Depresi dalam Perjalanan.
- Pengembara Nomad
- 7 Mei
- 8 min membaca
Updated: 3 Jun

Assalamualaikum w.b.t dan Salam sejahtera kepada pembaca platform digital ‘Pengembara Nomad’.
Artikel pada kali ini barangkali akan menimbulkan persoalan pembaca berkenaan maksud depresi atau kemurungan dalam konteks perjalanan dan bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku terhadap pengembara. Jarang sekali kita mendengar tentang pengembara yang mengalami depresi akibat dari aktiviti mengembara. Biasanya mengembara menjadi aktiviti pilihan pada sesetengah individu sebagai ‘escapism’ bagi menjauhkan diri sebentar dari tekanan kerja. Malah, semakin ramai yang menyedari hikmah dan kelebihan mengembara, seiring dengan saranan agama yang menggalakkan umatnya untuk merantau serta mengambil ibrah dari setiap perjalanan pengembaraan.
Menurut satu kajian yang telah dijalankan oleh Hyun et al. (2022) berkaitan hubungan dua hala antara perjalanan dan depresi di Korea Selatan yang melibatkan 8,524 peserta berusia 45 tahun ke atas dari tahun 2008 sehingga 2016 telah mendapati bahawa peserta yang tidak melakukan sebarang perjalanan dalam tempoh satu tahun mempunyai 71% risiko lebih tinggi untuk mengalami depresi pada tahun berikutnya berbanding mereka yang aktif melakukan perjalanan. Manakala, peserta yang sudah mengalami depresi pula didapati mempunyai kecenderungan lebih daripada dua kali ganda untuk tidak melakukan sebarang perjalanan berbanding peserta yang tidak mengalami gejala depresi.
Melalui kajian ini, saya berpendapat bahawa mengembara mampu menjadi salah satu kaedah untuk mengurangkan gejala depresi. Ironinya, depresi itu sendiri, sebenarnya boleh menjadi penghalang kepada seseorang untuk melakukan perjalanan (mengembara). Depresi atau kemurungan yang dimaksudkan dalam kajian ini bukanlah diagnosis secara klinikal oleh pakar kesihatan mental, akan tetapi dinilai melalui skala saringan bagi mengukur gejala depresi seperti sedih, putus asa, atau kekurangan tenaga. Semoga perkongsian artikel pada kali ini akan membuka mata pembaca mengenai episod depresi yang telah saya lalui yang mungkin tidak pernah terlintas oleh sesiapa.
Depresi yang telah saya alami ini nyata atau dalam slang terkini ialah 'real' dan boleh dihadapi oleh sesiapa sahaja semasa mengembara jangka panjang, baik secara nomad, solo mahupun bersama teman. Saya mula menyedari bahawa saya mengalami episod depresi ini setelah beberapa tahun selepas saya selesai mengembara. Pada asalnya, saya mendapat diagnosis Major Depressive Disorder (MDD) daripada pakar psikiatri berikutan ujian hidup yang saya lalui ketika itu. Saya akui pada ketika ini, saya tidak mempunyai sebarang data kajian yang formal berkenaan perkara ini untuk menyokong kenyataan di mana depresi boleh berlaku dalam perjalanan. Cuma ini hanyalah perkongsian berdasarkan pengalaman peribadi saya semata-mata. Saya percaya perkara seperti ini merupakan isu yang amat penting dan wajar diketahui umum bahawa depresi boleh terjadi oleh sesiapa semasa mengembara. Jadi, anggaplah ini sebagai salah satu persediaan dan ilmu baharu yang akan melengkapkan diri menjadi seorang pengembara.
Pengembaraan sering dianggap sebagai suatu pengalaman yang menggembirakan juga dikaitkan dengan keseronokan semata-mata. Namun, bagi sesetengah pengembara termasuk saya sendiri, pengembaraan boleh menjadi pengalaman yang tidak menyeronokkan apabila mengalami depresi. Sekali lagi saya ingin menekankan bahawa depresi saya maksudkan di sini bukanlah mereka yang tergolong dalam kategori 'kecelaruan mental' dan memerlukan diagnosis oleh pakar kesihatan mental.
Sudah menjadi kelaziman dalam masyarakat di mana mereka lebih gemar memaparkan keindahan dan keseronokan di media sosial. Namun, pernah atau tidak kita membaca tentang pengembara dari luar negara yang berkongsi sisi buruk atau tidak menarik (downside) pengalaman mereka? Amat jarang sekali dan ianya bersifat sangat terpencil. Kebanyakan mereka hanya memaparkan sisi-sisi yang baik dan indah, tetapi tidak menceritakan sisi buruk mengembara. Tidak mustahil juga ada yang memilih untuk tidak berkongsi pengalaman negatif mereka di mana-mana platform. Hakikatnya, dengan meneliti kedua-dua sisi ini, kita akan dapat mengetahui realiti sebenar yang dihadapi oleh pengembara yang tidak hanya menceritakan perkara atau pengalaman yang indah sahaja.
Di sini, saya juga ingin menegaskan bahawa tidak semua pengembara mengalami depresi atau kemurungan semasa dalam perjalanan seperti yang saya dan beberapa pengembara yang lain alami. Sebenarnya, keadaan seperti ini bergantung pada tahap cabaran yang dihadapi dan kemampuan dalam menangani cabaran oleh seseorang pengembara. Terdapat pengembara yang mampu menangani masalah walaupun melalui berada situasi yang sukar. Saya tidak menafikan bahawa kemungkinan besar terdapat juga pengembara yang sudah mengalami episod depresi sebelum memulakan perjalanan, sama ada mereka menyedarinya atau tidak. Namun, saya tidak mahu menyentuh mengenai hal ini pada artikel kali ini.
Beberapa tahun yang lalu, ketika saya mengimbau kembali memori pada tahun 2015-2017 semasa melakukan pengembaraan jangka pendek, saya telah menyedari bahawa saya tidak pernah mengalami episod depresi pada waktu itu. Hal ini mungkin disebabkan oleh tempoh yang terlalu singkat ketika berada di satu tempat dan saya tidak dapat meneroka dengan lebih mendalam dan mengutip lebih banyak pengalaman. Malahan saya berhasrat untuk mengembara lebih lama di negara-negara tersebut kerana tiada kepuasan ketika meneroka dalam jangka masa yang pendek. Bahkan, saya mengalami 'kecanduan' terhadap aktiviti mengembara atau memiliki dorongan yang kuat untuk mencari destinasi berikutnya. Saya juga pernah mengimpikan untuk mengembara lebih lama dengan cara berhenti bekerja dan membuat simpanan khas untuk mengembara sahaja.
Namun, segalanya berubah ketika saya melakukan pengembaraan jangka panjang dengan merentas pelbagai negara sekitar tahun 2018 dan 2019, baik secara solo mahupun bukan solo. Perasaan teruja yang saya alami sebelum mengembara bertukar menjadi perasaan tidak bersemangat dan saya tidak dapat menikmati pengembaraan secara sepenuhnya. Persoalan utama yang sering berlegar di fikiran saya pada ketika itu ialah “Apa yang sebenarnya terjadi?”, ketika ini saya merasakan seolah-olah saya tidak bersyukur dengan peluang yang sedang saya kecapi. Bahkan, ini merupakan impian yang saya sangat inginkan iaitu mengembara secara jangka panjang merentasi pelbagai negara di Asia. Secara jujurnya, perubahan yang berlaku pada diri saya ini boleh dianggap sebagai suatu ujian yang amat sukar untuk saya tempuh pada ketika itu.
Sewaktu saya mengembara secara solo secara berbasikal dari Beijing ke Hohhot, saya telah menempuhi pelbagai kesukaran, antaranya:-
Terpaksa berkhemah di tepi jalan, kawasan semak dan kebun yang menimbulkan rasa gementar sekiranya ditegur atau diambil tindakan oleh warga tempatan dan polis memandangkan khemah di China adalah di larang.
Kesejukan yang melampau pada waktu malam sekaligus menyukarkan saya untuk tidur dengan lena.
Terpaksa membawa beban yang berat iaitu lima beg sekaligus ketika menaiki tren dan mengangkat basikal ke apartmen hos yang tidak mempunyai lif.
Sering mengalami kekejangan otot. Adakalanya, terdapat kesan lebam berwarna biru ungu yang berpunca daripada pedal basikal.
Alat navigasi seperti Maps.me memberi salah laluan dan terpaksa berpatah balik.
Kepenatan yang berpanjangan.
Masalah lain pula muncul ketika saya ingin menginap di hostel di Ulanqab. Pada awalnya saya telah merancang untuk menginap di sana, tetapi mereka (pemilik hostel) enggan menerima saya hanya kerana saya merupakan orang asing. Pada akhirnya bayaran dikreditkan semula kepada saya dan saya hanya mampu menangis di tepi jalan akibat kepenatan. Lalu saya mengambil keputusan untuk tidur di masjid yang berdekatan. Namun, ketika di masjid, saya telah bertemu dengan seorang Muslim tempatan yang bermurah hati membelanja saya penginapan di hotel untuk satu malam.
Keadaan menjadi lebih mencabar akibat dari fizikal saya yang terlalu penat, dari menjadi seorang yang biasanya cergas berjalan, saya bertukar 180° berjalan dengan lebih perlahan. Setelah menganalisis situasi yang saya hadapi ketika itu, saya merasakan bahawa faktor kekurangan pengalaman dalam perjalanan sebegini yang membuatkan fizikal serta mental saya terkejut dan tidak bersedia untuk menghadapi realiti sebenar.
Tambahan lagi, persekitaran yang berbeza dan terasing kadang kala membuatkan saya kerap terasa kesunyian. Ibarat ayam bercakap dengan itik, kesukaran untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan yang majoriti tidak boleh berbahasa Inggeris menyukarkan lagi situasi sepanjang saya berada di China. Pengalaman ini telah membuatkan saya berasa amat tertekan kerana saya terpaksa berdikari dan melalui semua ini seorang diri.
Manakala ketika berada di Mongolia, saya terpaksa berhadapan dengan situasi di mana tuan rumah (hos) mengambil kesempatan dengan meminta saya melakukan tugas menjaga anak mereka sebagai ganti, mereka tidak mengenakan sebarang bayaran terhadap saya. Pada perancangan asalnya, mereka berhasrat untuk mengenakan bayaran berdasarkan tempoh sepanjang saya menginap di rumah mereka. Untuk pengetahuan pembaca, jika hos mengenakan bayaran terhadap pengembara, ini merupakan perkara yang salah untuk mereka yang berdaftar dengan platform Couchsurfing. Hakikatnya, apabila saya membuat semakan di Couchsurfing, hos ini tidak berdaftar secara sah.
Selain daripada itu, saya juga mengalami kesukaran untuk berpuasa lebih dari 14 jam sehari. Antara cabaran utama saya lalui sepanjang berpuasa di negara ini ialah kepayahan bagi mendapatkan makanan yang halal. Terdapat juga situasi di mana saya terpaksa berbuka puasa akibat cuaca yang terlalu panas di mana pada ketika itu saya berada di sempadan. Antara pengalaman lain berpuasa di sini, saya terpaksa berbuka bagi menghormati tuan rumah yang telah menyediakan hidangan yang dimasak khas untuk meraikan kehadiran saya.
Azerbaijan pula merupakan destinasi terakhir saya sebelum pulang ke Malaysia. Pada ketika ini, rasa kesunyian dan keinginan untuk pulang ke rumah begitu kuat akibat fizikal dan mental saya sudah berada pada tahap yang teramat penat. Saya banyak menghabiskan masa di dalam hostel dengan berehat, tidur, mendengar lagu dan menonton filem atau drama dengan alasan untuk mendapatkan tenaga semula selepas kepenatan yang berpanjangan. Tambahan lagi, saya melalui keadaan musim panas di sana dan suhu pada masa itu boleh mencapai 41°C memainkan peranan besar dalam mempengaruhi fizikal dan mental saya. Dalam tempoh dua bulan itu, saya mula mengalami penurunan berat badan yang mendadak dari 61kg kepada 48-49kg.
Penyumbang kepada episod depresi saya bukan sahaja terletak pada faktor yang saya sedang melalui pengalaman perjalanan yang sulit, akan tetapi terdapat dilema dan konflik dalam diri saya sendiri pada ketika itu. Saya berada dalam konflik yang memaksa untuk saya membuat keputusan sama ada saya harus berkahwin atau tidak semasa saya berada di Azerbaijan. Saya merasakan terlalu banyak bebanan di fikiran saya yang perlu saya tanggung seorang diri dalam tempoh tersebut. Ini membuatkan saya telah mengambil keputusan yang nekad untuk pulang kembali ke Malaysia.
Apabila difikirkan kembali, setelah saya melihat garis masa sebelum saya memulakan perjalanan lagi saya telah mengalami kepenatan fizikal dan mental awal lagi. Ini kesan dan akibat daripada persediaan saya yang perlu melalui latihan berbasikal dan mempelajari asas dan teknik membaiki basikal secara sendiri tanpa bantuan apabila aktiviti mengembara dilakukan nanti. Ini hanya sebahagian daripada pengalaman saya di beberapa buah negara. Masih banyak lagi pengalaman yang saya lalui dalam pengembaraan jangka panjang yang melibatkan 18 buah negara yang saya tidak dapat kongsikan di platform ini kerana ia terlalu peribadi untuk diceritakan.
Saya telah menyedari bahawa saya telah mengalami kepenatan yang melampau baik secara fizikal mahupun mental. Sebagai seseorang yang berada dalam bidang psikologi, saya akhirnya memahami tanda-tanda kemurungan yang saya alami ketika itu, termasuk:
Rasa letih yang berterusan walaupun sudah tidur lebih dari 8 jam sehari sama ada berada di hostel atau di rumah hos.
Mula hilang daya tumpuan dan fokus terhadap perkara yang saya minati.
Saya mudah berasa putus asa dan menganggap diri telah gagal.
Rasa kecewa dan kesunyian yang begitu terasing.
Rindu yang terlampau kuat terhadap rumah.
Segala persoalan mengenai ujian dan depresi yang saya alami ini akhirnya telah terjawab melalui hadis hasil perkongsian video oleh Ustaz Azlan Shah di Youtube. Dalam ceramahnya, terdapat satu petikan hadis yang memberi kesan sangat mendalam terhadap diri saya, iaitu:-
“Bermusafir adalah sebahagian daripada azab. Ia menghalang kamu daripada tidur dan makan. Apabila seseorang musafir itu telah menyelesaikan keperluannya dalam permusafiran itu, maka hendaklah dia segera pulang kepada keluarganya.”
(Riwayat al-Bukhari, 5429)
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa azab dalam perjalanan bukan sekadar melibatkan kesukaran fizikal seperti makan dan tempat tidur, tetapi juga mencakupi segala aspek mental seperti kepenatan, kesusahan, kesunyian, malahan depresi. Hanya dengan satu hadis ini sahaja sudah menjawab segala persoalan saya. Sejujurnya, saya telah menerima dengan hati terbuka ke atas ujian yang saya alami pada ketika itu. Fenomena depresi dalam pengembaraan ini bukanlah sesuatu yang asing atau luar biasa, sebaliknya ia merupakan salah satu bentuk ujian yang mungkin dihadapi oleh setiap pengembara. Malah, apabila kita menelusuri kisah para anbiya terdahulu, mereka juga tidak terlepas daripada menghadapi pelbagai bentuk kepayahan dan azab dalam perjalanan mereka apatah lagi kita yang hanya manusia biasa dan mempunyai banyak kelemahan.
Nasihat saya pada artikel kali ini, pentingnya untuk pengembara sedar tentang sebarang perubahan pada diri, sama ada dari segi fizikal mahupun mental. Jika terdapat perubahan pada diri yang menjejaskan rutin harian, sila dapatkan bantuan daripada orang terdekat atau dipercayai untuk bercerita masalah yang sedang dihadapi. Sekiranya keadaan berlarutan, mohon untuk dapatkan bantuan daripada mereka yang pakar atau bertauliah.
Alhamdulillah ‘ala kulli haal.
Rujukan:-
Disunting oleh:
Idayu A.
Editor | Pengembara Nomad