top of page

Q&A: Perspektif Pengembara (EP.2)

Episod 2 kali ini akan mengupas perbezaan antara pengembara dan pelancong melalui pandangan dan serta pengalaman peribadi.


Maksud sebenar pengembara didorong oleh tiga sifat utama: keterbukaan, kesedaran diri (self-awareness) yang tinggi, dan rasa tanggungjawab sosial. Keterbukaan bermaksud mereka yang merendah diri, mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi, serta membolehkan interaksi yang membuatkan semua pihak berasa didengari, dihargai, selamat, dan rasa diterima. Pengembara juga perlu peka terhadap persekitaran mereka dan peduli tentang masyarakat setempat. Sebaliknya, individu yang bersifat individualistik, mementingkan diri sendiri, dan enggan peduli tentang orang lain layak digelar pelancong.


Pengalaman mengembara bermula di Aceh, Indonesia, secara DIY bersama rakan telah menjadi batu loncatan untuk meneruskan pengembaraan ke destinasi yang lebih jauh. Sepanjang berada di pelbagai negara, perasaan yang bercampur baur serta pelbagai cabaran merupakan perkara yang normal dalam sesebuah pengembaraan. Antara pengalaman yang paling mencabar ialah apabila ditahan, disoal siasat, dan menjalani pemeriksaan ketat di China serta di sempadan Rusia, termasuk insiden diminta membuka tudung di khalayak ramai untuk tujuan pemeriksaan oleh pihak berkuasa. Walau bagaimanapun, layanan baik dan hospitaliti daripada penduduk tempatan sudah memadai dan tetap melahirkan rasa syukur sepanjang perjalanan tersebut.


Satu elemen menarik dalam pengalaman pengembaraan ialah naluri atau firasat yang kuat semasa mengembara secara solo. Contohnya, perasaan berat hati sebelum ke Turki dan Mekah, yang akhirnya membawa kepada rentetan ujian yang bertimpa-timpa seperti rakan ditipu (scam), diserang masalah kebimbangan (anxiety dan panic attack), serta berhadapan dengan insiden gempa bumi sewaktu di Istanbul. Hakikat pengembaraan itu sendiri boleh disimpulkan dengan perkataan "azab" atau kepayahan, namun kesusahan itulah yang akhirnya membentuk sebuah pengalaman yang sangat bermakna.


Antara destinasi yang paling istimewa dan meninggalkan kesan di hati ialah Iran. Sifat tawakal mereka yang tinggi dalam kalangan rakyat Iran yang ramah menyambut kedatangan orang asing tanpa rasa curiga atau syak wasangka. Pengalaman bertemu seorang lelaki yang berumur lingkungan 60-an bernama Ali di Tabriz amat menyentuh hati dan menimbulkan rasa terkesan sehingga kini. Ali menjemput pelancong atau pengembara ke kedai jahitnya dan meminta mereka menulis di dalam buku catatannya sebagai inisiatif kreatifnya untuk belajar bahasa Inggeris.


Sebagai penutup, nasihat untuk mereka yang baru ingin mula mengembara agar mencari dan berguru dengan pengembara yang mempunyai sikap keterbukaan, memiliki kesedaran diri yang tinggi serta tanggungjawab sosial. Sebaiknya elakkan diri daripada berguru dengan individu atau pengembara yang hanya meraih perhatian, mengejar populariti, mengejar keuntungan semata-mata, dan bersifat individualistik tanpa memikirkan tanggungjawab sosial.


Q&A: Episod 2Pengembara Nomad


 
 
  • Instagram
  • Facebook
  • TikTok

Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman ini bertujuan semata-mata untuk memberi inspirasi dan ilustrasi.

Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2026 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U).

SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page