanaman makanan. Beliau turut mempersoalkan mengapa pegawai pemakanan diletakkan di bawah Kementerian Kesihatan, bukannya Kementerian Pertanian.


Menurut Profesor Dr. Wan Manan, Ali Shariati digambarkan sebagai seorang Rausyanfikr atau seorang pemikir yang cemerlang yang lahir pada zamannya. Penulisan dan syarahan beliau memberikan kesan kepada generasi muda dan tua, dan sehingga hari ini masih relevan, khususnya dalam membincangkan kolonialisme minda dan pengaruh pemikiran Barat. Walaupun masyarakat banyak belajar daripada Barat, kadangkala masyarakat tidak memilih atau menapis mana yang sesuai untuk diserapkan ke dalam konteks tempatan; di Malaysia.


Ali Shariati turut memberikan gambaran bahawa kita boleh belajar daripada Barat, tetapi kita juga perlu memahami bahawa Barat tidak mempunyai semua jawapan. Setiap tamadun lahir dalam konteks sejarah dan zamannya sendiri. Sebelum munculnya dominasi Barat, telah wujud pelbagai tamadun besar seperti tamadun Islam, Yunani, Parsi, Cina dan India. Namun, disebabkan tamadun Barat menjadi begitu dominan, khususnya dalam menguasai penyebaran ilmu seperti universiti, pemikiran dan pandangan dari Barat kemudiannya menjadi sangat berpengaruh.


Kita dapat melihat sejarah perkembangan universiti di mana pada asalnya terdapat universiti mempunyai hubungan yang rapat dengan institusi gereja. Kemudian, apabila sistem pemerintahan moden berkembang, universiti turut berada dalam lingkungan pengaruh pemerintah. Maka, kuasa yang mengawal institusi ilmu juga mempunyai peranan dalam menentukan ilmu dan pemikiran yang berkembang dalam masyarakat. Dalam konteks ini, Ali Shariati dapat dilihat sebagai salah seorang tokoh yang berusaha membebaskan minda manusia. Bagi mereka yang kurang mengenali pemikiran tokoh tersebut, sudut pandangan beliau agak sukar untuk difahami.


Prof. Dr Wan Manan menjelaskan lagi bahawa elemen luaran seperti pakaian yang dipakai, dakwaan mazhab (seperti isu Syiah), atau latar belakang agama seseorang (sama ada penganut Buddha atau Kristian) hanyalah penilaian peringkat superficial yang kerap digunakan untuk mengkritik. Keutamaan sebenar harus diberikan secara terus kepada pola fikir dan ilmu yang dibawa. Asalkan sesuatu ilmu atau pemikiran itu berupaya memberikan pencerahan, sumber asal-usulnya tidak menjadi penghalang sama ada datang dari India, Tibet, Antartika, atau mana-mana jua tempat di dunia. Perkara yang paling penting ialah sejauh mana ilmu tersebut dapat memberikan kesedaran dan mencapai pembebasan, terutamanya pembebasan minda.


Ali Shariati merupakan salah seorang daripada ramai tokoh pemikir yang mempunyai pendedahan luas terhadap pelbagai aliran pemikiran pada zamannya. Ketika berada di Paris pada awal tahun 1960-an, beliau turut bertemu dengan Frantz Fanon, seorang tokoh pemikiran antikolonial dan pembebasan, serta tokoh-tokoh pemikir Perancis yang lain. Daripada karya-karya Ali Shariati, kita dapat melihat bahawa pendedahan intelektual beliau sangat luas. Beliau mengambil dan mengolah pelbagai sumber pemikiran, termasuk pemikiran kiri, pemikiran Islam progresif serta tokoh-tokoh seperti Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Iqbal, yang turut diberikan perhatian dalam pemikirannya. Ini menunjukkan bahawa pemikiran Ali Shariati tidak terbentuk daripada satu sumber sahaja. Pendedahan beliau yang luas terhadap pelbagai aliran pemikiran membolehkan beliau mengemukakan idea-idea tersebut kepada masyarakat dan generasi pada zamannya, di samping mengajak mereka untuk berfikir dengan lebih kritis.


Dari mana kita harus bermula untuk melakukan pembebasan golongan tertindas?


Menurut Prof. Dr Wan Manan, kita perlu bermula dari minda. Untuk membebaskan minda, seseorang itu perlu mempunyai keberanian. Keberanian ini penting kerana apabila melihat keadaan di Malaysia sekarang, dari segi ekonomi, sama ada mahasiswa ataupun pensyarah universiti, kadangkala mereka juga bertindak sebagai golongan tertindas. Walaupun mereka bukan daripada golongan yang secara langsung tertindas, mereka tidak mempunyai keberanian untuk menyuarakan perkara yang tidak betul dalam masyarakat atau di tempat kerja. Apabila mereka bersuara, mereka akan ditindas.


Di mana-mana sekali pun, termasuk dalam sistem korporat, kadangkala tidak ada ruang untuk perkara tersebut. Semua pemerintahan, sama ada dalam sistem kanan ataupun kiri, mempunyai kawalan dari atas. Namun, di negara-negara maju bentuknya mungkin berbeza daripada apa yang kita sebut sebagai golongan tertindas. Persoalan ketertindasan ini juga berkait rapat dengan rasisme atau perkauman. Di India, misalnya, ia berkait rapat dengan sistem kasta. Golongan yang berada di bawah dalam sistem tersebut memang merupakan golongan yang tertindas, khususnya mereka yang berada dalam kasta rendah. Tetapi di Malaysia, keadaannya tidak begitu. Ramai orang mempunyai pemikiran tertindas, tiada keberanian dan membiarkan diri ditindas walaupun memperoleh pendapatan yang lumayan.


Pembebasan bermula dari bawah (bottom-up), bukan dari atas. Sekiranya dahulu ilmu asas ialah mengenal huruf, zaman sekarang menuntut penguasaan celik digital (digital literacy) untuk mengelakkan diri daripada ditindas oleh kuasa di atas. Sekiranya Ali Shariati masih hidup, beliau mungkin menulis tentang bahaya penggunaan AI dan teknologi digital oleh Israel dalam menindas rakyat Palestin dan Timur Tengah.


Ali Shariati turut banyak menekankan kesedaran diri. Kesedaran diri ini tidak terhad kepada individu semata-mata, sebaliknya merangkumi kesedaran diri kolektif, kesedaran bersama, dan solidariti dalam kalangan pelbagai golongan untuk membebaskan diri. Menerusi contoh literatur kiri, kaum proletar dalam sesebuah firma besar memerlukan kesedaran kolektif bahawa mereka tidak boleh berada dalam keadaan yang sama sepanjang masa. Menerusi kesedaran ini, mereka harus berusaha untuk mempunyai mobiliti sosial ke tingkat yang lebih atas dan tidak kekal sekadar sebagai buruh kasar. Sistem sosialisme tidak semestinya menyamaratakan semua perkara. Kebanyakan sistem sosialisme di dunia dilaksanakan dari atas (top-down), manakala contoh pergerakan dari bawah (bottom-up) yang berjaya dapat dilihat di Kerala, India, di mana sistem sosial berkembang kerana penglibatan aktif rakyat. Apabila mempunyai kesedaran diri bermaksud mempunyai keinginan untuk merdeka. Kesedaran diri inilah yang menyebabkan lahirnya tamadun dunia.


Ali Shariati turut membuat andaian bahawa sains, teknologi, teknikal, kejuruteraan dan sebagainya bukanlah penyebab utama majunya sesuatu tamadun. Sebaliknya, terdapat tokoh-tokoh yang dapat menimbulkan kesedaran diri dalam masyarakat. Kesedaran itulah yang menyebabkan masyarakat terus maju dan mempertahankan tamadunnya. Jadi, perkara-perkara yang bersifat teknikal ini boleh dibeli pada masa sekarang. Aspek-aspek teknikal dan teknologi boleh dibeli pada zaman sekarang tanpa semestinya memerlukan seseorang di situ untuk menciptanya. Walaupun penciptaan teknologi itu penting bagi kehidupan manusia, ia bukanlah punca utama kepada ketahanan sesebuah tamadun.


Para intelektual merupakan golongan yang bertanggungjawab terhadap masyarakat. Definisi intelektual itu sendiri berbeza mengikut zaman, tempat dan negara. Golongan intelektual juga terdiri daripada pelbagai jenis. Antara yang paling berbahaya ialah hubungan antara intelektual dan kuasa, iaitu intelektual yang mendekati kuasa dan digunakan oleh pemerintah untuk mengabsahkan penindasan terhadap rakyat. Terdapat golongan intelektual yang menyokong pemerintah. Selain itu, terdapat juga intelektual yang menjadi orang tengah; mereka mengambil sesuatu daripada Barat dan kemudian menjualnya kepada rakyat di negara sendiri.


Persoalannya, siapakah yang sebenarnya boleh dipanggil intelektual?


Segelintir mereka yang diberikan gelaran intelektual oleh masyarakat, atau menggelarkan dirinya sendiri sebagai intelektual kerana mempunyai PhD atau kelayakan tertentu. Mereka mungkin merupakan golongan ilmuwan atau cerdik pandai kerana mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing. Mungkin mereka mahu menggelarkan dirinya sebagai intelektual. Tetapi, persoalan yang lebih penting ialah intelektual itu berpihak kepada siapa?


Jika kita membaca pemikiran W. S. Rendra, beliau pernah mengemukakan persoalan kepada golongan intelektual dan mahasiswa: anda berada di pihak mana? Di pihak Soeharto atau di pihak rakyat jelata? Jadi, persoalan yang sama boleh kita tanyakan dalam konteks kita: anda berada di pihak mana? Di pihak pemerintah atau di pihak rakyat miskin?


Persoalan ini masih relevan kerana bentuk pemerintahan dalam negara kita yang tidak banyak berubah. Malah, keadaan sekarang mungkin semakin merosot dari segi penguasaan terhadap rakyat, mahasiswa dan universiti. Contohnya, terdapat perbincangan mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti yang mahu digantikan dengan sesuatu yang lebih ketat, walaupun sebelum ini terdapat usaha untuk memansuhkan akta tersebut. Tetapi, golongan yang berada di bawah dan yang hendak ditindas itu sendiri kadangkala lalai kerana tidak mempertahankan hak dan kebebasan mereka. Akhirnya, kebebasan kita yang sedikit itu semakin disempitkan oleh pemerintah.


Di mana-mana pun, pemerintah memang mempunyai kecenderungan untuk mengawal supaya mereka dapat melakukan apa yang mereka mahu. Mereka boleh mengambil atau menyalahgunakan harta negara, misalnya, sedangkan rakyat tidak mempunyai ruang untuk bersuara dan mungkin berdepan dengan tindakan tertentu apabila bersuara. Unsur-unsur seperti ini masih berkembang sehingga sekarang. Malah, di Indonesia, Thailand, Vietnam dan sebagainya. Dalam konteks Malaysia, kita juga boleh melihat kewujudan apa yang boleh disebut sebagai intelektual pasaran.


Bagi Prof. Dr Wan Manan, orang yang dikenali sebagai public intellectual atau intelektual awam mempunyai tanggungjawab yang penting untuk membela masyarakat dan menjadi jurucakap bagi pihak masyarakat. Tidak kiralah masyarakat itu terdiri daripada kaum atau agama tertentu, mereka tetap mempunyai tanggungjawab tersebut. Tetapi, dalam kalangan intelektual juga terdapat mereka yang menjual agama atau kaum mereka untuk mendapatkan kuasa dan kemudahan. Jadi, kita perlu berhati-hati apabila menggunakan istilah intelektual. Kita boleh mengelompokkan intelektual sebagai golongan cerdik pandai. Tetapi, cerdik pandai ini kadangkala tidak mempunyai kesedaran terhadap kepentingan rakyat dan sebagainya. Sebaliknya, mereka lebih mengutamakan kepentingan diri sendiri.


Di Malaysia sekarang, ramai daripada generasi yang lahir kemudian merupakan anak kepada generasi terdahulu yang telah berjaya mendapat pendidikan tinggi. Anak-anak mereka kemudiannya dimasukkan kembali ke dalam sistem yang sama dan menikmati kemudahan yang sedia ada, seperti kemudahan Bumiputera, jaringan fraternity ataupun apa yang disebut sebagai old boys atau old girls association daripada kolej masing-masing. Mereka masuk kembali ke dalam lingkungan tersebut dan menjadi golongan yang menikmati kemudahan yang sedia ada. Jadi, mereka menjaga kepentingan dalam kalangan kelompok mereka dan kadangkala mereka juga menjadi intelektual.


Di Indonesia, terdapat sebuah buku yang ditulis oleh Dania Daquidi iaitu Intelektual dan Kekuasaan. Buku tersebut membincangkan bagaimana golongan intelektual berkumpul di bawah pemerintahan Soeharto untuk mendapatkan pelbagai kemudahan. Mereka boleh dihantar menjadi duta, dilantik memegang jawatan tertentu, menjadi rektor universiti dan sebagainya. Keadaan seperti itu boleh dilihat di Malaysia. Contohnya, dalam pelantikan pimpinan universiti. Mereka mungkin mahu digelar sebagai intelektual, tetapi tindak-tanduk mereka tidak semestinya menunjukkan ciri-ciri seorang intelektual. Kadangkala, mereka lebih menyerupai seorang diktator apabila memimpin universiti.


Menurut beliau lagi, intelektual awam juga terdapat dalam masyarakat kita. Tidak ramai yang menyuarakan pandangan sedangkan perkara itu memang boleh diperdebatkan. Orang yang tidak bersetuju mungkin tidak menganggap seseorang itu sebagai intelektual awam. Pihak pemerintah pula mungkin tidak menganggap orang tersebut sebagai intelektual awam, sebaliknya menganggapnya sebagai pengacau.


Seperkara lagi ialah intelektual tidak semestinya berkaitan dengan tahap pendidikan. Kita tidak semestinya memerlukan pendidikan tinggi. Kadangkala, tidak perlu mempunyai ijazah universiti untuk menjadi seorang intelektual. Namun, yang penting ialah dedikasi kita terhadap sesuatu perkara secara berterusan. Ramai yang dikenali termasuklah daripada golongan biasa, boleh menjadi intelektual. Mereka tidak semestinya profesor, Datuk atau Tan Sri. Kita perlu melihat ciri-ciri seseorang itu, bukan gelaran yang dipegangnya. Segelintir mereka yang memegang jawatan atau mempunyai gelaran tertentu, tetapi tidak semestinya mempunyai ciri-ciri seorang intelektual. Tetapi, istilah intelektual ini mempunyai pengertian yang berbeza. Dalam satu lagi konteks, istilah intelektual juga bertindih dengan istilah intelligentsia.


Pada zaman Revolusi Rusia, khususnya Revolusi Bolshevik, terdapat golongan yang dikenali sebagai intelligentsia. Istilah itu kadangkala digunakan secara bertindih dengan intelektual. Tetapi, pada zaman sekarang, golongan intelligentsia itu ramai yang terdiri daripada teknokrat. Di Indonesia, misalnya, ramai yang dinaikkan pangkat merupakan seorang teknokrat, bukanlah intelektual. Golongan intelektual lebih banyak berada dalam bidang kemanusiaan. Hal ini disebabkan, intelektual ini tidak ada kena mengena dengan pangkat dan kekayaan. Intelektual tidak dikenali berdasarkan pangkat dan kekayaan. Kebiasaannya, mereka bukan seorang jutawan ataupun menteri. Kalau mereka itu sudah memegang jawatan tertentu, boleh dipanggil sebagai teknokrat. Mereka memegang jawatan dalam GLC atau organisasi seperti Petronas, misalnya, maka dia berada dalam kedudukan sebagai teknokrat. Tetapi, seseorang itu mungkin pada asalnya seorang intelektual sebelum memegang sesuatu jawatan. Terdapat tokoh yang pada asalnya merupakan intelektual, kemudian dilantik menjadi presiden. Kim Dae-jung di Korea Selatan, misalnya, merupakan seorang aktivis kesatuan dan intelektual sebelum akhirnya dilantik menjadi presiden. Tetapi apabila seseorang itu sudah memegang jawatan, mereka tidak lagi berada dalam kedudukan yang sama sebagai intelektual.


Terdapat sebuah buku tentang intelektual yang boleh kita lihat, dan banyak buku sebenarnya boleh dibaca untuk memahami persoalan ini. Salah satunya ialah buku Edward Said yang membincangkan tentang intelektual dan kuasa. Beliau mengatakan bahawa apabila seseorang itu sudah memegang jawatan, mereka berhenti menjadi intelektual. Terdapat juga seorang penulis yang mengangkat Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir sebagai golongan intelektual. Tetapi pada pandangan Prof. Dr. Wan Manan, kita boleh katakan bahawa mereka merupakan pemerintah. Mungkin ketika menjadi mahasiswa dahulu, mereka boleh dianggap sebagai intelektual. Tetapi apabila sudah menjadi menteri atau pemerintah, kita tidak boleh lagi memanggil mereka intelektual. Cukup memanggil mereka sebagai menteri.


Dahulunya disini pernah dibuat satu tinjauan mengenai siapa yang dianggap sebagai intelektual awam. Pada tahun 1990-an, antara nama yang disebut ialah Chandra Muzaffar, Rustam Sani dan Jomo Sundram. Ramai lagi yang turut disebut, tetapi mereka tidak berada dalam kelompok tiga teratas. Ramai yang tidak bersetuju kerana mereka merupakan pengkritik kerajaan, bukan intelektual awam. Tetapi, dari segi konsep intelektual awam, mereka memang boleh dianggap sebagai intelektual awam. Persoalan intelektual ini kadangkala melibatkan pemimpin politik. Seorang pemimpin politik juga mungkin seorang intelektual. Dalam UMNO pun mungkin terdapat intelektual, tetapi mereka bukan semestinya orang yang mengejar kuasa. Mungkin mereka berada di belakang dan membantu menulis atau menyumbang dari sudut pemikiran. Pada pandangan Prof. Dr. Wan Manan, sesiapa sahaja boleh menggunakan istilah intelektual, asalkan mereka itu benar-benar mempunyai ciri-ciri intelektual dan berada di pihak golongan tertindas. Tidak semestinya dikaitkan dengan ijazah atau kelayakan akademik.


Pandangan Ali Shariati lagi, Islam turut memainkan peranan yang sangat penting kerana pada zaman tersebut, Islam diperlukan sebagai jentera untuk membangkitkan kesedaran masyarakat Iran. Pemerintahan Shah pada waktu itu sudah terlalu kebaratan sehingga masyarakat semakin tercabut daripada akar kebudayaan Islam mereka. Oleh itu, Ali Shariati menganggap Islam sebagai jalan yang paling dekat untuk membangkitkan kesedaran diri dalam kalangan masyarakat kerana hampir keseluruhan penduduk Iran pada ketika itu beragama Islam.


Sekiranya kita tidak menggunakan Islam yang progresif sebagai jentera untuk pembebasan, kita tidak mahu pula menggunakan Islam yang ortodoks. Ali Shariati sendiri telah terdedah kepada pelbagai pemikiran ketika beliau belajar di Perancis. Pada masa itu, Shariati pernah berdebat dengan Franz Fanon kerana Fanon sendiri tidak begitu bersetuju agama dikaitkan dengan pembebasan daripada kolonialisme. Tetapi, Ali Shariati berpendapat bahawa dalam pembebasan daripada pemerintahan kolonial, agama itu penting, termasuk agama Islam. Kemudian, hal itu terbukti apabila Fanon sendiri pergi ke Algeria dan terlibat dengan FLN. Akhirnya, beliau menerima bahawa Islam sebagai agama merupakan satu unsur yang penting dalam pembebasan daripada cengkaman kolonial.


Daripada situlah, Ali Shariati banyak belajar tentang bagaimana Islam digunakan dalam konteks Revolusi Algeria. Terdapat banyak persamaan dari segi pengalaman golongan Islam yang tertindas. Walaupun di Algeria mereka ditindas oleh pemerintah kolonial Perancis, di Iran pula masyarakat ditindas oleh pemerintahan Shah Pahlavi yang keadaannya lebih kurang sama. Pemerintah juga mempunyai polis rahsia, SAVAK. SAVAK ini akan memantau sesiapa sahaja yang disyaki sebagai pemberontak atau yang dianggap menentang pemerintah. Tetapi apabila kita menggunakan Islam sebagai medium, orang boleh berkumpul di mana-mana, sama ada di masjid, surau dan sebagainya. SAVAK tidak sempat untuk memantau siapa sebenarnya yang terlibat. Kalau di universiti, mereka lebih mudah dipantau.


Pada pandangan Prof. Dr. Wan Manan itu merupakan satu tindakan yang agak progresif dari segi mengemukakan agama sebagai alat atau jentera pembebasan dan pada masa yang sama menimbulkan kesedaran dalam masyarakat. Selama ini, kita melihat Islam hanya sebagai satu bentuk ritual. Kita tidak menggunakannya untuk membebaskan minda. Jadi, dengan sendirinya, Islam itu digunakan sebagai jentera pembebasan.


Dalam perbincangan mengenai Pembebasan Golongan Tertindas, konsep "sejarah masa hadapan" merupakan cerminan kepada sejarah masa lalu dan segala pengajaran yang diperoleh daripada peristiwa kelmarin. Pemahaman terhadap sejarah ini berkait rapat dengan proses kesedaran diri serta refleksi diri, iaitu bagaimana masyarakat memanfaatkan pengalaman lalu sebagai panduan untuk melangkah ke masa hadapan. Dalam hal ini, struktur masyarakat pada setiap zaman digambarkan berbentuk seperti kerucut atau piramid, dengan kelompok pekerja yang besar berada di bahagian bawah manakala golongan intelektual serta pemerintah menduduki lapisan atas. Justeru, mengangkat sejarah bertujuan mengingatkan masyarakat supaya tidak mengulangi kesilapan masa lalu.


Masyarakat diingatkan agar tidak turut serta menekan golongan pemikir semata-mata kerana pihak pemerintah berbuat demikian. Sejarah telah merakamkan kisah saintis Galileo yang menggunakan ilmu fizik dan astronomi untuk menerangkan pandangan baharu bahawa bumi berpusing mengelilingi matahari, berbeza dengan kepercayaan ketika itu bahawa matahari mengelilingi bumi dan dunia ini berbentuk rata sehingga manusia dikhuatiri akan terjatuh apabila berjalan sampai ke penghujungnya. Oleh sebab pihak gereja tidak dapat menerima pandangan tersebut, Galileo akhirnya dihukum bunuh. Pengalaman ini menuntut masyarakat masa kini agar sentiasa berwaspada dalam menghadapi perkembangan ilmu yang semakin pesat supaya tidak kembali terperangkap dalam sikap menindas pemikiran baharu.


Selain itu, kewaspadaan terhadap sejarah turut berkait rapat dengan penilaian terhadap peranan sebenar golongan intelektual pada masa hadapan. Masyarakat perlu berhati-hati agar tidak terpedaya dengan individu yang mempergunakan label intelektual untuk kepentingan peribadi atau "berniaga diri". Tanpa kesedaran sejarah dan sikap kritis, golongan yang berselindung di sebalik gelaran intelektual tersebut dibimbangi akan mengambil kesempatan untuk melakukan penyelewengan serta merompak harta awam, dsb.


Selain golongan intelektual yang kehilangan kesedaran diri, manusia kini telah diubah menjadi konsumer, iaitu pengguna yang terperangkap dalam sistem kapitalisme sehingga menjadi “hamba-hamba kapitalisme”. Dalam penulisan Ali Shariati, keadaan ini digambarkan apabila manusia dijadikan seperti "tong kosong" yang menerima dan diisi dengan pelbagai barangan atau pengaruh luar. Selain itu, golongan wanita turut terdedah apabila pemikiran konsumer ini mengubah wanita agar menghargai gaya penampilan ala Hollywood, di samping menekankan keperluan wanita Islam menjaga martabat diri daripada dijajah oleh konsumerisme Barat.


Budaya konsumerisme ini membawa pelbagai kesan buruk kepada masyarakat. Pertama, ia mengakibatkan hilangnya daya penciptaan apabila manusia terperangkap sebagai pengguna pasif yang hanya tahu membeli dan menerima pakai hasil kerja pihak lain, bukannya bangkit menjadi seorang pencipta (creator). Kedua, ia menyebabkan berlakunya penjajahan minda secara berterusan walaupun produk fizikal kini turut dihasilkan oleh negara lain seperti China, cara pemikiran masyarakat masih terus dikuasai oleh pemikiran Barat yang telah sebati dalam ilmu dan juga globalisasi.


Kita perlu mengetahui bahawa kapitalisme ialah satu sistem ekonomi yang mengaut keuntungan daripada keringat dan darah manusia. Dalam sistem ini, wujud dua kelas utama iaitu kelas pemodal dan kelas pekerja, di mana modal digunakan untuk melipatgandakan lagi modal tersebut dengan mempergunakan tenaga pekerja bagi menghasilkan produk atau bekalan. Sistem ini mempunyai sifat berkembang secara berterusan sehingga akhirnya mengalami kejatuhan (crash), dan ia sentiasa mencetuskan ketegangan antara golongan pemodal dengan golongan pekerja. Dari segi pelaksanaannya, sistem ini boleh wujud bersama pelbagai bentuk pemerintahan lain seperti sistem monarki, atau muncul dalam bentuk kontemporari seperti neoliberalisme dan kapitalis nasionalis.


Disebabkan sifatnya yang menekan, Ali Shariati sentiasa mengkritik sistem kapitalisme dan menanamkan kesedaran bahawa masyarakat sebenarnya berada di bawah cengkaman sistem tersebut sebagai pekerja yang tidak mempunyai kebebasan. Dalam ceramah-ceramahnya, beliau menegaskan bahawa kapitalisme merupakan antara punca utama kehidupan masyarakat menjadi melarat atau semakin melarat. Beliau berpandangan bahawa sekiranya sistem kapitalis dapat disingkirkan, kehidupan rakyat Iran akan menjadi lebih selesa serta memperoleh kebebasan dan kemerdekaan yang lebih luas. Kritikan ini turut berkait dengan pengalaman sejarah apabila Perdana Menteri Iran, Mossadegh, digulingkan tidak sampai setahun selepas cuba memiliknegarakan syarikat minyak Amerika Syarikat dan Britain pada tahun 1953, kerana golongan kapitalis menganggap langkah tersebut mencabar dan bertentangan dengan sistem mereka.


Terdapat beberapa perkara penting yang perlu diwaspadai mengenai kapitalisme. Pada zaman digital kini, kapitalisme akan terus berkembang lebih pesat sekiranya tidak dikawal, sekali gus mengekalkan ketegangan kelas serta risiko kejatuhan ekonomi. Dalam konteks tempatan di Malaysia pula, Profesor Dr. Wan Abdul Manan mengingatkan bahawa sistem yang diamalkan bersifat kapitalis tulen yang keras (brutal), berbeza dengan negara seperti Norway yang mengamalkan sistem kebajikan (welfare). Penguasaan kapitalis di Malaysia juga wujud secara menyeluruh merentasi semua kaum, kasta, dan agama, walaupun keadaannya tidaklah terlalu menekan sehingga menyebabkan kebuluran. Masyarakat perlu sentiasa berwaspada terhadap penjajahan minda melalui konsumerisme agar tidak terus terperangkap sebagai "hamba-hamba kapitalisme" yang hanya tahu membeli dan menerima pakai hasil ciptaan serta ilmu yang dikuasai oleh pemikiran Barat, sebaliknya berusaha membebaskan diri dengan menjadi pencipta.


Ideologi dan budaya memainkan peranan penting dalam membebaskan masyarakat serta membina asas sesebuah tamadun. ia berfungsi sebagai kompas yang menentukan arah tujuan sesuatu masyarakat. Tanpa ideologi, masyarakat tidak mempunyai panduan untuk memperbaiki keadaan cara hidup mereka, baik dari segi fizikal mahupun minda. Ideologi bukan sekadar berkait dengan politik, sebaliknya merupakan pengumpulan pelbagai bentuk pemikiran yang dapat membantu membebaskan masyarakat pada sesuatu zaman. Oleh itu, sesebuah tamadun berkembang kerana memiliki ideologinya sendiri dan mampu bertahan kerana mempertahankan ideologi tersebut. Selain aliran seperti ideologi kanan, kiri, konservatif, atau Marxis, Islam yang progresif turut digunakan sebagai satu ideologi dan jentera pembebasan untuk membangkitkan kesedaran masyarakat.


Budaya pula ialah kebiasaan (habit) sesuatu kelompok masyarakat dalam menyelesaikan masalah kehidupan harian serta meningkatkan martabat kehidupan mereka. Budaya lebih tertumpu kepada sesuatu kelompok masyarakat dan sangat bergantung pada faktor tempat serta geografi termasuk cuaca, iklim, dan musim, yang membentuk cara makan, pakaian, tarian, dan kehidupan harian, seperti perbezaan antara budaya masyarakat maritim di tepi pantai dengan masyarakat di kawasan pergunungan.


Dalam pembebasan golongan tertindas, Ali Shariati menekankan keperluan meneladani tokoh Ali bin Abi Talib dan Fatimah binti Muhammad kerana kedua-dua figura ini sangat dekat dengan jiwa masyarakat Iran selepas Nabi Muhammad SAW. Shariati memanfaatkan kedekatan yang sudah sebati dalam jiwa rakyat Iran tersebut sebagai cara untuk membangkitkan kesedaran dalam masyarakat.


Kedua-dua tokoh ini membawa nilai dan simbolisme perjuangan yang tersendiri. Ali bin Abi Talib diangkat sebagai tokoh kepimpinan memandangkan kedudukan beliau sangat rapat dengan masyarakat Iran dan beliau sendiri pernah memikul tanggungjawab sebagai seorang khalifah pada suatu masa dahulu. Sementara itu, Fatimah pula berperanan sebagai simbol perjuangan dan keteguhan. Oleh sebab hayat Fatimah sangat singkat, beliau tidak sempat berjuang dalam tempoh yang panjang, namun beliau dijadikan sebagai simbol perjuangan yang kemudiannya diwariskan kepada anaknya, Hussein. Ali Shariati mengemukakan hujah-hujah yang membela Fatimah. Ini termasuklah menyentuh penganiayaan terhadap beliau dalam sejarah berhubung tanah peninggalan Nabi oleh Abu Bakar. Lalu, mengangkatnya sebagai tokoh wanita agung dalam sejarah Islam.


Di samping itu, simbol Fatimah digunakan secara khusus sebagai benteng untuk melawan konsumerisme Barat di Iran. Menerusi ketokohan beliau, Ali Shariati menekankan bahawa masyarakat tidak seharusnya membiarkan diri dijajah oleh budaya konsumerisme Barat, sebaliknya perlu menjaga martabat sebagai wanita Islam yang berdikari dan mempunyai kebebasan. Walau bagaimanapun, Profesor Dr. Wan Abdul Manan turut berpandangan bahawa pendekatan yang menonjolkan Ali dan Fatimah ini lebih dekat dan sesuai dengan konteks masyarakat Iran. Keadaan ini berbeza dengan masyarakat di Malaysia yang lebih menganggap Aisyah sebagai tokoh wanita ulung.


Namun, apakah bentuk penindasan moden yang dapat dilihat pada hari ini?


Di peringkat global, banyak negara kini dipimpin oleh kuasa konservatif dan golongan kanan seperti di Amerika Syarikat di bawah Trump dan di Argentina yang menekan pihak yang membela golongan tertindas. Sebagai contoh, individu yang bersuara membela rakyat Gaza berdepan tindakan ditangkap, dipenjarakan, ditekan, atau dibuang kerja. Selain itu, pemerintah moden turut menggunakan teknologi ketenteraan dan kecerdasan buatan (AI) digital terkini untuk menindas masyarakat, sebagaimana yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin dan Timur Tengah.


Penindasan juga berlaku atas nama demokrasi, di mana walaupun sesebuah negara mengamalkan sistem demokrasi pada nama sahaja, penindasan tetap berlaku di negara kita dan Indonesia. Hal ini termasuk penangkapan pelajar serta tindakan ganas seperti menyimbah air keras (asid) ke atas pelajar dan peguam yang berdemonstrasi sehingga mengakibatkan kecacatan seumur hidup. Pada masa yang sama, kebebasan bersuara semakin disempitkan, termasuk pengawalan ke atas mahasiswa dan institusi pengajian tinggi menerusi undang-undang seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti yang cuba diperketatkan. Ruang bersuara turut menjadi terhad apabila pihak tertentu mudah membuat laporan polis terhadap individu yang mengkritik atau bersuara.


Seterusnya, penindasan moden dapat dilihat menerusi ketidakadilan sistem perundangan dan saman malu. Wujud jurang ketidakadilan yang ketara apabila keluarga golongan miskin yang kehilangan nyawa hanya menerima pampasan RM17,000, sedangkan individu berpangkat yang memfailkan saman malu kerana dikritik boleh menerima pampasan antara RM100,000 hingga RM500,000. Pada masa yang sama, pesalah kecil seperti pencuri barangan asas dijatuhi hukuman penjara dua tahun enam bulan, manakala perompak harta negara bernilai ratusan juta ringgit pula terlepas daripada hukuman penjara. Akhir sekali, penindasan moden turut berakar daripada budaya ketakutan (culture of fear) dan kebisuan intelektual dalam masyarakat. Keadaan ini menyebabkan mahasiswa, pensyarah, dan rakyat berasa takut untuk menyuarakan kebenaran atau memilih untuk berdiam diri kerana sudah berasa selesa dengan pendapatan masing-masing, dan menjadi lebih parah apabila golongan intelektual yang sepatutnya bersuara turut makan suap.


Pandangan Profesor Dr. Wan Abdul Manan Mengenai Pelancong dan Pengembara


Beliau membezakan antara peranan seorang pelancong dengan seorang pengembara. Menurut beliau, pelancong ialah individu yang membayar untuk melawat sesuatu destinasi dan biasanya berbelanja lebih tinggi sedikit berbanding pengembara, namun pelancong juga berpotensi untuk menjadi pengembara. Pelancong kadangkala berperanan sebagai pengguna (consumer) yang mudah terpikat dengan iklan atau brosur promosi yang menarik. Sebaliknya, pengembara bergerak atas dorongan diri sendiri untuk meneroka sesuatu tempat. Beliau menyifatkan pengembara sebagai orang yang "berkelana" dan kebiasaannya menetap lebih lama di sesuatu tempat berbanding pelancong.


Berdasarkan pengalaman peribadi, beliau menganggap dirinya seorang pengembara kerana terbiasa menguruskan perjalanan secara DIY. Walau bagaimanapun, faktor usia kini membuatkan beliau tidak lagi larat berjalan kaki jauh atau mencari kenderaan sendiri, dan mungkin perlu mengikut pakej apabila berkunjung ke tempat yang lebih jauh. Sepanjang pengalamannya, beliau banyak meluangkan masa di India serta pernah menetap lama di Jepun, iaitu antara sebulan hingga enam bulan pada masa dahulu sambil menjalankan urusan lain. Sepanjang sepuluh tahun kebelakangan ini pula, beliau kerap berulang-alik ke Thailand dan Indonesia sebanyak lima hingga enam kali setahun, di samping menyertai acara larian di bandar-bandar seperti Medan, Jakarta, Surabaya, Bali, dan Bangkok.


Beliau turut menjelaskan bahawa seseorang pengembara atau pelancong boleh memilih untuk menjadi pemerhati semata-mata tanpa terlalu mencampuri urusan penduduk setempat dan tidak wajib mengadaptasi budaya tempatan, melainkan jika wujud minat tertentu seperti minat beliau menikmati ramen di Jepun. Namun, sekiranya seseorang mahukan pengalaman, dia perlu tinggal lebih lama untuk memahami budaya setempat serta menyesuaikan diri dengan suasana agar tidak menyinggung perasaan masyarakat tempatan. Sebagai contoh, beliau dapat menghayati suasana di Thailand, berbeza dengan India yang lebih menganggap pelawat luar sebagai pelancong. Bagi beliau, tiada perbezaan yang memisahkan pengembara pencari pengalaman dengan pencari kesedaran kerana pengalaman itulah sendiri yang memberikan kesedaran mengenai keadaan tempat yang dilawati serta kelebihan dan kelemahan diri sendiri.


Dari segi sikap, seorang pengembara perlu memiliki rasa ingin tahu serta bersikap terbuka tanpa prejudis terhadap penduduk yang ditemui, kedai, pakaian, rupa paras, mahupun bau mereka. Dalam usaha mencari makanan halal, beliau menasihatkan agar pertanyaan diajukan secara berhemah. Selain itu, pengembara yang bergerak tanpa pemandu pelancong (guide) mesti sentiasa berhati-hati dengan golongan penipu (scammer) atau "kaki pau" yang berpura-pura baik. Beliau berkongsi pengalamannya sendiri di India apabila pemandu pengangkutan seperti Ola dan teksi sengaja mengambil laluan jauh untuk mengenakan bayaran tambahan, di samping kejadian individu di kedai buku yang cuba memperdayanya ke ejen pelancongan tidak berdaftar.


Beliau menekankan bahawa aktiviti mengembara amat baik untuk meluaskan pandangan hidup, selaras dengan ungkapan "jauh perjalanan luas pandangan".



Dengarkan audio podcast ini untuk mengetahui pemikiran, perjuangan dan sumbangan Ali Shariati dalam memperjuangkan pembebasan golongan tertindas, termasuk pandangan beliau tentang keadilan sosial, penindasan serta peranan agama dalam membentuk masyarat yang bebas dan adil.


Prof Dr. Wan Abdul Manan: Ali Shariati & Pembebasan Golongan TertindasPengembara Nomad

 
 
  • Instagram
  • Facebook
  • TikTok

Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman ini bertujuan semata-mata untuk memberi inspirasi dan ilustrasi.

Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2026 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U).

SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page