top of page

Q&A: Perspektif Pengembara (EP.5)

Updated: 20 jam lalu

Dahulunya, saya merupakan seorang yang sangat suka duduk di rumah dan lebih gemar menghabiskan masa di dalam bilik dengan menonton filem, drama, mendengar lagu, dan membaca. Walaupun saya menyifatkan diri sebagai seorang 'orang rumah', hakikatnya berjalan kaki dan bergantung pada pengangkutan awam sudah menjadi kebiasaan hidup saya sejak berumur 11 tahun, selepas mendapat kebebasan dan keizinan daripada kedua ibu bapa.


Minat untuk melihat dunia luar bermula daripada inspirasi filem-filem yang memaparkan keindahan musim sejuk dan keunikan seni bina di luar negara, seperti Home Alone, Harry Potter, dan The Polar Express. Pengalaman pertama saya ke luar negara adalah sewaktu menunaikan umrah pada tahun 2012. Namun begitu, ketika itu saya belum benar-benar menghargai dunia pengembaraan kerana sering teringat akan tanah air dan tidak sabar untuk pulang ke Malaysia.


Detik perubahan besar berlaku pada tahun 2015 apabila saya bekerja di sebuah syarikat GLC dan mula melihat budaya pekerja di sana yang kerap melancong ke luar negara. Saya mula bertanya bagaimana mereka mendapatkan wang dan menampung kos untuk ke luar negara, memandangkan selama ini saya menganggap bahawa aktiviti melancong hanya mampu dilakukan oleh golongan kaya. Perjalanan pertama saya adalah ke Korea dengan menyertai pakej yang lebih murah berbanding yang lain, namun pengalaman tersebut boleh dikatakan kurang menyenangkan disebabkan faktor cuaca sejuk pada musim bunga yang membuatkan saya berasa tidak selesa dan kesihatan sedikit terjejas. Rentetan insiden di Korea serta kenangan 'homesick' ketika di Tanah Suci dahulu, terdetik di dalam hati saya untuk tidak mahu lagi mengembara ke luar negara.


Sekembalinya dari Korea, timbul niat yang kuat dalam diri saya untuk berhenti kerja dari syarikat tersebut. Anehnya, walaupun sudah berputus asa untuk ke luar negara, saya masih lagi mencari destinasi seterusnya untuk dikunjungi. Saya memutuskan untuk ke Singapura terlebih dahulu bagi mencari kekuatan sebelum membuat keputusan muktamad, dengan menaiki bas menerusi pakej lawatan sehari (one-day trip) berharga RM99. Sewaktu berada di dalam bas, saya berkenalan dengan seorang penumpang lalu menceritakan tujuan sebenar saya ke Singapura. Tujuan saya bukanlah untuk melancong, sebaliknya untuk mencari kepastian sama ada saya patut meletakkan jawatan ataupun tidak. Perkenalan itu menjadikan saya lebih optimis. Sekembalinya dari Singapura, hanya seminggu kemudian saya nekad menyerahkan notis berhenti kerja 24 jam.


Selepas berhenti kerja daripada syarikat tersebut, saya meneruskan perjalanan ke Thailand. Walaupun ketika itu saya menganggur, saya masih mempunyai sedikit simpanan yang membolehkan saya menampung perbelanjaan ke sana. Sekembalinya dari Thailand, saya memberikan tumpuan untuk mencari pekerjaan sambil menyertai beberapa kursus latihan menggunakan wang simpanan sendiri. Saya juga berpeluang bertemu dengan seorang recruiter yang membimbing saya dalam usaha mendapatkan pekerjaan. Di sebalik tempoh menganggur itu, saya dipertemukan dengan seorang pengembara solo. Pertemuan tersebut membuka ruang kepada saya untuk menimba pelbagai ilmu dan pengalaman daripadanya.


Selepas beberapa bulan tidak ke luar negara sejak pulang dari Thailand dan memperoleh pekerjaan semula, saya nekad untuk kembali mengembara. Kali ini saya memberanikan diri memilih untuk mengembara secara DIY. Destinasi pilihan saya ialah Acheh, lokasi yang pernah meninggalkan kesan trauma yang mendalam pada saya pada tahun 2004. Kembara DIY ke Acheh pada penghujung tahun 2015, akhirnya menemukan saya dengan gaya pengembaraan yang saya cari selama ini. Di sana, saya merasa lebih bebas dan fleksibel untuk mengatur perjalanan sendiri. Pada masa yang sama, saya berpeluang berinteraksi dengan penduduk tempatan, termasuk mangsa tsunami yang terselamat. Pengalaman di Aceh menjadi batu loncatan untuk saya meneruskan pengembaraan ke destinasi-destinasi seterusnya. Pengalaman pengembaraan saya bermula dari bawah dan berkembang secara berperingkat.  Saya bermula dengan mengikuti pakej pelancongan, kemudian beralih kepada pengembaraan solo (solo backpacking), merentas sempadan melalui jalan darat, dan akhirnya mengambil keputusan paling berani, iaitu mengembara secara solo dengan berbasikal. Sebelum memulakan pengembaraan jangka panjang, saya memperuntukkan masa selama setahun untuk membuat persiapan berkaitan 48 buah negara di benua Asia dari pelbagai aspek teknikal, termasuk keperluan visa, pintu sempadan, pengangkutan, solo camping, dan cara membaiki basikal.


Mengapa akhirnya saya memilih untuk mengembara? Pengembaraan bukan sekadar satu cara untuk melarikan diri daripada tekanan atau sekadar bentuk escapism yang tidak dapat saya nafikan. Sebaliknya, pengembaraan merupakan sebuah proses pembelajaran yang mengajar saya untuk lebih bersikap terbuka, di samping mengubah perspektif dan cara saya melihat dunia.


Pengembaraan berlaku melalui pemerhatian, pengalaman, serta interaksi dengan pelbagai lapisan masyarakat, sama ada sesama pengembara mahupun masyarakat tempatan. Daripada setiap pertemuan dan pengalaman tersebut, saya belajar memahami kehidupan dari perspesktif yang berbeza. Sepatutnya, pengembaraan menjadikan seseorang itu lebih menjadi manusia.


Q&A: Episod 5Pengembara Nomad

 
 
  • Instagram
  • Facebook
  • TikTok

Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman ini bertujuan semata-mata untuk memberi inspirasi dan ilustrasi.

Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2026 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U).

SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page