Penutupan Akaun Spotify Pengembara Nomad: Penglibatan Pengasas Spotify dalam Teknologi AI Ketenteraan.
- Pengembara Nomad
- 13 jam lalu
- 3 min membaca
Keputusan untuk menutup akaun Spotify Pengembara Nomad ini dibuat berikutan penglibatan pengasas Spotify, Daniel Ek, dalam pelaburan berskala besar terhadap teknologi ketenteraan berasaskan kecerdasan buatan (AI) melalui syarikat pertahanan Helsing. Syarikat yang berpangkalan di Munich, Jerman ini bukan sahaja hanya membekalkan perisian, tetapi telah berkembang kepada pengeluaran drone, kapal selam, serta sistem AI terintegrasi jenama Eropah.
Prima Materia iaitu firma pelaburan milik Daniel Ek dan Shakil Khan telah menjadi pelabur utama dalam pusingan pembiayaan terbaru sebanyak €600 juta (~US$693 juta) untuk syarikat pertahanan Helsing. Pelaburan ini menaikkan penilaian syarikat tersebut kepada sekitar €12 bilion, menjadikannya salah satu pelaburan teknologi pertahanan swasta terbesar di Eropah setakat ini.
Terdapat sumber sahih yang menunjukkan sebilangan artis dan kumpulan muzik seperti Deerhoof, kumpulan rock indie dari San Francisco telah menyuarakan protes dan menarik karya mereka dari Spotify sebagai tindak balas tidak bersetuju terhadap pelaburan Daniel Ek dalam teknologi AI ketenteraan. Antara kenyataan beliau, “We don’t want our music killing people, we don’t want our success being tied to AI battle tech.”
Persoalannya, adakah teknologi AI ketenteraan ini berbahaya?
Pelbagai laporan dan kajian telah menyuarakan pendapat dan amaran bahawa pembangunan dan penggunaan sistem senjata berasaskan AI boleh membawa risiko besar terhadap kemanusiaan, antaranya:-
Senjata AI boleh beroperasi sendiri tanpa kawalan atau campur tangan manusia. Ini membahayakan kerana AI boleh membuat keputusan hidup atau mati tanpa pertimbangan moral.
Ianya melanggar hak asasi manusia. AI tidak mempunyai nilai kemanusiaan. AI boleh membunuh tanpa sebab yang sah atau berlakunya sasaran terhadap orang yang tidak bersalah.
Tiada pihak yang boleh dipertanggungjawabkan secara jelas sekiranya berlaku kesilapan. Jika senjata berasaskan AI membunuh tanpa sebab atau tersalah sasaran, hal ini menimbulkan kesukaran untuk menentukan siapa yang harus memikul tanggungjawab terhadap perbuatan tersebut.
AI sukar membezakan antara orang awam dan musuh. AI tidak faham konteks atau keadaan sebenar. Ia mungkin tersilap sasaran dan menyebabkan orang awam boleh terbunuh.
Banyak negara besar sedang mencipta senjata AI dan sedang berlumba-lumba untuk membina senjata AI tanpa undang-undang global yang jelas. Ini membolehkan tercetusnya perang baharu.
AI hanya menilai sesuatu mengikut data, bukan nilai kemanusiaan. AI tidak memiliki emosi, tidak tahu apakah itu empati, belas kasihan bahkan maruah manusia.
Membimbangkan lagi, AI sudah digunakan dalam perang sebenar seperti di Gaza dan Ukraine. Kesan buruk terhadap orang awam sudah pun berlaku.
Malah, menurut kajian dalam bidang psikologi oleh American Psychological Association (APA), algoritma dan manusia sama-sama menyumbang kepada bias dalam kecerdasan buatan (AI).
Walaupun saya tidak menafikan dan menolak bahawa sesetengah teknologi pertahanan dibangunkan untuk tujuan keselamatan, penglibatan mereka dalam pembangunan sistem senjata berasaskan AI tetap menimbulkan kebimbangan saya terhadap kesan yang bakal berlaku pada masa akan datang dan sememangnya kebimbangan ini atas dasar kemanusiaan. Lebih membimbangkan lagi, pembangunan senjata ini banyak didominasi oleh orang-orang Barat yang kapitalis, yang lebih mementingkan keuntungan berbanding kemanusiaan.
Penutupan akaun Spotify ini bukanlah bermakna saya akan turut menutup semua platform besar seperti Facebook, Instagram, TikTok atau YouTube yang saya sendiri masih gunakan. Platform-platform tersebut merupakan saluran untuk saya berkongsi dan menyampaikan maklumat kepada orang ramai memandangkan majoriti pengguna aktif berada di sana.
Sebaliknya, Spotify merupakan platform yang jarang saya gunakan. Saya juga tidak keberatan untuk menghentikan penggunaannya memandangkan terdapat pelbagai alternatif lain yang boleh saya manfaatkan di platform lain. Malah, akaun Spotify Pengembara Nomad tidak pernah menjana sebarang pendapatan sehingga kini.
Justeru, saya memilih untuk memulakan langkah awal ini sebagai tindakan simbolik untuk menyatakan pendirian saya terhadap tindakan Daniel Ek, pengasas Spotify, yang terlibat secara langsung dalam pelaburan teknologi ketenteraan berasaskan kecerdasan buatan (AI).