top of page

Seni Pengembaraan: Realiti atau Delusi?

  • Writer: Pengembara Nomad
    Pengembara Nomad
  • 18 jam lalu
  • 10 min membaca

Updated: 3 jam lalu

Pengembaraan sering difahami dalam kalangan pengembara kita pada hari ini sebagai satu bentuk pergerakan fizikal semata-mata, iaitu pergerakan dari satu tempat ke tempat yang lain. Terdapat juga dalam kalangan mereka yang menjadikan pengembaraan sebagai satu bentuk escapism, iaitu usaha untuk melarikan diri daripada realiti atau tekanan hidup. Saya juga melihat bahawa masyarakat kita pada hari ini secara umumnya sering melancong ke luar negara hanya sekadar untuk menghabiskan cuti tahunan, serta menetapkan senarai negara yang perlu dilawati setiap tahun, seolah-olah ia menjadi satu bentuk pencapaian yang memberi kepuasan peribadi kepada mereka. Malah, terdapat juga yang tujuan melancong hanyalah untuk mengumpul gambar-gambar yang cantik sebagai koleksi dan bukti bahawa mereka telah menjejakkan kaki ke tempat tersebut.


Dalam buku The Art of Travel karya Alain de Botton, penulis menggambarkan bahawa pengembaraan yang sebenar tidak hanya sekadar pergerakan fizikal semata-mata. Sebaliknya, ia merupakan satu "seni" atau cara dalam memahami pengembaraan itu sendiri. Ianya lebih cenderung mengajar bagaimana seseorang melihat dan mentafsir perjalanan. Namun, terdapat beberapa perkara yang wajar diteliti dan dinilai semula berkaitan pandangan yang dikemukakan oleh penulis. Sedikit sebanyak, penulisan beliau sendiri telah membuka mata saya untuk lebih melihat realiti, berbanding terperangkap dalam imaginasi saya sendiri. Saya tidak menafikan bahawa penulisan beliau mampu membuka perspektif baharu dalam memahami dunia. Masyarakat kita pada hari ini secara umumnya lebih cenderung dan terperangkap dalam dunia imaginasi (khayalan) mereka sendiri. Saya juga tidak berpegang hanya kepada fakta semata-mata tanpa menilai 'perangkap' khayalan yang wujud dalam pengalaman pengembara masa kini.


Pengembara seharusnya mampu membezakan antara “jangkaan vs realiti”. Mereka sering meletakkan satu jangkaan yang tinggi, sama ada sebelum mahupun semasa perjalanan dengan mengabaikan realiti sebenar. Sebagai contoh yang mudah difahami, mereka sering menganggap bahawa bandar Istanbul dipenuhi dengan imej atau kecantikan yang sempurna seperti yang dipaparkan di media sosial. Seni bina Hagia Sophia yang memukau, langitnya yang biru tanpa awan, serta pemandangan Selat Bosphorus yang mendamaikan.


Hakikatnya, masyarakat yang tinggal di Istanbul kini sedang berdepan dengan pelbagai cabaran kehidupan, termasuk kos sara hidup yang semakin meningkat dan tidak stabil. Tekanan ekonomi ini turut memberi kesan kepada aspek psikologi, khususnya isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat yang tinggal di sana. Setelah melihat gambaran tentang realiti kehidupan di Istanbul yang saya ceritakan ini, adakah kita sudah mula tertanya tentang realiti yang berlaku di Istanbul? Sebaik sahaja persoalan timbul dalam fikiran dan mula meragukannya, maka kesedaran diri mula wujud.


Ini jelas menunjukkan bahawa walaupun kita mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap sesebuah destinasi, jangkaan tersebut tidak semestinya mencerminkan realiti sebenar. Dengan mengetahui realiti, termasuk sisi gelap Istanbul itu sendiri, ia tetap membawa kita untuk turut “hadir” dan merasai pengalaman di bandar tersebut. Saya turut melihat realiti yang berlaku di Istanbul ini sebagai sebahagian daripada “sunnatullah”, iaitu suatu ketetapan yang berlaku dalam kehidupan masyarakat yang tinggal di sana.


Dari sudut yang lain, pengembaraan atau percutian pada hari ini sering dijadikan sebagai satu bentuk escapism atau jalan untuk melarikan diri daripada masalah. Hakikatnya, tidak kira sejauh mana kita lari daripadanya, masalah itu tetap akan kekal, selagi kita tidak berusaha untuk menghadapinya dan mencari penyelesaian yang sebenar. Sikap lari daripada masalah ini atau ciri-ciri avoidant ini sudah sebati dalam diri masyarakat (umumnya) kita pada hari ini. Bukan sahaja dalam kehidupan harian, tetapi turut terbawa-bawa dalam pengembaraan mereka.


Apa yang menimbulkan persoalan dalam fikiran saya ialah, adakah benar pengembaraan mereka ini membawa kepada perubahan yang lebih baik, jika escapism ini menjadi amalan dalam masyarakat pada hari ini? Mungkin persoalan ini menjadi jawapan bahawa escapism merupakan antara faktor yang menyumbang kepada “kerosakan” dunia hari ini. Hal ini berlaku apabila pengembaraan tidak lagi dilakukan dengan kesedaran diri dan rasa tanggungjawab. (Satu perkara yang perlu diteliti dan dinilai semula selepas ini.)


Realiti lain yang turut berlaku dalam kalangan pengembara masa kini ialah wujudnya "travel addiction" yang sering disebut-sebut dalam kalangan pengembara. Apabila tidak mengembara, seolah-olah jiwa menjadi gelisah dan tidak tenang. Fikiran seharian dipenuhi dengan bayangan terhadap destinasi yang ingin dilawati. Bagi mereka, pengembaraan dilihat sebagai satu cara untuk memperoleh kebebasan, atau sekadar bentuk escapism.


Apabila memikirkan travel addiction ini, saya sendiri pernah mengalaminya dan tidak terlepas daripadanya. Namun, masa dan komitmen mengubah segalanya. Apabila memikirkan komitmen, saya sedar bahawa saya tidak mampu untuk meneruskan gaya hidup sedemikian seperti yang diamalkan oleh kebanyakan pengembara pada hari ini. Pengalaman mengembara dalam jangka masa panjang yang pernah saya lalui (>2bulan + >6bulan) juga tidak menjadikan saya sebahagian daripada mereka yang memilih untuk bekerja sendiri atau mencari peluang membuka perniagaan semata-mata bagi membolehkan diri terus mengembara. Pada ketika itu, saya masih memilih untuk bekerja makan gaji, walaupun hanya sekadar kontrak. Selepas beberapa tahun, saya cuba untuk bekerja sendiri atas faktor keadaan kesihatan yang tidak menentu. Namun, realiti bekerja sendiri tidak seindah yang sering digambarkan dalam kalangan pengembara itu sendiri.


Saya turut menyedari bahawa wujud perbezaan antara saya dan pengembara yang memiliki pengikut yang ramai atau dikenali ramai. Mereka menjadikan pengembaraan sebagai medium untuk meraih perhatian dan mengejar populariti. Apabila populariti semakin meningkat, mereka dapat terus bertahan. Mereka mampu mengembara tanpa henti, mencari wang semata-mata untuk tujuan tersebut dan hanya fokus untuk memenuhi keperluan dan kehendak diri sendiri. Corak pengembaraan seperti ini sering dilakukan oleh orang Barat. Terdapat dalam kalangan mereka yang mengembara sehingga mengabaikan tanggungjawab. Apabila diteliti semula, mungkin sebahagian daripada mereka sebenarnya mengembara semata-mata untuk mencari kebebasan atau melarikan diri daripada realiti. Persoalannya, di manakah letaknya tanggungjawab sosial mereka terhadap masyarakat? Satu persoalan yang perlu difikirkan.


Dalam buku ini turut menceritakan kisah Xavier De Maistre yang menulis sebuah buku tentang "pengembaraan" di dalam bilik tidurnya sendiri yang bertajuk "Journey around My Bedroom". Mungkin kelihatan pelik, tetapi mesejnya memberi makna yang mendalam. De Maistre memberitahu bahawa pengembaraan yang memberi kepuasan tidak semestinya perlu menempuh penerbangan beribu-ribu batu jauhnya dari rumah. Malah, keindahan dan kelainan boleh ditemui di mana-mana sahaja, termasuk di tempat yang paling biasa sekalipun, asalkan mengetahui cara untuk melihatnya. Manusia semakin mudah berasa bosan dengan kawasan tempat tinggal mereka kerana kebiasaan telah membutakan mata mereka. "Kebiasaan" bagi mereka terlalu membosankan. Kita sudah terlalu biasa melihat jalan yang sama, bangunan yang sama, dan pokok yang sama, lalu kita berhenti melihatnya dengan penuh perhatian bahkan kesedaran diri.


Kunci sebenar pengembaraan terletak pada minda, bukan pada destinasi. Rahsia pengembaraan yang bermakna bukan bergantung kepada sejauh mana kita terbang, betapa eksotiknya destinasi yang dipilih, atau betapa mahalnya pakej pelancongan yang diambil. Minda seorang pengembara adalah keterbukaan (receptivity). Apabila seorang pengembara memiliki sikap terbuka, merendah diri, dan sikap ingin tahu, ia akan mengubah cara melihat dunia, seterusnya membentuk pengalaman kehidupan yang berbeza. Sebagai contoh, ketika bersiar-siar di kawasan kejiranan sendiri, dengan melihat bangunan, pokok, atau warna langit seolah-olah untuk pertama kali, kita sebenarnya mampu mengubah pengalaman yang biasa menjadi sesuatu yang luar biasa, seakan-akan kita baru pertama kali menjejakkan kaki di tempat tersebut.


Situasi lain yang saya lihat, apabila tiba di sesebuah destinasi, ramai yang melahirkan rasa kecewa kerana pemandangannya nampak biasa dan tidak istimewa. Tidak menggambarkan seperti yang diharapkan. Ini bukan kerana tempat itu tidak indah, tetapi kerana mereka tidak dilatih untuk melihat keindahan yang ada. Penulis sendiri mengakui bahawa pada mulanya beliau tidak nampak apa-apa yang menarik di Provence dimana beliau melihat ladang gandum dan pokok zaitun kelihatan biasa sahaja. Tetapi setelah meneliti lukisan Van Gogh yang menggambarkan tempat yang sama, pandangannya berubah sepenuhnya. Beliau mula melihat dengan mata (perspektif) yang baharu. Penulis belajar melihat bukan sahaja dengan mata, tetapi dengan jiwa dan perasaan.


Gambar bukan lagi sekadar rakaman dalam bentuk visual, tetapi dilihat sebagai bukti utama bahawa seseorang telah benar-benar menjejakkan kaki ke sesuatu tempat, selain berfungsi sebagai koleksi kenangan peribadi. Dalam kebiasaan ini, apabila seseorang melihat sesuatu yang menarik pada mata mereka, reaksi pertama yang berlaku bukan lagi untuk menikmati momen tersebut secara langsung, tetapi untuk segera merakamnya menggunakan kamera atau telefon pintar. Tokoh pemikir, John Ruskin mengingatkan "Saya percaya bahawa penglihatan adalah perkara yang lebih penting daripada lukisan; dan saya lebih rela mengajar melukis supaya murid saya belajar mencintai alam, daripada mengajar melihat alam supaya mereka belajar melukis". Penglihatan merupakan perkara yang lebih penting daripada sekadar menghasilkan lukisan.


Menurut beliau, mengajar seseorang melukis dengan tujuan supaya mereka belajar mencintai alam adalah lebih bermakna, berbanding mengajar mereka melihat alam semata-mata untuk menghasilkan lukisan yang baik. Pandangan ini menekankan bahawa proses melihat dan mengalami alam itu sendiri jauh lebih penting daripada hasil akhir (output). Dalam erti kata lain, pengalaman sebenar terhadap dunia di sekeliling perlu dihayati dengan penuh kesedaran, bukan sekadar dijadikan bahan untuk dokumentasi atau menghasilkan sesuatu karya.


Dalam kisah lain yang turut menarik perhatian saya ialah apabila saya menemukan jawapan kepada persoalan bagaimana saya atau mereka yang tidak berpeluang untuk mengembara lagi dapat terus merasai pengalaman pengembaraan. Penulis menyebut ruang-ruang liminal dan kawasan transit seperti stesen kereta api, lapangan terbang, lebuh raya, serta bilik hotel sebagai ruang menunggu yang sering dianggap membosankan tetapi mampu memberi sebuah pengalaman yang bermakna. Apa yang boleh dipelajari daripada penyair Perancis Charles Baudelaire dan pelukis Amerika Edward Hopper ialah tempat-tempat sebegini sebenarnya memiliki keindahan yang tersendiri dari segi perasaan dan makna. Ketiadaan perabot peribadi serta suasana rumah di dalam bilik hotel memberikan kita rasa lega kerana seketika terlepas daripada identiti diri dan keselesaan palsu yang ada di rumah sendiri. Apabila kita mengalihkan perhatian kepada pemandangan di luar tingkap yang sentiasa berubah sewaktu berada di dalam keretapi yang sedang bergerak, kita berpeluang untuk meneroka idea serta kenangan yang sukar dicapai ketika berada di rumah. Kita mungkin pernah berbual dengan orang yang baru sahaja dikenali di dalam kereta api yang sedang bergerak, dan tiba-tiba suasana tersebut menjadi lebih selesa untuk berinteraksi. Adakalanya, di tempat-tempat sebegini sesuai untuk melakukan refleksi diri.


"Perjalanan adalah bidan kepada pemikiran." - Alain De Botton


Apakah yang dimaksudkan dengan perjalanan adalah bidan kepada pemikiran? Kita mengetahui bahawa bidan membantu dalam proses kelahiran seorang wanita. Maksud “kelahiran” bukanlah bayi, sebaliknya idea, pemikiran, dan kesedaran dalam diri seseorang. Dalam erti kata lain, perjalanan bukan sekadar pergerakan fizikal, tetapi menjadi perjalanan membantu fikiran berkembang dan terbuka kepada perspektif baharu melalui pengalaman, budaya, dan persekitaran yang berbeza.


Konsep ini selari dengan pepatah Melayu, “Jauh perjalanan, luas pemandangan”, yang membawa maksud semakin banyak seseorang mengembara, semakin luas cara melihat dunia. Namun, pandangan saya lagi, walaupun tidak jauh saya mengembara, tetaplah luas pandangan dan pemikiran melalui kesedaran diri, refleksi, dan pemerhatian terhadap persekitaran sendiri.


Saya turut melihat realiti pengembara hari ini sangat mudah tertarik kepada sesuatu yang “eksotik”. Seolah-olah kita mencari sesuatu kelainan atau keunikan, namun saya sendiri tidak pasti apakah tujuan yang lebih jelas di sebalik kelainan yang mereka cari. Adakah mereka sebenarnya sedang berhadapan dengan kebosanan apabila hanya melihat perkara yang sama berulang kali atau perkara yang sama? Adakah kita benar-benar memahami maksud “eksotik” itu sendiri? Jika ditanya kepada saya, saya sendiri tidak pasti apa yang dimaksudkan di sebalik perkataan ini. Perkataan “eksotik” sering dikaitkan dengan stereotaip tertentu seperti padang pasir, unta, atau perkara-perkara yang jarang kita lihat di depan mata, sedangkan hakikatnya maknanya mungkin jauh lebih mendalam daripada itu.


Dalam pengembaraan, saya tidak meletakkan diri untuk mencari keunikan atau kelainan semata-mata. Sekiranya saya berbuat demikian, seolah-olah saya memaksa diri untuk mengejar elemen “eksotik” tersebut, yang akhirnya belum tentu memberi apa-apa manfaat kepada diri sendiri, melainkan hanya tekanan. Perkara yang perlu dirisaukan ialah apabila sejumlah besar wang telah dilaburkan demi mengejar elemen “eksotik”, tetapi akhirnya kita tidak mempelajari sesuatu daripada apa yang kita kejar selama ini. Saya tertanya-tanya, apakah sebenarnya tujuan pengembaraan mereka yang mempunyai pemikiran sebegini? Adakah mereka benar-benar mencari pengalaman “eksotik” ini untuk memberi kepuasan kepada diri sendiri? Atau sekadar menjadikannya sebagai bahan tontonan untuk audiens semata-mata demi mengejar sesuatu yang memberi keuntungan pada mereka?


Kisah Gustave Flaubert yang diceritakan di dalam buku ini sangat menarik perhatian saya. Penulis menceritakan di mana Flaubert berasa sangat bosan dan jijik dengan kehidupan masyarakat kelas pertengahan di Perancis yang disifatkannya sebagai sombong, prejudis, dan sentiasa mahu menunjuk-nunjuk. Apabila Flaubert mengembara ke Mesir, beliau mendapati kekacauan, bunyi bising, serta kesudian penduduk tempatan menerima realiti kehidupan yang kotor dan suci amat bertepatan dengan jiwanya. Flaubert menolak maksud yang sempit tentang kenegaraan dengan mengisytiharkan, "Bagi saya, negara asal saya ialah negara yang saya cintai, bermaksud negara yang membuatkan saya bermimpi, yang membuatkan saya berasa tenang".


Namun, daripada kisah ini, apa yang boleh dipelajari?


Seolah-olah Flaubert menyatakan Mesir adalah negara yang diimpikannya dan yang membuatkannya berasa tenang, sedangkan situasi dan suasana di Mesir juga mempunyai sisi gelapnya. Kenapa apabila berada di negara sendiri Flaubert merasakan jijik, tetapi di Mesir beliau tidak merasakan begitu? Persepsi seseorang terhadap sesuatu tempat sangat dipengaruhi oleh imaginasi, jangkaan, dan emosi dalaman, bukanlah dipengaruhi oleh realiti sebenar di tempat tersebut. Seseorang cenderung melihat apa yang ingin dilihat, dan bukan keseluruhan realiti. Ketika berada di negara sendiri, Flaubert mungkin sudah “terbiasa” dengan realiti di negaranya sehingga ia menimbulkan rasa jijik atau tidak selesa. Namun di Mesir, kerana ia asing dan baru, persepsi itu dipenuhi dengan rasa “eksotik”, keterujaan dan harapan. Maka, realiti sebenar atau sisi gelap tempat tersebut bukan menjadi keutamaan.


Penulis melihat kisah Gustave Flaubert ini sebagai satu bentuk kebebasan untuk mencipta semula identiti dan memilih kesetiaan sendiri. Namun, bagi saya, situasi Flaubert ini mungkin tidak realistik bagi orang lain yang tidak mempunyai peluang seperti dirinya untuk mengembara ke luar negara. Ia seolah-olah menjadi satu bentuk keistimewaan (privilege) bagi mereka yang mempunyai kemampuan kewangan untuk meneroka negara lain, lalu membuat perbandingan. Bagi mereka yang tidak berkemampuan, mungkin negara tempat mereka tinggal (negara asal) ialah negara yang mereka cintai, atau terpaksa mencintainya kerana tiada pilihan lain. Oleh itu, kita perlu hidup dalam dunia realiti berbanding terperangkap dalam delusi (khayalan). Adakalanya, delusi menyebabkan kita gagal belajar untuk menghargai dan mensyukuri apa yang kita kecapi saat ini.


Saya tidak menafikan bahawa pengembara pada hari ini memiliki sikap dan rasa ingin tahu yang tinggi. Sikap inilah yang mendorong ramai untuk mengembara. Terdapat segelintir pengembara pergi ke sesuatu tempat dengan membawa buku panduan, sehingga ada yang membaca dan menghafal fakta sejarah. Lazimnya, mereka juga akan melakukan carian di Google tentang destinasi yang akan dilawati. Namun, walaupun mereka mengetahui sesuatu, ia tidak bermakna mereka benar-benar memahaminya. Mereka lebih cenderung untuk percaya dan berpegang kepada fakta, berbanding melihat sesuatu secara menyeluruh, lebih-lebih lagi apabila melibatkan manusia yang sememangnya lebih kompleks. Manusia tidak boleh dilihat secara objektif semata-mata. Oleh itu, fakta sahaja tidak mencukupi untuk memahami sesuatu pengalaman atau realiti. Tanpa mereka sedari, mereka yang merasakan diri mereka “tahu” sesuatu belum tentu benar-benar memberikan makna yang mendalam kepada pemahaman mereka sendiri.


Kisah Humboldt yang mengembara ke Amerika Selatan, rasa ingin tahu yang sebenar bukan sekadar mengumpul maklumat. Tetapi, bertanya soalan yang kepada diri sendiri."Mengapa masyarakat ini membina rumah sebegini? Mengapa mereka makan makanan ini?" Dengan terciptanya persoalan, bermakna kesedaran diri mula wujud dalam diri. Walaupun fakta dianggap penting, kita tetap tidak akan mengubah cara kita berfikir sekiranya kita tidak benar-benar memahaminya."Rasa ingin tahu boleh digambarkan sebagai rantaian soalan kecil yang memanjang ke luar... daripada hab pusat yang terdiri daripada beberapa soalan besar yang tumpul". Ia bermula daripada beberapa soalan besar dalam diri kita, kemudian soalan-soalan kecil mula timbul ketika kita mula berfikir.


Pengembara yang memiliki kesedaran diri yang tinggi tidak hanya mengikuti senarai tempat popular yang disenaraikan dalam buku panduan. Malah, mereka tidak terlalu cepat untuk “tunduk” terhadap perubahan yang kononnya membawa manfaat kepada dunia pada hari ini. Sebaliknya, pengembara membina perjalanan mereka sendiri dengan disertai kesedaran diri dan rasa tanggungjawab.

 
 
  • Instagram
  • Facebook
  • TikTok

Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman ini bertujuan semata-mata untuk memberi inspirasi dan ilustrasi.

Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2026 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U).

SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page