Apa Itu 'Pengembara Nomad'?
- Pengembara Nomad
- 1 Okt 2024
- 3 min membaca
Updated: 29 Apr

Assalamualaikum w.b.t dan Salam sejahtera kepada pembaca platform digital ‘Pengembara Nomad’.
Mungkin ramai yang mempersoalkan berkenaan ‘apa sebenarnya platform digital ‘Pengembara Nomad?’ atau ‘apa signifikan disebalik dengan nama 'Pengembara Nomad' tersebut?
Baiklah, sebelum saya pergi lebih jauh mengenai Misi dan Visi platform ‘Pengembara Nomad’ ini dibina, serta maksud disebalik pemilihan nama ‘Pengembara Nomad’ itu sendiri, saya selaku pengasas platform ini ingin berkongsi cerita tentang perjalanan bagaimana tercetus idea untuk menubuhkan platform ini.
Sekitar bulan Ogos sehingga September 2023, pada asalnya saya telah merancang untuk menggunapakai nama Malaysia Nomadic, sebagai penjenamaan (branding) untuk diri saya yang merupakan pengembara dari Malaysia. Penjenamaan ini sekaligus membawa kepada matlamat utama saya, iaitu menghimpunkan ahli pengembara yang berasal dari Malaysia yang melakukan aktiviti pengembaraan secara nomad. Atau lebih tepat lagi, mereka yang mengembara dalam jangka masa panjang di satu tempat atau negara.
Akan tetapi, setelah beberapa kajian yang telah saya lakukan bagi memastikan nama tersebut belum lagi dipakai oleh sesiapa, saya mendapati bahawa nama tersebut telah pun digunakan oleh beberapa individu dalam bentuk yang berbeza. Bagi mengelakkan atau menimbulkan konflik pada masa akan datang, serta atas nasihat seseorang yang lebih berpengalaman dalam bidang laman web dan penjenamaan, saya telah memutuskan untuk tidak menggunakan nama tersebut dan mencari nama yang baharu bagi platform digital ini. Walaupun perbezaan penggunaan nama tersebut sangat kecil atau masih boleh digunapakai, saya nekad untuk mencari nama lain untuk platform ini.
Pencarian idea untuk nama dan logo baharu yang mencerminkan identiti dan jiwa saya sebagai seorang pengembara merupakan proses yang mencabar. Saya mengambil masa agak lama untuk menemui nama dan logo yang bersesuaian dengan konsep platform. Saya turut menyenaraikan beberapa nama serta meminta pendapat dan pandangan daripada kenalan terdekat berkenaan hal ini. Walaupun terdapat beberapa nama yang dicadangkan telah mendapat undian majoriti, namun hakikatnya, jiwa saya masih menolak dengan nama-nama yang dicadangkan tersebut. Pada ketika ini, saya masih belum menjumpai nama ‘Pengembara Nomad’ dan saya merasa tidak yakin dengan nama lain yang telah dicadangkan.
Sehingga pada satu ketika, saya telah mendapat inspirasi untuk menggunakan nama ‘Pengembara Nomad’ bagi tujuan pembinaan platform ini. Nama ini telah menarik perhatian dan memberi kesan mendalam terhadap diri saya kerana ianya mempunyai dua makna yang utama. Makna yang pertama, merupakan ‘pengembara’ itu sendiri, iaitu orang atau individu yang sentiasa bergerak dan merantau dari satu tempat ke tempat yang lain untuk meneroka dunia bukan untuk menetap. Makna yang kedua ialah ‘nomad’ yang diterjemahkan secara langsung sebagai “traveler” dalam Bahasa Inggeris dan membawa maksud sebagai orang yang suka berpindah randah dan tidak menetap pada suatu tempat sahaja. Hasil dari gabungan kedua ini dan perkataan ‘pengembara’ itu saya kekalkan dalam Bahasa Melayu, memberi interpretasi sebagai individu yang mengembara untuk mencari pengalaman, maka terciptalah nama ‘Pengembara Nomad’.
Setelah penetapan nama bagi platform ini berjaya dicapai, langkah berikutnya yang telah saya ambil ialah mencari dan mengupah pereka grafik secara profesional bagi menghasilkan logo ‘Pengembara Nomad’. Saya telah melantik dua orang pereka grafik bagi menjayakan logo ‘Pengembara Nomad’ ini. Namun begitu, dalam memberikan mereka kebebasan untuk berkarya, saya juga telah berbincang bersama mereka dengan melontarkan beberapa garis panduan serta kriteria yang saya mahukan berkenaan logo ‘Pengembara Nomad’ ini.
Setelah menerima hasil kerja daripada kedua pereka grafik tersebut, saya nekad mengambil keputusan untuk memilih ‘Pengembara Nomad’ sebagai nama rasmi platform ini. Keputusan saya bagi meneruskan pemilihan nama 'Pengembara Nomad' ini makin teguh, apabila saya melihat hasil logo yang dihasilkan oleh Tuan Azim (pereka grafik) yang telah mencerminkan jiwa saya sebagai seorang pengembara.
MISI DAN VISI PENGEMBARA NOMAD
Misi platform ‘Pengembara Nomad’ ialah:
"Menyediakan peluang kepada ahli pengembara sebagai penulis bebas berkaitan penerokaan dan pengumpulan maklumat bergantung kepada sesuatu projek atau tugasan, sama ada di dalam dan luar negara."
Visi platform ‘Pengembara Nomad’ ialah:
"Menjadikan ‘Pengembara Nomad’ sebagai platform digital yang melahirkan pengembara berkualiti dalam meneroka dunia dengan memanfaatkan peluang untuk menimba ilmu dan pengalaman yang menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara."
Melalui perspektif saya sebagai seorang pengembara, platform ini secara tidak langsung dapat meningkatkan dan memperluaskan lagi peluang kerjaya sebagai nomad digital. Ini bukan sahaja memberi peluang pekerjaan dan menjana sumber pendapatan, tetapi juga merupakan salah satu sumber saluran perkongsian pengalaman dan kemahiran bagi pengembara untuk meneruskan kelangsungan hidup. Di mana pada zaman moden yang serba mencabar ini, persaingan sengit wujud antara pekerja bebas (freelancer) dengan individu yang memiliki pekerjaan tetap dalam sektor kerajaan mahupun swasta.
Seorang pengembara seharusnya memiliki kemandirian diri atau kemahiran ikhtiar hidup (survival) yang tinggi, kerana pengembara lazimnya mempunyai cara berfikir yang berbeza dan sudah berada di luar 'sistem' yang telah ditetapkan. Melalui penerokaan dunia luar, pengembara dapat melihat kehidupan dari perspektif yang lebih luas, bukan hanya ‘melihat’ melalui spektrum warna hitam dan putih sahaja, akan tetapi melalui pelbagai warna selagi mana ia tidak melanggar nilai moral dan etika kehidupan.
Alhamdulillah ‘ala kulli haal.
Disunting oleh:
Idayu A.
Editor | Pengembara Nomad