Risalah untuk Para Pesakit oleh Badiuzzaman Said Nursi
- Pengembara Nomad
- 23 Ogo
- 5 min membaca
Updated: 6 Sep
Daripada koleksi bab-bab kecil dari Risalah An-Nur, sedikit petikan sebagai berita gembira buat mereka yang sedang sakit ketika ini;-
1. “Sakit yang anda hadapi bukanlah penyakit buat anda, tetapi ia adalah sejenis rawatan.”
2. “Jadi sakit akan memberikan keuntungan yang besar kepada modal yang dimiliki oleh seseorang dan tidak akan membenarkan umurnya dihabiskan dengan segera. Sakit akan melambatkan perjalanan langkah kehidupan, menahannya, memanjangkan umur dan akhirnya berhenti setelah membuahkan hasil. Oleh itu, masa menjadi panjang,......”
3. “Sakit yang anda alami boleh menukarkan setiap minit umur anda bersamaan setiap jam ibadat. Hal ini adalah kerana ibadat terbahagi kepada dua bahagian: Pertama: Ibadah aktif iaitu yang dilakukan dengan anggota badan melalui solat, doa dan yang seumpamanya. Kedua: Ibadah pasif seperti sakit dan musibah.”
4. “Sakit yang anda alami boleh menukarkan setiap minit umur anda bersamaan setiap jam ibadat. Hal ini adalah kerana ibadat terbahagi kepada dua bahagian: Pertama: Ibadah aktif iaitu yang dilakukan dengan anggota badan melalui solat, doa dan yang seumpamanya. Kedua: Ibadah pasif seperti sakit dan musibah.”
5. “Rasulullah SAW bersabda: “Jika Allah menguji seseorang hamba muslim pada tubuh badannya, Allah Yang Maha Agung berkata: Tulislah baginya amalan yang soleh. Jika Allah menyembuhkannya daripada penyakit itu, dia akan menjadi bersih dan suci. Akan tetapi, jika Allah mematikannya dengan sebab penyakit itu, Allah akan mengampuni dan merahmatinya.” Diriwayatkan oleh Ahmad Sahih al-Jami' al-Saghir dan tambahannya, hlm. 256 dan al-Irwa', hlm. 553.”
6. “Janganlah anda ragu-ragu bahawa satu minit daripada kesukaran yang anda hadapi disebabkan sesuatu penyakit boleh menjadi seribu minit dan dapat memanjangkan umur anda, bahkan anda hendaklah mensyukurinya.”
7. “Maka penyakit berperanan sebagai seorang penasihat dan pemberi peringatan. Lantaran itu, tidak perlulah anda berkeluh-kesah jika penyakit mendatangi anda, bahkan anda patut bersyukur. Jika penyakit yang anda hadapi itu tidak terlalu kuat, maka hendaklah anda bersabar menghadapinya.”
8. “Sebahagian daripada hikmah al-Asma al-Husna akan tersingkap dan terzahir melalui sakit dan musibah yang dihadapi. la juga akan memancarkan keindahan kerdipan cahaya yang memaparkan hikmah dan rahmat Ilahi. Ketika hijab tersingkap, maka di sebalik penyakit yang tidak disukai itu, anda akan menemui hakikat, keindahan yang mendalam dan disenangi oleh jiwa anda.”
9. “Sesungguhnya penyakit yang anda alami sebenarnya tidak menghilangkan kelazatan nikmat Ilahi, bahkan menambahkan lagi kelazatannya.”
10. “Wahai pesakit yang sedang mengalami kesakitan! Melalui pengalaman saya pada masa lalu, sekarang saya merasa sangat yakin bahawa penyakit yang dihidapi oleh segolongan manusia merupakan satu bentuk rahmat Ilahi dan hadiah Yang Maha Mengasihani.”
11. “Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang Allah menghendaki kebaikan baginya, maka dia akan dikenakan musibah.” Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Malik.”
12. “Sebenarnya, penyakit ibarat kesihatan bagi anda. Manakala kesihatan yang sedang dinikmati oleh sebahagian manusia pula adalah penyakit buat mereka.”
13. “Wahai pesakit yang mengingati akhiratnya! Sebenarnya sakit yang anda alami membersihkan dosa anda umpama tindakan penyucian sebuku sabun.”
14.“Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Tiada seorang muslim yang ditimpa kesakitan, melainkan Allah akan menggugurkan kesalahan-kesalahannya, sebagaimana dedaunan yang gugur.”
15. “Dosa ialah penyakit yang kronik dalam kehidupan yang abadi, manakala dalam kehidupan dunia ini, ia merupakan penyakit maknawi (penyakit rohani) yang menimpa hati, perasaan dan roh. Jika anda bersabar dan tidak mengadu, maka anda akan terselamat daripada penyakit-penyakit yang mendatang.”
16. “Jika anda lalai terhadap dosa-dosa anda, lupa terhadap akhirat dan cuai terhadap Tuhan, saya menegaskan bahawa anda pasti akan menghadapi penyakit yang berbahaya ia lebih besar berjuta kali ganda daripada penyakit-penyakit yang sedang dialami sekarang.”
17. “Banyak kali telah berlaku, orang yang menangisi pesakit yang berada dalam keadaan nazak terlebih dahulu mati daripada orang yang mereka tangisi itu, sedangkan mereka memiliki kesihatan yang amat baik. Akan tetapi, orang yang ditangisi kerana menghidap penyakit yang boleh menyebabkan kematian itu disembuhkan oleh Allah lalu dia dapat hidup lebih lama.”
18. “Kematian itu sendiri tidaklah menakutkan, sebagaimana yang kita lihat pada zahirnya.”
19. “Kematian bagi seseorang mukmin itu ialah perlepasan dan berakhirnya bebanan daripada tugas kehidupan dan kesulitannya. Bahkan wajib kita menganggapnya sebagai berita gembira untuk memperolehi rahmat dan kebahagiaan.”
20. “Wahai pesakit yang gelisah tanpa sebab! Anda sebenarnya berasa gelisah terhadap keterukan penyakit anda dan kegelisahan itu hanya akan menambahkan lagi beban sakit yang sudah sedia ada.”
21. “Jika anda ingin meringankan beban kesakitan yang dialami, anda hendaklah cuba untuk tidak gelisah dengan cara berfikir tentang faedah dan ganjaran yang anda akan peroleh melalui penyakit yang dihidapi. Dengan cara ini anda dapat menghilangkan kegelisahan dan seterusnya menyembuhkan penyakit yang anda alami sehingga ke akar umbi.”
22. “Ya, memang kegelisahan akan menambahkan kesakitan menjadi dua kali ganda. Hal ini demikian kerana kegelisahan akan menyebabkan penyakit maknawi (penyakit rohani) masuk ke dalam hati di sebalik penyakit fizikal yang anda hadapi.”
23. “Ya, sebagaimana bersyukur akan menambahkan nikmat, maka begitu juga merungut akan menambahkan lagi sakit dan musibah. Selain itu, gelisah itu sendiri ialah penyakit. Rawatan untuknya adalah dengan mengetahui hikmah dan tujuan penyakit yang dialami itu.”
24. “Seseorang mukmin yang bertakwa akan terus menerima pahala amalan ibadah yang dilakukannya meskipun ketika dia sedang sakit. Keadaan sakitnya tidak menghalang dia daripada terus memperoleh pahala. Seseorang pesakit yang menunaikan ibadah fardu sekadar kemampuannya dengan penuh kesabaran dan tawakal, maka keadaan sakitnya itu dapat menggantikan seluruh ibadah sunat ketika dia berada dalam keadaan yang amat sakit.”
25. “Daripada Abu Musa al-Ash'ari, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang hamba sakit atau bermusafir, Allah SWT akan menulis pahala baginya sebagaimana yang dia biasa lakukan ketika berada dalam keadaan bermukim dan sihat.” Diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Bukhari.”
Untuk anda yang ingin menyelami hikmah dan ibrah daripada risalah-risalah yang ditulis oleh Badiuzzaman Said Nursi, kami mengalu-alukan anda untuk turut serta bersama Komuniti Pengembara Nomad.
Perspektif:
Tidak sampai dua jam, saya selesai mengkhatamkan buku Risalah untuk Para Pesakit karya Badiuzzaman Said Nursi. Air mata mengalir tanpa henti selama sejam lebih lamanya. Ketika ini, sedang berdoa dengan penuh pengharapan sempena Hari Arafah yang merupakan antara hari yang paling mustajab untuk berdoa.
Zulhijjah adalah bulan yang bermakna buat saya selepas Ramadan dan Syawal. Zulhijjah adalah bulan saya dilahirkan mengikut kalender Islam.
Hari ini adalah hari yang saya nanti-nantikan sebagai seorang pesakit yang sentiasa mengharapkan kesembuhan. Saya sering tertanya, mengapa saya terpaksa melalui proses yang begitu panjang dan lama untuk memahami "Kenapa aku diuji banyak sangat ujian?"
Sedangkan orang lain diizinkan sembuh dengan cepat tanpa melalui proses yang begitu panjang dan lama seperti saya. Saya mencari jawapan bertahun-tahun lamanya selepas saya diuji jatuh sakit. Tetapi, saya masih diberi kekuatan untuk meneruskan kerja-kerja dan tugasan untuk saya survive walaupun dalam keadaan yang sukar.
Hari yang penuh bermakna, saya sedar bahawa ujian yang saya lalui ini adalah tanda kasih sayang Allah yang menjadikan sakit yang saya lalui merupakan ibadah buat saya bertahun lamanya. Setiap minit adalah ibadah untuk saya.
Harapan dan doa saya pada hari Arafah tahun ini agar Allah mempermudahkan urusan saya dunia dan akhirat. Sentiasa berada dalam rahmat Allah.