top of page

Kritikan Terhadap Buku Travelog Pada Masa Kini.

  • Writer: Pengembara Nomad
    Pengembara Nomad
  • 25 Jan
  • 10 min membaca

Artikel kali ini ditulis dengan tujuan untuk mengkritik buku-buku travelog pada masa kini, khususnya di Malaysia. Artikel ini ditulis berdasarkan pemerhatian, pengalaman peribadi, dan juga sedikit tinjauan (survey) yang telah dilakukan terhadap orang ramai. Sekali lagi, saya tekankan bahawa artikel ini bukan bersifat akademik mahupun penulisan ilmiah.


Berdasarkan pemerhatian saya dari tahun ke tahun, buku travelog masih kurang diminati jika dibandingkan dengan genre yang lain. Adakah buku travelog kini semakin tidak relevan sehingga ramai yang lebih memilih media sosial sebagai sumber rujukan? Walaupun ada pihak yang mendakwa buku travelog katanya “laris”, namun ia tidak semestinya membawa maksud benar-benar mendapat sambutan.


Kenapa saya katakan buku travelog kurang mendapat sambutan?


Apabila saya merenung kembali 10 tahun yang lalu, saya perhatikan, selain daripada mereka yang aktif berkongsi pengalaman, tip atau panduan, mahupun itinerari perjalanan di media sosial, mereka turut menulis pengalaman mereka dan menerbitkannya dalam bentuk buku yang dikenali sebagai buku travelog. Buku travelog kini banyak ditulis oleh individu yang menggelarkan diri mereka sebagai pengembara atau ‘traveler’.


Tidak lama selepas itu, saya mula melihat ada dalam kalangan mereka yang menulis buku dan mencetaknya sendiri tanpa melalui penerbit, yang kini dikenali sebagai buku swaterbit (self-publish). Mereka juga kerap melakukan promosi buku mereka dengan menyertai pelbagai acara seperti mengadakan sesi meet & greet bersama pengembara, program ceramah atau motivasi, dll. Malah, mereka turut dijemput oleh stesen tv dan radio untuk ditemu bual. Selain mempromosikan buku mereka, secara tidak sedar mereka turut mempromosikan diri mereka sendiri. Ini dipanggil sebagai ‘self-branding’. Populariti mereka semakin meningkat dan jumlah pengikut di media sosial juga bertambah. Di situlah saya mula faham mengenai konsep buku self-publish menurut pandangan saya.


Boleh saya katakan, buku travelog yang ditulis oleh pengembara sudah menjadi satu trend ketika itu. Sehingga kini, walaupun 10 tahun telah berlalu, buku travelog masih di tahap yang membimbangkan dan masih kurang mendapat sambutan. Pada pandangan saya, buku-buku travelog yang ada di pasaran sekarang perlu membuat penilaian semula supaya ia kekal relevan dan terus mendapat tempat di hati pembaca seperti genre yang lain.


Apa yang menariknya lagi dan tercetusnya untuk saya menulis artikel ini adalah, saya pernah menerima pandangan ada pihak yang mengatakan bahawa buku travelog telah mendapat “sambutan” di pasaran selepas saya bertanyakan apa pandangan mereka terhadap buku travelog yang terdapat di pasaran sekarang. Saya mula terfikir, sambutan yang bagaimana dimaksudkan? Adakah sambutan yang dimaksudkan adalah laris? Kemudiannya, mereka akan memetik nama penulis tertentu (kebanyakannya pengembara yang mereka minati) sebagai bukti bahawa buku penulis tersebut laris terjual. Pada pandangan saya, seharusnya kita perlu terlebih dahulu memahami maksud sebenar istilah “laris” itu sendiri.


  • "Laris" bermaksud sangat laku, suka dibeli orang, menunjukkan jualan yang tinggi atau permintaan yang banyak.


  • “Sambutan” pula bermaksud pandangan atau penerimaan seseorang terhadap sesuatu isu, produk, atau idea.


Apa yang saya sedari selepas saya memahami definisi kedua-kedua ini, sesebuah buku yang mencapai jualan yang tinggi, tidak semestinya dikira sebagai benar-benar mendapat sambutan daripada pembaca. Terdapat juga keadaan di mana sesebuah buku tidak mencapai jualan yang tinggi, namun tetap mendapat sambutan kerana kandungannya yang bermakna dan terdapat banyak intipati yang boleh dipelajari. Saya berpendapat lagi, “sambutan” bukan hanya diukur pada berapa banyak bilangan buku yang terjual, tetapi sejauh mana pembaca benar-benar menghayati, menghargai dan terkesan dengan isi kandungan dalam buku tersebut.


Saya membuat pemerhatian sendiri untuk memahami bagaimana “sambutan” terhadap buku travelog yang sering dinilai semata-mata berdasarkan “laris”. Apabila saya perhatikan semula keadaan ini, persepsi mereka terhadap pengembara tersebut lebih popular, lebih menonjol, sentiasa terdedah di media sosial, jumlah pengikutnya pula ramai di media sosial dan sudah tentu namanya lebih dikenali dan sering menjadi sebutan orang ramai. Populariti mereka juga telah dianggap sebagai sebuah kejayaan pada buku travelog itu sendiri. Sedangkan hakikatnya tidak semestinya begitu. Nama pengembara yang popular tidak semestinya memberi jaminan bahawa buku travelog tersebut benar-benar mendapat sambutan hanya kerana ianya banyak terjual atau laris. Walaupun buku tersebut itu dikatakan laris, tidak mustahil segelintir pembaca membelinya semata-mata untuk menyokong penulis, tanpa menilai kandungan buku itu sendiri. Hakikatnya lagi, buku travelog pada hari ini tidak sama seperti dahulu. Dahulunya, buku travelog mendapat sambutan kerana kandungan buku itu sendiri. Bukan kerana populariti. Bukan kerana nama penulis menjadi sebutan orang ramai.  Bahkan, bukan kerana mengikut trend semata-mata.


Perkara lain yang ingin saya sentuh di dalam artikel ini ialah kandungan di dalam buku travelog itu sendiri. Kebanyakan buku travelog hari ini lebih gemar menceritakan sesuatu yang lebih berbentuk cara untuk ke sesuatu tempat, tip atau panduan dan juga berkonsepkan itinerari. Selain itu, kebanyakan penulis juga gemar menceritakan pengalaman mereka dalam bentuk pergerakan dari A ke B, B ke C, C ke D, dan seterusnya, sambil menjelaskan apa yang mereka lakukan atau pengalaman mereka di setiap lokasi. Penulisan sebegini boleh dikatakan lebih bersifat locomotion, iaitu sekadar menceritakan pergerakan fizikal dari satu tempat ke satu tempat yang lain tanpa memberi makna yang mendalam. Penulisan sebegini mampu membuatkan pembaca mudah berasa bosan, malah merasakan tidak berbaloi memandangkan harga buku travelog tidaklah murah. Hakikatnya, penulisan sedemikian boleh diperoleh dengan mudah melalui carian di Google atau dengan menggunakan ChatGPT.


Apa yang diharapkan oleh pembaca adalah sesuatu yang lebih berlainan atau mencabar dari segi cara berfikir (pemikiran/perspektif), luasnya pengalaman, keupayaan dalam mengkritik sesuatu apabila memerlukan untuk penilaian semula serta pengolahan dalam penulisan oleh seseorang penulis. Sebenarnya, tujuan utama sebuah buku travelog bukanlah untuk menceritakan cara untuk ke sesuatu tempat, tip atau panduan perjalanan ataupun itinerari. Pembaca sebenarnya ingin memahami intipati perjalanan disebalik pengalaman yang telah dilalui oleh penulis sepanjang pengembaraan tersebut. Ini kerana tidak semua pembaca berpeluang melalui atau memahami pengalaman yang sama seperti penulis.


Dari sudut pengalaman yang diceritakan oleh penulis, kadangkala pembaca tidak begitu teruja dengan apa yang diceritakan penulis apabila tidak disertakan dengan intipati yang boleh dipelajari. Setiap individu melalui pengalaman yang berbeza. Pembaca tidak semestinya akan mengunjungi tempat-tempat yang diceritakan, walaupun dikatakan menarik atau agak mencabar oleh penulis. Bagi pembaca, membaca dan berimaginasi sudah memadai untuk merasai pengalaman penulis. Malah, ada juga pembaca yang langsung tidak faham apa yang istimewa atau menarik tentang lokasi tersebut. Walaupun penulis menceritakan pengalaman melihat keindahan tempat-tempat yang mereka lawati seolah-olah sukar ditemui di tempat yang lain, hakikatnya pembaca tidak begitu teruja. Apabila pengalaman yang disampaikan oleh penulis mengandungi intipati yang boleh dipelajari, secara tidak langsung ini akan mencetuskan rasa ingin tahu pembaca terhadap lokasi dan perjalanan tersebut. Pada pandangan saya, ini merupakan satu ‘signal’ bahawa pengalaman tersebut telah memberi kesan kepada hati pembaca. Tidak mustahil akan timbulnya keinginan pembaca untuk menjejakkan kaki ke tempat tersebut.


Antara contoh buku travelog yang telah berjaya memberi kesan pada hati saya sehingga kini ialah sebuah buku travelog tarbiah bertajuk Secangkir Teh Pengubat Letih yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Buku ini telah berjaya membawa saya kembali ke Turki buat kali kedua dengan harapan saya dapat melihat perspektif yang berbeza. Penulis menceritakan bagaimana kisah Sultan Abdul Hamid II telah diangkut dalam gelap dan dibawa ke Stesen Keretapi Sirkeci, pernah dibuang di istana Yahudi di Salonika dan dikurung tanpa perabot, pintu dan tingkap istana tidak dibenarkan dibuka. Baginda juga pernah dikurung di Istana Beylerbeyi selama enam tahun sebelum baginda meninggal dunia. Saya tidak menyangka bahawa ketika saya sedang meneroka bandar Istanbul, saya rupanya sudah berada di Stesen Keretapi Sirkeci versi moden. Mungkin di sinilah baginda dan keluarganya diangkut dan hanya dibenarkan membawa sehelai dua pakaian. Penulis turut menceritakan beliau ke lokasi yang menyimpan kenangan sejarah baginda sewaktu beliau berada di Turki bagi mengenang kisah dan pengorbanan baginda.


Di dalam buku penulis, beliau telah memetik kata-kata baginda di dalam catatannya semasa pembuangannya di Salonika;


“Aku yakin ahli sejarah akan membelaku. Jika ahli sejarah Turki tidak melakukannya, pasti ada ahli sejarah luar yang akan menegakkan keadilan buatku.”


Apa yang ditulis oleh penulis tentang Sultan Abdul Hamid II membolehkan pembaca, secara tidak langsung, berperanan seperti "ahli sejarah luar" yang menegakkan keadilan bagi baginda. Menurut saya, inilah antara contoh penulisan yang baik yang mampu menyentuh hati pembaca.


Apa yang menariknya lagi, penulis turut menceritakan tentang kehebatan Risalah An-Nur oleh seorang tokoh ulama’ atau pemikir di Turki iaitu Badiuzzaman Said Nursi. Penulis memetik dalam bukunya bahawa Risalah An-Nur ini dapat diumpamakan seperti menuntut ilmu daripada ribuan ulama, malah mampu memberikan jawapan kepada pelbagai persoalan yang difikirkan oleh manusia, seolah-olah kita tidak lagi perlu membaca buku-buku lain. Perkara ini mengingatkan saya kepada kisah Allahyarham Ahmad Ammar yang berjaya mengkhatamkan keseluruhan Risalah An Nur dalam bahasa Turki lama (seingat saya). Selepas membaca kisah perjalanan hidup beliau, saya berkesempatan menziarahi pusara Allahyarham di Istanbul, berdekatan dengan makam Abu Ayyub Al-Ansari. Saya berterima kasih kepada Allahyarham kerana kisah perjalanan beliau telah memperkenalkan saya kepada Risalah An Nur. Saya telah menemui jawapan bagi ujian kehidupan yang saya alami setelah membaca risalah tersebut.


Tujuan saya ke Turki buat kali kedua ketika itu adalah untuk melakukan sedikit kajian berkaitan depresi dan penyakit rohani dengan menggunakan kerangka Risalah An Nur. Rasa ingin tahu dan minat saya terhadap kajian ini bertambah selepas membaca Risalah untuk Para Pesakit. Sewaktu di Istanbul, saya berpeluang bertemu penduduk tempatan yang mempelajari Risalah An-Nur, termasuk pelajar dan pengajar, serta saya turut menjejakkan kaki ke IIKV untuk mendapatkan bahan tugasan. Saya mempelajari Kalimah Pertama iaitu "Bismillah" atau "Dengan Nama Allah" yang memberi maksud permulaan setiap kebaikan.


Seperkara lagi yang menarik perhatian saya yang perlu dinilai semula untuk buku travelog di Malaysia adalah kecenderungan meletakkan gambar penulis berada di sesuatu tempat, namun tiada sebarang makna atau signifikan yang membolehkan pembaca mempelajari sesuatu. Kadangkala, saya lihat begitu sarat dengan gambar tanpa sebarang mesej yang penting. Seolah-olah buku travelog perlu disertakan gambar untuk dianggap menarik atau dianggap sebagai buku travelog yang sebenar. Mungkin juga seolah-olah gambar diletakkan sebagai bukti bahawa penulis telah berjaya atau benar-benar menjejakkan kaki ke tempat tersebut atau gambar-gambar itu sudah dianggap sebagai satu pencapaian yang luar biasa.


Saya juga pernah menerima pandangan bahawa buku travelog perlu disertakan gambar agar pembaca dapat merasai pengalaman yang diceritakan. Berkenaan ini, mengingatkan saya pada beberapa buah buku travelog berbahasa Inggeris dan ditulis oleh penulis dari luar negara. Daripada pemerhatian saya, kebanyakan mereka tidak terlalu bergantung kepada gambar semata-mata dalam penulisan mereka. Mereka lebih menekankan kekuatan penulisan itu sendiri. Buku travelog yang ditulis puluhan tahun lalu masih tetap relevan dan mampu beri kesan ketika membacanya. Ada beberapa kemungkinan mengapa mereka tidak terlalu mengutamakan gambar, dan salah satunya mungkin berkaitan dengan kos penerbitan. Selagi mana terdapat kekuatan dalam penulisan, penulisan yang jujur dan terdapat intipati yang ingin disampaikan kepada pembaca dengan jelas, itu sudah memadai dan dianggap baik walaupun tidak meletakkan terlalu banyak gambar. Adalah wajar untuk menilai semula apabila sebuah buku travelog yang sarat dengan gambar, namun tiada intipati perjalanan yang bermakna dan boleh dipelajari.


Berdasarkan pemerhatian saya yang lain terhadap buku-buku travelog yang berada di pasaran, khususnya di Malaysia, kebanyakan pembeli sebenarnya lebih cenderung memilih siapa penulisnya berbanding melihat kandungan buku tersebut. Dalam kata lain, identiti pengembara itu sendiri menjadi faktor utama yang menentukan sama ada sesebuah buku travelog akan dibeli atau tidak. Sekiranya pembaca tidak mengenali siapa pengembara tersebut, kecenderungan untuk membeli buku itu menjadi sangat rendah. Keadaan ini menunjukkan bahawa dalam genre travelog, pembaca sering lebih tertarik kepada pengembara itu sendiri daripada intipati atau pengajaran yang boleh didapati dalam buku tersebut. Pembaca lebih cenderung menilai berdasarkan latar belakang dan populariti pengembara itu sendiri. Tidak saya nafikan bahawa penulis buku travelog iaitu pengembara pada hari ini sering dianggap seperti ‘public figure’ yang mempunyai pengaruh yang kuat di media sosial.


Saya sendiri pernah membaca beberapa buku travelog yang ada di Malaysia. Pada pandangan saya, kurangnya intipati atau pengajaran yang boleh dipelajari. Namun, dari sudut populariti, buku-buku tersebut tetap laris. Di sinilah terbit rasa ingin tahu apa sebenarnya yang mereka fikirkan tentang buku travelog? Sedangkan isi kandungannya biasa-biasa sahaja, malah tidak memberikan makna yang mendalam.


Berdasarkan pemerhatian saya yang lain lagi, saya mula menyedari bahawa semakin banyak buku travelog di Malaysia kini diterbitkan berfokus kepada negara-negara yang dilawati atau khusus untuk satu negara sahaja. Contohnya, satu negara satu buku. Seolah-olah seperti buku panduan. Kebanyakannya lagi buku travelog diterbitkan secara swaterbit. Kenapa begitu? Dari sudut yang lain, ia bukanlah sesuatu yang salah. Mereka berhak dan bebas untuk menerbitkan buku mereka sendiri. Namun dari sudut lain, ia menimbulkan persoalan tentang yang sepatutnya ditekankan adalah kualiti berbanding kuantiti. Bayangkan, walaupun hanya berada beberapa hari dalam tempoh yang singkat di sebuah negara, penulis sudah mampu menghasilkan dan menerbitkan buku travelog mereka sendiri.


Apabila bercakap tentang buku swaterbit, ia membolehkan penulis menerbitkan karya mereka dengan lebih mudah tanpa terikat kontrak dengan penerbit. Malah, kriteria, terma, dan juga syarat tidaklah begitu ketat, membolehkan mereka lebih bebas membuat keputusan. Mereka juga memperoleh keuntungan terus tanpa bergantung kepada royalti daripada penerbit. Saya perhatikan bahawa buku travelog semakin kurang diterbitkan oleh penerbit buku yang ada di Malaysia. Apa yang berlaku sebenarnya? Apa tanggapan pihak penerbit buku terhadap buku travelog? Saya pernah diberitahu oleh seorang pekerja penerbit buku tentang kriteria manuskrip untuk penulisan travelog. Jawapan yang saya terima adalah kriteria agak ketat, perlu ditapis, dan tidak semua penulisan travelog akan diterbitkan. Apa yang berlaku sebenarnya bagi buku genre travelog?


Dari satu sudut yang lain pula, saya mula memikirkan berkemungkinan mereka menulis bukan untuk menghasilkan karya yang mendalam untuk pembaca, tetapi lebih kepada membukukannya sebagai satu kenangan peribadi seolah-olah diari. Saya tidak menafikan bahawa ia adalah satu bentuk usaha penulis mencari peluang untuk menjana pendapatan. Namun, persoalan saya adalah mengenai nilai, kualiti, dan intipati dalam penulisan buku travelog yang seharusnya dinilai semula agar karya yang dihasilkan menjadi lebih bermakna.


Adakalanya, pengalaman yang ditulis oleh penulis terasa seperti diromantiskan. Adakalanya diromantiskan secara berlebihan. Adakalanya, hakikatnya seperti terasa pengalaman tersebut mungkin bersifat biasa sahaja. Saya ingin tekankan di sini bahawa buku travelog sepatutnya menceritakan realiti, bukan delusi.


Saya turut dapat melihat nilai dan kualiti ini dalam buku Secangkir Teh Pengubat Letih. Selain menceritakan sisi baik dan keindahan masyarakat serta negara Turki, penulis juga turut menceritakan sisi yang kurang menarik. Pada pandangan saya, pendekatan ini menjadikan penulisannya lebih seimbang, kerana ia tidak sekadar menonjolkan keindahan semata-mata. Hakikatnya, setiap tempat mempunyai sisi gelap atau realiti yang tidak seindah yang disangkakan. Namun, kebanyakan buku travelog lebih memilih untuk menonjolkan perkara-perkara yang indah, menyeronokkan, dan penulisan yang lebih ‘selamat’. Mungkin penulis bimbang akan dikritik atau dikecam oleh pembaca.


Ketiadaan untuk mengkritik dalam penulisan menjadikan buku travelog kurang mencabar minda pembaca. Soal kritikan, saya tidak maksudkan untuk mengkritik setiap masa. Tetapi, bergantung pada masa, tempat, situasi, dll yang memerlukan penilaian semula. Dengan kritikan (bukan kecaman) mampu mengajak pembaca berfikir dan memahami sesuatu tempat secara lebih menyeluruh. Saya lihat buku-buku travelog yang ada di pasaran akhirnya hanya sekadar catatan pengalaman peribadi atau seolah-olah sebuah diari peribadi.


Apa yang lebih menarik dan pada masa yang sama membuatkan saya 'terpukul' ialah kritikan daripada seorang pengembara yang berpengalaman yang menyifatkan buku travelog sebagai buku “syok sendiri”. Ia membuatkan saya tertanya-tanya, apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan “syok sendiri”? Adakah benar kebanyakan buku travelog hari ini tergolong dalam kategori buku “syok sendiri”? Walaupun saya tidak menulis buku travelog, saya sedikit terkesan dengan label tersebut.


Apabila diteliti, "syok sendiri" yang dimaksudkan ialah penulis lebih tertumpu kepada pengalaman peribadi semata-mata, seolah-olah buku tersebut ditulis hanya untuk diri mereka sendiri. Mereka gagal mengajak pembaca untuk turut menghayati pengalaman penulis, apatah lagi tiada intipati dalam perjalanan yang boleh dipelajari.


Contoh yang saya pernah lihat, penulis sekadar menceritakan apa yang mereka lakukan pada hari tertentu seperti hari ini ke masjid terbesar di XXXX untuk menunaikan solat, menikmati makanan yang sedap dan halal di restoran XXXX, melawat muzim XXXX, membeli cenderahati di XXXX dengan menawarkan harga yang lebih murah, dan sewaktu dengannya. Seolah-olah penulisan ini seperti laporan aktiviti harian. Penulisan sebegini boleh menimbulkan perasaan menjengkelkan dalam kalangan pembaca kerana tiada sebarang makna yang boleh dipelajari.


“Syok sendiri” juga boleh ditafsirkan sebagai penulisan yang memberi fokus terhadap pencapaian dalam menerbitkan buku mereka, seolah-olah menerbitkan buku sendiri sudah cukup untuk dianggap sebagai satu kejayaan. Malah, cukup sekadar menceritakan pengalaman sendiri semata-mata. Tidak memikirkan apa jangkaan pembaca apabila membaca penulisan mereka. Akhirnya, apa yang saya lihat buku travelog yang bersifat “syok sendiri” ini dianggap sebagai diari peribadi yang dibukukan dan bukanlah sebuah penulisan yang hidup dan memberi makna kepada orang lain.


Apa pandangan anda pula tentang buku travelog?


 
 
  • Instagram
  • Facebook
  • TikTok

Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman ini bertujuan semata-mata untuk memberi inspirasi dan ilustrasi.

Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2026 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U).

SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page