top of page

Pelancongan Seks di Thailand: Persepsi Lelaki Asing Terhadap Wanita Thailand.

  • Writer: Pengembara Nomad
    Pengembara Nomad
  • 26 Ogo
  • 9 min membaca

Updated: 5 Sep

Hakikatnya, sehingga hari ini Thailand masih bergelut dengan isu overtourism yang memberi kesan buruk terhadap penduduk tempatan. Mereka hidup dalam situasi dilema. Di satu sisi, kehadiran pelancong menjadi sumber rezeki mereka, namun di sisi lain mereka terpaksa memikul beban daripada kesan buruk tersebut. Beberapa bulan yang lalu, saya sendiri agak sedikit terkejut apabila melihat tajuk berita yang tular di media sosial: pada tahun 2024, sekitar 4.95 juta rakyat Malaysia berkunjung ke Thailand dengan jumlah perbelanjaan hampir RM4.6 bilion. Bagi saya, angka sebesar itu mencerminkan betapa banyaknya wang kita keluar mengalir ke negara luar. Namun, persoalan yang timbul, sejauh mana kesedaran kita terhadap sisi gelap yang sedang berlaku di negara ini sehingga tercetusnya masalah overtourism?


Berdasarkan pemerhatian dan sedikit perbualan bersama kenalan terdekat termasuklah pengembara dari dalam dan luar negara secara umumnya, kebanyakan mereka memilih Thailand kerana ia terkenal sebagai “syurga makanan”, kos percutiannya yang murah, terdapat pantai-pantai yang cantik dan akses ke negara ini mudah melalui jalan darat sama ada menaiki bas atau keretapi. Mereka lebih cenderung menceritakan hal-hal yang indah, pengalaman menarik, dan keseronokan semata-mata. Namun, daripada jawapan yang saya peroleh, jelas bahawa ramai yang tidak mengetahui sisi gelap yang sedang berlaku di Thailand. Walaupun ada segelintir yang sedar akan hakikat sisi gelap itu, mereka seakan tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang serius. Inilah yang dinamakan "pelancong". Mereka tahu, tetapi kekal neutral. Bagi mereka, itu adalah pilihan dan hak mereka; duit mereka jadi terpulang kepada mereka untuk membuat pilihan.


Saya masih ingat kata-kata seorang pelancong yang sedang bercuti di Barcelona. Ketika ditanya wartawan tentang isu overtourism, dia menjawab: “We don’t care actually. You get money from tourists, like why do you complain?”


Angkuh. Selfish. Itulah perkataan yang terlintas di fikiran saya terhadap sikap pelancong seperti ini.


Masih segar dalam ingatan saya ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Thailand pada tahun 2015. Pada waktu itu, saya masih baharu dan sedang belajar selok-belok dunia pengembaraan. Saya masih ingat lagi, pada waktu itu ramai yang memilih Krabi sebagai destinasi mereka. Apa yang menarik di Krabi? Saya sendiri tidak pasti—mungkin kerana ia dianggap sebagai destinasi pelancongan baharu? Saya menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Hatyai. Hakikatnya, saya tidak dapat menikmati sepenuhnya pengalaman saya sepanjang berada di sana. Dari situ saya mula memahami diri sendiri bahawa makanan bukanlah tujuan utama yang saya cari dalam perjalanan, walaupun ramai mengatakan makanan di sana sangat sedap. Pantai-pantainya pula sesak dengan pelancong dan orang tempatan. Antara yang paling menyentuh hati saya ialah apabila melihat gajah dijadikan persembahan semata-mata untuk menghiburkan pelancong. Walaupun telatah gajah itu kelihatan menghiburkan para pelancong, saya tidak dapat menolak rasa kasihan melihat keadaannya. Namun, saya tidak menafikan bahawa Thailand memiliki alam semula jadi yang indah serta penduduk tempatan yang ramah. Tidak hairanlah begitu ramai pelancong memilih untuk datang ke Thailand, hingga negara itu muncul sebagai salah satu destinasi pelancongan utama dunia di Asia Tenggara dan sekaligus Thailand juga turut berdepan dengan isu overtourism.


Jika ditanya sama ada saya ingin kembali ke Thailand, jawapan saya adalah ya dan tidak. Ya, sekiranya Thailand hanya menjadi laluan untuk saya menuju ke negara lain. Tidak, jika sekadar bercuti, bersenang-senang dan berehat. Dalam erti kata lain, tujuan melancong.


Saya tertanya-tanya, mengapa di Thailand boleh wujud begitu banyak ‘kerosakan’? Saya turut menerima jawapan terdapat banyak tempat untuk mendapatkan khidmat pelacur baik wanita atau golongan transgender yang 'cantik', adanya pertunjukan erotik seperti penari tiang, malah ramai juga orang kita yang gemar mendapatkan khidmat urut sama ada urutan kaki atau seluruh badan dengan harga yang murah dan servis mereka 'best'. Ada juga servis spa dan sauna disediakan. Aneh. Lebih menghairankan lagi, jawapan yang diberikan oleh mereka itu sering kedengaran tidak menentang, sebaliknya bersikap neutral. Malah, jawapan yang diberikan ada yang disertai dengan ketawa dan menganggap sebagai bahan jenaka. Apa yang kelakar? Saya tidak faham apa yang kelakar. Tetapi, adakah itu bermaksud sebenarnya mereka suka? Atau mereka tidak benar-benar mengetahui realiti di sebalik rumah urut itu? Adakah mereka tahu bahawa rumah urut itu bukan sekadar urut tetapi terdapat 'pakej' yang tersembunyi sekiranya pelanggan ingin mencapai kepuasan yang lebih? Persoalan saya lagi, bagaimana mereka boleh begitu berani membiarkan tubuh mereka disentuh oleh orang asing walaupun wanita sesama wanita? Di Malaysia, servis urut sering dikaitkan dengan unsur mistik. Mereka kata, perlu hati-hati dengan orang yang mengurut, bimbang ada saka atau khadam pada mereka. Malah, ada yang berpendapat bahawa perkhidmatan urut perlu mempunyai sijil, dan tanpa sijil ia tidak boleh dijalankan. Anehnya, apabila berada di luar negara, seolah-olah semua itu tiba-tiba dibolehkan. Saya ingin tekankan di sini bahawa ini ialah rumah urut, bukan dikendalikan oleh golongan profesional yang sememangnya bertauliah.


Hakikat lain yang jarang diketahui orang ramai ialah Thailand telah diiktiraf sebagai salah satu destinasi utama pelancongan seks. Ini bermaksud pelancong dengan mudah boleh mendapatkan atau menerima khidmat seks di negara tersebut. Malah, Thailand sering digelar sebagai “taman hiburan erotik” Asia iaitu sebuah pusat pelancongan seks yang menerima jutaan pelancong asing setiap tahun. Ronald Weitzer, dalam bukunya Sex Tourism in Thailand: Inside Asia’s Premier Erotic Playground (2023), menyatakan bahawa Thailand antara pasaran pelacuran terbesar di dunia. Ini jelas boleh dilihat di Bangkok dan Pattaya. Namun, Weitzer menegaskan bahawa kajian akademik tentang industri seks Thailand sebenarnya masih kurang. Kebanyakan laporan lebih gemar menekankan eksploitasi kanak-kanak, sedangkan realiti industri seks orang dewasa jauh lebih luas dan kompleks. Weitzer sekali lagi mengingatkan bahawa pelacuran di Thailand tidak boleh dilihat hanya sebagai bentuk eksploitasi atau penindasan terhadap pekerja seks wanita, kerana ada juga wanita yang secara sedar dan sukarela memilih kerja ini.


Bagaimana pelancongan seks ini boleh terjadi?


Semuanya bermula pada era perang Vietnam pada tahun 1960-an. Bangkok mula menjadi tempat persinggahan untuk istirehat dan berhibur bagi askar Amerika. Tetapi kemudiannya menjadi tarikan pelancongan antarabangsa. Ketika itu, kawasan Patpong hanya ada beberapa kelab malam. Kemudian muncul pula Soi Cowboy dan Walking Street di Pattaya. Kawasan ini telah menjadi nadi utama kepada industri pelancongan seks moden. Hari ini, pelanggan tidak lagi terhad kepada lelaki Barat tua. Lelaki Jepun, Korea, India, China malah Malaysia turut memenuhi bar dan rumah urut. Stereotaip bahawa hanya lelaki kulit putih mencari wanita Asia juga sudah lapuk. Menurut Weitzer lagi, ramai orang Barat menganggap industri seks Thailand hanya tertumpu pada pelancong asing. Tetapi hakikatnya, pasaran untuk lelaki Thai sendiri jauh lebih besar. Malah, ia sudah lama wujud, sejak abad ke-19 lagi, khususnya untuk pekerja migran Cina di Bangkok. Selain itu, seiring dengan perubahan teknologi telah mengubah landskap industri ini. Ramai pekerja seks kini menggunakan Facebook, ThaiFriendly, ThaiCupid, serta LINE dan WhatsApp untuk mencari pelanggan atau mengekalkan hubungan selepas pertemuan pertama. Cara ini memberi mereka kebebasan untuk membuat keputusan tanpa kawalan pengurus atau majikan, di samping membuka peluang untuk menambahkan pendapatan.


Apa yang perlu difahami oleh orang awam ialah pelancongan seks tidak boleh dilihat hanya dalam kerangka hitam dan putih. Realitinya jauh lebih kompleks, penuh warna dan berlapis-lapis. Ada pekerja yang dieksploitasi atau ditindas, tetapi ada juga yang memperoleh manfaat seperti wang, status, malah kepuasan hidup. Ianya tidak boleh pukul sama rata mereka semua itu diekploitasi atau ditindas atau sebaliknya. Realitinya ia bergantung pada tempat, jenis pekerjaan, pelanggan, serta latar belakang pekerja. Bagi sebahagian pekerja seks di Thailand, pekerjaan ini merupakan cara paling cepat untuk memenuhi tanggungjawab keluarga. Dalam konteks ini, ia dilihat sebagai satu bentuk “ekonomi moral” yang dianggap sah, kononnya demi menyara ibu bapa atau keluarga.


“Filial piety, iaitu kewajipan moral untuk menyara dan menjaga ibu bapa, menjadi justifikasi utama bagi ramai pekerja seks muda di Asia. Ia bukan semata-mata soal menjual 'tubuh', tetapi juga sebuah pengorbanan untuk keluarga.”


Saya mula memahami apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan kerja seks. Lazimnya, apabila kita mendengar istilah itu, yang terlintas di dalam fikiran hanyalah sentuhan fizikal hingga membawa kepada hubungan seks. Kita gelarkan mereka ini sebagai "pelacur". Tetapi, Weitzer telah menolak penggunaan perkataan “prostitute” kerana mengandungi stigma, sebaliknya memilih istilah neutral seperti sex worker, provider, bar girl, atau street seller. Kata beliau, kerja seks itu sama ada dalam bentuk pelacuran, urut, go-go bar, atau escort. Justeru, kerja seks tidak semestinya berakhir dengan hubungan seks semata-mata.


Selain itu, terdapat juga perbezaan besar antara kerja jalanan (street) dan kerja dalaman (indoor). Kajian menunjukkan pekerja jalanan (street) lebih terdedah kepada keganasan, dadah, dan stigma masyarakat, manakala mereka yang bekerja di rumah urut, bar, atau escort (indoor) lebih terjamin dari segi keselamatan dan kadangkala lebih puas dengan kerja yang mereka lakukan.


Selain itu, hubungan pekerja seks dengan pelanggan juga berbeza-beza. Ada yang membina hubungan mesra, tetapi hanya sekadar transaksi. Tapi ada juga yang membina hubungan mesra, sampai ke tahap emosi yang ini dikenali sebagai girlfriend experience (GFE). Weitzer menegaskan bahawa kita tidak boleh menganggap semua hubungan dalam industri seks itu kosong atau seperti robot (patuh atau tunduk). Ada pekerja dan pelanggan yang benar-benar merasakan seolah-olah mereka berada dalam sebuah hubungan persahabatan atau percintaan, walaupun hakikatnya ia tetap berlandaskan bayaran.


Saya sebenarnya tidak mahu menghuraikan isu ini dengan lebih mendalam. Namun, apa yang benar-benar menarik minat saya untuk dikaji dan mendapatkan jawapan ialah apabila Thailand diiktiraf sebagai destinasi pelancongan seks, apakah sebenarnya yang mendorong ramai pelancong asing memilih untuk melanggan atau mendapatkan khidmat seks di sana? Apakah keistimewaan yang dilihat pada wanita Thailand? Saya juga ingin melihat sejauh mana motivasi pelancong asing berbeza dengan lelaki tempatan. Sebagai orang luar, saya merasakan penting untuk memahami hal ini, terutamanya apabila ia turut melibatkan rakyat saya sendiri. Pada pandangan saya, terdapat segelintir lelaki Malaysia juga tidak terlepas pernah mendapatkan khidmat seks yang ditawarkan sewaktu berada di Thailand.


Fenomena pelancongan seks di Thailand sebenarnya telah lama menjadi perhatian terutamanya penyelidik kerana ia dapat lihat bagaimana persepsi lelaki asing terhadap wanita Thailand dibentuk melalui gabungan stereotaip, fantasi seksual, dan faktor ekonomi. Naratif yang muncul daripada temu bual, forum atas talian, dan pengalaman pelancong jelas menggambarkan terdapat percanggahan (seolah-olah bertentangan) antara sikap mereka terhadap wanita Barat dengan wanita Thailand.


Banyak lelaki asing yang terlibat dalam pelancongan seks menyuarakan rasa muak dan bencinya terhadap wanita Barat. Mereka melabelkan wanita Barat sebagai terlalu bebas, suka mengawal, rumit, dan telah “diracuni” oleh feminisme moden. Wanita Barat yang berdikari pula dilihat tidak lagi “memerlukan” lelaki, dan oleh sebab itu lelaki juga tidak merasa perlu kepada mereka. Pandangan sinis turut dilemparkan terhadap wanita Barat berusia sebagai “tua, gemuk, menjengkelkan dan suka berleter.” Naratif sebegini menegaskan bahawa pelancong asing bukan sekadar mencari seks, tetapi juga mencari bentuk hubungan yang mengukuhkan sifat ego mereka sebagai lelaki.


Sebaliknya, wanita Thailand pula dilihat sebagai cantik, baik hati, penyayang, menyeronokkan, dan mudah mesra. Lebih penting, mereka dianggap masih mengekalkan nilai budaya lama seperti menjaga lelaki, bergantung pada lelaki, serta menghormati peranan setiap jantina. Ada pelancong yang menggambarkan wanita Thailand sebagai “eksotik” dan berperanan dalam membangkitkan fantasi erotik yang tidak ditemui dalam kalangan wanita Barat. Di samping itu, wujud juga sindrom “hero penyelamat” di mana lelaki asing menganggap diri mereka lebih mulia kerana mampu menyara wanita tempatan.


Weitzer menjelaskan lagi bahawa pelanggan asing, sama ada orang Barat atau Asia terdiri daripada lelaki kaya, ekspatriat, atau mereka yang mahukan sesuatu lebih privasi. Tujuan mereka mendapatkan khidmat seks ini kerana mereka kaya dan tujuan mereka untuk mencari keseronokan dengan harga yang bagi mereka lebih murah dan mudah diakses. Kelebihan kewangan yang dimiliki lelaki berkulit putih menjadikan mereka merasa lebih berkuasa. Bagi ramai wanita Thailand pula, tekanan ekonomi memaksa mereka melihat seks berbayar sebagai jalan untuk kelangsungan hidup dan menampung keluarga.


Dahulu, pelanggan asing hampir semua lelaki Barat yang berusia (tua), kini ramai pelanggan lebih muda, berusia antara 20 hingga 35 tahun. Malah ada yang mahu mencuba pengalaman berbeza dari bar go-go, urut, hinggalah girlfriend experience (GFE) kerana Thailand menawarkan pengalaman “lain daripada biasa” dengan suasana hiburan yang dikomersialkan secara menyeluruh. Di Thailand, muncul fenomena girlfriend experience (GFE) atau porn star experience (PSE). GFE menawarkan suasana seolah-olah bercinta dan mereka akan disediakan makan malam, perbualan mesra dan layanan penuh emosi. PSE pula lebih ekstrem. Mereka meniru gaya seks seperti dalam filem lucah.


Selain itu, naratif mereka yang mempunyai keinginan terhadap wanita muda. Ramai pelancong asing menyatakan dengan bangga bahawa tujuan utama mereka datang ke Thailand adalah untuk berasmara dengan gadis berusia 20-an yang hanya separuh atau sepertiga daripada usia mereka sendiri. Bagi mereka, bersama wanita muda mengembalikan “kenangan manis zaman muda” yang tiada pengalaman lain dapat tandingi. Sebaliknya, seks dengan wanita sebaya dianggap menjijikkan. Ada yang mengaku setelah bertahun-tahun melanggan gadis muda, mereka tidak lagi sanggup membayangkan hubungan intim dengan wanita yang sebaya umur mereka.


Selain faktor seksual, ramai pelancong seks juga mencari pengesahan diri (self-validation). Ada yang sunyi, tua, bercerai atau bujang, dan melihat industri seks sebagai tempat untuk memulihkan keyakinan mereka. Di Thailand, mereka merasakan diri masih diingini dan menarik, merasa dihargai, mahu berbual, mahu "dirawat" sesuatu yang sukar dirasai di negara asal mereka. GFE yang ditawarkan oleh pekerja seks seperti layanan mesra, hubungan intim, dan ilusi percintaan dapat mengembalikan sifat kelakian (maskulin) sebenar mereka yang hilang di Barat. Weitzer memetik, “Rather than seeking sex objects to be used and then discarded, many clients sought ‘care objects’ with whom they could establish affectionate relationships.” Di sinilah saya lihat jawapan paling jelas kepada persoalan besar. Lelaki asing memilih wanita Thailand (ini termasuk ladyboy) bukan sahaja membeli tubuh tetapi membeli emosi walaupun sebenarnya emosi tersebut sekadar ilusi.


Naratif-naratif yang saya lihat ini menunjukkan terdapat percanggahan yang begitu besar. Pelancong asing sedar bahawa layanan mesra wanita Thailand hanyalah lakonan atau berpura-pura dan ada bayarannya. Namun, mereka tetap menikmati ilusi tersebut. Justeru, pelancongan seks di Thailand bukan sekadar tentang tubuh yang dijual atau seks yang dibeli, tetapi sebuah dunia yang lebih rumit daripada apa yang kita sangka. Ramai pekerja seks dan pelanggan cuba mencipta alasan atau cerita untuk membenarkan pilihan mereka. Ada pekerja yang berkata mereka melakukannya demi menyara keluarga atau kerana tidak ada pilihan kerja lain. Ada juga yang melihatnya sebagai cara cepat untuk keluar daripada masalah kewangan. Dari sudut pelanggan pula, ada yang datang mencari keseronokan, ada yang mahu lari daripada kesunyian, dan ada juga yang menganggap hubungan ini sebagai bentuk kasih sayang walaupun hanya sementara.


Setelah saya renungkan semula isu pelancongan seks di Thailand, saya dapat memahami mengapa ada pihak memilih untuk bersikap neutral dalam hal ini. Tetapi, soalan saya pada mereka, sampai bila kita perlu bersikap neutral dalam isu ini?


Rujukan:-


(Artikel ini belum disunting oleh tim editor Pengembara Nomad.)

 
 
  • Instagram
  • Facebook
  • TikTok

Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman ini bertujuan semata-mata untuk memberi inspirasi dan ilustrasi.

Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2025 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U).

SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page