top of page

Kenapa Saya Mengembara?

Updated: 29 Apr

18 Mei 2019 - Almaty, Kazakhstan
18 Mei 2019 - Almaty, Kazakhstan

Assalamualaikum w.b.t dan Salam sejahtera kepada pembaca platform digital ‘Pengembara Nomad’.


Antara persoalan yang sering berlegar dalam diri saya ialah mengapa ada di antara kita memilih untuk mengembara?. Terdapat juga individu yang telah lama mula mengembara dan sehingga kini masih mengembara, masih mempunyai jiwa dan semangat luar biasa dan tegar untuk terus mengembara.


Andainya sewaktu mengembara, saya berselisih dengan pengembara yang lain, saya tidak segan untuk bertanya kepada mereka, sebab atau faktor utama yang menyebabkan mereka memilih untuk mengembara. Bagi mereka yang telah mengenali diri saya, umum mengetahui bahawa saya mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi. Saya gemar bertanyakan beberapa soalan terhadap pengembara yang telah saya temui berkenaan pengembaraan mereka. Ini secara tidak langsung saya boleh melihat perspektif yang berbeza-beza pada setiap pengembara mengenai perjalanan atau dapatan hasil dari pengembaraan mereka. Apa yang saya boleh katakan di sini ialah, dengan pelbagai jawapan yang saya terima pada ketika itu, telah membuka minda saya dan membuatkan saya berhenti dan berfikir sejenak mengenai kepelbagaian jawapan yang telah diberikan.


Sebagai contoh, jika saya bertanya kepada pengembara A mengenai perkara ini, jawapan yang diberi ialah faktor utama beliau mengembara adalah untuk keluar dari zon selesa dan ingin mencari pengalaman. Manakala, bagi pengembara B pula alasan beliau mengembara adalah untuk merasai pengalaman aktiviti ini sekali seumur hidup bagi mengelilingi satu dunia. Lain pula untuk pengembara C, alasannya adalah untuk mengatasi kemurungan yang beliau hadapi dan menyimpan hasrat ingin sembuh melalui perjalanan dan pengalaman mengembara. Jangan terkejut sekiranya ada pengembara lain yang memberikan jawapan tidak tahu mengapa beliau memilih untuk mengembara. Ini merupakan sesuatu yang normal dalam kalangan kelompok pengembara. 


Setelah melakukan penelitian dan refleksi diri, hakikatnya tiada jawapan yang sama dan terpakai untuk semua orang. Semua jawapan yang saya terima daripada mereka adalah berbeza mengikut tujuan dan objektif pengembara itu sendiri. Begitu juga dengan diri saya. Sudah tentu saya mempunyai sebab atau alasan kenapa saya mengembara. Di sini, saya akan kongsikan tiga sebab serta alasan utama kenapa saya mengembara dan masih memilih untuk mengembara sehingga kini.


Sejujurnya, tujuan utama saya mengembara adalah untuk merawat jiwa saya yang patah (broken). Pada sembilan tahun lalu, saya sedang mengalami fasa 'heartbroken' agak lama terhadap seseorang yang amat rapat dengan saya. Lantas, saya mengambil keputusan untuk membawa diri ke luar negara dengan menanam semangat mencabar diri keluar dari zon selesa dan mencuba perkara yang baharu yang tidak pernah saya lalui. Tambahan lagi, ketika itu saya masih baharu dalam dunia mengembara serta masih mencari rentak dan mengutip pengalaman mengenai selok-belok dunia ini. Hasilnya, selepas pulang ke tanah air, saya telah merasakan perbezaan telah berlaku dalam diri saya. Di mana, jiwa saya secara perlahan-lahan dapat menerima hakikat mengenai fasa ‘heartbroken’ yang berlaku ke atas diri saya dan semangat saya semakin pulih walaupun pada asalnya saya merupakan seorang yang sangat rapuh di permulaan perjalanan pengembaraan. Tanpa saya sedari, saya sudah memiliki minat baharu iaitu berkelana atau mengembara. Melalui penerokaan negara-negara yang saya jejaki, jiwa saya telah dirawat dengan sendirinya daripada pemerhatian dan pengalaman yang saya lalui. Saya percaya, bahawa mengembara merupakan satu cara atau kaedah untuk merawat jiwa. Namun begitu, syarat utamanya adalah dengan memastikan niat dan tujuan mengembara merupakan niat yang baik.


Petikan ayat Al Quran ini juga telah memberitahu manfaat mengenai mengembara. Sudah pasti disebalik ayat ini mempunyai hikmah dan penawar kepada mereka (pengembara) yang mengembara mengikut tujuan perjalanannya.


Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah Al-Ankabut 29:20)


Tujuan kedua saya dalam mengembara adalah berkaitan pencarian makna diri. Sepanjang tempoh merantau, saya mencari makna diri kerana seringkali saya terfikir mengenai matlamat utama saya hidup sebagai manusia. Selain itu, persoalan yang sering berlegar dalam fikiran saya ialah berkenaan rutin di dalam sistem yang ditetapkan oleh manusia. Sebagai contoh, bekerja sehingga sampai masa dan had umur untuk bersara. Hakikatnya, saya menyedari bahawa saya tidak betah untuk berada dalam 'sistem' seperti ini ‘mengejar’ wang, jawatan, pangkat, status, demi kelangsungan hidup. Selain itu, disebalik pencarian makna diri, saya ingin mencari jawapan mengenai garis masa kehidupan yang saya lalui sebelum ini sebagai nomad. Ya, saya gelarkan diri saya sebagai nomad. Sama ada di sekolah, universiti, dan tempat kerja sehinggalah membawa kepada mengembara jangka panjang, telah saya lalui secara nomad. Ini telah membuatkan saya agak tertekan berikutan penerimaan masyarakat terhadap saya agak berbeza berbanding individu normal yang boleh mengikut sistem yang telah ditetapkan oleh manusia. Namun begitu, setelah saya mengembara, saya mula memahami takdir yang telah ditetapkan untuk saya. Saya banyak melihat dari sudut pandang yang baik atau dalam suatu bentuk hikmah tentang garis masa kehidupan yang saya lalui sebelum ini. Selain itu, refleksi atau muhasabah diri sebenarnya telah banyak mengajar saya dalam tempoh saya mengembara. Muhasabah diri adalah kunci kepada pencarian makna diri. 


Tujuan terakhir saya dalam mengembara ialah mencari kesufian (tasawuf). Sejujurnya tujuan ini saya terinspirasi daripada rakan saya yang merupakan pengembara yang berstatus OKU. Saya pernah mempersoalkan pada beliau iaitu sekitar tahun 2017 mengenai tujuan utama beliau ingin mengembara jangka panjang secara nomad. Jawapan yang diberikan oleh beliau ialah ingin mencari kesufian. Melalui jawapan yang diberikan, saya berfikir secara mendalam, kerana itu pertama kali saya mendengar tujuan yang lain daripada kebiasaan dan tidak tipikal. Sepanjang dalam tempoh mengembara, saya telah mengaplikasikan tasawuf ini bagi mencari hikmah disebalik setiap ciptaan dan kebesaran Tuhan, manusia dan juga alam. Tasawuf adalah salah satu kaedah untuk menjernihkan hati dan pemikiran.


Antara tujuan lain saya mengembara ialah melalui aktiviti ini, ianya banyak mengubah cara saya berfikir. Pemikiran yang berbeza yang tidak hanya melihat dunia ini melalui spektrum warna hitam dan putih sahaja. Akan tetapi lebih berwarna-warni apabila ianya melibatkan manusia. Manusia merupakan makhluk ciptaan Tuhan yang kompleks dan sangat subjektif. Malah, pemikiran saya lebih terbuka serta menerima pelbagai pendapat dari kepelbagaian budaya dan masyarakat selagi tidak melanggar nilai moral dan etika yang seiring dengan ajaran agama Islam. Mengembara juga telah mendidik saya untuk bersikap fleksibel dengan sesiapa sahaja serta saya belajar untuk tidak merumitkan sesuatu perkara apabila berhadapan dengan situasi yang sukar. Di samping itu, mengembara telah ‘menyuburkan’ semula jiwa saya yang ‘kering’ kerana saya sentiasa menerima perkara baharu untuk diteroka dan dipelajari.


Di sini, saya ingin memetik satu petikan hadis ini sebagai refleksi diri buat saya sebagai pengembara, iaitu;


"Jadilah kamu di dunia ini seakan-akan orang asing atau seorang pengembara." 

(Hadis Riwayat Sahih Bukhari)


Alhamdulillah 'Ala Kulli Haal.


Disunting oleh:

Idayu A.

Editor | Pengembara Nomad

 
 
  • Spotify
  • Youtube
  • TikTok
  • Instagram
  • Facebook
  • X

Laman web ini ditujukan kepada penulis dan jurnalis. Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman in bertujuan semata-mata

untuk memberi inspirasi dan ilustrasi. Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2025 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U). SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page