Q&A: Perspektif Pengembara (EP.1)
- Pengembara Nomad
- 8 Mei
- 1 min membaca
Updated: 5 hari lalu
Episod 1 ini saya akan bawakan dalam format sesi soal jawab (Q&A), di mana saya akan menjawab secara terbuka dari pelbagai soalan yang dijana oleh AI secara rawak berkaitan perjalanan hidup, pengalaman pengembaraan, serta perspektif saya sebagai seorang pengembara.
Melalui Q&A ini, para pendengar akan dibawa menelusuri sisi peribadi saya iaitu seorang yang suatu ketika dahulu menganggap diri saya hanyalah "orang rumah" (memilih untuk berada di rumah) dan tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk mengembara ke luar negara. Namun, pada tahun 2015, saya mengambil keputusan untuk ke Aceh bagi melihat kesan tsunami pada tahun 2004. Aceh adalah sebuah destinasi yang ingin saya lawati kerana saya terpaksa berhadapan dengan ketakutan dan trauma yang telah sebati sejak zaman kanak-kanak apabila saya melihat tragedi tsunami menerusi skrin televisyen pada tahun tersebut. Pengalaman di Aceh akhirnya menjadi titik permulaan saya kepada pengembaraan yang lebih jauh.
Episod ini saya turut mengetengahkan kisah atau pengalaman saya dalam merentas pelbagai negara yang telah membentuk semula perspektif saya terhadap kehidupan, kemanusiaan, dan realiti sosial. Pengalaman saya di negara seperti India, misalnya, telah membuka ruang untuk saya memahami erti syukur, empati, dan nilai kemanusiaan.
Bukan hanya sekadar escapism yang sering dilakukan dalam kalangan pengembara, tetapi saya turut melihat pengembaraan sebagai satu proses pencarian makna dan refleksi melalui kesedaran diri. Saya lihat realiti pada hari ini, masyarakat di seluruh dunia sedang berdepan dengan krisis kemanusiaan — peperangan, pembunuhan, kebencian, dan hilangnya empati sehingga manusia semakin jauh daripada nilai kasih sayang dan rasa empati terhadap orang lain.