Ketika Buya Hamka Menulis Tentang Cinta.
- Pengembara Nomad
- 23 Ogo
- 3 min membaca
Updated: 6 Sep
Daripada koleksi buku-buku Buya Hamka, kita akan melihat sisi romantis seorang tokoh besar nusantara mengenai cinta itu mempunyai darjat yang harus sentiasa diangkat, bukannya dibiar tercemar dalam takungan nafsu-nafsi. Petikan ini telah diambil dari buku ‘99 Kata Romantis Buya Hamka’ oleh Datuk Dr. Budiman Mohd Zohdi.
1. “Janganlah ragu akan keutamaan perempuan lantaran cinta dan kasih sayangnya itu. Dia sanggup berkorban, sanggup melupakan kepentingan dirinya untuk kepentingan orang lain, terutama suaminya atau orang yang dicintainya.”
2. “Bersedialah menerima menyuburkan cinta, walaupun bagaimana besarnya tanggunganmu, kerana cinta memberi dan menerima, cinta itu gelisah tetapi membawa ketenteraman.”
3. “...tetapi kerana kau mendapat dia dengan mudah, saya takut kalau-kalau engkau lepaskan dia dengan mudah.”
4. “Walau bagaimanapun jua kecilnya pencarian, asal si suami sehaluan dengan isteri, sakit sama-sama ditanggungkan, sukar sama-sama ditempuhi dan beruntung sama-sama ketawa, maka segala kesukaran tentu akan hilang dengan sendirinya atau akan ringan dipikul.”
5. “Allah yang menjadikan mata dan memberinya penglihatan. Maka Allah pulalah yang menjadikan hati dan memberinya cinta... . Cinta adalah iradat Tuhan, dikirimnya ke dunia supaya tumbuh.”
6. “Cinta bukanlah melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sedu sedan. Tetapi cinta menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan menempuh onak dan duri penghidupan.”
7. “Saya merasa ingat kepadanya adalah kemestian hidup saya, rindu kepadanya membukakan pintu angan-angan saya menghadapi zaman yang akan datang."
8. “Tetapi tuan....kemustahilan itulah yang kerap kali memupuk cinta.”
9. “Hamid tidak begitu gagah, tidak sepantas dan selagak pemuda lain, tetapi hati kecilku amat kasihan kepadanya, agaknya hidupnya yang sederhana itulah yang telah memaut hati sanubariku.”
10. “Sekarang saya telah insaf, bahawa semua ini bukan untuk bahagia, yang sejati ialah kita tahu, bahawa kita bukan hidup terbuang di dalam dunia ini, tetapi ada orang yang mencintai kita.”
11. “Satu hati lebih mahal dari pada senyuman, satu jiwa lebih berharga dari pada sebentuk cincin."
12. “Dasar kepengarangan saya adalah cinta.”
13. “Kadangkala kamu tidak menghargai orang yang mencintai kamu sepenuh hati, sehinggalah kamu kehilangannya. Pada saat itu, tiada guna sesalan karena perginya tanpa berpatah lagi.”
14. “Kalau hati telah jatuh cinta, yang berat rasanya jadi ringan, pendakian di rasa tanah datar saja, kepayahan dijadikan suatu bingkisan kasih kepada si jantung hati.”
15. “Kalau cinta itu hanya pada kecantikan, maka kecantikan seorang perempuan kelak akan dkalahkan pula oleh kecantikan yang lain.”
Perspektif:
Pernah saya kongsikan di media sosial peribadi saya tentang nasihat kepada para pengembara, khususnya berkaitan dengan perkahwinan. Saya kurang bersetuju dengan pandangan sesetengah individu, khususnya dalam kalangan pengembara beragama Islam, yang beranggapan lebih baik mengembara ke serata dunia daripada berkahwin. Pada saya, nasihat sebegini kadangkala kedengaran bersifat terlalu individualistik dan mementingkan diri.
Saya tidak menafikan hak setiap individu untuk memilih jalan hidup masing-masing, sama ada ingin kekal bujang dan memilih mengembara, ataupun sebaliknya. Namun begitu, saya berpendapat bahawa pilihan tersebut tidak wajar dijadikan pegangan yang kemudian disebarkan kepada orang lain seolah-olah itulah pandangan yang paling tepat dan lebih membawa kepuasan diri.
Secara peribadi, saya tidak pernah memandang perkahwinan sebagai satu beban atau penghalang kepada kebebasan seorang pengembara. Malah, saya percaya bahawa apabila Allah dijadikan sebagai matlamat dalam sesebuah perkahwinan, maka perkahwinan itu akan membawa arah tuju yang lebih bermakna.
Saya juga yakin bahawa cinta adalah sesuatu yang perlu dipelajari dan difahami. Sebagai seorang pengembara yang terbuka terhadap pelbagai pengalaman dan perspektif, saya belajar tentang cinta melalui pelbagai ragam manusia. Mungkin ramai menyangka saya seorang yang tegas atau ‘garang’, namun hakikatnya saya sedang belajar memahami cinta.
Tambahan pula, saya kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Psikologi, khususnya berkaitan tingkah laku manusia. Minat saya tertumpu pada aspek cinta dan perhubungan sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi Klinikal, khususnya yang berkaitan dengan isu-isu rumah tangga dan perhubungan. Sahabat saya, Nasrun (seorang Psikologis Klinikal), turut memberi galakan sekiranya itu laluan yang benar-benar saya minati.
Sebenarnya, saya bukanlah peminat novel cinta tipikal di pasaran. Namun, melalui karya-karya Hamka, saya banyak belajar tentang erti cinta sebenar, selain daripada buku-buku lain yang turut membuka mata saya.
Bulan Jun yang lalu (kebetulan saya dilahirkan pada bulan Jun), saya lebih banyak menelaah dan meneroka topik cinta serta perhubungan sebagai satu persediaan untuk diri saya pada masa akan datang.