Rausyanfikir: Tanggungjawab Pengembara Terhadap Masyarakat Menurut Ali Shariati
- Pengembara Nomad
- 23 jam lalu
- 5 min membaca
Pengenalan
Masyarakat hari ini sedang berdepan dengan cabaran individualisme yang semakin ketara, sehingga sikap peduli terhadap orang lain semakin terhakis. Berinspirasikan idea dan kerangka pemikiran Ali Shariati, peranan pengembara sebagai ejen perubahan masyarakat terus menjadi topik yang relevan untuk dibincangkan. Bersempena memperingati pemergian beliau pada 19 Jun 1977, podcast khas Pengembara Nomad kali ini menampilkan tetamu jemputan, Dr Teo Lee Ken, untuk mengupas konsep Rausyanfikir bagi memahami perbezaan antara seorang pelancong dengan seorang pengembara yang tercerahkan, iaitu individu yang bukan sahaja mencari pengalaman, malah turut mempunyai kesedaran diri dan juga tanggungjawab terhadap masyarakat.
Latar Belakang Ali Syariati dan Konteks Pemikirannya
Ali Shariati merupakan seorang ahli sosiologi, ahli akademik dan juga penulis. Malah, sosok yang sering digelar sebagai seorang 'ideolog' oleh para sarjana kerana dilihat sebagai antara tokoh utama yang mencetuskan kesedaran yang akhirnya membawa kepada Revolusi Iran. Pemikirannya terbentuk daripada gabungan latar belakang bahasa dan sastera, pengaruh falsafah serta politik Eropah ketika menuntut di Sorbonne (Perancis), di samping berakar kuat dalam tradisi teologi Islam dan Syiah.
Pengaruh agama dalam kehidupan beliau sangat kuat. Ayahnya, Mohammad-Taqi Shariati, merupakan seorang guru agama dan ulama yang menubuhkan pusat penyebaran agama. Oleh sebab itu, Ali Shariati banyak menjadikan sejarah keluarga Nabi Muhammad SAW, tradisi Syiah dan peristiwa "Battle of Karbala" sebagai asas kepada pemikirannya.
Pada zamannya, beliau mengambil pendirian yang mencabar sehingga dikritik oleh pelbagai pihak. Golongan kiri tidak bersetuju dengannya kerana beliau memasukkan unsur agama dalam wacana sosial dan politik, manakala golongan kanan serta agamawan tradisional pula menganggap beliau tidak mematuhi kerangka ortodoks yang sedia ada. Beliau juga mengkritik golongan agamawan yang tidak mengambil peduli terhadap persoalan pemerintahan dan politik, di samping menentang sikap segelintir masyarakat yang terlalu taksub meniru acuan Barat dan percaya bahawa tradisi, agama dan budaya perlu ditinggalkan demi mencapai kemajuan.
Sebaliknya, Ali Shariati menegaskan bahawa kemajuan sebenar perlu berakar daripada tradisi, budaya dan agama. Bagi beliau, agama (Islam) bukanlah penghalang kepada kemajuan, malah merupakan enjin yang mampu menggerakkan perubahan dan membangunkan masyarakat.
Konsep Rausyanfikir vs Intelektual
Bagi menggerakkan perubahan dalam masyarakat yang sedang bergelut dengan pelbagai bentuk penindasan dan keruntuhan nilai, Ali Shariati memperkenalkan konsep Rausyanfikir. Dari segi bahasa Parsi, Rausyan bermaksud "membuka" (open atau turn on), manakala fiqr bermaksud "fikir". Oleh itu, konsep ini boleh difahami sebagai individu yang pemikirannya telah tercerahkan (the enlightened one) atau sebagai proses "membuka pemikiran" (opening the thought atau turning on the thinking). Malah, Ali Shariati sendiri menggunakan istilah the enlightened one untuk merujuk kepada konsep tersebut, yang membawa maksud "orang yang tercerah".
Ali Shariati menegaskan terdapat perbezaan antara seorang intelektual dengan seorang Rausyanfikir. Seorang intelektual atau sarjana mungkin memiliki kelayakan akademik yang tinggi, seperti PhD, serta kepakaran dalam bidang tertentu, namun hal itu tidak semestinya menjadikan mereka seorang Rausyanfikir. Mereka mungkin cenderung bersifat individualistik, mengasingkan diri daripada masyarakat dan tidak mengambil peduli terhadap realiti yang dihadapi oleh masyarakat sekeliling. Dalam sesetengah keadaan, golongan intelektual juga boleh menjadi penyokong kepada sistem sedia ada (status quo) yang bersifat menindas.
Berbeza dengan seorang intelektual, Rausyanfikir ialah individu yang mempunyai keprihatinan yang mendalam terhadap penderitaan masyarakat, keupayaan untuk menganalisis punca permasalahan yang dihadapi, serta kesedaran dan keinginan untuk membawa perubahan. Bagi Ali Shariati, ilmu dan pemikiran tidak seharusnya terhenti pada penguasaan akademik semata-mata, sebaliknya perlu disertai dengan rasa tanggungjawab sosial dan komitmen untuk memperbaiki keadaan masyarakat.
Memahami Tanggungjawab Sosial dari Maksud "Penjara Manusia"
Untuk memahami tanggungjawab sosial, Ali Shariati menjelaskan bahawa manusia terbelenggu dalam beberapa bentuk "penjara", antara salah satunya ialah penjara materialisme dan yang paling besar adalah "penjara diri sendiri" (the prison of the self). Ini bermaksud kita yang menghalang diri sendiri daripada dibebaskan. Bagi membebaskan diri daripada penjara ini, manusia memerlukan cinta dan agama, iaitu cinta kepada sesuatu tujuan yang lebih besar daripada diri sendiri, yang akan mendorong kepada pengorbanan tulen tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Melalui proses ini, manusia boleh berubah daripada sekadar makhluk dari sifat biologi dan nalurinya (Basyar) kepada makhluk yang mempunyai kesedaran yang tinggi (Insan).
Selagi manusia mementingkan diri sendiri dengan sikap "semua ini bukan masalah aku", mereka seolah-olah "orang hidup yang sudah mati". Jika sikap tidak peduli ini hilang, masyarakat dalam jangka masa pendek dan panjang akan akan menjadi mundur (backward society) dan berdepan cabaran seperti kemiskinan, ketaksamaan (inequality), serta peleraian hubungan sosial antara komuniti atau masyarakat.
Bagi memahami konsep tanggungjawab sosial, Ali Shariati menjelaskan bahawa manusia terbelenggu dalam beberapa bentuk "penjara". Antaranya ialah penjara materialisme, namun yang paling besar ialah "penjara diri sendiri" (the prison of the self). Menurut beliau, manusia sering menjadi penghalang terbesar kepada kebebasan dirinya sendiri.
Bagi membebaskan diri daripada penjara ini, manusia memerlukan cinta dan agama, iaitu kecintaan terhadap sesuatu tujuan yang lebih besar daripada kepentingan diri sendiri. Cinta ini akan mendorong manusia kepada pengorbanan yang tulen tanpa mengharapkan sebarang balasan. Melalui proses tersebut, manusia dapat berubah daripada sekadar makhluk yang didorong oleh sifat biologi dan naluri (Basyar) kepada makhluk yang memiliki kesedaran yang lebih tinggi (Insan).
Selagi manusia hanya mementingkan diri sendiri dengan sikap "semua ini bukan masalah aku", mereka seolah-olah menjadi "orang hidup yang sudah mati". Apabila rasa kepedulian terhadap masyarakat semakin hilang, masyarakat dalam jangka pendek mahupun jangka panjang berisiko menjadi masyarakat yang mundur (backward society). Keadaan ini seterusnya boleh membawa kepada pelbagai masalah seperti kemiskinan, ketidaksamaan (inequality), serta keruntuhan/peleraian hubungan sosial dalam komuniti atau masyarakat, sekiranya budaya tidak peduli terhadap nasib orang lain terus berleluasa.
Pengembara Sebagai Rausyanfikir
Dalam konteks pengembaraan pula, menurut Dr Teo Lee Ken, kerangka Rausyanfikir ini boleh diaplikasikan sepenuhnya. Seorang pengembara sejati boleh diangkat sebagai seorang Rausyanfikir sekiranya perjalanannya didorong oleh keinginan untuk memahami denyut nadi masyarakat tempatan. Hal ini sangat sinonim dengan konsep "merantau" dalam alam Melayu, iaitu suatu perjalanan untuk mencari ilmu, membesarkan jiwa (rohani), dan akhirnya kembali untuk menyumbang kepada masyarakat asal.
Terdapat perbezaan falsafah yang ketara antara seorang pengembara dan seorang pelancong. Seorang pelancong sering melakukan perjalanan sekadar untuk memenuhi tuntutan status sosial, mencari keselesaan, dan memuaskan kehendak material. Mereka cenderung mencari kelainan pada aspek luaran (zahir atau eksoterik) serta lebih gemar mengunjungi destinasi yang sudah menjadi arus perdana (mainstream) demi memenuhi keselesaan diri.
Sebaliknya, seorang pengembara yang sedar akan mempraktikkan pemerhatian yang mendalam (observation), menyelami kehidupan masyarakat setempat (immersion) secara rohani dan emosi, serta memiliki sensitiviti dan empati yang membolehkannya berakar dalam masyarakat yang dilawati. Mereka lebih cenderung mencari nilai esoterik, iaitu dimensi batin atau intipati sesuatu tempat.
Seorang pengembara yang sedar tidak hanya melihat keindahan fizikal sesebuah bangunan. Sebagai contoh, mereka tidak sekadar mengambil gambar masjid berwarna biru di Isfahan yang cantik, tetapi memikirkan falsafah di sebalik senibinanya. Mengapa bentuknya sedemikian? Mengapa warna biru turquoise digunakan? Apakah simbol atau makna yang terkandung di sebaliknya. Tujuan pengembaraan bukan sekadar untuk mengikuti arus, tetapi untuk mencari yang terpinggir dan memahami perkara yang berada di bawah arus perdana.
Pandangan ini selari dengan pesanan Ali Shariati bahawa individu yang sedar seharusnya mendekati dan bergaul dengan masyarakat biasa serta golongan yang berada di bawah, dan bukannya hanya berlegar dalam kelompok elit semata-mata.
Ikuti perbincangan dalam episod khas kali ini dari awal hingga akhir untuk memahami dengan lebih mendalam perbezaan antara seorang pelancong dengan seorang pengembara yang tercerahkan. Melalui kupasan konsep Rausyanfikir yang diperkenalkan oleh Ali Shariati, kita akan dibawa menelusuri makna sebenar pengembaraan, kesedaran dan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.