top of page

Pengembaraan Menjadikan Kita Lebih Buruk Tetapi Kita Meyakinkan Bahawa Itulah Versi Terbaik Kita.

  • Writer: Pengembara Nomad
    Pengembara Nomad
  • 22 Ogo
  • 10 min membaca

Updated: 6 Sep

Saya sedar bahawa ramai yang mungkin akan berasa kurang senang atau 'trigger' dengan sebuah esei pendek penulisan Agnes Callard, seorang Profesor Falsafah dari Universiti Chicago, yang bertajuk “The Case Against Travel: It turns us into the worst version of ourselves while convincing us that we’re at our best.”


Esei ini merupakan kritikan yang sangat tajam terhadap kepercayaan bahawa pengembaraan mampu membentuk kita menjadi versi terbaik diri sendiri. Sebaliknya, menurut Callard, pengembaraan sering kali membongkar sisi buruk dalam diri kita tanpa kita menyedarinya.


Saya lihat di media sosial, artikel beliau ini telah menimbulkan pelbagai reaksi. Ada yang tidak bersetuju, ada yang bersetuju, dan ada juga yang menganggap Callard ini bersifat provokatif semata-mata. Namun persoalannya, sejauh mana benarnya kenyataan Callard ini?


Callard menyatakan bahawa ramai orang selalu berkata “Saya suka mengembara” tetapi tidak membawa makna. Hakikatnya semua orang suka mengembara. Tetapi ramai yang cakap begitu, mungkin seolah-olah untuk menunjukkan rasa bangga dan tidak sabar untuk mengembara lagi.


Terdapat kumpulan yang kecil telah menentang mengenai mengembara, tetapi hujah mereka jelas dan tajam. Menurut G. K. Chesterton, beliau mengatakan “mengembara menyempitkan fikiran.” Ralph Waldo Emerson pula menyebut mengembara sebagai “syurga orang bodoh.” Socrates dan Immanuel Kant merupakan dua ahli falsafah paling agung sepanjang zaman, mereka jarang sekali meninggalkan bandar asal mereka, iaitu Athens dan Königsberg. 


Selain itu, pembenci mengembara paling tegar sepanjang sejarah ialah penulis dari Portugal, Fernando Pessoa, bukunya "The Book of Disquiet", beliau benci cara hidup yang baru dan tempat-tempat yang tidak biasa, mengembara buat beliau rasa loya. Bagi beliau, hanya mereka yang tidak wujud sahaja yang mengembara. Mengembara hanya untuk mereka yang tidak mampu merasa....”


Katanya lagi, di dalam atau di luar negara, seseorang cenderung untuk mengelakkan aktiviti "pelancongan". "Pelancongan" ialah apa yang kita panggil melancong apabila orang lain melakukannya. Dan, walaupun orang suka bercakap tentang pengembaraan mereka, sedikit daripada kita suka mendengarnya. Perbualan seperti itu menyerupai penulisan akademik dan laporan mimpi: satu bentuk komunikasi yang lebih didorong oleh keperluan si penulis berbanding keperluan si pendengar.


Hujah biasa yang menyokong mengembara kononnya dapat “menerangi” kita seperti mendidik kita tentang dunia dan membuat kita rasa lebih dekat dengan manusia lain di seluruh dunia. Selain itu, aktiviti mengembara memberi satu status tertentu. Kata penulis lagi, pengembaraan sering ‘dijenamakan’ sebagai sebuah pencapaian seperti melihat tempat-tempat menarik, mengalami pengalaman yang luar biasa, menjadi individu yang lebih menarik. Namun, persoalannya, “Adakah itu pengembaraan yang sebenarnya?”


Pessoa, Emerson dan Chesterton percaya bahawa mengembara bukannya mendekatkan kita dengan nilai kemanusiaan, sebaliknya menjauhkan kita daripadanya. Perjalanan mengubah kita menjadi versi diri kita yang paling teruk sambil meyakinkan kita bahawa kita berada pada tahap terbaik. Ini dipanggil khayalan pengembara (traveller’s delusion).


Untuk menerokanya, mari kita mulakan dengan apa yang kita maksudkan dengan "mengembara". Socrates pergi ke luar negara apabila dia dipanggil untuk berperang dalam Perang Peloponnesia; walaupun begitu, dia bukan pengembara. Emerson jelas mengkritik orang yang mengembara hanya bila ada keperluan atau tugas tertentu. Dia tidak mempunyai bantahan untuk melintasi jarak yang jauh "untuk tujuan seni, kajian, dan kebajikan." Satu tanda bahawa anda mempunyai sebab untuk berada di suatu tempat ialah anda tidak mempunyai apa-apa untuk dibuktikan, dan oleh itu tiada dorongan untuk mengumpul cenderahati, foto atau cerita untuk membuktikannya.


Mari kita takrifkan 'pelancongan' sebagai perjalanan untuk mencari sesuatu yang menarik—tetapi jika benar kata Emerson dan rakan-rakannya, ia sebenarnya gagal mencapai tujuan itu.


“Pelancong ialah seseorang yang mempunyai masa lapang sementara, yang secara sukarela mengunjungi tempat jauh dari rumah dengan tujuan untuk mengalami suatu perubahan.” 


Definisi ini diambil daripada permulaan buku "Hosts and Guests", karya klasik dalam bidang antropologi pelancongan. Frasa terakhir dalam definisi itu sangat penting iaitu perjalanan pelancongan wujud demi untuk mencari perubahan. Persoalannya, apakah sebenarnya yang berubah?


Berikut ialah satu pemerhatian penting dari bab penutup buku yang sama iaitu “Pelancong lebih jarang mengambil sesuatu daripada masyarakat yang mereka kunjungi, apa yang terjadi adalah masyarakat tuan rumah yang lebih cenderung mengambil (atau menyesuaikan diri) dengan kehadiran pelancong dan ini mencetuskan satu rantaian perubahan dalam komuniti tersebut. Kita pergi untuk mengalami perubahan, tetapi akhirnya menimbulkan perubahan kepada orang lain."


Sebagai contoh, kira-kira sedekad yang lalu, ketika saya berada di Abu Dhabi, saya menyertai lawatan berpandu ke sebuah hospital burung helang (falcon). Saya bergambar dengan seekor helang di lengan saya. Saya sebenarnya tiada minat langsung terhadap burung helang atau aktiviti pemeliharaan helang, malah secara umum saya tidak begitu gemar berinteraksi dengan haiwan. Tetapi hospital helang itu merupakan salah satu jawapan kepada soalan, “Apa yang boleh dilakukan di Abu Dhabi?” Maka saya pun pergi.


Saya ingat segala-galanya tentang hospital tersebut daripada reka bentuk ruangannya sehinggalah kepada penyertaan misinya. Tempat itu telah dan akan terus dibentuk dan dilawati untuk golongan pelancong seperti kami - kami datang tanpa berubah, tetapi mencetuskan perubahan kerana kami adalah para pelancong. (Saya masih ingat, di dinding ruang legar hospital itu, terdapat deretan anugerah berkaitan “kecemerlangan dalam pelancongan”. Perlu diingat - ini ialah sebuah hospital haiwan.)


Mengapa sesuatu tempat boleh terkesan secara negatif apabila dibentuk oleh orang luar yang datang secara sukarela semata-mata untuk mengalami perubahan? Jawapannya ialah kerana golongan ini bukan sahaja tidak tahu apa yang mereka lakukan, malah mereka juga tidak berusaha untuk memahami.


Ambil saya sebagai contoh. Adalah sesuatu yang boleh difahami jika seseorang mempunyai minat yang mendalam terhadap pemeliharaan burung helang (falconry) sehingga sanggup terbang ke Abu Dhabi untuk mengejarnya. Begitu juga jika seseorang melawat dengan semangat ingin belajar, dengan harapan untuk mengembangkan kehidupan ke arah baru. Jika anda pergi melihat sesuatu yang anda sendiri tidak hargai, dan juga tidak berniat untuk menghargainya, maka sebenarnya anda tidak melakukan apa-apa, selain sekadar bergerak dari satu tempat ke tempat lain (locomoting).


 “Saya pergi ke Perancis.”

 Okey, tetapi apa yang anda lakukan di sana?

 “Saya pergi ke Louvre.”

 Okey, tetapi apa yang anda lakukan di sana?

 “Saya pergi untuk melihat ‘Mona Lisa’.”


Itu pun sebelum cepat-cepat beralih ke tempat lain. Difahamkan, ramai orang hanya menghabiskan sekitar lima belas saat sahaja untuk melihat ‘Mona Lisa’. Segalanya hanyalah pergerakan - dari awal hingga akhir. Perjalanan sebegini dipanggil 'locomotion'.


Logik pelik seorang pelancong membolehkannya digerakkan oleh dua keinginan yang bertentangan iaitu keinginan untuk melakukan apa yang sepatutnya dilakukan di sesuatu tempat, dan pada masa yang sama, keinginan untuk mengelakkan perkara yang sepatutnya dilakukan itu. Ini adalah bagaimana ia berlaku bahawa, pada perjalanan pertama saya ke Paris, saya mengelak untuk pergi ke "Mona Lisa" dan Louvre. Saya ingin mengelakkan pergerakan (locomotion). Saya pernah berjalan kaki dari satu hujung kota ke hujung yang lain, berulang kali, dalam garis yang lurus; jika perjalanan saya itu dilakar di atas peta, ia akan membentuk simbol bintang besar (asterisk). Di banyak kota besar yang pernah saya tinggal dan bekerja, saya tidak pernah terfikir untuk menghabiskan seharian hanya dengan berjalan kaki. 


Apabila anda mengembara, anda menggantung standard biasa anda tentang apa yang dianggap sebagai penggunaan masa yang berharga.


Anda juga menggantung pelbagai standard lain iaitu tidak mahu terikat dengan cita rasa sendiri dalam makanan, seni, atau aktiviti santai. Lagipun, anda berkata kepada diri sendiri: "Tujuan utama mengembara adalah untuk keluar daripada rutin hidup harian." Tetapi jika anda biasanya tidak suka ke muzium, dan tiba-tiba memaksa diri ke sana hanya semata-mata untuk mengalami perubahan, apa sebenarnya yang anda faham daripada lukisan-lukisan itu? Anda mungkin tidak ubah seperti berada di dalam bilik yang penuh dengan burung helang.


Mari kita selami dengan lebih mendalam bagaimana, sebenarnya, projek seorang pelancong itu bersifat menghancurkan dirinya sendiri. Saya akan jelaskan perkara ini dengan dua contoh daripada esei “The Loss of the Creature”, karya penulis Walker Percy.


Pertama, seorang pelancong yang tiba di Grand Canyon. Sebelum perjalanannya, satu gambaran Grand Canyon telah pun terbentuk dalam fikirannya. Dia akan berasa gembira jika rupa sebenar Grand Canyon itu menyerupai gambar dan poskad yang pernah dilihatnya; malah dia mungkin akan menggambarkannya sebagai “sama cantik seperti poskad gambar!”


Namun, jika pencahayaan pada hari itu berbeza, atau warna dan bayang-bayang tidak seperti yang dijangkakan, dia akan berasa tertipu: dia merasakan dirinya datang pada hari yang tidak sesuai. Kerana tidak dapat benar-benar menatap Grand Canyon itu secara langsung, dan hanya mampu menilai sama ada ia sepadan atau tidak dengan imej dalam fikirannya.


Kedua, sepasang suami isteri dari Iowa yang sedang memandu mengelilingi Mexico. Mereka menikmati perjalanan itu, namun berasa sedikit kecewa dengan pemandangan biasa yang mereka lihat. Tidak lama kemudian, mereka terlihat penduduk kampung menari, pelancong itu akhirnya merasakan mereka menemui “pemandangan yang asli, menarik, unik, indah dan belum tercemar.” Namun begitu, mereka masih berasa tidak puas hati.


Apabila mereka pulang ke Iowa, mereka bercerita dengan penuh semangat kepada seorang rakan ahli etnologi: "Awak sepatutnya ada bersama kami! Awak mesti ikut kami kembali ke sana!" Apabila ahli etnologi itu benar-benar kembali bersama mereka, pasangan itu tidak lagi menumpukan perhatian kepada apa yang berlaku; sebaliknya, mereka memerhati reaksi ahli etnologi itu!


Harapan terbesar mereka ialah agar rakan mereka itu menganggap tarian itu menarik. Mereka memerlukan pengesahan iaitu seseorang yang boleh “mengesahkan bahawa pengalaman mereka itu benar-benar tulen.”


Pelancong ialah seorang yang bersikap terlalu tunduk dan bergantung pada pihak lain. Dia menyerahkan pengesahan terhadap pengalamannya kepada ahli etnologi, kepada poskad, dan kepada pandangan umum tentang apa yang patut atau tidak patut dilakukan di sesuatu tempat. Sikap tunduk inilah yang sering digambarkan sebagai “keterbukaan kepada pengalaman” sebenarnya ialah apa yang menjadikan pelancong tidak mampu mengalami sesuatu secara sebenar.


Emerson pernah mengakui, “Saya mencari Vatican dan istana-istana. Saya berpura-pura mabuk dengan pemandangan dan bayangan yang ditawarkan, tetapi saya sebenarnya tidak mabuk.” Beliau bercakap bagi pihak setiap pelancong yang pernah berdiri di hadapan sebuah monumen, lukisan, atau burung helang dan memaksa dirinya untuk merasa sesuatu.


Emerson dan Percy membantu kita memahami mengapa tuntutan ini tidak munasabah: Menjadi seorang pelancong bermaksud anda telah pun memutuskan bahawa perasaan anda sendiri bukanlah perkara yang penting. Sama ada sesuatu pengalaman itu benar-benar “tulen” atau tidak. 


Hujah yang serupa juga boleh digunakan terhadap kecenderungan pelancong untuk “menghormati lautan besar kemanusiaan”. Percy dan Emerson telah mereka mengkaji mengapa pengembara sukar benar-benar berhubung dengan manusia lain. Ketika saya mengembara di Paris, saya sering memerhati orang di sekeliling  dengan cara mengamat-amati pakaian mereka, cara mereka berkelakuan, serta interaksi antara mereka. Saya cuba untuk “melihat keperancisannya” dalam diri orang Perancis di sekeliling saya. Tetapi, ini bukanlah cara untuk membina hubungan atau berkawan.


Pessoa berkata bahawa dia hanya mengenali seorang sahaja “pengembara sejati yang memiliki jiwa”: seorang budak pejabat yang secara obsesif mengumpul risalah pelancongan, mengoyakkan peta daripada akhbar, dan menghafal jadual kereta api antara destinasi-destinasi jauh.


Budak itu mampu menceritakan laluan pelayaran di seluruh dunia. Walaupun dia sendiri tidak pernah meninggalkan Lisbon. Chesterton juga bersetuju dengan pengembara seperti ini. Beliau menulis bahawa terdapat “sesuatu yang menyentuh hati, malah sedikit tragik” tentang pelancong yang tidak berfikir panjang yang sebenarnya boleh sahaja kekal di rumah tetapi masih boleh menyayangi orang Lapland, memeluk orang Cina, dan meletakkan orang Patagonian ke dalam hatinya di Hampstead atau Surbiton, jika bukan kerana terlalu ‘buta’ dan cenderung untuk ‘membunuh diri’ hanya demi melihat rupa sebenar mereka.


Masalahnya bukan terletak pada tempat-tempat lain, atau pada lelaki yang ingin melihat tempat-tempat itu, tetapi pada kesan perjalanan yang memisahkan nilai kemanusiaan, yang menempatkan seseorang di tengah-tengah orang lain yang terpaksa dilihatnya hanya sebagai penonton.


Chesterton percaya bahawa mencintai sesuatu yang jauh jika dengan cara yang betul, iaitu dari kejauhan tetap membolehkan wujudnya hubungan yang lebih bersifat sejagat.


Satu fakta paling penting tentang pelancongan ialah kita sudah pun tahu bagaimana diri kita akan jadi apabila kita pulang nanti. Percutian bukan seperti berhijrah ke negara asing, atau mendaftar masuk ke universiti, atau memulakan pekerjaan baharu, atau jatuh cinta. Kita memulakan perkara-perkara itu dengan rasa gementar, seperti seseorang yang memasuki terowong tanpa tahu siapa dirinya apabila keluar nanti.


Sebaliknya, seorang pengembara berangkat dengan penuh keyakinan bahawa dia akan kembali dengan minat, pegangan politik dan gaya hidup yang sama seperti sebelumnya. Pengembaraan itu seperti bumerang. ia membawa anda pergi, tetapi akhirnya menjatuhkan anda tepat di tempat asal.


Jika anda merasakan bahawa perkara ini tidak terpakai kepada diri anda dan merasakan bahawa pengalaman mengembara anda adalah sesuatu yang ajaib dan mendalam, yang memperkukuh nilai hidup anda, meluaskan ufuk pemikiran anda, menjadikan anda seorang warganegara dunia sejati dan sebagainya, ketahuilah bahawa fenomena ini tidak boleh dinilai secara peribadi daripada sudut pandang pertama.


Pessoa, Chesterton, Percy dan Emerson semuanya menyedari bahawa pengembara sering meyakinkan diri sendiri bahawa mereka telah berubah, tetapi anda tidak boleh bergantung kepada introspeksi untuk mengenal pasti sama ada itu benar atau ia hanyalah satu khayalan.


Sebaliknya, cuba fikirkan mana-mana rakan anda yang akan memulakan pengembaraan musim panas tidak lama lagi. Apakah yang anda jangkakan apabila mereka kembali? Mereka mungkin akan bercakap tentang pengalaman perjalanan mereka seolah-olah ia sangat mengubah hidup. Tetapi adakah anda benar-benar akan melihat perubahan dalam tingkah laku mereka, dalam kepercayaan mereka, atau dalam arah moral mereka? Adakah akan wujud sebarang perbezaan sama sekali?


Mengembara itu menyeronokkan, jadi tidak hairanlah kita menyukainya. Apa yang menghairankan ialah mengapa kita menyematkan makna yang begitu besar padanya, seolah-olah ia suatu bentuk kebajikan atau nilai mulia. Jika percutian hanyalah satu bentuk perubahan yang tidak benar-benar mengubah apa-apa (kosong), mengapa kita begitu beria-ia menuntut ia mempunyai makna?


Bayangkan bagaimana rupa hidup anda jika anda tiba-tiba mendapat tahu bahawa anda tidak akan dapat mengembara lagi selama-lamanya. Jika anda tidak sedang merancang perubahan besar dalam hidup, kemungkinan itu akan muncul sebagai bayangan yang menakutkan: “Lagi dan lagi perkara yang sama… dan kemudian saya mati.”


Perjalanan membahagikan aliran masa yang panjang ini kepada dua bahagian: sebelum perjalanan, dan selepasnya. Sekali gus menyamarkan hakikat bahawa pengakhiran mutlak itu tetap menanti. Dan ia melakukannya dengan cara yang paling licik dengan memberi kita sedikit rasa awal tentang kehampaan itu sendiri. Kita tidak suka memikirkan bahawa suatu hari nanti kita akan tidak berbuat apa-apa dan menjadi ‘tiada siapa’.


Namun, kita hanya sanggup melihat bayangan pengalaman itu apabila ia diselindungkan dalam naratif yang kelihatan indah dan bermakna iaitu bahawa kita sedang mengalami sesuatu, sedang berhubung dengan dunia, sedang berubah menjadi insan yang lebih baik dan kita ada cenderamata dan gambar sebagai buktinya. 


Socrates berkata bahawa falsafah adalah persediaan untuk menghadapi kematian. Bagi orang lain, ianya adalah perjalanan.


Perspektif:


Sebuah artikel pendek yang membawa makna mendalam dan benar-benar berjaya mengajak saya untuk merenung ke dalam diri. Dalam artikel ini, Callard secara halus tetapi tajam mengkritik golongan pelancong dan pengembara yang melakukan perjalanan yang bukan kerana pencarian makna atau benar-benar sebuah perjalanan.


Saya amat tertarik dengan kata-kata beliau di bahagian penutup  bahawa ramai orang melancong bukanlah kerana ingin berubah, tetapi sekadar ingin “melancong” tetapi mencipta naratif seolah-olah mereka sedang mengalami dan berkembang.


Perjalanan dilakukan hari ini sebenarnya hanya sekadar satu bentuk “escapism” iaitu ingin lari daripada rutin atau kekosongan hidup  walaupun hakikatnya, ia mungkin tidak membawa apa-apa makna sebenar. Bahkan, ramai yang tidak benar-benar tahu tujuan utama pengembaraan mereka.


Kita sering merasakan bahawa selepas mengembara, kita telah berubah. Tapi persoalannya, adakah perubahan itu benar-benar berlaku, atau sekadar satu bentuk ilusi yang kita cipta sendiri?


Kita ingin menunjukkan kepada orang lain bahawa kita telah mengalami sesuatu yang bermakna, hingga merasakan perlunya membuktikannya melalui cenderamata, gambar, dan perkongsian-perkongsian yang mungkin lebih bersifat luaran daripada mengutamakan bersifat dalaman.


Callard turut mengkritik bahawa orang moden tidak lagi mencari makna melalui falsafah, sebaliknya melalui ‘travel’.


Setelah lebih enam kali saya membaca artikel ini, hakikatnya saya masih belum menemui jawapan yang pasti. Namun, ia sudah memadai artikel ini telah membawa saya merenung ke dalam diri. Mungkin akan mengambil masa untuk saya benar-benar menemukan jawapannya kerana saya perlu melihat bagaimana perspektif Islam dan juga psikologi supaya dapat dilihat dengan lebih menyeluruh.


(Artikel ini belum disunting oleh tim editor Pengembara Nomad.)



 
 
  • Instagram
  • Facebook
  • TikTok

Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman ini bertujuan semata-mata untuk memberi inspirasi dan ilustrasi.

Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2025 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U).

SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page