top of page

Fenomena Tour Guide Tidak Berlesen dalam Kalangan Pengembara Masa Kini.

  • Writer: Pengembara Nomad
    Pengembara Nomad
  • 9 Sep
  • 5 min membaca

Updated: 19 Sep

Saya mula berkecimpung dalam dunia pengembaraan pada tahun 2015. Ketika itu, saya masih dalam proses memahami selok-belok dunia ini. Saya sedar banyak perkara yang saya masih tidak tahu. Pada waktu itu, sudah pun wujud servis tour guide tidak berlesen. Pada tahun yang sama, saya pernah mengambil sebuah pakej pelancongan ke Korea yang ditawarkan dengan harga yang lebih murah atas nama konsep backpacker. Pakej pelancongan yang ditawarkan itu, saya kira telah mendapat sambutan orang ramai. Mungkin, servis ini diuruskan oleh seseorang yang sudah mempunyai nama dan cukup dikenali. Dari situ, timbul kepercayaan bahawa populariti seseorang sudah memadai untuk meyakinkan orang ramai untuk mendapatkan servis yang disediakan oleh mereka. Hakikatnya, setelah saya membuat semakan di laman web rasmi MOTAC, mereka ini bukanlah tour guide berlesen, malah tidak pernah berdaftar sebagai agensi pelancongan. Saya lihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mereka sudah tidak lagi menawarkan sebarang pakej pelancongan, dan saya sendiri tidak pasti apa sebabnya.


Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), adalah menjadi kesalahan di sisi undang-undang bagi mana-mana individu yang beroperasi sebagai pemandu pelancong tanpa lesen. Kesalahan ini tertakluk di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482), Seksyen 21, yang memperuntukkan hukuman berupa denda sehingga RM7,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.


ree

Peraturan yang mewajibkan tour guide wajib memiliki lesen bukan sahaja di Malaysia, malah turut dikuatkuasakan banyak di negara lain. Contohnya, di Jepun, tour guide mesti lulus peperiksaan yang dikendalikan oleh Agensi Pelancongan Jepun dan perlu mendaftar secara rasmi. Individu yang beroperasi tanpa lesen boleh dikenakan denda sehingga ¥500,000 (sekitar RM 14,300).


Seperkara lagi, sewaktu berada di Korea, saya juga sedar bahawa sebenarnya saya boleh melancong ke luar negara secara DIY tanpa perlu mengambil servis tour guide atau agensi pelancongan. Hal ini saya ketahui selepas seorang rakan yang baru saya kenali menceritakannya kepada saya. Saya benar-benar tidak tahu ketika itu. Andai saya tahu lebih awal, pasti saya akan lakukan semuanya sendiri tanpa menggunakan tour guide.


Realitinya, sewaktu saya berada di negara tersebut, saya tidak dapat menikmati sepenuhnya pengalaman di sana kerana servis tour guide ini tidak memberikan saya kepuasan yang setimpal dengan harga yang telah dibayar. Terdapat destinasi yang sepatutnya termasuk dalam itinerari, tetapi langsung tidak dikunjungi. Terdapat juga peserta yang bergerak sendiri. Mungkin, ingin lebih bebas berbanding bergerak secara berkumpulan. Adakalanya, saya merasakan servis yang diberikan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Akhirnya, saya tidak memperoleh apa-apa untuk dipelajari, melainkan hanya menikmati keindahan dan kecantikan tempat-tempat yang dilawati. Apabila saya selami dengan lebih mendalam, rupanya mereka juga bermula sebagai pengembara DIY. Kemudiannya, mereka menjadikannya sebagai pakej pelancongan. Mungkin, mereka lihat suatu peluang untuk memperoleh pendapatan lebih lumayan dan cepat dengan cara ini, tanpa memikirkan risiko yang bakal dihadapi.


Apa yang terlintas di fikiran saya tentang fenomena atau trend tour guide tidak berlesen ini mungkin berkait rapat dengan hakikat pada hari ini bahawa industri pelancongan merupakan salah satu industri paling rancak di dunia. Hampir setiap hari, setiap jam, bahkan setiap minit ada sahaja manusia yang bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Kita boleh lihat bahawa terdapat pergerakan yang berlaku setiap masa. Malah, kesedaran orang ramai untuk keluar bercuti sama ada untuk merehatkan minda, mencari keseronokan, atau melancong ke luar negara sebagai satu bentuk keperluan mahupun lambang status, merancakkan lagi industri ini. Bila difikirkan semula, siapa yang tidak suka melancong atau mengembara? Bahkan pada hari ini, melancong sama ada di dalam dan luar negara juga sering menjadi satu bentuk escapism bagi masyarakat moden.


Kini, setelah sepuluh tahun berlalu dengan usia saya yang semakin meningkat, fenomena ini masih terus berulang. Kini, tour guide tidak berlesen muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan sehingga menjadi satu trend yang membimbangkan. Malah, saya perhatikan tour guide tidak berlesen ini semakin banyak dilakukan oleh para pengembara itu sendiri. Mereka semakin berani menawarkan servis tour guide atau pakej pelancongan yang murah dengan strategi promosi yang kelihatan menarik dan sangat meyakinkan sehingga mudah mempengaruhi orang ramai untuk mengambil pakej yang ditawarkan. Bayangkan, profesion tour guide tidak berlesen ini seolah-olah boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Walaupun saya sudah merantau ke pelbagai negara di benua Asia, saya masih tidak mempunyai keberanian untuk menjadi tour guide, meskipun berlesen. Saya sedar bahawa diri saya belum cukup kompeten untuk menjadi tour guide yang berpengetahuan, apatah lagi berani berdepan dengan risiko apabila melibatkan keselamatan orang lain. Bagaimana mungkin saya mahu menjaga orang lain, sedangkan diri saya sendiri pun tidak terjaga?


Fenomena ini akhirnya menimbulkan persoalan pada diri saya. Apa sudah jadi dengan pengembara pada hari ini? Mengapa semakin ramai pengembara memilih untuk menjadi tour guide tidak berlesen? Sedangkan banyak lagi pekerjaan lain yang boleh dilakukan oleh mereka walaupun mungkin tidak memberi jaminan keuntungan yang lumayan tetapi memberi manfaat kepada diri dan masyarakat untuk jangka panjang berbanding memilih untuk menjadi tour guide tidak berlesen. Peranan seorang pengembara sangat besar dalam masyarakat dan banyak perkara boleh dilakukan atau disumbangkan walaupun secara freelance, jika benar-benar kita melihat skopnya dengan lebih luas.


Persoalan lain, adakah mereka sedar bahawa tindakan mereka secara tidak langsung telah mengeksploitasi pekerjaan tour guide berlesen? Sedangkan, untuk bergelar seorang tour guide berlesen, mereka perlu mengikuti kursus berbulan-bulan lamanya, menduduki peperiksaan, membayar yuran yang harganya bukannya murah, bahkan ada yang perlu memenuhi syarat dan kriteria akademik tertentu sehingga memakan masa bertahun-tahun demi melayakkan diri mereka diiktiraf sebagai tour guide yang sah dan profesional. Kajian oleh Brito (2020) di Portugal menjelaskan bahawa pemandu pelancong berlesen mengikuti pendidikan formal dan latihan profesional berterusan, manakala tidak bagi pemandu pelancong tidak berlesen.


Kenapa perlunya lesen untuk menjadi tour guide?


Tour guide berlesen bermaksud seseorang itu kompeten dan berpengetahuan. Mereka telah menjalani kursus yang merangkumi sejarah, budaya, undang-undang pelancongan, keselamatan, dan juga pertolongan cemas. Bahkan, banyak lagi yang perlu mereka pelajari. Mereka turut terikat dengan undang-undang. Sebagai contoh untuk mudah difahami, lesen memandu. Tanpa lesen, tidak boleh sesuka hati memandu kereta di jalan raya. Diwajibkan ambil kelas memandu, menduduki ujian memandu, barulah diberikan lesen memandu. Tujuannya adalah untuk memastikan setiap pengguna jalan raya benar-benar tahu undang-undang dan keselamatan di jalan raya. Begitu juga dengan lesen tour guide. Bagi saya, ia bukan sekadar lesen, tetapi sebuah tanggungjawab. Tanggungjawab untuk menjaga keselamatan peserta dan memastikan maklumat yang disampaikan adalah benar.


Soalan saya lagi, sejauh mana jaminan yang boleh diberikan oleh tour guide tidak berlesen kepada peserta mereka? Jika berlaku kecemasan, kemalangan, atau jika sesuatu yang tidak diingini menimpa peserta, siapa yang akan bertanggungjawab? Adakah mereka ini akan bertanggungjawab sepenuhnya?


Saya beranggapan bahawa mereka yang tidak berlesen ini boleh dianggap bukan orang yang bertanggungjawab, apatah lagi sanggup berdepan dengan risiko. Mereka dengan mudah boleh “lepas tangan” apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku. Tidak ada lesen untuk ditarik balik, tidak ada undang-undang yang boleh dikenakan. Walaupun aduan dibuat atau kes dibawa ke mahkamah sekalipun, adakah benar-benar kerugian yang ditanggung itu dapat dikembalikan dan dipulihkan semula sepenuhnya seperti masa, tenaga, wang, dan juga trauma?


Berapa ramai yang sudah menjadi mangsa penipuan tiket penerbangan dan pakej pelancongan? Berapa ramai benar-benar mendapat hak mereka semula setelah ditipu? Sedangkan setiap tahun ada sahaja berita kita dengar dan lihat di media sosial, mereka menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan. Anehnya, masyarakat kita seolah-olah tidak pernah serik dan mengambil pengajaran atas apa yang berlaku. Apa yang sepatutnya dinilai adalah lesen. Lesen membuktikan bahawa seseorang itu kompeten dan juga bersedia memikul tanggungjawab.


Hari ini, yang menjadi ukuran bukan lagi lesen yang sah. Sebaliknya, apa yang lebih dinilai ialah berapa ramai pengikut di media sosial, seseorang itu sudah dikenali ramai, konten di media sosial yang kelihatan menarik, memiliki penampilan yang menawan dan juga meyakinkan. Maka, persepsi inilah yang akhirnya membuka ruang untuk tour guide tidak berlesen diterima masyarakat. Situasi ini jelas menunjukkan wujudnya bias atau sikap berat sebelah masyarakat terhadap tour guide tidak berlesen berbanding mereka yang benar-benar melalui proses kelayakan dan berlesen.


Apabila trend menjadi tour guide semakin mendapat tempat dan diminati ramai, saya tertanya-tanya siapa pula yang bakal menjadi environmentalist pada masa hadapan? Jika mereka rasakan menjadi tour guide dikatakan membawa pengalaman luas dan penuh pengetahuan, sepatutnya tidak wujud masalah seperti overtourism, perubahan iklim, penjajahan budaya, dan pelbagai isu lain yang semakin meruncing. Seolah-olah daripada apa yang saya perhatikan, kita sebenarnya tidak mempelajari apa-apa dalam perjalanan.


Rujukan:-



(Artikel ini belum disunting oleh tim editor Pengembara Nomad.)

 
 
  • Instagram
  • Facebook
  • TikTok

Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman ini bertujuan semata-mata untuk memberi inspirasi dan ilustrasi.

Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2025 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U).

SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page