‘Kutukan’ Kemboja: Mengapa Saya Tidak Menyarankan Lawatan ke Angkor Wat?
- Pengembara Nomad
- 19 jam lalu
- 11 min membaca

Kemboja sering kali dilihat sebagai sebuah negara di Asia Tenggara yang menarik untuk dilawati, hanya kerana keindahan Angkor Wat dan keramahan penduduk tempatan seperti yang sering digambarkan oleh pelancong luar. Namun, di sebalik keindahan seni bina yang telah diiktiraf oleh UNESCO sejak tahun 1992 itu, terdapat sisi gelap yang jarang diketahui umum. Hakikatnya, rakyat Kemboja mengalami trauma yang diwarisi dari satu generasi ke generasi berikutnya, atau dikenali sebagai “Intergenerational Trauma.”
Trauma ini berpunca daripada kekejaman rejim Khmer Rouge di bawah pimpinan Pol Pot dari tahun 1975-1979, yang menyebabkan kematian lebih daripada 2-3 juta rakyat Kemboja akibat pembunuhan beramai-ramai. Joel Brinkley, dalam bukunya Cambodia’s Curse (2011), menceritakan penderitaan yang masih membelenggu rakyat Kemboja sehingga ke hari ini, walaupun rejim Khmer Rouge telah berakhir lebih tiga dekad yang lalu.
Brinkley menulis dengan satu amaran berhati-hati daripada Duta Besar Amerika Syarikat, Joseph Mussomeli, yang menggambarkan keadaan sebenar negara ini:
"Be careful because Cambodia is the most dangerous place you will ever visit. You will fall in love with it, and eventually it will break your heart."
Ini bukanlah hanya sekadar kata-kata, tetapi satu amaran yang membawa makna yang mendalam. Kemboja bukan seperti negara pelancongan lain. Ia adalah sebuah negara yang pernah dilanda kekejaman luar biasa dan sangat zalim dan kini mereka sedang bergelut untuk membina kehidupan mereka semula yang telah hancur. Salah satu perkara yang paling menyedihkan tentang Kemboja ialah kesan trauma yang masih menghantui majoriti rakyatnya.
Menurut kajian yang dinyatakan oleh Brinkley, beberapa kajian menunjukkan bahawa 1/3 hingga separuh rakyat Cambodia yang melalui era Khmer Rouge mengalami PTSD yang berpunca daripada pengalaman trauma ketika itu.
“Dalam satu kajian klinikal terhadap pelarian Kemboja yang datang ke Amerika Syarikat pada awal tahun 1980-an dan kini menetap di Long Beach, California, sebanyak 62 peratus daripada mereka telah didiagnosis dengan PTSD — 25 tahun selepas trauma yang mereka alami.”
Gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) ini bukan sahaja dialami oleh mereka yang terselamat daripada kekejaman Khmer Rouge. Apa yang lebih merisaukan adalah gangguan ini diwarisi oleh generasi seterusnya. Dalam kata lain, anak-anak yang lahir selepas rejim itu tumbang juga mewarisi trauma yang tidak pernah mereka alami secara langsung. Ini adalah sesuatu yang tidak berlaku di mana-mana negara lain, melainkan di Kemboja.
“Kemboja adalah satu-satunya negara di dunia di mana telah dibuktikan bahawa simptom PTSD dan penyakit trauma berkaitan sedang diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya.”
Mereka yang mengalami PTSD ini lazimnya akan menunjukkan gejala kemurungan, sukar tidur, mudah marah, bersikap pasif, dan tidak mempunyai harapan terhadap masa depan.
Ini menyebabkan masyarakat Kemboja menjadi masyarakat yang tidak bersuara, tidak melawan, pasrah, lebih memilih untuk berdiam dan mereka sudah terbiasa dengan penindasan. Seperti yang diungkapkan oleh seorang hakim di mahkamah wilayah Pursat, “Saya orang Khmer; saya kenal orang Khmer. Rakyat Kemboja telah diracuni oleh perjuangan untuk terus hidup.” Ini bermaksud, kesusahan hidup selama berdekad-dekad telah menjadikan rakyat Kemboja hilang semangat untuk melawan. Mereka hanya mahu hidup, bukan memperjuangkan keadilan atau menuntut hak mereka.
Lebih menyedihkan lagi, walaupun gangguan mental ini begitu berleluasa, negara tersebut tidak mempunyai sistem penjagaan kesihatan mental yang mencukupi. Menurut statistik yang diberikan oleh Brinkley, “Kemboja hanya mempunyai kira-kira 26 pakar psikiatri di seluruh negara. Kebanyakan daripada mereka bekerja di hospital, memberikan ubat-ubatan “kerana itu lebih lumayan,” kata Muny Sothara, seorang pakar psikiatri dari Transcultural Psychosocial Organization (TPO). Dengan jumlah pesakit mental yang begitu ramai dan bilangan pakar psikiatri yang sangat sedikit, ramai rakyat Kemboja tidak mendapat bantuan yang sepatutnya.
Salah satu fenomena menarik yang diceritakan oleh Brinkley ialah gangguan tidur seperti "sleep paralysis" yang dialami oleh ramai rakyat Kemboja pasca trauma. Bagi golongan ini, tiada kelegaan yang dapat dirasai walaupun ketika mereka tidur. Ramai rakyat Kemboja turut mengalami kelumpuhan tidur (sleep paralysis) dan satu lagi gangguan berkaitan yang dikenali sebagai hantu duduk (ghost sitting). 60% lelaki dan wanita yang dikaji oleh Hinton mengalami PTSD dan turut menderita akibat dua gangguan ini. “Pengalaman klinikal menunjukkan bahawa kelumpuhan tidur berlaku pada kadar yang sangat tinggi dalam kalangan penduduk Kemboja.”
Kajian oleh Devon Hinton seorang psikiatris dan antropologis dari Harvard Medical School, "Semasa ‘sleep paralysis’, orang Kemboja kerap mengalami halusinasi melihat makhluk ghaib tertentu, termasuk "roh yang dihantar oleh seorang bomoh untuk membunuh mangsa dengan memasukkan objek ke dalam badan, syaitan yang mahu menakutkan roh supaya keluar dari tubuh—atau roh seseorang yang telah dibunuh semasa era Pol Pot." Ada juga yang mengalami halusinasi seperti “pengalaman hampir lemas” atau “dikepung dengan beg plastik di kepala,” iaitu dua kaedah biasa yang digunakan oleh Rejim Khmer Rouge untuk menyeksa atau membunuh.
Peristiwa-peristiwa ini kelihatan berlaku dalam satu keadaan antara tidur dan jaga. Ia boleh berlangsung antara 5-30 minit, dan sepanjang tempoh itu, mangsa akan berasa lumpuh; dia tidak dapat bergerak atau bersuara. Orang Kemboja menyebut keadaan ini sebagai “ditindih hantu”
Seorang mangsa yang diceritakan dalam kajian Hinton, seorang wanita berusia 41 tahun, menyatakan bahawa dia berulang kali melihat “bayangan hitam seorang lelaki yang menggenggam pisau dan berjalan ke arahnya. Dengan sebelah tangan, lelaki itu mengacukan pisau ke arahnya; dengan tangan yang satu lagi, dia mencengkam bahagian depan bajunya.”
Mangsa lain, seorang wanita berusia 48 tahun, berkata bahawa dia “pada mulanya menyedari dirinya tidak mampu bergerak. Kemudian dia melihat tiga makhluk iblis yang mengerikan—makhluk berbulu dengan taring yang panjang—datang menghampirinya. Salah satu makhluk itu berada sangat hampir dengan kepalanya.”Makhluk lain “menahan kakinya; dan yang satu lagi menahan tangannya.” Selepas itu, “makhluk-makhluk itu cuba menakutkannya hingga mati.” Kebiasaannya, akan ada seseorang yang terdengar bisikan ketakutannya lalu mengejutkannya dari tidur.
Wanita itu, yang hanya dikenali sebagai Chea, memberitahu bahawa dia tidak dapat tidur sepanjang malam selepas kejadian itu. Sebaliknya, kenangan yang mengerikan dari zaman pemerintahan Khmer Rouge kembali menerjah ke dalam fikirannya—termasuk satu insiden di mana dia melihat askar membawa tiga orang rakannya dari kampung, dalam keadaan mata ditutup, ke belakang kelompok pokok kira-kira dua puluh ela dari tempatnya berdiri. “Seminit kemudian, Chea terdengar bunyi tengkorak dihentak kuat dengan kayu hingga retak.”
Mangsa ‘sleep paralysis’, “ghost sitting”, dan trauma berkaitan akan terjaga dalam keadaan ketakutan, keletihan, dan mengalami serangan panik sepanjang hari. Sesetengah daripada mereka menjadi terlalu cemas hingga mengalami pening dan takut akan rebah. Mereka turut menderita insomnia yang kronik. Mereka takut untuk tidur, dan ketakutan ini hanya memburukkan lagi keadaan yang mereka alami.
Daryn Reicherter, M.D., seorang pakar psikiatri dari Universiti Stanford, mendapati simptom ‘sleep paralysis’ dan “ghost sitting” yang sama turut berlaku dalam kalangan pelarian Kemboja di San Jose, California. Beliau juga menemui satu lagi fenomena yang mengejutkan, iaitu kebutaan histeria (hysterical blindness).
Kini, “banyak strategi daya tindak (coping strategy) yang digunakan oleh mangsa Khmer Rouge sudah menjadi tidak sesuai atau tidak berkesan,” kata beliau. Sesetengah pesakitnya kelihatan seperti menjadi buta “apabila mereka mengalami tekanan yang teruk.” Beliau meniru gaya seorang pesakit di kliniknya yang bergerak dalam keadaan teraba-raba dengan tangan terhulur ke depan. “Kita tidak dapat membezakan sama ada ia benar atau palsu. Bagi pesakit itu, ia mungkin benar. Gejala itu datang dan pergi, dan masih berlarutan hingga ke hari ini. Saya pernah melihat perkara yang sama di Kemboja juga,” tambah Reicherter. “Keadaannya di sana lebih kurang sama, malah mungkin lebih parah.”
Pelarian yang mengalami tekanan jiwa yang mendalam di Massachusetts dan California ini kebanyakannya tidak berfungsi dengan baik dalam kehidupan harian. Pelbagai kajian menunjukkan bahawa mereka tidak mampu mengekalkan pekerjaan. Dalam satu kajian yang dijalankan di Massachusetts, 90% daripada pesakit PTSD didapati menganggur. Beberapa dekad selepas berhijrah ke Amerika Syarikat, mereka masih tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Mereka menjalani kehidupan yang penuh penderitaan dengan bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.
Satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of the American Medical Association pada tahun 1995 meneliti pelarian Kemboja di Long Beach, California, yang tiba di Amerika Syarikat pada awal 1980-an, sejurus selepas era pemerintahan Khmer Rouge. Lebih separuh daripada mereka mengalami kemurungan yang sangat serius sehingga mengganggu keupayaan seseorang untuk menjalani kehidupan harian. 2/3 pula didiagnosis dengan PTSD. Lebih 3/4 daripada golongan dewasa tidak pernah menerima pendidikan formal. Kebanyakan mereka menganggur, hidup dalam kemiskinan yang terdesak, dan cenderung bertindak ganas secara tidak rasional. Lebih 1/4 pula mengalami ketidakupayaan fizikal. Mereka tinggal di kawasan setinggan dan secara emosi tidak mampu berinteraksi dengan orang lain.
Di San Jose juga, keadaan mereka tidak jauh berbeza. “Mereka masih hanya boleh bertutur dalam satu bahasa, buta huruf, tidak dapat menyesuaikan diri dengan budaya setempat, dan sering mabuk,” kata Reicherter. “Kebanyakan mereka tidak boleh bekerja. Mereka masih bergantung kepada bantuan ketidakupayaan. Kesemua mereka mengalami Major Depressive Disorder (MDD).
Brinkley juga menceritakan fenomena di mana generasi muda yang tidak melalui zaman Khmer Rouge turut mewarisi kesan psikologi daripada ibu bapa mereka. Beliau menulis bahawa berjuta-juta rakyat Kemboja mengalami gejala dan ketidakupayaan seperti ini yang berpunca daripada trauma yang mereka alami beberapa dekad lalu.
Beberapa kajian yang dijalankan di negara itu mengesahkan fakta tersebut daripada Muny Sothara, seorang pakar psikiatri di Phnom Penh, menggambarkan “satu tinjauan isi rumah peringkat wilayah di Kampong Cham pada tahun 2004 yang menunjukkan PTSD atau gejala gangguan psikotik lain dalam kalangan 47 peratus daripada penduduk.” Jika tidak dirawat, penyakit ini akan diwariskan oleh mereka kepada anak-anak mereka.
Nigel Field, seorang profesor di Pacific Graduate School of Psychology di California Utara, seorang pakar dan beliau panggil ini sebagai “kesan generasi kedua” (second-generation effects). Beliau telah menjalankan kajian terhadap 200 orang pelajar sekolah menengah di Phnom Penh dan mendapati bahawa semakin banyak mereka mengetahui tentang pengalaman trauma yang dialami oleh ibu bapa mereka, semakin teruk keadaan emosi mereka.
“Kanak-kanak berusaha mendapatkan pengesahan (approval), cenderung meniru tingkah laku ibu bapa mereka,” jelas Fields. Terdapat juga kecenderungan bagi anak-anak untuk menjadi 'ibu bapa' kepada ibu bapa mereka sendiri, cuba menenangkan kebimbangan ibu bapa mereka. Kanak-kanak ini cenderung melihat bahaya walaupun tiada bahaya,” sama seperti ibu bapa mereka. Apabila diminta menyenaraikan peristiwa yang mereka tahu telah dilalui oleh ibu bapa mereka—kelaparan, penyeksaan, hampir mati— “sebahagian daripada mereka menjadi marah apabila bercakap mengenainya, menunjukkan berlakunya pertukaran peranan. Mereka mengalami tahap kebimbangan dan kemurungan yang lebih tinggi. Tekanan-tekanan ini memberi kesan besar terhadap kehidupan mereka.”
Muny Sothara menyatakan bahawa ibu bapa secara tidak sedar mengajar PTSD kepada anak-anak mereka. Mereka melakukannya dengan “mendidik anak-anak, memberi amaran tentang bahaya. Mengatakan ‘jangan sertai; jangan libatkan diri. Diam saja.” Seperti yang dijelaskan oleh Reicherter, “Apa yang telah kami pelajari ialah jika seseorang mengalami zaman kanak-kanak yang penuh trauma, mereka lebih cenderung untuk mendapat PTSD.
Jadi kita sekarang melihat kanak-kanak yang membesar bersama ibu bapa yang ganas, kaki botol, dan sering memukul mereka. Itulah generasi yang sedang membesar sekarang.”
Generasi baharu itu sebenarnya sudah pun muncul. Sekitar tahun 2004, pegawai Kemboja menganggarkan bahawa 1/4 daripada lelaki di negara itu sering memukul isteri dan anak-anak mereka — menjadikannya antara kadar keganasan rumah tangga yang tertinggi di dunia. Menjelang penghujung dekad tersebut, apabila lebih ramai anak-anak mangsa rejim Khmer Rouge berkahwin dan mempunyai anak sendiri, kadar tersebut semakin meningkat, iaitu kepada sekitar 1/3 daripada keseluruhan keluarga di Kemboja.
Hinton dan Reicherter kedua-duanya melaporkan bahawa terapi telah membantu sebahagian pelarian Kemboja. Namun begitu, pada tahun 1990-an, bidang psikiatri di Kemboja masih belum pun berada pada tahap awal pembentukan. Negara itu pada ketika itu hanya mempunyai sekitar 4 atau 5 orang pakar psikiatri untuk seluruh negara. Kesemua mereka bekerja di hospital, dan hanya memberikan ubat-ubatan yang sudah lama (out-dated).
Reicherter menceritakan satu lawatannya ke sebuah kampung, di mana mereka “melihat seorang lelaki, yang kelihatan menghidap skizofrenia, dipakaikan dengan kolar anjing dan diikat pada sebatang pokok—seolah-olah rawatan psikiatri itu masih diamalkan seperti seribu tahun dahulu. Kami berikan dia satu suntikan. Hanya satu suntikan. Dan selepas itu, mereka sudah boleh melepaskannya.
Para anggota kerajaan kelihatan tidak ambil peduli, walaupun ramai pegawai atasan turut mengalami simptom yang sama. “Kesihatan mental adalah keutamaan terakhir di sini,” kata Michael O’Leary, ketua pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Phnom Penh. “Keupayaan untuk memberikan sokongan amat terhad.”
Khieu Kanharith, Menteri Penerangan Kemboja, mengakui bahawa beliau mengalami mimpi ngeri yang berulang—satu ciri utama PTSD: “Saya kembali ke rumah saya dan kebanyakan ahli keluarga saya berada di atas tanah, berlutut,” seperti mana keadaan mereka sebelum dihukum bunuh oleh rejim Khmer Rouge.
Sejak tahun 1979, “saya sebenarnya hanya pernah pulang sekali sahaja, dan itu pun ke sebuah kampung yang terletak tidak jauh dari situ. Saya menulis di dinding rumah saya: Saya masih hidup! Tetapi terlalu menekan untuk berada di sana. Saya tidak pernah kembali lagi. PTSD—semua orang mengalaminya.” Perang yang masih berterusan dengan saki-baki Khmer Rouge ketika itu hanya menambah luka dan penderitaan rakyat.
Inilah situasi sebenar yang sedang berlaku di Kemboja. Trauma bukan sekadar kenangan pahit masa lalu, tetapi menjadi sebahagian daripada warisan keluarga
Perspektif:
Selain penderitaan rakyat Kemboja yang berpanjangan akibat trauma yang berpunca daripada rejim Khmer Rouge, satu lagi sebab utama saya tidak menyarankan lawatan ke Angkor Wat ialah ia dibina hasil paksaan ribuan hamba sebagai penghormatan kepada dewa-dewa pemerintah. "These palaces and shrines are all that remain of Angkor today—a vast monument to slave labor." Ramai yang mengunjungi negara ini kerana tertarik dengan keindahan Angkor Wat yang kononnya eksotik. Malah, pelawat turut dikenakan bayaran lebih kurang USD 30 sehari untuk masuk ke tempat tersebut.
Anehnya, saya melihat ramai pelancong, terutamanya ‘content creator’ hanya menonjolkan keindahan serta meromantiskan Angkor Wat dan negara ini secara berlebihan tanpa memahami sejarah kekejaman dan penderitaan rakyat yang berlaku. Adakah mereka benar-benar tidak tahu atau tidak mahu tahu mengenainya? Saya juga pernah mempersoalkan, walaupun Kemboja menerima jutaan dolar hasil daripada pelancong yang datang ke Angkor Wat setiap tahun, mengapa rakyatnya masih kekal miskin sedangkan kuil-kuil purba seperti itu menjana keuntungan besar?
Saya lihat hasil jualan di Angkor Wat pada bulan Jun 2025 baru-baru ini telah mencapai $1,747,197 (sekitar RM 7,446, 433.91) dengan jumlah 40,096 pelawat di seluruh negara. Ini membuatkan saya untuk merenung berkaitan hal ini, bagaimana hasil pelancongan disalurkan dan siapa yang benar-benar mendapat manfaat daripadanya? Sementara itu, rakyat masih terus hidup dalam kemiskinan dan ditindas. Bahkan, negara ini menerima sumbangan atau bantuan dari luar negara jutaan dolar.
Lawatan solo saya ke Kemboja pada tahun 2016 bukanlah satu pengalaman yang benar-benar saya nikmati sepenuhnya. Sepanjang perjalanan, jelas bahawa masih ramai rakyat yang hidup dalam kemiskinan. Saya pernah dibawa oleh seorang pemandu tuktuk tempatan yang turut hidup dalam serba kekurangan. Dia membawa saya untuk melihat rumahnya. Saya hanya melihat dari luar, namun walaupun seketika, ia sudah cukup untuk menggambarkan realiti kehidupan mereka yang serba daif. Tasik Tonle Sap pula kering pada waktu itu. Malah, pemandu tuktuk tersebut tidak menggalakkan saya untuk ke sana kerana menurutnya, tiada apa yang menarik untuk dilihat kecuali tasik yang kering. Keadaan ini sangat berbeza daripada gambaran yang sering dipromosikan kepada pelancong luar.
Saya pernah melawat Angkor Wat, dan apa yang saya lihat hanyalah kawasan itu dibanjiri oleh pelancong asing dengan pelbagai cara mereka ‘posing’ semata-mata untuk mendapatkan gambar dan video yang cantik, unik dan ‘ikonik’. Ramai yang sanggup duduk berjam-jam semata-mata untuk menunggu matahari terbenam. Ada pula yang sanggup bangun seawal pagi hanya untuk menikmati pemandangan matahari terbit dan merakam gambar. Saya sendiri tertanya kenapa perlu bangun awal semata-mata untuk mengambil gambar matahari terbit? Sehingga ke hari ini, saya tidak tahu apa yang menarik tentang Angkor Wat itu melainkan hanyalah penindasan.
Saya percaya ada yang akan kata, “Negara itu ada hotel mewah, pusat membeli-belah moden, jauh berbeza daripada dahulu, di mana miskinnya?” Namun, jangan hanya menilai sesebuah negara berdasarkan keindahan bangunannya semata-mata. Hakikatnya, trauma dan kemiskinan masih wujud. Malah, pemerintahan yang korup masih berterusan hingga ke hari ini walaupun kepimpinan telah bertukar daripada Hun Sen kepada anaknya, Hun Manet. Pemerintahan di bawah Hun Sen, yang memegang kuasa selama lebih tiga dekad, telah membentuk sistem yang terdapat penindasan dan rasuah. Hampir tiada harapan terhadap perubahan negara sekiranya anaknya sendiri yang memerintah.
Brinkley menceritakan, dalam satu laporan penyelidikan yang menyeluruh dan disebut sebagai ‘rasuah besar-besaran’. Laporan itu menunjukkan bahawa pegawai kerajaan mencuri sehingga $500 juta setiap tahun—sekitar separuh daripada bajet tahunan negara—hampir setiap dolar yang dikutip oleh kerajaan sendiri. Separuh lagi daripada bajet tersebut datang daripada sumbangan NGO. Maklumat dalaman menganggarkan penyelewengan dari dana kerajaan antara $300 hingga $500 juta setahun. Maka jelas pemerintah negara ini adalah korup.
Pada pandangan saya, rakyat Kemboja sebenarnya memerlukan proses penyembuhan atau pemulihan trauma yang menyeluruh tetapi bukanlah pelancongan yang datang tanpa kesedaran terhadap sejarah kekejaman yang berlaku dan penderitaan mereka hadapi. Apa yang berlaku terhadap rakyat Kemboja tidak sama seperti di negara lain kerana konteks dan kesan yang menimpa rakyat Kemboja adalah berbeza khususnya dari segi trauma yang mendalam yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi yang lain dan juga sistem pemerintahan yang terus menindas selepas kekejaman itu berakhir. Mereka masih tidak mendapat keadilan dan hidup dalam keadaan ditindas.
Sekiranya benar-benar mahu membantu mereka yang susah, bantulah mereka secara terus tanpa melalui kerajaan atau organisasi seperti NGO, kerana berkemungkinan bantuan itu tidak sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Cara lain yang lebih bermakna ialah melakukan kerja sukarelawan dan menyumbang kemahiran atau kepakaran yang ada bagi membantu mereka membangunkan komuniti setempat supaya selepas itu mereka mampu berdikari dan menjana pendapatan sendiri.