Q&A: Perspektif Pengembara (EP.3)
- Pengembara Nomad
- 23 jam lalu
- 2 min membaca
Dalam episod 3 kali ini, pengembara diberikan gambaran yang jelas tentang kesan mengembara terhadap diri dan masyarakat serta bagaimana cara kita melihat dunia.
Pertama sekali, terdapat perbezaan yang ketara antara mengembara dan melancong. Melancong biasanya lebih selesa, lebih terancang dan bertujuan untuk mengecapi keseronokan, manakala mengembara pula penuh dengan cabaran, risiko dan ketidakselesaan. Walaupun mengembara adakalanya tidak menyeronokkan, ramai yang memilih untuk keluar mengembara kerana ia menjadi satu cara untuk melepaskan tekanan hidup seperti masalah di tempat kerja, kewangan dan keluarga. Walau bagaimanapun, diingatkan juga bahawa perbuatan melarikan diri daripada realiti atau escapism menjadi tidak sihat, jika pengembara tersebut sudah mula mengabaikan komitmen dan tanggungjawab dalam hidup.
Selain itu, mengembara boleh mematangkan seseorang dan mengubah cara pengembara berfikir. Namun, perubahan ini hanya boleh berlaku jika pengembara tersebut mempunyai sikap keterbukaan dan kesedaran diri yang tinggi. Pengembaraan mengajar pengembara untuk tidak menilai sesuatu hanya dalam perspektif "hitam dan putih", sebaliknya melihat keadaan dengan lebih berwarna-warni, lebih-lebih lagi apabila melibatkan manusia.
Apabila mengembara, pengembara akan terdedah kepada realiti sebenar dunia yang menyingkap sisi gelap kehidupan seperti kemiskinan dan penindasan. Walaupun kesedaran tentang realiti pahit ini kadangkala membuatkan hati berasa kosong, pengembaraan sebenarnya membuka mata pengembara terhadap pelbagai hakikat kehidupan. Semakin banyak mengembara, semakin pengembara sedar betapa banyak perkara yang mereka masih tidak tahu. Semakin banyak mengembara, semakin banyak realiti sebenar yang dapat dilihat oleh pengembara. Namun, hakikat ini dapat mengajar pengembara untuk lebih bersyukur dan menghargai kehidupan di negara sendiri.
Media sosial antara penyumbang terbesar kepada cara orang mengembara pada hari ini, dan keadaan ini semakin membimbangkan. Media sosial turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada masalah kerosakan alam sekitar, overtourism, perubahan iklim dan sebagainya. Ramai pengembara pada hari ini terlalu mengejar kandungan (content) dan perhatian di media sosial berbanding menghayati pengalaman sebenar pengembaraan. Terdapat juga pengembara yang hanya mahu mengumpul pengalaman peribadi untuk kepuasan diri atau sekadar mengumpul pengalaman, tetapi kurang rasa tanggungjawab untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
Antara perkara paling berharga yang boleh dipelajari oleh pengembara daripada penduduk tempatan semasa mengembara ialah respect dan kindness. Sebagai tetamu yang berada di tempat orang, pengembara perlulah menghormati tuan rumah. Tuan rumah juga tidak sepatutnya terpaksa menghabiskan wang atau mengubah identiti asal mereka semata-mata untuk memberikan keselesaan kepada pengembara. Menariknya, pengalaman mengembara yang paling sukar dan perit selalunya merupakan pengalaman yang paling sering diingati oleh kebanyakan pengembara. Mereka yang berani memilih untuk keluar daripada zon selesa hanya untuk merasai kepayahan sebenarnya sedang mempersiapkan diri agar lebih kuat dalam menghadapi ujian hidup pada masa hadapan. Tidak semua yang memilih untuk keluar dari zon selesa.
Daripada perspektif saya sebagai seorang pengembara, makna sebenar pengembaraan adalah satu proses berterusan untuk memahami kehidupan. Ia bukanlah satu perjalanan untuk mencari satu jawapan yang tetap, tetapi lebih kepada proses menyambung titik-titik jawapan yang ditemui sepanjang perjalanan untuk memahami tujuan hidup di atas dunia ini.
Dengarkan Episod 3 ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang pelbagai persoalan yang dikupas dalam sesi soal jawab podcast kali ini.