Apa yang Boleh Dipelajari Mengenai Eksploitasi di Bali, Indonesia?
- Pengembara Nomad
- 22 Ogo
- 4 min membaca
Updated: 6 Sep
Dalam artikel saya yang bertajuk “Apakah Peranan & Tanggungjawab Pengembara?”, saya ada menyentuh tentang menunjukkan rasa hormat terhadap budaya tempatan, termasuk memberi sokongan terhadap perniagaan milik penduduk tempatan, terutamanya peniaga kecil. Saya turut menekankan agar kita mengelakkan daripada membelanjakan wang di syarikat besar atau dikendalikan oleh warga asing, kerana ini boleh membuka ruang kepada risiko eksploitasi terhadap komuniti setempat.
Kita tahu bahawa Bali merupakan sebuah destinasi popular. Penulis buku Digital Nomads: In Search of Meaningful Work in the New Economy yang juga merupakan nomad digital, menyatakan bahawa Bali menjadi pilihan utama kerana tiga faktor utama: “Coworking, Convenience, and Cost” iaitu kemudahan ruang kerja, keselesaan, dan kos sara hidup yang rendah.
Namun, apa yang benar-benar menarik perhatian saya ialah isu eksploitasi yang berlaku di sebalik keindahan dan populariti Bali. Ia telah membuka mata saya bahawa terdapat sisi gelap yang jarang dibincangkan secara terbuka. Saya memilih untuk memberi tumpuan khusus kepada isu eksploitasi berbanding isu yang lain. Ini kerana saya percaya inilah aspek yang paling perlu diberi kesedaran terhadap pengembara.
Seperti yang kita ketahui, Bali telah memberi banyak manfaat kepada digital nomad dan juga pelancong Barat. Pelancong luar juga telah membantu mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan. Tetapi, secara mendalam, industri pelancongan di Bali tidak semestinya memberi faedah penuh terhadap orang Bali itu sendiri. Ini bermaksud terdapat eksploitasi yang berlaku di sini.
Realiti di Bali sebenarnya kita dapat lihat bahawa telah berlakunya pencemaran dari kapal terbang yang membawa pelancong, trafik, kesesakan, pencemaran udara dan air yang makin teruk. Masalah sampah yang sangat serius. Ini adalah disebabkan Bali tiada sistem buang sampah dan kitar semula yang baik. Banyak kawasan di dunia turut alami masalah pertumbuhan pelancongan yang cepat tetapi tidak mampan.
Apabila orang luar yang lebih kaya datang ke sesuatu tempat, selalunya akan berlaku kesan buruk yang tidak dijangka, seperti alam sekitar menjadi rosak, pembangunan menjadi tidak terancang, kemudahan tempatan menjadi sesak. Bahkan, wang pelancong keluar ke pihak luar dan bukan ke penduduk setempat (yang dikenali sebagai leakage).
Selain itu, budaya ekonomi Barat yang memaksa orang Bali mengubah cara hidup mereka. Ini membuatkan budaya asal mereka menjadi rosak, gaya hidup nomad digital dianggap sebagai satu bentuk penjajahan budaya (neokolonialisme), dan perniagaan untuk nomad digital pun adakalanya dilihat sebagai mengambil alih budaya dan tempat orang Bali. Malah, ramai pelancong luar kecewa apabila restoran di Bali tidak mengikut gaya servis Barat.
Paling ketara, kurangnya hormat pada budaya tempatan. Ramai pelancong luar mengambil kesempatan terhadap sikap orang Bali yang tidak suka berterus terang. Contohnya, berjemur dengan pakaian mandi depan kuil walaupun terdapat papan tanda larangan. Orang Bali tidak menegur kerana mereka rasa lebih malu sekiranya dimarahi oleh orang luar, jadi mereka hanya senyum walaupun hakikatnya mereka tidak setuju dengan tindakan atau cara mereka.
Terdapat juga pelancong merungut tentang upacara keagamaan Hindu. Contohnya, Hari Nyepi, di mana semua orang perlu berada di rumah, tiada lampu dan tiada Wi-Fi. Terdapat hotel yang mencari pekerja bukan Hindu supaya boleh bekerja sewaktu cuti upacara. Dalam grup Facebook, terdapat pelancong luar menghina adat dan cara hidup orang Bali.
Sikap tawar-menawar pelancong yang tidak adil. Orang Barat tawar-menawar secara keterlaluan, walaupun mereka sebenarnya jauh lebih kaya. Mereka selalu menuduh peniaga tempatan menipu harga, walaupun perbezaannya kecil. Nomad digital hidup dengan bajet, jadi mereka cuba berjimat walaupun mampu bayar lebih.
Isu teksi dan neokolonialisme. Orang Barat selalu menganggap pemandu teksi Bali sebagai ‘kartel’ atau mafia, seolah-olah jahat dan menipu. Tapi dari sudut orang Bali, mereka hanya cuba menjaga hak sesama pemandu supaya semua mendapat rezeki yang adil. Pemandu teksi Bali pernah meluahkan isu mengenai servis Go-Jek di mana memang harganya murah, tetapi sekiranya mengeksploitasi manusia, adakah patut menggunakan servis tersebut?
Balas dari orang asing pula, “Mungkin nampak kejam... Tapi (A) semua orang nak servis murah dan bagus! (B) ia bantu kita siapkan lebih banyak kerja, dan cipta kerja untuk orang lain.”
Jadi, apakah pengajaran yang boleh dipelajari daripada sisi gelap di Bali?
Perspektif:
Saya melihat bahawa menghormati budaya tempatan dan mana-mana individu sekalipun adalah asas penting dalam membina hubungan baik antara pengembara dan penduduk tempatan. Maka, akan wujudnya ‘win-win situation’, di mana kehadiran orang luar bukan sekadar memberi manfaat kepada diri mereka, tetapi juga diterima oleh penduduk tempatan.
Dalam hal ini, ‘boundaries’ yang jelas dan peraturan secara berhemah amat diperlukan. Bukan untuk menyekat, tetapi untuk memastikan semua pihak memahami peranan serta tanggungjawab masing-masing.
Sebagai orang luar, kita perlu sedar bahawa keterbukaan penduduk tempatan bukan bermakna kita bebas melakukan apa sahaja. Sebaliknya, ia adalah peluang untuk kita belajar, menyesuaikan diri dengan budaya mereka, dan paling tidak pun, tunjukkan rasa hormat kepada mereka. "Think globally, act locally."
Selain itu, berikan sokongan terhadap perniagaan orang tempatan agar mereka mampu berdikari pada masa hadapan serta terus bertahan dengan hasil usaha mereka sendiri, secara tidak langsung kita dapat memahami hakikat sebenar dan dapat menyesuaikan diri dengan cara hidup serta budaya orang tempatan.
Sebagai pengembara, kunci utama dalam memahami isu ini terletak pada dua nilai asas yang saya masih berpegang sehingga kini, iaitu “Respect & Kindness.”
(Artikel ini belum disunting oleh tim editor Pengembara Nomad.)