top of page

Tidak Semua Barangan Travel adalah Suatu Keperluan Bermanfaat untuk Jangka Panjang.

  • Writer: Pengembara Nomad
    Pengembara Nomad
  • 22 Ogo
  • 2 min membaca

Updated: 6 Sep

Saya perhatikan semakin banyak barangan ‘travel’ dijual di platform seperti Shopee dan TikTok, kononnya untuk memudahkan ketika mengembara, terutamanya ke luar negara. Namun, dari sudut jangka panjang, trend ini sebenarnya memberi kesan buruk pada masa hadapan. Banyak barangan ‘travel’ ini bersifat pakai buang (disposable) yang tidak tahan lama dan akhirnya menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.


Realiti pada hari ini, saya sedar kita pun sedang berhadapan dengan cabaran untuk keluar dari kebiasaan lama yang tidak lestari. Contohnya, penggunaan beg plastik sewaktu membeli barangan di pasaraya. Walaupun sudah bertahun-tahun kempen dijalankan, masih ramai yang sukar untuk mengubah kebiasaan. Bahkan, dalam budaya kita sendiri seperti majlis kenduri atau jamuan masih bergantung pinggan dan cawan plastik pakai buang (disposable).


Malangnya, apabila produk-produk pakai buang dan bersifat hanya “memudahkan” ini muncul di pasaran, sebenarnya hanya menambah beban pada masa hadapan yang hakikatnya kini pun sudah mencabar.


ree

Bayangkan, trend sekarang ini di media sosial yang dikatakan untuk “memudahkan” pengembara telah muncul barangan seperti stokin, tuala mandi, baju dalam, baju hujan dalam bentuk pakai buang. Malah, dikatakan lebih ringan, murah, kecil dan tidak membebankan untuk dibawa. Lebih membimbangkan lagi, barangan sebegini telah terjual dalam ribuan unit. Jumlah yang saya lihat ini adalah suatu jumlah yang besar.


Persoalan saya, sejak bila keperluan yang kita dahulu dan sekarang ini mampu lagi kita bawa dan guna berulang kali, kini begitu mudah untuk diganti dengan versi ‘pakai buang’ yang akhirnya memberi kesan kepada alam sekitar untuk jangka masa panjang? Malah, boleh mendorong gaya hidup yang semakin malas dan hanya bergantung segalanya dengan ‘pakai buang’.


Apa yang saya ingin tekankan di sini adalah bukan semua barang keperluan ‘travel’ wajar dibeli dalam bentuk pakai buang (disposable) hanya kerana dikatakan “memudahkan” ketika mengembara. Pengembara yang mempunyai kesedaran (awareness) yang tinggi tahu menilai sesuatu yang mana benar-benar perlu dan mana satu sekadar trend yang akhirnya memberi kesan kepada alam sekitar untuk jangka masa panjang. Kita perlu sedar bahawa tidak semua yang kecil, ringan, murah dan viral itu patut dibeli.


Yang dikatakan “memudahkan” yang sebenar itu adalah bukan datang daripada barangan yang masih boleh digunapakai sehingga kini dan masih praktikal kemudiannya diganti dengan ‘pakai buang’, tetapi daripada kefahaman dan pekanya terhadap impak setiap pilihan yang dibuat.


Yang sekarang pun bagi saya sudah cukup membebankan. Usah ditambah lagi dengan beban baharu. Kesedaran untuk mengubah kebiasaan sedia ada pun masih dikatakan sangat mencabar dan masih sukar untuk dilaksanakan demi sebuah perubahan. Apatah lagi dengan menormalisasi budaya baharu seperti ini akan menggandakan bebanan yang sedia ada.


 
 
  • Instagram
  • Facebook
  • TikTok

Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman ini bertujuan semata-mata untuk memberi inspirasi dan ilustrasi.

Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2025 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U).

SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page