Q&A: Perspektif Pengembara (EP.6)
- Pengembara Nomad
- 3 jam lalu
- 2 min membaca
Di tengah-tengah dunia yang sedang berhadapan dengan pelbagai isu pelancongan seperti overtourism, perubahan iklim, kemiskinan dan eksploitasi, setiap keputusan yang dibuat oleh seorang pengembara sebenarnya boleh memberikan kesan yang besar terhadap masyarakat, alam sekitar dan masa hadapan. Oleh itu, bagi melahirkan pengembara yang lebih bertanggungjawab dan mempunyai kesedaran diri, terdapat beberapa tip atau panduan yang boleh dijadikan rujukan, khususnya bagi mereka yang baru ingin memulakan pengembaraan.
Pertama, betulkan niat sebelum melakukan perjalanan. Apakah niat sebenar untuk mengembara? Adakah untuk membuktikan kepada orang lain berapa banyak negara yang telah dilawati? Adakah semata-mata untuk kepentingan diri atau untuk ingin memahami dunia dan menyumbang semula kepada masyarakat? Pengembara yang mempunyai kesedaran diri perlu memahami bahawa setiap perjalanan membawa peranan dan tanggungjawab terhadap masyarakat serta alam sekitar. Sebagai contoh, keputusan untuk menaiki kapal terbang turut menyumbang kepada pelepasan karbon yang memberi kesan terhadap alam sekitar. Kesedaran terhadap perkara-perkara sebegini penting agar pengembara tidak melihat perjalanan semata-mata sebagai satu bentuk keseronokan, menikmati keselesaan dan kepentingan peribadi semata-mata, tetapi turut mempertimbangkan kesan daripada setiap keputusan yang dibuat sepanjang pengembaraan.
Kedua, lengkapkan diri dengan ilmu pengembaraan dengan sebaiknya. Ilmu pengembaraan boleh diperoleh melalui pelbagai medium seperti buku, majalah, blog, carian internet dan media sosial. Pengembara yang masih baharu juga digalakkan untuk menimba pengalaman daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam dunia pengembaraan. Ilmu yang dimaksudkan ini turut meliputi aspek teknikal seperti perancangan perjalanan, pengurusan kewangan, keselamatan dan sebagainya. Penguasaan terhadap aspek-aspek ini merupakan sebahagian daripada pemahaman terhadap konsep sunnatullah, iaitu memahami aturan, hukum dan hubungan sebab-akibat yang berlaku dalam kehidupan serta alam.
Ketiga, perbanyakkan berjalan kaki. Berjalan kaki merupakan antara amalan fizikal yang amat digalakkan, khususnya bagi pemula yang ingin memulakan pengembaraan. Ia mudah dilakukan, tidak memerlukan kos yang tinggi atau peralatan khusus, dan boleh dilakukan oleh hampir semua orang. Berbanding aktiviti seperti mendaki gunung, berlari atau berbasikal yang memerlukan tahap kecergasan dan kelengkapan tertentu. Pada masa yang sama, ia turut memberikan pelbagai manfaat kepada kesihatan fizikal dan mental. Ramai pengembara, penulis dan ahli falsafah terdahulu menemukan inspirasi melalui perjalanan yang sebahagiannya bermula dengan berjalan kaki.
Keempat, memiliki kesedaran diri (self-awareness). Ali Shariati melihat kesedaran diri sebagai sesuatu yang penting dalam proses pembebasan manusia daripada keadaan yang membelenggu dirinya. Dalam konteks pengembaraan, kesedaran diri menjadikan seseorang lebih peka terhadap realiti yang berlaku di sekelilingnya. Sepanjang perjalanan, pengembara mungkin melihat atau berhadapan dengan pelbagai isu seperti kemiskinan, penindasan, ketidaksamaan sosial, eksploitasi manusia dan kerosakan alam sekitar. Kepekaan terhadap realiti inilah yang boleh membentuk rasa tanggungjawab sosialnya terhadap masyarakat dan alam sekitar.
Akhir sekali, kebergantungan kepada Tuhan. Pengembaraan tidak seharusnya hanya bergantung kepada usaha fizikal dan pencarian ilmu (sunnatullah), tetapi turut disertai dengan aspek spiritual seperti doa, ibadah dan hubungan yang dekat dengan Tuhan (syariatullah). Kedua-duanya saling melengkapi dan perlu bergerak seiring dalam perjalanan seorang pengembara. Usaha dan ilmu membolehkan kita menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya, manakala pergantungan kepada Tuhan mengingatkan kita bahawa manusia tetap mempunyai batas dan segala yang berlaku berada dalam pengetahuan serta kehendak-Nya.