Hubungan antara Pengembara dan Penyebaran Fahaman New Age Movement
Updated: 12 Jul
Pendahuluan
Hampir setahun saya menangguhkan penulisan tentang topik ini kerana saya sedar ia berpotensi mencetuskan pelbagai reaksi daripada masyarakat, khususnya dalam kalangan pengembara. Ia bukanlah suatu topik yang mudah untuk dibincangkan secara terbuka. Saya memilih untuk memberi keutamaan kepada beberapa topik yang lain terlebih dahulu sebelum saya kembali menyempurnakan penulisan tentang topik ini yang sudah lama tertangguh. Alhamdulillah, artikel ini berjaya disiapkan untuk saya kongsikan kepada masyarakat hasil daripada pemerhatian, pembacaan dan pengalaman saya berkaitan dengan hubungan antara pengembara dan penyebaran fahaman New Age Movement.
Dorongan untuk saya menulis artikel ini timbul apabila tercetusnya kontroversi tentang sebuah program motivasi rumahtangga yang menjadi tular di media sosial pada tahun lalu. Sehinggalah artikel ini ditulis, siasatan terhadap kes tersebut masih berjalan dan masih belum diputuskan oleh pihak mahkamah. Siasatan yang dijalankan oleh pihak PDRM dan JAIS turut melibatkan dakwaan berhubung aktiviti tidak senonoh, mengandungi unsur lucah serta amalan yang dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam. Susulan dari isu tersebut, pengasas program bersama beberapa individu yang lain telah ditahan bagi membantu siasatan. Laporan media juga menyatakan bahawa aktiviti berkaitan program tersebut turut dikesan di Bali, Indonesia. Isu ini mendorong saya untuk melihatnya dengan lebih mendalam dari perspektif pengembara.
Dalam konteks ini, saya berpandangan bahawa mereka ini juga boleh dikategorikan sebagai pengembara mahupun pelancong. Mereka adalah individu yang melakukan perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain dengan tujuan tertentu. Fokus saya sebenarnya bukan sekadar pada destinasi yang mereka kunjungi, tetapi pada tujuan perjalanannya serta pendekatan atau modul yang digunakan di dalam program mereka yang kemudiannya diperkenalkan kepada peserta yang mengikuti program tersebut.
Berdasarkan pemerhatian saya dalam konteks di Malaysia, saya perhatikan semakin banyak ceramah, program motivasi atau pembangunan diri yang mengandungi unsur-unsur seperti penyembuhan diri (self-healing), manifestasi (manifestation), tenaga dalaman (inner energy) dan termasuklah berkaitan astrologi (astrology). Hakikatnya, trend ini tidak lagi terhad pada ceramah atau program motivasi. Seiring dengan perkembangan dunia digital, keadaan ini telah membuka ruang lebih banyak produk dan perkhidmatan (konsultansi) yang mengandungi unsur atau idea yang sering dikaitkan dengan New Age Movement dipromosikan kepada masyarakat dengan lebih terbuka di media sosial seperti Tiktok, Facebook, dan Instagram. Saya turut memerhatikan bagaimana mereka mempromosikan sesuatu produk serta reaksi masyarakat terhadap konten yang dikongsikan oleh mereka. Berdasarkan pemerhatian saya, kandungan tersebut kelihatan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Ini dapat dilihat melalui jumlah tontonan, interaksi dalam ruangan komen, testimoni atau feedback yang diberikan oleh pengguna serta sambutan terhadap produk dan perkhidmatan yang dipromosikan.
Saya tidak terkejut sekiranya produk dan perkhidmatan seperti ini terus mendapat perhatian serta mencatatkan jualan yang tinggi. Ini kerana masih ramai yang belum memahami hakikat sebenar di sebalik fahaman tersebut. Cara mereka mempromosikan produk juga amat meyakinkan sehingga dapat mempengaruhi pemikiran orang awam. Inilah yang mendorong saya untuk melihat isu ini dengan lebih mendalam dan menulis artikel ini sebagai satu usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya dalam kalangan pengembara Muslim, agar mereka dapat mengenali, memahami dan mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan idea atau amalan dari fahaman seperti ini. Pada pandangan saya, kesedaran diri merupakan antara ciri penting yang perlu dimiliki oleh setiap pengembara kerana ia membantu seseorang menilai sesuatu yang ditemui sepanjang perjalanan dengan lebih bijak.
Perkara ini turut mengingatkan kepada pengalaman saya sendiri yang pernah mengikuti program motivasi yang mengandungi fahaman seperti ini sebelum saya berada di dalam bidang psikologi. Ketika itu, saya melihat program sebegitu hanyalah sekadar program yang bertujuan untuk meningkatkan motivasi dan mengenali potensi diri. Yuran yang dikenakan juga tidaklah murah. Penyampaian mereka begitu meyakinkan sehingga mudah menimbulkan tanggapan bahawa mereka benar-benar mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu yang melayakkan mereka memberi ceramah atau motivasi kepada orang awam. Namun, pada ketika itu saya belum menyedari bahawa tanggapan tersebut perlu dinilai berdasarkan latar belakang, kelayakan dan pengiktirafan sebenar mereka. Sebagai orang awam yang tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang perkara ini, saya lebih mudah menerima apa yang disampaikan oleh mereka kerana kedengaran sangat menyakinkan.
Oleh itu, saya menulis artikel ini bagi membincangkan dalam konteks yang sedikit berbeza mengenai hubungan antara pengembara dan penyebaran fahaman New Age Movement. Saya berpandangan bahawa pengembara merupakan antara golongan yang lebih mudah terdedah kepada idea dan amalan fahaman tersebut. Mereka sering berkongsi pengalaman peribadi, amalan kerohanian (spiritual) dan pencarian diri mereka dalam pengembaraan seperti di media sosial, blog, buku, program, ceramah atau di platform digital yang lain. Berkemungkinan juga terdapat segelintir daripada mereka sendiri tidak menyedari bahawa sebahagian idea atau pendekatan yang dikongsikan itu mempunyai persamaan dengan unsur yang sering dikaitkan dengan New Age Movement.
Setelah membuat rujukan terhadap beberapa buah buku mengenai New Age Movement yang ditulis oleh sarjana dan penulis Barat, seperti What is the New Age? oleh Michael Cole dan New Age Movement oleh Ron Rhodes, saya mendapati bahawa fahaman ini turut menerima pelbagai kritikan. Kritikan tersebut bukan sahaja datang daripada perspektif Islam yang melihat sebahagian fahamannya bercanggah dengan akidah atau bertentangan dengan Islam, malah sarjana Barat turut mengkritik dengan mempersoalkan asas falsafahnya, dakwaan saintifik, pendekatan psikologi serta unsur komersialisasi yang terdapat dalam sebahagian idea dan amalan fahaman tersebut.
Maksud Pengembara dan Tujuan Perjalanan
Sebelum membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut, khususnya bagi memahami kaitan antara pengembara dan penyebaran New Age Movement yang akan dibincangkan dalam topik ini, kita perlu memahami maksud pengembara terlebih dahulu. Secara umumnya, pengembara ialah individu yang melakukan perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain dengan tujuan tertentu. Dalam konteks ini, pengembara dan pelancong mempunyai persamaan maksud kerana kedua-duanya melakukan perjalanan ke sesuatu destinasi dengan tujuan tertentu. Tujuan perjalanan tidak semestinya terhad kepada bercuti atau ke tempat-tempat tarikan pelancong. Tetapi, tujuan perjalanan menjadikan salah satu cara untuk melarikan diri daripada tekanan hidup (escapism), mencari ketenangan, menyembuhkan diri (self-healing), mencari makna hidup, dll.
Ciri-ciri Pengembara
Mari kita lihat beberapa ciri yang sering dikaitkan dengan pengembara. Antara ciri utama yang sering dikaitkan dengan pengembara ialah sikap keterbukaan, iaitu kesediaan untuk menerima pengalaman, budaya dan idea baharu. Sikap ini biasanya disertai dengan sifat ingin tahu, keinginan untuk memahami orang lain dan kesediaan mempelajari sesuatu yang baharu. Keterbukaan ini membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan budaya, cara hidup dan pemikiran masyarakat yang ditemui sepanjang perjalanan. Namun, saya berpandangan bahawa sikap keterbukaan ini juga boleh menyebabkan seseorang lebih mudah terdedah kepada pelbagai pengaruh dari luar.
Dalam dunia pengembaraan, istilah the true traveler atau "pengembara sejati" biasanya digunakan untuk merujuk kepada mereka yang menekankan nilai kemanusiaan (humanity), kebebasan individu, keterbukaan terhadap pengalaman baharu serta kesediaan untuk mempelajari budaya dan kepercayaan masyarakat lain. Sikap menghormati pelbagai budaya dan agama merupakan satu nilai yang baik dan boleh dipuji. Sebahagian daripada mereka menggabungkan pelbagai kepercayaan mengikut pengalaman dan kecenderungan peribadi masing-masing. Keupayaan menyesuaikan diri dengan budaya tempatan sering dipuji dan dianggap sebagai salah satu ciri yang dikaitkan dengan seorang "pengembara sejati".
Ciri lain yang sering dikaitkan dengan pengembara ialah mereka melakukan perjalanan untuk mencari suatu perubahan. Mereka berharap dengan melakukan perjalanan mampu memberi makna baharu atau mengubah kehidupan mereka. Perkara ini mengingatkan saya tentang kritikan Agnes Callard dalam eseinya The Case Against Travel. Menurut Callard, pelancong mengembara ke sesuatu destinasi baharu dengan harapan untuk mencari suatu perubahan, namun mereka jarang benar-benar mencapainya. Mereka sekadar pergi melihat perkara-perkara yang telah diberikan nilai budaya oleh orang lain. Selepas itu, mereka pulang ke tempat asal tanpa sebarang perubahan yang ketara terhadap pegangan, cara berfikir dan minat yang telah mereka miliki sebelum perjalanan tersebut. Walaupun Callard mempersoalkan sama ada perjalanan benar-benar mampu membawa perubahan kepada seseorang, saya boleh katakan bahawa pengembara melakukan perjalanan dengan harapan untuk mencari suatu perubahan.
Filem Eat, Pray & Love (2010) dan Pengaruh New Age Movement
Saya telah menonton filem Eat, Pray, Love (2010), yang diadaptasi daripada buku Eat, Pray, Love karya Elizabeth Gilbert yang juga merupakan watak utama dalam filem ini. Filem yang memberikan perspektif baharu tentang makna pengembaraan yang dilalui oleh beliau di tiga buah negara, iaitu Itali, India dan Indonesia. Setiap destinasi memaparkan pengalaman serta pengajaran yang berbeza. Filem ini saya dapat lihat bagaimana pengembaraan boleh dikaitkan dengan idea dan amalan yang mengandungi unsur New Age Movement, khususnya dalam aspek pencarian diri, penyembuhan emosi dan juga pengalaman spiritual. Penilaian yang saya kemukakan ini adalah berdasarkan kandungan filem dan bukan berdasarkan kandungan buku tersebut.
Berikut ialah sinopsis ringkas filem ini untuk memberikan gambaran awal kepada pembaca bagi memahami maksud pengembara dan tujuan perjalanan. Eat, Pray, Love mengisahkan perjalanan hidup Elizabeth Gilbert atau dipanggil sebagai Liz, seorang penulis yang memiliki kerjaya yang baik, suami yang penyayang dan kehidupan yang selesa. Namun, di sebalik kehidupan yang kelihatan sempurna itu, Liz berasa kosong, keliru dan telah kehilangan makna dalam hidupnya. Perasaan tersebut akhirnya mendorong beliau untuk memfailkan perceraian dan meninggalkan kehidupan lamanya untuk mencari dirinya semula dan makna hidup yang sebenar.
Selepas melalui tempoh yang sukar, Liz mengambil keputusan untuk mengembara selama setahun ke tiga buah negara, iaitu Itali, India dan Indonesia. Setiap destinasi mewakili fasa yang berbeza dalam pencarian dirinya. Di Itali, beliau belajar menikmati kehidupan melalui makanan, persahabatan dan budaya tempatan. Di India, beliau tinggal di sebuah ashram bagi mendalami amalan meditasi dan mencari ketenangan jiwa. Seterusnya di Bali, Indonesia, beliau bertemu dengan beberapa individu yang membantunya memahami keseimbangan antara kebahagiaan, spiritualiti dan hubungan dengan manusia, di samping menemukan cinta baharu dalam hidupnya. Sepanjang pengembaraan tersebut, filem ini memaparkan perjalanan seorang wanita yang berusaha melepaskan trauma masa lalu, mencari ketenangan, mengenali dirinya dengan lebih mendalam dan membina semula kehidupan yang lebih bermakna.
Selaras dengan huraian tentang maksud pengembara, tujuan perjalanan, dan ciri-ciri pengembara, Liz merupakan seorang pengembara, iaitu individu yang melakukan perjalanan dengan tujuan mencari ketenangan, penyembuhan emosi dan perubahan dalam hidup. Dalam proses tersebut, sikap keterbukaannya terhadap pengalaman baharu mendorong beliau mengunjungi sebuah ashram di India dan menjalani kehidupan yang berdisiplin. Di sana, beliau mendalami amalan seperti meditasi, yoga dan pelbagai latihan kerohanian yang menekankan kawalan diri, kesedaran dalaman serta penyerahan ego. Selepas itu, beliau meneruskan pencariannya di Bali, yang digambarkan sebagai ruang untuk mendekatkan diri kepada keseimbangan hidup, ketenangan dan pengalaman spiritual yang lebih mendalam. Pengalaman di India dan Bali ini menjadi fasa penting dalam proses pencarian makna dan perubahan dirinya.
Sejarah New Age Movement
Setelah memahami maksud pengembara, tujuan perjalanan, ciri-ciri pengembara serta kisah Elizabeth Gilbert, kita perlu menelusuri semula sejarah kemunculan New Age Movement untuk memahami mengapa saya berpandangan bahawa pengembara merupakan antara golongan yang menyumbang kepada penyebaran fahaman ini.
Dari sudut sejarah, fahaman atau dipanggil sebagai gerakan ini pada peringkat awalnya berkembang dalam kalangan masyarakat Barat dan munculnya di Eropah Barat dan Amerika Utara sekitar tahun 1960-an dan 1970-an. Ia berkembang daripada gabungan pelbagai tradisi seperti mistisisme Barat, agama Timur (Hindu dan Buddha), teosofi, esoterisisme, psikologi humanistik dan gerakan kontra budaya (seperti gerakan hippie). Kemunculan gerakan ini berkait rapat dengan perubahan sosial dan budaya di dunia Barat, khususnya apabila sebahagian masyarakat yang terlalu mengejar kebendaan (materialistik) dan mula hilang kepercayaan pada agama tradisi mereka, lalu beralih arah mencari alternatif kerohanian yang lebih bersifat peribadi dan lebih terbuka (universal).
Nama "New Age" berasal daripada kepercayaan astrologi bahawa umat manusia sedang melalui peralihan daripada Era Pisces kepada Era Akuarius (Age of Aquarius). Menurut kepercayaan ini, Era Pisces dikaitkan dengan dominasi institusi agama tradisional serta sistem kepercayaan yang dianggap bersifat autoritatif dan dogmatik. Ini bermaksud dominasi institusi agama tradisional serta sistem kepercayaan yang mempunyai kuasa yang diiktiraf dan dianggap sebagai rujukan utama. Sistem ini juga sering dilihat sebagai sesuatu yang menetapkan ajaran yang tetap dan sukar untuk dipersoalkan atau diubah. Sebaliknya, Era Akuarius dipercayai akan membawa zaman baharu yang menekankan keamanan sejagat, kesedaran spiritual, kebebasan individu, dan keharmonian antara manusia dengan alam semesta. Kepercayaan ini menjadi asas kepada pelbagai idea bahawa manusia mampu mencapai perubahan spiritual melalui pengalaman peribadi tanpa bergantung sepenuhnya kepada institusi agama.
Tokoh atau Pengasas New Age Movement
New Age Movement ialah satu gerakan spiritual bersifat global yang tidak mempunyai pengasas tunggal. Gerakan ini terbentuk daripada gabungan pelbagai idea seperti falsafah Timur, okultisme Barat, psikologi moden, dll. Ia berkembang melalui sumbangan pelbagai tokoh dari bidang yang berbeza dan sebagai satu rangkaian idea yang luas dan sentiasa berubah mengikut zaman.
Walaupun tidak mempunyai pengasas utama, terdapat beberapa tokoh yang memberi pengaruh penting dalam perkembangan dan penyebaran idea gerakan ini. Antaranya ialah Alice Bailey (1880–1949) yang banyak menulis tentang idea penyatuan agama dunia serta konsep seorang guru dunia. Dalam bidang psikologi, Carl Jung memberi pengaruh tidak langsung melalui konsep seperti ketidaksedaran kolektif, arketip dan proses individuasi, yang kemudian banyak diadaptasi dalam sebahagian aliran New Age.
Selain itu, Marilyn Ferguson memainkan peranan dalam menyebarkan idea ini melalui bukunya The Aquarian Conspiracy (1980), yang menggambarkan perkembangan rangkaian idea ini dalam masyarakat moden. David Spangler pula dikenali sebagai salah seorang tokoh yang terlibat dalam Komuniti Findhorn di Scotland, iaitu sebuah pusat spiritual yang menjadi tempat pertemuan pengikut New Age Movement dari pelbagai negara.
Kronologi Perkembangan New Age Movement
Perkembangan New Age Movement menjadi lebih pesat sekitar dekad 1960-an melalui kemasukan pelbagai ajaran mistik dari Asia ke dunia Barat. Perubahan dasar imigresen Amerika Syarikat pada tahun 1965 memudahkan kemasukan guru spiritual, yogi dan tokoh agama dari India serta negara Asia lain. Dalam tempoh yang sama, gerakan kontra budaya yang menolak nilai masyarakat moden turut mendorong sebahagian generasi muda mencari pengalaman spiritual baharu. Kumpulan muzik seperti The Beatles membantu memperkenalkan meditasi transendental dan unsur mistisisme India kepada masyarakat Barat selepas mereka mengikuti ajaran Maharishi Mahesh Yogi. Selain itu, penggunaan dadah psikedelik seperti LSD dalam kalangan sebahagian generasi muda turut dikaitkan dengan pencarian pengalaman kesedaran yang luar biasa. Apabila penggunaan dadah mula dikritik, ramai beralih kepada amalan seperti meditasi dan yoga sebagai alternatif untuk mencapai pengalaman spiritual tersebut.
Perkembangan New Age Movement turut dipengaruhi oleh bidang psikologi moden. Pemikiran Carl Jung memberi kesan tidak langsung melalui konsep ketidaksedaran kolektif, arketip dan proses individuasi yang menekankan pencarian makna serta transformasi diri. Konsep ketidaksedaran kolektif, iaitu kepercayaan bahawa manusia berkongsi lapisan minda yang mengandungi simbol dan pengalaman sejagat. Manakala, konsep arketip, iaitu corak atau gambaran asas seperti wira, ibu dan orang tua yang bijaksana yang dipercayai mempengaruhi pemikiran serta tingkah laku manusia. Selain itu, proses individuasi, iaitu proses seseorang memahami dan mengembangkan dirinya untuk mencapai kehidupan yang lebih seimbang dan bermakna. Kemudian, psikologi transpersonal memperluaskan lagi idea bahawa manusia memiliki dimensi kesedaran yang melangkaui pengalaman biasa yang bukan sahaja menumpukan kepada emosi, tingkah laku dan perkembangan individu, tetapi juga pengalaman seperti spiritualiti, kesedaran, meditasi, pengalaman mistik dan pencarian makna hidup. Walaupun bidang ini bukan sebahagian daripada New Age Movement, sebahagian idea dan pendekatannya telah diadaptasi oleh beberapa aliran dalam gerakan tersebut.
Dalam masa yang sama, sebahagian penulis New Age menggunakan penemuan dalam fizik kuantum sebagai analogi atau tafsiran bagi menyokong kepercayaan spiritual mereka. Mereka mentafsir konsep tenaga dan saling hubungan dalam alam semesta sebagai sokongan kepada idea bahawa seluruh kewujudan merupakan satu kesatuan (monisme), iaitu kepercayaan bahawa semua yang wujud berasal daripada satu hakikat yang sama. Mereka juga menerima fahaman bahawa unsur ketuhanan wujud dalam segala sesuatu (panteisme), iaitu kepercayaan bahawa Tuhan hadir dalam seluruh alam semesta dan semua makhluk. Namun, tafsiran ini tidak diterima sebagai kesimpulan dalam bidang fizik moden, sebaliknya merupakan tafsiran falsafah oleh sebahagian penyokong gerakan tersebut.
New Age Movement juga mengadaptasi semula pelbagai amalan esoterik dan tradisi lama dengan istilah yang lebih moden. Antaranya termasuk channelling, iaitu amalan yang dipercayai membolehkan seseorang menerima mesej daripada entiti tertentu. Selain itu, penggunaan kad tarot, astrologi, kristal, kepercayaan terhadap reinkarnasi dan hukum karma turut menjadi sebahagian daripada amalan yang sering dikaitkan dengan gerakan ini.
Sebahagian masyarakat menunjukkan minat terhadap pendekatan perubatan holistik seperti akupunktur, Ayurveda dan terapi alternatif dalam aspek kesihatan. Pendekatan ini menekankan keseimbangan antara tubuh, minda dan emosi (mind, body and emotion). Gerakan ini juga memberi penekanan kepada hubungan manusia dengan alam sekitar, termasuk konsep seperti Mother Nature atau Gaia yang melihat alam sebagai sesuatu yang saling berkaitan dan mempunyai nilai spiritual dalam beberapa aliran.
Antara unsur yang sering dikaitkan dengan New Age Movement ialah amalan meditasi seperti Transcendental Meditation (TM) dan yoga, yang dipercayai dapat meningkatkan kesedaran diri serta membantu pencarian makna hidup. Walaupun amalan ini berasal daripada tradisi tertentu, ia telah diadaptasi dalam pelbagai konteks moden. Gerakan ini juga dikaitkan dengan amalan esoterik seperti tarot, astrologi dan channelling untuk tujuan bimbingan atau ramalan. Selain itu, sebahagian pengikutnya mengamalkan pendekatan perubatan holistik serta menunjukkan minat terhadap konsep tenaga dan keseimbangan diri. Mereka juga menerima sebahagian kepercayaan daripada falsafah Timur seperti reinkarnasi dan karma, serta melihat alam semula jadi sebagai sesuatu yang suci, yang sering dikaitkan dengan konsep Mother Nature sebagai sesuatu yang mempunyai nilai spiritual.
Nota: Kesedaran diri dalam konteks fahaman ini tidak semestinya merujuk kepada konsep kesedaran diri yang saya tekankan sebagai ciri seorang pengembara. Walaupun menggunakan istilah yang sama, kedua-duanya mempunyai maksud dan kerangka pemahaman yang berbeza.
Punca Pengaruh New Age Movement
Pada waktu itu, sebahagian pengkritik melihat humanisme sekular terlalu menekankan keupayaan akal dan pemikiran logik dalam memahami kehidupan sehingga aspek kerohanian dan persoalan tentang makna yang lebih tinggi kurang diberi perhatian. Keadaan ini dikatakan menyebabkan sebahagian individu berasa kehilangan dimensi spiritual serta mencari jawapan tentang makna hidup, tujuan kewujudan dan hubungan dengan sesuatu yang lebih besar daripada diri mereka. Dalam pencarian tersebut, sebahagian mereka tertarik kepada pelbagai bentuk spiritualiti, termasuk idea dan amalan yang dikaitkan dengan New Age Movement.
Selain itu, kemasukan dan pengaruh falsafah Timur ke dunia Barat sekitar tahun 1960-an turut menjadi salah satu faktor penting dalam perkembangan New Age Movement. Idea seperti monisme yang melihat seluruh kewujudan sebagai satu kesatuan dan panteisme yang menganggap unsur ketuhanan wujud dalam segala sesuatu mula mendapat perhatian dalam kalangan sebahagian masyarakat Barat. Bagi sesetengah individu, pendekatan spiritual ini dilihat lebih fleksibel kerana memberi penekanan kepada pengalaman peribadi, pencarian diri dan hubungan manusia dengan alam. Dalam keadaan tertentu, penerimaan terhadap idea-idea tersebut boleh mempengaruhi cara seseorang memahami konsep Tuhan, spiritualiti dan makna kehidupan.
Pengaruh daripada pertubuhan seperti Theosophical Society, Anthroposophy dan gerakan spiritisme turut menyumbang kepada perkembangan idea spiritual alternatif. Sesetengah aliran dalam gerakan ini mempercayai kewujudan panduan atau pengetahuan spiritual yang diperoleh daripada entiti ghaib seperti "Maha Guru yang Telah Bangkit" (Ascended Masters). Idea-idea tersebut menarik minat sebahagian individu yang mencari bimbingan spiritual alternatif.
Pada era 1960-an, sebahagian generasi muda yang terlibat dalam gerakan kontra-budaya mula mempersoalkan nilai dan budaya tradisional Barat. Mereka lebih terbuka untuk meneroka idea-idea di luar arus perdana, termasuk ajaran mistik, amalan okultisme dan pelbagai bentuk spiritualiti alternatif.
Pada sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, beberapa program pembangunan diri seperti Lifespring dan The Forum mendapat perhatian dalam kalangan individu serta organisasi kerana menjanjikan peningkatan keyakinan diri, keberkesanan bekerja dan pembangunan potensi diri. Mereka menggunakan pendekatan yang bertujuan menghasilkan pengalaman psikologi atau emosi yang mendalam, yang kadangkala dikaitkan dengan "altered states of consciousness". Dalam sesetengah keadaan, pendekatan ini memberi penekanan kepada potensi diri tanpa batas dan keupayaan individu untuk membentuk realiti mereka sendiri.
Kesan Pengaruh New Age Movement
Fahaman ini boleh mempengaruhi cara seseorang melihat kehidupan, agama dan dirinya sendiri. Antara perkara yang sering dikritik ialah kecenderungan sebahagian aliran dalam New Age Movement untuk menolak kewujudan kebenaran yang mutlak. Dalam keadaan tertentu, pandangan ini boleh menyebabkan seseorang menilai baik dan buruk berdasarkan tafsiran peribadi, bukannya berpandukan prinsip agama atau nilai moral.
Amalan menggabungkan kepercayaan dan ritual daripada pelbagai agama serta tradisi spiritual yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap pegangan agama seseorang apabila pelbagai ajaran dicampurkan tanpa panduan yang jelas.
Dari sudut akidah Islam pula, amalan mendapatkan bimbingan daripada perantaraan roh perlu dijauhi kerana boleh membuka ruang kepada penipuan dan gangguan daripada jin atau syaitan.
Manakala, rawatan alternatif atau terapi yang tidak disokong oleh bukti saintifik yang kukuh boleh menjadi masalah sekiranya seseorang mengabaikan rawatan perubatan yang terbukti berkesan dan hanya bergantung kepada kaedah yang belum terbukti dari sudut sains.
Dari Perspektif Pengembara
Di sinilah saya mula melihat hubungan antara pengembara dan penyebaran New Age Movement. Terdapat beberapa idea dan amalan yang diamalkan oleh sebahagian pengembara mempunyai persamaan dengan unsur-unsur yang sering dikaitkan dengan fahaman ini. Saya tidak berasa hairan jika sebahagian pengembara terdedah kepada idea atau amalan sedemikian kerana pengembaraan mendedahkan mereka kepada pelbagai pengalaman, budaya dan cara berfikir yang berbeza yang membuatkan mereka lebih bersikap terbuka. Segelintir daripada mereka yang mengamalkannya mungkin tidak menyedari bahawa idea dan amalan tersebut mempunyai persamaan atau kaitan dengan fahaman tersebut.
Saya berpandangan bahawa kebanyakan pengembara pada hari ini melakukan perjalanan bukan sekadar untuk menikmati keindahan sesuatu destinasi, tetapi juga untuk mencari sesuatu yang lebih bermakna dalam kehidupan seperti ketenangan, makna hidup, penyembuhan diri, dll. Namun, keadaan ini saya tidak boleh generalisasikan kepada semua pengembara kerana setiap individu mempunyai tujuan perjalanan yang berbeza. Dalam beberapa keadaan, mereka yang memilih untuk melakukan perjalanan mungkin sedang melalui fasa perubahan dalam kehidupan atau berdepan dengan pelbagai tekanan hidup. Sebahagian mereka datang daripada pelbagai latar belakang pengalaman hidup yang mencabar dari sudut emosi. Bagi sesetengah pengembara, pengembaraan menjadi ruang untuk menjauhkan diri seketika atau escapism serta mencari peluang untuk memulakan fasa kehidupan yang baharu.
Seiring dengan peredaran masa dan perubahan zaman yang semakin moden, sikap keterbukaan telah membuka ruang kepada perkembangan New Age Movement sehingga gerakan ini semakin dikenali, mendapat perhatian dan diterima oleh sebahagian masyarakat. Fahaman ini sering dikaitkan dengan gabungan pelbagai idea dan amalan serta menggabungkan unsur kerohanian (spiritual) yang tidak terikat kepada mana-mana agama tertentu yang lebih fleksibel dan terbuka seperti astrologi, yoga, meditasi serta konsep tenaga, chakra, reiki dan manifestation sebagai kaedah untuk penyembuhan emosi dan pencarian makna hidup. Di sinilah saya mula memahami bagaimana fahaman seperti ini dapat mempengaruhi seseorang dengan menawarkan penyelesaian terhadap masalah kehidupan serta konsep "penyembuhan diri" (self-healing). Antara faktor yang menjadikannya menarik ialah sifatnya yang lebih fleksibel dan tidak terlalu terikat kepada satu sistem kepercayaan atau amalan tertentu.
Pengalaman yang mereka rasakan membawa ketenangan atau perubahan dalam diri, sama ada melalui meditasi, yoga, amalan tertentu atau pengalaman spiritual di tempat-tempat tertentu, segelintir daripada mereka akan mula berkongsi pengalaman tersebut kepada orang lain. Mereka berkongsi pengalaman peribadi atau apa yang mereka amalkan yang menurut mereka telah membawa perubahan dalam kehidupan. Perkongsian pengalaman mereka boleh menjadi medium penyebaran fahaman ini kepada masyarakat. Apabila pengalaman tersebut dijadikan sebagai rujukan, sesetengah individu mungkin terdorong untuk mengembara, mencuba atau meneroka amalan dan pendekatan yang sama.
Malah, terdapat sebahagian pengembara yang pulang selepas melalui perjalanan dalam tempoh yang panjang, mereka gemar menceritakan pengalaman yang telah membawa perubahan dalam diri mereka. Mereka menyatakan bahawa cara berfikir, gaya hidup, corak pemakanan dan cara mereka melihat dunia telah berubah berbanding sebelum mengembara. Dalam sesetengah keadaan, saya melihat perubahan tersebut lebih banyak dikaitkan dengan aspek mental, emosi dan kerohanian (spiritual). Sebagai contoh, selepas pulang dari mengembara, mereka melalui rasa ketenangan, cara berfikir sudah berubah setelah mengamalkan meditasi, yoga, dan sebagainya. Walaupun perubahan seperti ini tidak semestinya berkaitan dengan New Age Movement, terdapat keadaan yang menunjukkan persamaan dengan idea dan pendekatan yang sering dikaitkan dengan fahaman tersebut.
Saya turut berpandangan bahawa mereka yang sedang mencari kesejahteraan mental, emosi dan kerohanian lebih mudah terpengaruh dengan idea dan amalan dari fahaman seperti ini. Kata kunci yang saya ingin tekankan di sini ialah 'mental' atau 'jiwa'. Antara amalan yang menjadi pilihan ialah yoga, meditasi dan pelbagai pendekatan yang berasaskan konsep tenaga dalaman kerana bagi mereka, pendekatan tersebut dilihat sebagai jalan yang lebih cepat untuk memperoleh ketenangan jiwa dan membawa perubahan dalam kehidupan. Sebagai seorang Muslim, perkara ini wajar diteliti dengan berhati-hati kerana terdapat sebahagian amalan atau pendekatan yang mungkin mengandungi unsur spiritual yang tidak selari dengan ajaran Islam. Sebagai contoh, sesetengah bentuk amalan yoga yang mengandungi unsur ritual atau kepercayaan tertentu perlu diteliti dengan berhati-hati bagi memastikan kesesuaiannya dengan ajaran Islam.
Berikutan dengan kontroversi tentang sebuah program motivasi rumahtangga yang menjadi tular di media sosial pada tahun lalu, apabila saya mengetahui berita melalui laporan media bahawa aktiviti berkaitan program tersebut turut dikesan di Bali, perkara ini menarik perhatian saya kerana Bali sememangnya terkenal dengan budaya dan tradisi spiritual yang berakar daripada agama Hindu serta pelbagai bentuk amalan kerohanian. Sebahagian pengembara dan pelancong memilih untuk berkunjung ke lokasi seperti ini bagi mencari ketenangan, pengalaman baharu atau makna yang lebih mendalam dalam kehidupan. Selain Bali, destinasi seperti Jogjakarta dan India turut menjadi tumpuan sebahagian pelancong untuk menyertai aktiviti seperti retreat, yoga dan program pencarian diri. Walaupun aktiviti-aktiviti tersebut tidak semestinya berkaitan secara langsung dengan New Age Movement, pengalaman yang diperoleh di lokasi tersebut boleh menjadi medium penyebaran sesetengah idea atau pendekatan spiritual melalui perkongsian individu seperti pengembara, penulis, penceramah motivasi, pempengaruh, dan seumpama dengannya.
New Age Movement yang saya fahami bukanlah sebuah agama yang menjadi pegangan bersama. Walaupun mereka tidak mengamalkan atau menganut mana-mana agama, mereka tetap menunjukkan sikap hormat terhadap agama dan kepercayaan orang lain. Namun, ia merupakan satu gerakan spiritual yang berkembang melalui gabungan pelbagai idea daripada falsafah Timur, pemikiran Barat, psikologi moden dan pelbagai bentuk amalan kerohanian. Fahaman ini memberi penekanan kepada pengalaman individu dalam mencari makna kehidupan, memahami diri sendiri serta mencapai perubahan dalaman. Oleh sebab itu, pendekatannya lebih bersifat terbuka kerana seseorang individu boleh memilih atau menggabungkan pelbagai idea atau amalan mengikut kefahaman serta pengalaman peribadi mereka. Namun, saya turut berpandangan bahawa tidak mustahil pada masa hadapan akan muncul suatu bentuk "agama" atau sistem kepercayaan baharu yang terbentuk daripada gabungan pelbagai unsur agama, falsafah dan idea spiritual dari fahaman ini. Kita sering beranggapan bahawa sebahagian manusia pada hari ini tidak menyukai agama. Namun, agamalah yang membentuk masyarakat.
Dari sudut psikologi pula, saya berpandangan bahawa walaupun seseorang bersikap terbuka terhadap idea atau amalan yang sering dikaitkan dengan New Age Movement, penglibatan mereka turut dipengaruhi oleh unsur bias tertentu. Namun, terdapat sebahagian daripada mereka yang memiliki sikap keterbukaan tetapi masih mempunyai pemikiran yang kritis. Sikap keterbukaan terhadap pengalaman baharu juga boleh menjadi faktor yang mendorong seseorang meneroka pelbagai pandangan dan pendekatan untuk diamalkan dalam kehidupan. Namun, sikap keterbukaan tersebut boleh menjadi lebih mudah dipengaruhi apabila seseorang berada dalam keadaan emosi yang rapuh, seperti mengalami tekanan hidup, trauma, atau sedang mencari makna selepas melalui pengalaman yang sukar, lebih-lebih lagi terhadap fahaman seperti ini.
Dalam keadaan tertentu, saya turut berpandangan bahawa sesetengah pendekatan yang dikaitkan dengan New Age Movement mungkin memberikan rasa diterima, didengari, difahami, dihargai, dan disokong kepada individu yang sedang mencari ketenangan atau penyembuhan emosi. Sebagai contoh, apabila seseorang berasa didengari dan tidak dihukum, mereka cenderung memberikan respon yang lebih positif kerana keperluan emosi mereka dipenuhi. Begitu juga dalam konteks ini, sesuatu idea atau amalan boleh kelihatan menarik kerana ia menawarkan rasa harapan, sokongan dan pemahaman terhadap pengalaman peribadi mereka.
Keadaan ini juga boleh dipengaruhi oleh beberapa kecenderungan pemikiran seperti confirmation bias atau emotional reasoning, iaitu seseorang lebih mudah menerima sesuatu kerana ia selari dengan pengalaman dan emosi mereka. Oleh itu, cabarannya bukanlah pada sikap keterbukaan itu sendiri, tetapi pada keupayaan seseorang untuk menyeimbangkan keterbukaan dengan pemikiran yang lebih kritis, agar sesuatu idea dapat dinilai berdasarkan bukti, berfikir secara rasional dan pertimbangan dari aspek yang lebih menyeluruh.
Apa yang lebih menjadi perhatian saya ialah keadaan psikologi seseorang sebelum dan semasa melakukan perjalanan. Tidak semua individu memulakan pengembaraan dalam keadaan emosi yang stabil. Sebahagian daripada mereka mungkin melakukan perjalanan ketika sedang berhadapan dengan tekanan hidup, konflik peribadi atau keinginan untuk memahami diri sendiri dengan lebih mendalam. Dalam keadaan seperti ini, seseorang mungkin menjadi lebih terbuka terhadap pelbagai idea, pengalaman atau pendekatan yang ditemui sepanjang perjalanan, khususnya apabila perkara tersebut seolah-olah menawarkan harapan seperti memberikan ketenangan dan membantu proses penyembuhan emosi. Seolah-olah mereka berada dalam situasi 'terdesak'. Keadaan emosi tertentu juga boleh mempengaruhi cara seseorang menilai sesuatu maklumat, sehingga mereka lebih cenderung menerima idea yang dirasakan selari dengan keperluan diri mereka.
Tidak semua pendekatan dalam fahaman ini semestinya dapat membantu seseorang menangani sesuatu masalah, khususnya apabila keadaan yang dihadapi memerlukan penilaian dan bantuan daripada golongan profesional. Sesuatu pengalaman mungkin memberikan kelegaan emosi atau rasa tenang yang bersifat sementara, namun ia tidak semestinya mampu menyelesaikan punca atau akar sebenar sesuatu masalah. Dalam banyak keadaan, penyelesaian sesuatu masalah memerlukan seseorang memahami punca sebenar masalah tersebut. Malah, pengalaman yang menyenangkan, rasa ketenangan, atau perubahan yang dialami seseorang tidak semestinya bermakna ilmu atau fahaman tersebut adalah benar.
Saya sering menerima pandangan daripada segelintir masyarakat, khususnya dalam kalangan orang Islam sendiri, yang menggunakan alasan bahawa "ilmu Allah itu luas". Hakikatnya, keluasan ilmu Allah bukan bermaksud menerima sebarang idea atau fahaman yang datang itu begitu sahaja. Apa yang perlu dilakukan oleh masyarakat kita pada hari ini adalah dengan mencari sejauh mana kebenarannya itu terlebih dahulu.
Rujukan: