top of page

Mikroselebriti & ‘Self-Branding’: Satu Bentuk Krisis Identiti Pengembara?

  • Writer: Pengembara Nomad
    Pengembara Nomad
  • 21 Ogo
  • 8 min membaca

Updated: 6 Sep

Dalam artikelnya, Senft membincangkan satu bentuk identiti yang jarang kita dengar walaupun artikel ini telah diterbitkan sejak tahun 2013, iaitu konsep diri sebagai “mikroselebriti”—satu istilah yang hampir sepenuhnya berkaitan dengan internet. Saya berpendapat bahawa ramai dalam kalangan pengembara juga tidak terkecuali daripada mengalami krisis identiti ini, apabila mereka menjenamakan diri mereka sendiri—mencipta kandungan, meraih populariti dan untuk menjana keuntungan semata-mata.


Senft telah mencipta istilah “mikroselebriti” pada tahun 2001 semasa mengkaji tentang ‘camgirls’, iaitu perempuan remaja yang berkongsi kehidupan harian mereka secara langsung di internet. Mereka menggunakan pelbagai alat seperti gambar, video, blog, dan pautan ke laman lain untuk menunjukkan diri mereka secara menarik dan tersusun.


Tujuannya adalah untuk kelihatan seperti sebuah "jenama"–maksudnya mereka membentuk imej diri yang konsisten supaya orang yang menonton mereka mudah untuk orang kenal, suka, dan mengikuti perkembangan mereka, seolah-olah mereka selebriti kecil dalam dunia atas talian termasuklah di media sosial.


Senft ingin memperjelaskan lagi istilah “mikroselebriti”—iaitu apabila semakin ramai orang mula melihat diri mereka di internet sebagai satu bentuk jenama peribadi (personal branding). Amalan mikroselebriti merujuk kepada usaha seseorang membina imej diri di media sosial seperti sebuah jenama rasmi, dengan harapan orang lain akan memandang mereka dengan cara tertentu dan meniru gaya hidup yang ditonjolkan.


Untuk kita memahami mikroselebriti, cuba tanya diri kita sendiri:


  • Pernah atau tidak kita fikir lama sebelum pos sesuatu, sama ada ia sesuai untuk laman kerja atau laman peribadi?

  • Pernah atau tidak kita padam gambar buruk yang orang lain tag?

  • Pernah atau tidak kita risau tentang privasi di media sosial?

  • Pernah atau tidak kita membaca laman yang dikhaskan untuk “mendoakan” atau “mengenang” seseorang?


Semua ini adalah contoh bagaimana kita mengawal dan menguruskan imej diri kita di internet, sama seperti cara selebriti atau jenama menguruskan reputasi mereka.


Tambahan lagi, jika seseorang itu merasakan mereka tidak aktif di media sosial atau tidak banyak menggunakan internet, mereka tetap tidak terlepas daripada  ‘pengawasan’ atau dipanggil sistem pemantaun digital. Senft ingin menekankan bahawa ‘pengawasan’ iaitu perbuatan memantau dan memerhati orang secara diam-diam. Apabila kita berada di internet, segala yang kita lihat, klik, cari, atau lakukan akan direkodkan atau diperhatikan tanpa kita sedari.


Contohnya di tempat kerja, pekerja memang sudah tahu bahawa majikan boleh memantau apa yang mereka lakukan di komputer pejabat melalui ‘firewall’ iaitu sistem yang boleh menyekat laman web tertentu atau merekod aktiviti pengguna. Begitu juga di media sosial, kita juga sentiasa diperhatikan. Bukan sahaja oleh syarikat media sosial seperti Facebook, Instagram, dan sebagainya tetapi juga oleh orang lain. Jika tidak berhati-hati, semua yang kita lakukan akan menjadi tontonan umum. Jadi, anggaplah kita sedang berdiri di atas pentas dan setiap tindakan kita diperhatikan.


Ramai orang sekarang percaya bahawa internet ibarat pentas terbuka dan jika seseorang itu hendak dianggap “berjaya”, dia bukan sekadar berada di atas pentas tersebut, tetapi dia juga perlu mengurus identiti dirinya di media sosial dengan sangat teliti dan konsisten. Bagaimana artis atau usahawan menguruskan jenama diri mereka penuh strategi, berhati-hati, dan menjaga penampilan. Begitu juga dengan ‘mikroselebriti’. Tetapi dalam masa yang sama, mereka juga mula sedar bahawa publisiti negatif di internet boleh merosakkan kerjaya, hubungan, dan imej diri mereka.


Persoalannya, jika ‘mikroselebriti’ ini penuh dengan masalah dan tekanan, kenapa masih ramai melakukannya? Untuk faham apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan “krisis mikroselebriti”, kita perlu faham bahawa identiti di media sosial berfungsi dalam sekurang-kurangnya tiga cara berbeza.


  • Identiti internet itu sendiri – berubah dari tempat akademik atau penyelidikan menjadi tempat untuk bersosial.

  • Identiti pengguna (siapa kita) – seperti jantina, umur, bangsa, dll.

  • Identiti melalui perbuatan – apa yang kita lakukan semasa menggunakan internet.


Ketiga-tiganya saling berkait dan membentuk siapa diri kita dalam dunia maya. Apa yang penting di sini ialah idea bahawa identiti dalam talian tidak wujud secara kosong atau bebas daripada realiti sosial. Ia tetap dibentuk oleh siapa kita di dunia sebenar. Sebab itu ‘mikroselebriti’ menjadi rumit. Ini kerana secara tidak sedar kita sedang membawa beban identiti sosial ke dalam dunia digital.


Selama 40 tahun ini, internet telah banyak berubah. Tetapi, perubahan yang paling ketara dan diperdebatkan ialah bagaimana internet kini menjadi tempat jual beli, bukannya sekadar tempat cari maklumat atau berkomunikasi. Sekarang, kita boleh membeli hampir apa sahaja secara dalam talian. Apabila fungsi internet berubah seperti pasar, cara orang melihat diri mereka sendiri pun turut berubah. Mereka juga mula fikir diri mereka sebagai:


  • pembeli bijak (smart buyer),

  • penjual dipercayai (trusted seller),

  • peminat terkenal (top fan),

  • penyebar maklumat,

  • atau pelawak di media sosial.


Kecenderungan untuk membina “self-branding” di zaman ini sebenarnya tidak berlaku secara tiba-tiba. Ia berpunca daripada gabungan rasa kecewa terhadap ekonomi yang tidak menyebelahi anak muda, dan dalam masa yang sama, peluang besar yang muncul dalam dunia digital. Jadi, walaupun peluang kerja sukar untuk dicari, peluang untuk menjadi “famous” pula makin luas. Akibatnya, ramai anak muda memilih untuk “memasarkan” diri mereka sendiri — bukan kerana mereka ingin sangat menjadi selebriti, tetapi kerana ia menjadi satu-satunya ruang di mana mereka masih mempunyai kuasa (power) dan kawalan (control). 


Kita boleh lihat, mereka pula melakukan perkara yang sama di internet. Mereka pilih dan susun gambar, video, dan status paling cantik atau menarik. Yang tidak lawa atau memalukan, mereka padam. Semua ini mereka lakukan supaya orang lain melihat versi “terbaik” diri mereka yang tidak ubah seperti iklan. Ini sebenarnya sama seperti strategi pemasaran syarikat. Bezanya, diri mereka yang dijual sebagai jenama.


‘Mikroselebriti’ ini mungkin kelihatan hanya ikut logik selebriti biasa. Tetapi sebenarnya, fenomena selebriti di internet sudah lama wujud. Dahulu lagi sudah terdapat “bintang-bintang” internet seperti blogger, pelakon lucah dalam talian, dan perempuan yang menunjukkan kehidupan mereka melalui ‘webcam’. Selain itu, internet juga dari awal lagi sudah menjadi tempat peminat berkumpul untuk bercakap tentang selebriti sebenar, contohnya di forum dan laman peminat. Syarikat besar juga sudah lama menggunakan internet untuk mengiklankan filem, muzik, buku, dan produk hiburan yang lain.


Tetapi bezanya zaman sekarang ialah bukan sekadar kehadiran selebriti atau syarikat di internet, tetapi betapa mereka kini berada di mana-mana—terlalu meluas dan mereka sentiasa muncul dalam hidup kita. Andy Warhol pernah mengatakan, “Pada masa depan, semua orang akan menjadi terkenal selama 15 minit.” Tetapi, konsep ‘mikroselebriti’ telah menambah lagi satu idea baharu: “Pada masa depan, semua orang akan terkenal kepada 15 orang.” Maksudnya, kita mungkin tidak menjadi artis besar, tetapi cukup terkenal dalam kumpulan yang kecil. Contohnya, jika kita mempunyai 15 orang pengikut dan mereka akan mengikuti semua ‘posting’ kita.


Dan inilah perbezaan ‘mikroselebriti’ dengan selebriti biasa:

  • Seseorang selebriti bercakap kepada penonton (audience)—hubungan sehala (one-way communication).

  • Tetapi ‘mikroselebriti’ bercakap dengan komuniti—hubungan dua hala (two-way communication).


Dalam dunia selebriti biasa, jika peminat cuba menarik perhatian, mereka dikritik kerana tumpuan akan diberikan sepenuhnya kepada artis. Tetapi di dalam komuniti kecil seperti ‘mikroselebriti’, perhatian boleh bertukar antara ahli, tidak hanya tertumpu pada satu orang.


Dalam dunia media sosial hari ini pula, ramai orang termasuk anak muda, mereka berusaha untuk menjadi terkenal, atau sekurang-kurangnya, dikenali dalam kalangan bilangan yang kecil. Untuk mencapai perkara itu, mereka sentiasa bertukar-tukar peranan—kadang-kadang sebagai “selebriti” yang bercakap kepada penonton, kadang-kadang sebagai kawan yang berbual dalam komuniti. Proses ini nampak seperti “main-main” atau sekadar “suka-suka”, tetapi sebenarnya ia memerlukan usaha emosi dan mental yang banyak, walaupun kita tidak sedar bahawa ini boleh dipanggil sebagai “kerja yang tidak nyata”.


Kata mereka, ini merupakan sesuatu yang positif kerana kita bukan lagi pengguna pasif, tetapi kita menghasilkan sesuatu untuk memberi perhatian kepada orang lain. Tetapi, ada juga yang mengkritik kerana kita sebenarnya masih bekerja dalam sistem kapitalis, cuma kali ini kita tidak dibayar. Ibarat kita membantu membuat kandungan untuk syarikat media sosial tanpa gaji—sama ada apabila kita ‘post’, ‘like’, ‘share’ atau komen.


Contohnya, artis terkenal mendapat banyak duit bukan semata-mata kerana mereka mendapat perhatian, tetapi kerana mereka ubah diri mereka menjadi seperti “syarikat”—mereka urus, kawal dan jual imej mereka. Ini yang membuatkan anak muda terpengaruh seperti artis terkenal kerana dalam dunia sekarang, hanya anak muda yang menjadi terkenal (seperti pelakon atau atlet) yang akan dilayan seperti “manusia sebenar”. Jadi mereka cuba untuk menjadikan diri mereka terkenal secara ‘online’, supaya mereka mempunyai nilai (value), suara (voice) dan kawalan (control). 


Perkara ini tidak berlaku hanya pada anak muda sahaja, tetapi juga pada orang dewasa.


Hari ini, jika kita mengatakan kita “bekerja keras”, orang mungkin beranggapan kita membosankan atau lemah. Tetapi, jika kita katakan kita “membangunkan diri”, kita akan nampak lebih hebat dan kreatif. Jadi ramai orang menggunakan media sosial untuk tunjukkan hasil kerja mereka sebagai satu bentuk ‘pembangunan diri’, walaupun hakikatnya mereka tetap bekerja—cuma dalam bentuk baharu dan tanpa gaji yang jelas.


Untuk mudah faham, hakikatnya kita semua sedang “bekerja” di media sosial iaitu dengan membuat kandungan, menarik perhatian, dan mengawal imej diri, tetapi kita jarang dibayar untuk itu. Sistem ini membuatkan kita berasa bebas dan lebih kreatif, padahal kita sebenarnya sedang menyumbang kepada keuntungan syarikat besar secara percuma.


Dalam dunia sekarang, semua orang boleh menjadi “mikroselebriti”. Cukup sekadar terkenal dalam skala kecil seperti dalam kalangan pengikut sendiri sehingga semakin ramai orang tidak pasti atau keliru mana satu perkara peribadi dan mana satu perkara umum. Contohnya, ada yang menjadi terkenal melalui YouTube seperti Justin Bieber, tetapi sekarang ramai selebriti pula menggunakan media sosial untuk berkongsi hal peribadi kononnya “inilah diri mereka yang sebenar”.


Fenomena ini menyebabkan semakin ramai orang biasa turut berkongsi kisah hidup mereka secara terbuka di internet. Kadang-kadang tanpa sedar, mereka jadi terlalu “terbuka kepada umum”. Ini yang dipanggil sebagai ‘super-public’. Semua perkara yang mereka kongsikan itu akan kekal selamanya di internet, walaupun mereka sendiri sudah berubah.


Selain itu, kita juga akan mula mengalami perasaan pelik yang dipanggil ‘strange familiarity’ iaitu di mana kita rasa seolah-olah mengenali seseorang, walaupun kita tidak pernah berjumpa dengan mereka. Contohnya, apabila kita membaca kisah hidup orang atau tonton kisah sedih mereka di Facebook, dan apabila nampak mereka di tempat awam, kita merasakan seperti tahu terlalu banyak tentang mereka. Ini boleh menjadi menyentuh emosi tetapi juga menyeramkan dan mengganggu, terutamanya jika orang itu tidak pernah meminta cerita mereka dikongsikan.


Adakalanya, perkara ini menjadi lebih teruk apabila identiti seseorang disalah anggap. Kisah Neda Soltani dari Iran ialah contoh paling tragik di mana orang telah salah sangka dia ialah wanita yang dibunuh dalam video protes. Disebabkan kesilapan itu, hidupnya musnah dan dia terpaksa lari dari negaranya sendiri ke negara lain.


Semua ini menunjukkan bahawa ‘mikroselebriti’ bukan sahaja memberi peluang, tetapi juga memberi bahaya. Ia membuatkan kita fikir semula tentang identiti. Jika dahulu kita bertanya “Siapa aku?”, sekarang dunia pula yang bertanya kepada kita “Siapa yang orang fikir aku ini?” Identiti kita bukan lagi milik kita, tetapi milik mereka yang melihat dan menilai kita—terutamanya di media sosial. Jelas bahawa kita telah menjadi pemerhatian dan penghakiman orang lain.


Perspektif:


Saya teringat pengalaman saya pada tahun 2018, sebelum saya memulakan perjalanan berbasikal saya. Masa itu saya masih ‘zero’. Tiada pengalaman, tiada pengetahuan dalam berbasikal. Mentor yang membimbing saya pernah memberi nasihat, “Social media is ugly.” Beliau nasihatkan saya jangan terlalu kerap berkongsi perjalanan saya di media sosial. Katanya, saya masih baru dan tiada pengalaman, dan akan membuka ruang untuk dikecam kerana sebelumnya saya pernah dipandang rendah dan sinis termasuklah pengembara yang memiliki pengikut yang ramai. Sejak 2018 itu lagi, saya faham apa yang beliau maksudkan.


Tetapi, pada hari ini, semakin ramai ‘content creator’ berkongsi  kandungan mereka di media sosial. Kemunculan mereka ini seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Ini juga disebabkan algoritma. Mereka berkongsi gambar dan video yang cantik dan estetik. Tetapi, terdapat satu persoalan yang tertanya di fikiran saya, adakah mereka benar-benar mengembara, atau sekadar mencipta kandungan?


Fenomena ini berkait rapat dengan apa yang disebut sebagai ‘mikroselebriti’. Budaya mikroselebriti telah menukar pengembara menjadi jenama. Pengembaraan kini diukur oleh penonton sendiri melalui berapa ramai yang ‘like’, berapa tinggi jumlah tontonan. Malah, semakin estetik atau cantiknya gambar dan video, semakin besar peluang untuk ‘engagement’ dan mendapat kerjasama dengan sesebuah syarikat atau jenama. Ada yang sanggup berhabis duit membeli gajet tambahan seperti kamera mahal dan dron, semata-mata untuk menghasilkan kandungan yang lebih cantik. Mereka tidak berpuas hati dengan gajet sedia ada hanya kerana kualitinya dianggap tidak memuaskan. Saya sendiri pernah terjebak seperti mereka suatu ketika dahulu, tetapi selepas pengembaraan, saya sedar bahawa duit bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicari dan bukan ini yang saya cari. Apabila saya ditimpa kesusahan, bukan mereka yang akan membantu saya.


Pernah saya ditanya, apa salahnya mereka ‘share’ kandungan mereka? Sedangkan yang bertanya itu sendiri pun sudah ada jawapan, katanya untuk menjana pendapatan. Apa lagi yang saya perlu huraikan dengan panjang lebar lagi, bukankah memang itulah jawapan yang sebenar? Jawapan yang diberikan itu menunjukkan jelas pengembaraan pada hari ini bukanlah untuk mempelajari sesuatu tetapi lebih kepada mencipta kandungan, meraih populariti, dan bagi mereka dengan cara ini mereka boleh menjana keuntungan semata-mata kerana mereka sendiri telah menjenamakan diri (self-branded) sebagai ‘produk’ di media sosial.


Persoalan saya lagi, jika mereka tidak mahu memberi apa-apa nilai kepada masyarakat kerana mereka kata mereka mengembara untuk diri sendiri bukan untuk orang lain. Jadi, apa sebenarnya sumbangan pengembaraan mereka itu kepada diri mereka sendiri, selain daripada sekadar mencipta kandungan (content) semata-mata?


(Bayangkan, bagaimana saya hendak pertahankan kalangan pengembara hari ini, jika kritikan itu datang sendiri daripada mereka yang tidak mengembara (bukan pengembara). Saya pun tak tahu nak jawab apa.)


(Artikel ini belum disunting oleh tim editor Pengembara Nomad.)


 
 
  • Instagram
  • Facebook
  • TikTok

Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman ini bertujuan semata-mata untuk memberi inspirasi dan ilustrasi.

Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2025 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U).

SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page