Kisah Encik Halim & Buku Terpakai: Bagaimana Kisah Penjual Buku Terpakai Mengajar Pengembara Tentang Kehidupan?
- Pengembara Nomad
- 5 hari lalu
- 2 min membaca
Encik Abdul Halim Ismail, atau lebih dikenali sebagai Cheklem, berasal dari Kelantan dan pendedahan awal beliau dengan dunia perniagaan sejak kecil melalui pengalaman membantu neneknya berniaga di gerai runcit. Walau bagaimanapun, beliau memulakan kerjaya profesionalnya dengan bekerja di sebuah kilang Jepun selama lebih kurang 20 tahun. Dalam tempoh tersebut, beliau juga aktif menjalankan perniagaan secara sampingan bersama rakan-rakannya.

Penglibatan beliau dalam perniagaan buku terpakai bermula sekitar tahun 1997 atau 1998 apabila beliau bersama rakan-rakan menubuhkan sebuah francais Popular Bookstore di Shah Alam, yang diusahakan sehingga tahun 2000. Di kedai tersebut, beliau mula menjual buku terpakai menggunakan koleksi peribadi serta novel milik isterinya yang gemar membaca karya terbitan Alaf 21 dan Creative. Idea menjual buku terpakai terilham dari penjual lain yang menjual di lokasi seperti Amcorp Mall dan jualan carboot di Shah Alam. Beliau juga menceritakan bahawa pembeli pertama buku terpakai di kedainya adalah pembantu kedainya sendiri. Selepas meletakkan jawatan di kilang Jepun pada tahun 2014 kerana faktor kekerapan perubahan pengurusan syarikat, beliau memutuskan untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perniagaan buku terpakai.
Pada tahun 2000, setelah beliau berhenti dari francais Popular Bookstore tersebut, beliau cuba menjual buku terpakai sendiri. Cheklem turut menceritakan bahawa beliau mula beralih ke platform digital. Pada tahun 2004, beliau mula menjual buku terpakai dan juga setem di eBay dan beliau berjaya menjadi antara penjual buku Melayu yang paling banyak di platform tersebut. Beliau kemudiannya mengembangkan perniagaan buku terpakainya melalui platform Mudah.my, Facebook, dan kini menggunakan Shopee sebagai platform utama.
Sepanjang bergelar penjual buku terpakai, beliau telah menemui pelbagai ragam pelanggan yang unik. Antara pengalaman yang paling diingati adalah seorang pelanggan yang sering membeli dua naskhah buku yang sama; satu naskhah untuk dijadikan koleksi simpanan dan satu naskhah lagi untuk dikoyakkan bab demi bab supaya mudah dibaca semasa dalam perjalanan ke tempat kerja.
Cheklem sangat bersetuju dengan prinsip bahawa seorang pengembara perlu menjadi pencinta buku. Beliau berpendapat bahawa seseorang itu harus membaca dan mengkaji tentang destinasi tujuan sebelum memulakan perjalanan, dan bukannya membaca semasa sedang mengembara. Dengan membaca terlebih dahulu, pengembara akan lebih memahami konteks dan sejarah sesuatu tempat, seolah-olah sudah mengenali lokasi tersebut sebaik sahaja tiba di sana.



Cheklem juga bersetuju bahawa seseorang boleh mengembara hanya melalui pembacaan tanpa perlu keluar secara fizikal, terutamanya bagi mereka yang mempunyai kekangan kewangan. Beliau menyifatkan buku sebagai cara paling jimat untuk melihat dunia. Beliau sendiri pernah merasai pengalaman "berada di dalam perjalanan" hanya dengan membaca buku kembara penulis lain seperti karya HM Tuah Iskandar.
Kini, beliau terus komited menguruskan kedai buku terpakainya di Hentian Kajang dan Puchong kerana rasa sayang terhadap perniagaan yang telah dimulakannya sendiri. Beliau percaya bahawa kedai fizikal tetap penting untuk memastikan industri buku terpakai di Malaysia terus kekal relevan dan "hidup".

Dengarkan episod ke-2 audio podcast berdurasi 2 jam 17 minit ini untuk memahami kisah penuh Cheklem sebagai penjual buku terpakai, minatnya terhadap buku sejak kecil, serta intipati pengalamannya yang boleh dijadikan refleksi dalam kehidupan pengembara.
Jangan lepaskan peluang untuk terus mengikuti coretan Cheklem tentang coretan suka duka serta kisah-kisah lucu beliau sepanjang menjual buku terpakai melalui pautan media sosial yang disediakan.
Facebook: Buku Terpakai & Coretan Buku Terpakai







