top of page

Kesedaran Kesihatan Mental & Pertolongan Cemas Psikologi Pekerjaan (OPFA)

  • Writer: Pengembara Nomad
    Pengembara Nomad
  • 5 Sep
  • 3 min membaca

Updated: 5 Sep


Apa yang anda perlu tahu tentang Pertolongan Cemas Psikologi Pekerjaan (Occupational Psychological First Aid)?


1. Modul latihan ini dibangunkan oleh NIOSH yang berasaskan latihan Bantuan Asas Psikologi (PFA) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


2. OPFA bertujuan untuk menumpukan bantuan kepada majikan dan pekerja dalam menguruskan hazard psikososial di tempat kerja. Ia boleh diberikan kepada sesiapa sahaja di tempat kerja yang mengalami reaksi stres akut atau individu yang berisiko besar untuk mengalami kemerosotan fungsi atau masalah kesihatan mental.


3. Objektif OPFA adalah untuk menyediakan pengetahuan dan kemahiran dalam menguruskan hazard psikososial di tempat kerja secara merancang dan melaksanakan intervensi kesihatan mental; membantu individu di tempat kerja yang dalam tekanan dan memahami konsep kesihatan mental di tempat kerja.



Apa yang anda perlu tahu tentang Kesedaran Kesihatan Mental (Mental Health Awareness)?


i. Mengenal pasti kesan penyakit mental terhadap pekerja.

ii. Menerangkan kepentingan sokongan kesejahteraan daripada pihak majikan/tempat kerja.

iii. Membina strategi untuk membantu diri sendiri atau orang lain yang sedang mengalami penyakit mental.


Selain itu, pemahaman terhadap kemahiran dan teknik asas dalam menangani isu kesihatan mental adalah sangat penting. Antara kemahiran asas yang perlu dikuasai termasuklah pendekatan penyelesaian yang positif (positive solution), mekanisme daya tindak (coping mechanism), dan teknik intervensi yang berkesan.


Kenapa pentingnya ada Kursus atau Sijil Kesedaran Kesihatan Mental dan Pertolongan Cemas Psikologi Pekerjaan sebagai seorang pengembara dan pekerja?


1. Meningkatkan kesedaran dan kefahaman kesihatan mental.


Pemahaman tentang asas kesihatan mental seperti simptom tekanan, kemurungan, kebimbangan dan trauma di tempat kerja telah membantu saya memperoleh perspektif yang lebih matang terhadap isu-isu yang sering disalah anggap atau dipandang remeh.


2. Memberi respon awal yang betul.


Dengan pengetahuan dan kemahiran OPFA (Occupational Psychological First Aid), seseorang boleh berperanan sebagai 'first responder' kepada individu yang sedang mengalami krisis emosi atau gangguan mental ringan, sebelum mereka dirujuk kepada profesional. Pendekatan ini dapat membantu mencegah keadaan daripada menjadi lebih serius.


3. Mengurangkan stigma


Kemahiran ini membolehkan saya memberikan sokongan kepada rakan sekerja atau komuniti tanpa sebarang prejudis, sekali gus mewujudkan persekitaran kerja dan sosial yang lebih sihat serta inklusif.


4. Membantu diri sendiri & rakan sekeliling


Ia bukan sahaja bermanfaat untuk orang lain, tetapi juga penting bagi menjaga kesejahteraan diri sendiri. Sebagai contoh, ianya dapat membantu dalam menangani isu seperti keletihan melampau (burnout), tekanan, serta memberi sokongan kepada rakan/pengembara yang sedang tertekan.


Apa yang tidak boleh saya lakukan sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Psikologi dan sijil (kursus) ini bagi menjaga limitasi?


  • Tidak memberi diagnosis. Hanya profesional berdaftar seperti ahli psikologi klinikal atau psikiatri yang berkelayakan untuk membuat diagnosis.

  • Tidak memberi terapi atau kaunseling formal. Contohnya, menjalankan sesi terapi kaunseling atau menggunakan teknik khusus seperti CBT (Cognitive Behavioral Therapy), DBT (Dialectical Behavior Therapy), dan lain-lain yang memerlukan latihan profesional serta lesen yang sah.

  • Tidak memberi rawatan atau penyembuhan. Peranan utama hanyalah mendengar, memberikan sokongan emosi asas, dan mencadangkan langkah susulan seperti mendapatkan bantuan daripada kaunselor bertauliah, ahli psikologi klinikal, atau psikiatri.

  • Tidak memaksa individu untuk berkongsi. Pertolongan cemas psikologi tidak boleh memaksa seseorang menceritakan masalah mereka. Hak individu perlu dihormati dengan memberi ruang dan masa sekiranya mereka belum bersedia.


Dengan adanya pengetahuan dan kemahiran ini, secara tidak langsung platfrom digital ini dapat mendidik para pengembara dan komuniti, memberi nilai tambah dalam pelbagai inisiatif seperti di dalam sesebuah projek atau tugasan, serta mempromosikan dan meningkatkan kesedaran tentang kesejahteraan mental secara umum, selagi ianya tidak melibatkan isu kecelaruan mental (mental disorder).

 
 
  • Instagram
  • Facebook
  • TikTok

Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman ini bertujuan semata-mata untuk memberi inspirasi dan ilustrasi.

Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2025 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U).

SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page