Kenyataan Rasmi: Pengembara Nomad Tidak Menyediakan Sebarang Pakej Pelancongan atau ‘Open Trip’.
- Pengembara Nomad
- 24 Ogo
- 2 min membaca
Updated: 6 Sep
Saya sebagai pengasas kepada platform digital Pengembara Nomad ingin menjelaskan bahawa kami tidak bertindak dalam menyediakan sebarang pakej pelancongan, menawarkan ‘open trip’ kepada orang ramai, mahupun perkhidmatan pemandu pelancong (tour guide). Platform kami juga bukanlah agensi pelancongan.
Platform kami ini berfungsi sebagai ruang pendidikan, inspirasi dan pembentukan nilai kepada individu yang ingin menjadi pengembara yang mampu berdikari (mandiri). Fokus kami di Pengembara Nomad adalah cenderung kepada perkongsian ilmu pengetahuan, pengalaman ahli-ahli pengembara dan komuniti, menyebarkan nilai-nilai seperti ‘slow living’, kesedaran budaya dan juga peranan serta tanggungjawab sebagai seorang pengembara.
Berdasarkan siaran rasmi MOTAC bertarikh 19 Disember 2024 (MOTAC.100-2/1/18 JLD4 (102)) mengenai "Tindakan Ke atas Dakwaan Penipuan Oleh Agensi Pelancongan Tidak Berlesen”, berkaitan isu tular membabitkan Kim Seri, seorang pempengaruh media sosial Malaysia yang menetap di Korea Selatan, MOTAC menegaskan bahawa penawaran perkhidmatan pelancongan oleh individu atau entiti yang tidak berlesen adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan tegas.
Menurut MOTAC lagi, mengenai mana-mana orang yang menjalankan atau menganjurkan dirinya sebagai menjalankan atau mengendalikan perniagaan pengendalian pelancong atau perniagaan agensi pengembaraan tanpa lesen yang sah di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] melakukan kesalahan dan boleh apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM500,000.00 atau dipenjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Sebagai panduan orang ramai, senarai agensi yang berlesen terkini juga boleh diperoleh daripada laman sesawang rasmi MOTAC:
Sekiranya terdapat mana-mana rakan kolaborasi rasmi kami yang menawarkan pakej pelancongan mereka sendiri tanpa lesen yang sah, Pengembara Nomad tidak terlibat dalam urusan tersebut. Kerjasama kami bersama mereka adalah khusus mengenai projek berkaitan pendidikan atau perkongsian pengalaman yang berbeza sepenuhnya daripada perkhidmatan pelancongan yang mungkin mereka sediakan kepada orang ramai.
Justeru itu, segala aktiviti, promosi atau penyertaan melalui Pengembara Nomad tidak melibatkan sebarang urus niaga berkaitan sebarang pakej pelancongan, menawarkan ‘open trip’, mahupun perkhidmatan pemandu pelancong (tour guide).
Kami menghargai sokongan dan kepercayaan anda terhadap visi dan misi kami untuk mendidik dan melahirkan pengembara yang berpengalaman dan berkualiti.
Sekian, terima kasih.



