top of page

The Art of Travel: Jika Mengembara Bukan Lagi Jalannya?

Sudah beberapa buah buku berkaitan pengembaraan yang saya baca dan dari situ timbul satu persoalan dalam fikiran, “Apa makna yang tinggal jika mengembara bukan lagi jalannya?” Saya perhatikan, tidak ramai yang mengembara dengan ‘jiwa’. Trend pengembaraan hari ini seakan-akan menjadi satu ikut-ikutan. Hanya sekadar mengumpul gambar dan video sebagai bukti bahawa seolah-olah itulah pencapaian besar yang mereka sudah lakukan dalam hidup mereka. Pengembaraan hari ini makin jauh dari makna yang sebenar.


Saya pernah terfikir sebelum ini akan ada satu fasa dalam hidup di mana keterujaan untuk mengembara mula perlahan atau pudar. Ini mungkin kerana kita terpaksa melalui proses atau ujian kehidupan yang membuatkan kita untuk berhenti seketika. Buku The Art of Travel karya Alain de Botton telah membuatkan saya terfikir bagaimana jika mengembara bukan lagi jalannya?


Botton menceritakan sebuah kisah mengenai Des Esseintes yang tinggal bersendirian di sebuah vila besar di pinggir Paris dan jarang keluar rumah kerana ingin mengelak daripada kebodohan dan keburukan manusia lain. Pada suatu masa muda, beliau pernah ke sebuah kampung berdekatan selama beberapa jam dan mendapati rasa bencinya terhadap manusia semakin mendalam. Maka sejak itu, dia memilih untuk menghabiskan masa di bilik tidurnya membaca karya klasik dan menghasilkan pemikiran-pemikiran sinis tentang kemanusiaan. Des Esseintes telah membuktikan bahawa imaginasi kadangkala mampu memberikan pengembaraan yang lebih ‘sempurna’ daripada pengalaman sebenar.


Kisah De Maistre pula boleh dilihat bahawa beliau bukan sekadar pengembara di dalam bilik. Beliau juga pernah mengembara ke Itali dan Rusia bagi menyertai tentera diraja dan kempen ketenteraan Rusia di Caucasus. Dalam catatan autobiografi pada tahun 1801, Alexander von Humboldt menjelaskan motivasi pengembaraannya: “Aku digerakkan oleh satu kerinduan yang tidak pasti untuk dibawa keluar dari kehidupan seharian yang membosankan ke dunia yang menakjubkan.”


Puluhan tahun kemudian, Nietzsche yang sangat kagumi de Maistre, beliau menulis: “Ada manusia yang tahu menjadikan pengalaman seharian yang kecil sebagai tanah subur yang berbuah tiga kali setahun, dan ada pula yang merentasi gurun, memotong ais, meneroka hutan tetapi jiwanya kosong.”


Sesetengah orang telah menyeberangi padang pasir dan mengembara jauh, tetapi tiada bukti dalam jiwa mereka tentang apa yang telah mereka lihat. De Maistre menunjukkan kepada kita satu pendekatan alternatif adalah untuk menghargai apa yang telah kita lihat, sebelum terbang ke hemisfera lain.


Dalam ketidaksediaanku, aku merasa hampa kerana satu tempat yang patut indah tidak menyentuhku. Tapi kemudian aku sedar, mungkin masalahnya bukan pada tempat, tetapi pada keinginanku untuk “memiliki” keindahan yang belum aku benar-benar sedia hayati.


Botton menceritakan lagi bahawa dirinya sewaktu pulang dari mengembara - aku rasa canggung seolah-olah bilik ini milik orang lain. Rasa pelik itu muncul kerana aku telah lama berada di luar, dan kini, selepas beberapa minggu, pandangan terhadap ruang biasa ini menjadi asing.


Kita sering mengaitkan pengalaman luar biasa dengan tempat baru. Kita sangka hanya dengan mengembara jauh, kita akan melihat dunia dengan segar. Tapi keadaan yang bertentangan juga boleh berlaku: apabila kita terlalu biasa dengan sesuatu, kita berhenti melihatnya.


Benda yang dulu menarik seperti sinaran matahari di langsir, bentuk kerusi atau bunyi kipas siling yang menjadi latar belakang. Kita tidak lagi perasan butirannya.


Pada tahun 1790-an, de Maistre pernah menjalani tahanan rumah selama 42 hari akibat terlibat dalam satu pertarungan. Daripada merungut atau bosan, dia menulis satu buku bertajuk Voyage autour de ma chambre (Perjalanan Mengelilingi Bilikku).


Dalam buku itu, dia menganggap biliknya sebagai dunia yang luas dan penuh penemuan. Dia berjalan dari katil ke meja seperti seorang pengembara merentas gurun. Dia menulis tentang corak langsirnya seolah-olah ia adalah seni tekstil eksotik. Dia melihat cermin dan menulis panjang lebar tentang perasaan melihat pantulan diri, seakan-akan bertemu dengan orang asing.


Karya De Maistre adalah sindiran halus kepada obsesi manusia dengan pengembaraan jauh, sambil menyatakan bahawa keterujaan sebenar terletak pada cara kita melihat, bukan hanya pada lokasi. Dia membuktikan bahawa dengan cukup perhatian, seseorang boleh mengalami keajaiban walaupun dalam ruang 6x6 meter.


Kebiasaan membunuh rasa ingin tahu. Bila kita buat sesuatu setiap hari seperti laluan sama ke tempat kerja, makan di meja yang sama, memandang wajah yang sama lalu, minda kita berhenti memproses. Segalanya menjadi “normal”, dan normal bermaksud “tidak perlu difikirkan”.


Namun, dengan kesedaran tertentu, kita boleh “mengembara” walaupun dalam ruang yang sama. Contohnya, bangun pagi dan memandang bilik sendiri seolah-olah kita pelancong - lihat susunan buku, warna cawan, cahaya matahari, dan bunyi yang selama ini kita anggap biasa.


Falsafah ini selari dengan ajaran Zen. Di mana kehidupan harian itu sendiri adalah bahan meditasi. Membasuh pinggan, berjalan ke kedai, menyapu lantai. Semua itu boleh menjadi pengalaman yang menyedarkan, jika kita hadir sepenuhnya.


Akhirnya, aku menyedari bahawa aku tidak perlu ke hujung dunia untuk merasa kagum. Kagum boleh datang dari cawan kopi yang berasap, suara orang di bilik sebelah, atau helaian baju di penyidai.

Jika kita lihat dengan mata yang segar, kehidupan seharian pun boleh menjadi satu bentuk pengembaraan.


Perspektif:


Saya pernah atau hakikatnya saya sendiri sedang mengalami satu konflik dalam diri atau boleh saya katakan, sebuah dilema. Selepas pernah melalui suatu fasa pengembaraan jangka panjang dalam hidup. Kemudian, di satu fasa, saya terpaksa ‘hold’ seketika. Saya sedar bahawa ada perkara lain yang lebih utama yang perlu saya beri perhatian terlebih dahulu. 


Pengembaraan bukanlah suatu perlumbaan, dan bukan juga untuk saya buktikan kepada orang tentang ke mana, bila waktunya saya akan mengembara. Bahkan, saya tidak memerlukan ‘validation’ atau ‘approval’ sesiapa untuk menentukan perjalanan saya. Mereka juga perlu sedar, akan tiba satu fasa dalam hidup di mana keterujaan itu mungkin perlahan atau pudar. 


Bukan kerana hilang minat, tetapi kerana realiti sekarang terpaksa memberi keutamaan yang lebih utama. Faktor kemampuan, kesihatan, komitmen terhadap keluarga, bahkan eksploitasi yang berlaku di banyak negara yang mampu menghilangkan ‘mood’.

 

Setelah beberapa tahun, saya akui kehidupan saya sekarang ini cukup terisi dengan perkara-perkara yang saya minati walaupun saya melalui kehidupan yang sederhana. Saya amat bersyukur. Ini mungkin kesan daripada selepas saya pulang mengembara jangka panjang pada enam tahun lepas. Malah, sahabat-sahabat saya yang turut berpengalaman mengembara jauh dan lama seperti saya, sampai ke satu fasa mereka memilih untuk kembali kepada kehidupan normal tetapi dengan perspektif (cara berfikir) yang berbeza, sederhana tetapi cukup. Bagi saya, ini juga adalah sebahagian daripada perjalanan.


Kalau ditanya apa yang saya fokuskan sekarang? Saya sedang memahami dan mencari makna cinta. Saya percaya, hidup ini akan menjadi lebih bahagia apabila saya dapat berkongsi makna hidup - memberi dan menerima. Dunia sekarang ini, memerlukan rasa hormat, berbuat baik (ihsan) dan kasih sayang kerana saya lihat nilai kemanusiaan semakin hilang dalam diri.


Jika saya mengembara semula selepas ini, mungkin lebih bertujuan, lebih perlahan, lebih tahu peranan serta tanggungjawab sebagai pengembara. Saya perlu pastikan saya benar-benar bersedia dari segi fizikal tanpa mengenepikan perasaan dalaman dan juga tidak hanya sekadar mencari pengalaman tanpa sebuah kesedaran (awareness).

 
 
  • Instagram
  • Facebook
  • TikTok
  • X
  • YouTube

Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman ini bertujuan semata-mata untuk memberi inspirasi dan ilustrasi.

Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2025 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U).

SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page