Pendedahan Thomas Kohnstamm Tentang Realiti di Sebalik Buku Panduan Lonely Planet.
- Pengembara Nomad
- 7 jam lalu
- 8 min membaca
Sepanjang pengalaman saya dalam dunia pengembaraan, pada peringkat awal buku panduan seperti ini menjadi rujukan untuk memahami perkara asas seperti memilih penginapan, lokasi menarik, restoran dan maklumat yang lain. Saya turut memiliki beberapa buah buku panduan ini dengan harga lebih murah dan ‘second-hand’. Seiring dengan pengalaman dan pengetahuan, tiada lagi kebergantungan saya terhadap buku panduan seperti ini. Kini, hampir segalanya boleh dicapai hanya melalui hujung jari.
Saya amat tertarik dengan pendedahan Thomas Kohnstamm tentang realiti di sebalik penerbitan buku panduan Lonely Planet melalui karya kontroversinya, ‘Do Travel Writers Go to Hell?’ Bagi saya, ini merupakan satu bentuk pendedahan yang berani, memandangkan Lonely Planet adalah jenama yang masih kukuh dan dipercayai dalam industri pelancongan hingga ke hari ini.
1. Terpaksa menanggung kos perbelanjaan sendiri.
“Saya cuba untuk berunding supaya diberi bayaran yang lebih tinggi, tarikh akhir yang lebih lewat, dan kemungkinan untuk menerima royalti. Tapi ketiga-tiganya ditolak. Bila saya tanya tentang royalti, saya diberitahu, “Ini buku Lonely Planet, bukan novel Jackie Collins.” Saya tanya pula sama ada mereka boleh tanggung kos penerbangan saya ke Brazil, tapi mereka jawab penulis bukan pekerja syarikat - kami cuma penulis bebas. Jadi, semua perbelanjaan perlu saya tanggung sendiri.”
2. Tanggungjawab berganda, bayaran tetap rendah.
“Satu-satunya tawaran mereka: saya boleh memperoleh sedikit bayaran tambahan jika saya sanggup menulis bab “Alam Sekitar” dan “Panduan Hidupan Liar” yang akan diletakkan di bahagian depan buku. Dua bab ini akan menggandakan jumlah muka surat saya dan menambah beberapa minggu lagi untuk penyelidikan di perpustakaan. Ya, memang bunyinya macam satu ‘tawaran hebat’ - kononnya.”
3. Konflik sebagai pengembara yang berdedikasi dan juga bayaran yang rendah.
“Jadi, adakah saya buat semua ini semata-mata kerana cintakan kembara - sebagai seorang pengembara bebas yang berdedikasi, seperti mana Lonely Planet selalu gambarkan penulis-penulisnya? Adakah saya seorang yang ikhlas menyumbang maklumat perjalanan kepada rakan-rakan pengembara seluruh dunia? Atau saya buat ini sebab nak cari peluang untuk tidur dengan seseorang? Melihat kepada bayaran pendahuluan yang saya terima, sudah tentu saya bukan buat semua ini kerana duit.”
4. Mengalami proses yang menjengkelkan dan membosankan.
“Seluruh projek ini mengalami masalah yang sangat menjengkelkan dengan komunikasi yang lemah dengan editor di Australia, bayaran yang lambat, dan sistem pemformatan yang sangat rumit. Menyusun kamus secara manual mengikut abjad adalah antara kerja paling membosankan yang pernah saya lakukan dalam hidup.”
5. Maklumat sudah lapuk dan tidak dikemas kini.
“Syarikat percaya semua ini tidak akan menjejaskan kandungan atau suara penulisan buku. Tetapi realitinya, edisi terakhir buku ini mengandungi kira-kira 70 peratus liputan untuk hotel dan restoran bajet. Hampir tiada kafe Internet, laman web, atau alamat emel yang disenaraikan. Malah, semua harga yang tertera juga sudah terlalu lama dan tidak dikemas kini.”
6. Menulis seolah-olah pernah sampai walaupun tidak pernah menjejakkan kaki ke tempat tersebut.
“Anda perlu mengenal pasti watak dan suasana sesuatu tempat, serta menggambarkan semangat zamannya (zeitgeist) dalam pengenalan bahagian sepanjang 300 patah perkataan dan pengenalan bandar atau kawasan sebanyak 250 patah perkataan, walaupun anda mungkin tidak pernah menjejakkan kaki ke benua itu sebelum ini. Anda juga perlu mencari tempat penginapan terbaik, aktiviti menarik, restoran yang sesuai, serta maklumat praktikal lain; menulis ulasan yang kelihatan bijak dan seimbang tentang semuanya; kemudian terus beralih ke destinasi seterusnya dan ulang proses yang sama. Kecekapan amat penting dalam kerja ini.”
7.“LPification” punca bandar menjadi kepada ‘ghetto’ pelancong kerana promosi yang dilakukan oleh LP.
“Gaya Lonely Planet merujuk kepada gaya pengembaraan 'bebas' yang sangat bergantung kepada buku panduan, manakala LPification merujuk kepada keadaan di mana sesebuah bandar dipromosikan dalam Lonely Planet dan seterusnya dibanjiri oleh para pengembara, akhirnya menjadikan tempat itu sebagai sebuah ‘ghetto’ pelancong, iaitu tempat yang dihuni oleh kumpulan etnik tertentu secara terasing.”
8. Menjaga sensitiviti budaya dalam penulisan buku panduan dan tidak terlalu ‘Amerika’.
“Lonely Planet mahukan 20 peratus liputan ditumpukan kepada pilihan bajet, 60 peratus kepada kategori pertengahan, dan 20 peratus kepada yang mewah. Saya juga perlu ambil kira keperluan pengembara wanita yang bersendirian, pengembara kurang upaya, pengembara gay/lesbian/biseksual/transgender, serta pengembara yang vegetarian atau vegan. Pada masa yang sama, saya perlu berhati-hati agar tidak menulis dari sudut pandang yang terlalu ‘Amerika’.”
9. Lonely Planet berubah ke arah lebih komersial untuk kekal relevan.
“Gaya baharu buku Lonely Planet (LP) bukan sekadar memberi lebih fokus kepada tempat penginapan atau pilihan pertengahan bajet (midrange), tetapi juga sedang berusaha untuk menjadi lebih arus perdana (mainstream) iaitu cuba menarik perhatian khalayak pembaca yang paling luas dan umum, bukan lagi hanya golongan backpacker atau pengembara bebas seperti dahulu. Tidak seperti sesetengah penulis dan pembaca Lonely Planet, saya tidak semestinya berpendapat bahawa mereka telah “menjual prinsip.” Hakikat sebenarnya ialah mereka hanya cuba untuk kekal bersaing dan relevan dalam pasaran yang semakin sesak.”
10. Buku panduan membentuk ‘laluan pelancong’ yang sama dan berulang.
Semua ini sebenarnya hanya menyumbang kepada pembentukan satu 'laluan pelancong', di mana ribuan pelancong berjalan mengikut jejak yang sama, mengikut saranan buku panduan tanpa banyak soal. Mereka melawat bandar-bandar pantai kecil yang sama, menginap di hotel yang sama, dan makan di restoran yang sama. Laluan pelancongan ini kini dikenali sebagai "Laluan Lonely Planet."
11. Lebih berhati-hati dan lebih menonjolkan destinasi yang indah dan menyeronokkan.
“Jika dahulu Lonely Planet pernah menyuarakan pendapat politik yang agak berani dan memberikan nasihat terus terang tentang dadah, seks, dan cara untuk berjimat, kini buku-buku mereka berusaha sedaya upaya untuk tidak menyinggung sesiapa. Buku-buku ini lebih menonjolkan betapa menyeronokkan dan mengujakan sesuatu destinasi, berbanding mendedahkan realiti yang tidak menyenangkan atau kontroversial.”
12. Fokus utama mereka lebih menjual destinasi berbanding menyampaikan sesuatu yang lebih jujur.
“Mereka lebih cenderung untuk menjual sesebuah destinasi (dan sekaligus buku panduan itu) daripada menyampaikan sesuatu yang jujur mengenainya. Setiap buku akan mendakwa bahawa penduduk negara tersebut adalah antara yang "paling mesra di Amerika Latin/ Eropah/ mana-mana pun... jika bukan di seluruh dunia."
13. Penginapan banyak dikuasai oleh orang asing berbanding orang tempatan.
“Dalam buku panduan pelancongan, hostel yang dimiliki oleh orang asing jauh lebih banyak berbanding tempat penginapan milik tempatan. Orang asing faham standard antarabangsa untuk penginapan. Mereka tahu bagaimana untuk memasarkan tempat mereka kepada pelancong Eropah dan Amerika Utara. Mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Belanda, Itali, dan Ibrani. Mereka ada rakan di Geneva, Copenhagen, atau Vancouver yang boleh mencipta laman web untuk mereka - malah laman web yang boleh menerima tempahan antarabangsa. Mereka juga mendapatkan orang untuk menghantar surat kepada semua syarikat buku panduan, mencadangkan agar penulis melawat hotel mereka. Jadi, memang menyenangkan untuk melihat penduduk tempatan sekali-sekala mendapat kelebihan berbanding orang asing.”
14. Maklumat dalam buku panduan tidak dikemas kini.
“Kami menyelak naskhah buku Lonely Planet yang disimpan di belakang kaunter penyambut tetamu dan mendapati bahawa nombor telefon dalam buku LP itu juga tidak betul.”
15. Keluhan dalam kalangan penulis kerana projek terlalu besar tetapi bayaran yang diberikan tidak setimpal.
“..Tetapi saya boleh katakan bahawa saya membaca pelbagai entri daripada pelbagai jenis penulis yang semuanya berkongsi pengalaman yang sama seperti saya. Projek yang terlalu besar dan bayaran yang terlalu rendah merupakan antara topik paling kerap dibincangkan. Ada juga perbualan tentang istilah “desk updates” iaitu apabila penulis tidak dihantar langsung ke lokasi destinasi dan hanya perlu mengemas kini maklumat dari meja mereka sendiri - tanpa menjejakkan kaki ke tempat sebenar.”
16. Tumpuan beralih kepada pelancong yang berduit.
“Daripada memberitahu pelancong bajet yang bijak tentang cara menyelinap masuk ke kolam renang hotel mewah seperti yang pernah dilakukan oleh LP suatu ketika dahulu, mereka kini memperuntukkan sebahagian besar ruang untuk mengulas hotel-hotel resort sebenar untuk keluarga dan pelancong yang berkemampuan. Golongan inilah yang membeli buku.”
17. Penulisan menjadi ‘bias’ atau berat sebelah kerana terpaksa mengharapkan makanan dan tempat tinggal percuma sebagai pertukaran, disebabkan bayaran yang tidak mencukupi.
“Kemudian, pemilik hotel itu membawa saya menaiki kenderaan dune buggy dan saya sempat melawat pelbagai jenis penginapan di sekitar bandar dalam masa tiga jam, berbual-bual dengan pemilik hotel, menunjukkan kad pengenalan saya sebagai penulis, dan dengan senang hati menerima apa sahaja yang ditawarkan kepada saya. Sudah tentu, kemungkinan besar saya hanya melawat tempat-tempat milik rakan-rakannya. Namun, itulah harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan penginapan dan makanan percuma. Dan saya kira, kehilangan objektiviti sepenuhnya itulah harga yang perlu dibayar oleh Lonely Planet kerana tidak memberikan bayaran yang mencukupi kepada penulis untuk menjalankan penyelidikan yang benar-benar menyeluruh.”
18. Penulis menjadi tumpuan untuk sesuatu kepentingan.
“Walaupun saya fikir saya akan dapat mengelak daripada laluan pelancong asing dengan tinggal bersama orang Brazil, Olinda sebenarnya terletak tepat di lorong tengah laluan itu: sebuah tempat di mana penulis Lonely Planet diburu, dipujuk dan dirayu.”
19. Kesan buruk ‘Lonely Planet Trail’ terhadap komuniti dan menjejaskan kualiti buku panduan.
“Namun dalam jangka masa panjang, memaksa penulis untuk bergantung kepada infrastruktur pelancongan sedia ada hanya akan mengukuhkan lagi laluan pelancongan yang dikenali sebagai "Lonely Planet Trail". Laluan ini bukan sahaja menjejaskan pembaca dan kualiti buku panduan tersebut, malah turut mengubah dan sering kali merosakkan bandar-bandar kecil yang kurang membangun yang dilaluinya, apatah lagi kesan buruk yang menimpa penduduk tempatan di kawasan tersebut.
20. Lonely Planet sebagai pencetus perubahan besar kepada komuniti kecil kerana publisiti.
“Adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa semua perkembangan ini berpunca sepenuhnya daripada Lonely Planet, walaupun kesannya tidak dapat dinafikan. "Cop kelulusan" daripada Lonely Planet bermakna sesebuah kampung nelayan kecil akan menerima suntikan publisiti di peringkat global tidak kira sama ada kampung itu mahukannya, memerlukannya, mampu menanganinya atau pun tidak.”
21. Tiada kebebasan untuk bersuara. Terpaksa berpura-pura dan bertahan demi wang.
“Seorang penulis buku panduan yang berjaya mesti menjaga penampilan dan memainkan peranan dengan betul di sebalik tabir. Tiada cukup masa dan tiada cukup wang untuk bertindak sebaliknya. Tugas kami hanyalah menyiapkan buku itu dan tidak mendedahkan kepada sesiapa di pejabat tentang hal-hal yang ‘pahit’ di sebaliknya. Ini adalah dasar polisi “jangan tanya, jangan beritahu”.
22. Penulis mudah diganti dengan bayaran yang murah atau diumpamakan sebagai ‘penulis pakai buang’.
“Hakikat yang menyedihkan ialah, penulis pelancongan mudah diganti dan dianggap tidak penting - mereka boleh digantikan dengan penulis baru yang dibayar murah, terutamanya jika mereka tidak tahu ‘bermain permainan’ dengan betul, atau meminta bayaran yang terlalu tinggi. Ini kononnya dianggap sebagai “kerja impian”, dan akan sentiasa ada orang lain yang beratur menunggu peluang.
23. Peralihan daripada penulisan bebas ke penulisan berstruktur dan mempunyai standard.
“Terdapat banyak singkatan yang perlu difahami, garis panduan yang mesti dipatuhi, dan standard yang perlu dijaga. Ini bukan lagi kerja penulisan bebas tentang budaya ‘backpacker’ seperti dulu. Sekarang, syarikat jelas tidak lagi berminat dengan maklumat-maklumat terbuka seperti “Saya guna kokain sekali-sekala” atau “Tolong, jangan berhenti!”.
24. Tuntutan kerja yang membebankan tetapi bayaran yang diberikan terlalu rendah.
“Terdapat jurang yang besar antara apa yang dituntut daripada penulis dan apa yang sebenarnya mampu dilakukan oleh penulis berdasarkan masa dan bajet yang diperuntukkan. Adakah ini berpunca daripada arahan editorial yang lemah, atau sikap tidak peduli yang disengajakan oleh pihak penerbit, yang memilih untuk menutup mata terhadap beban kerja penulis dan bayaran yang terlalu rendah, semata-mata untuk menjimatkan kos pengeluaran? Saya sendiri tidak pasti. Mungkin sedikit daripada kedua-duanya.”
Perspektif:
Realiti pada hari ini, saya sedar bahawa buku panduan pelancongan seperti Lonely Planet, mahupun jenama lain yang seumpamanya, semakin kurang mendapat sambutan orang ramai terutamanya generasi muda seperti saya. Perkembangan teknologi dan pengaruh media sosial telah mengubah cara kita merancang perjalanan. Segala maklumat kini boleh diakses dengan mudah - hanya di hujung jari.
Secara peribadi, saya melihat buku panduan seperti ini lebih menumpukan kepada aspek teknikal seperti itinerari dan tip-tip umum, sedangkan saya pula lebih cenderung untuk mendalami inti pati sebenar sesebuah pengembaraan seperti kisah, pengalaman, dan nilai-nilai yang boleh diambil sebagai pengajaran.
Jika diteliti, cara orang mendapatkan maklumat tentang pengembaraan kini telah berevolusi, daripada buku panduan bercetak kepada kandungan video yang dihasilkan oleh pengguna atau pencipta kandungan (content creator). Perkongsian mereka lebih cenderung berkongsi itinerari, tip-tip umum, tempat mereka lawati tetapi dicipta dengan lebih menarik, mudah difahami dan memberikan gambaran awal tentang sesuatu tempat.
Dalam erti kata lain, mereka inilah sebenarnya berfungsi seperti buku panduan yang memudahkan orang awam mendapatkan maklumat.
Secara peribadi, saya tidak mengikuti sepenuhnya saranan dalam buku panduan mahupun kandungan video yang berkongsi itinerari, tip-tip umum atau cadangan tempat menarik untuk dilawati. Ini kerana saya percaya pendekatan seperti itu boleh menyumbang kepada kesesakan pelancong dan dari sudut yang lain, tidak semestinya membawa manfaat kepada komuniti setempat. Kadangkala mengundang lebih banyak ‘kerosakan’.
Namun begitu, memandangkan minat dan kecenderungan orang kita terhadap kandungan yang bersifat teknikal dan mudah diikuti ini semakin tinggi, saya tidak menolak sepenuhnya. Cuma saya tidak menerima dan menuruti segala saranan mereka secara membuta tuli atau sekadar mengikut trend. Bagi saya, itinerari dan tip-tip perjalanan seperti ini boleh sahaja didapati dengan mudah melalui carian di Google atau rujukan daripada buku panduan sedia ada di pasaran.
Tambahan lagi, buku panduan seperti ini kebanyakan yang diberikan adalah lokasi tumpuan pelancong atau hotel-hotel yang lebih mahal. Sebagai seorang pengembara dengan bajet terhad, saya memilih merancang perjalanan saya sendiri dengan cara saya sendiri. Dari awal lagi saya menyedari, dalam merancang perjalanan, buku panduan seperti ini sebenarnya lebih tertumpu kepada pelancong, bukanlah pengembara.