Tuan Syed Shahriman & Aku, Buku & Kota Kaherah: Antara Pelajar dan Pengembara.
- Pengembara Nomad
- 18 jam lalu
- 2 min membaca
Tuan Syed Shahriman, seorang anak jati Perak, memulakan perjalanan pendidikannya di sekolah agama sehingga ke Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1996 di dalam bidang Usuluddin. Beliau menghabiskan masa selama empat tahun di sana sehingga tamat pengajian pada tahun 2000. Pengalaman menuntut ilmu di bumi anbiya itu bukanlah sesuatu yang mudah. Beliau menyifatkan suasana di sana sebagai satu cabaran yang hebat.


Setibanya di Mesir, beliau berhadapan dengan realiti yang disifatkan sebagai "indah khabar dari rupa", di mana pengurusan universiti yang kurang sistematik dan kesesakan penduduk di kota Kaherah sering kali mengejutkan para pelajar asing seperti beliau.
Dari sudut akademik, beliau mengakui bahawa sistem di Al-Azhar sangat mencabar dan memerlukan kecekalan yang tinggi. Selain itu, cabaran bahasa juga sangat besar. Walaupun mempelajari bahasa Arab standard (Fusha), beliau mendapati masyarakat setempat dan sebahagian pensyarah lebih selesa menggunakan bahasa pasar (Ammi) yang sukar difahami oleh pelajar asing. Namun, di sebalik segala kepayahan itu, Mesir memberikan kenangan peribadi yang manis apabila beliau bertemu jodoh dan berkahwin semasa masih bergelar pelajar.
Kecintaan beliau terhadap dunia perbukuan bermula apabila beliau mengenali Azbakiah, sebuah kawasan benteng yang menjadi pusat jualan buku terpakai dan nadir di Mesir. Beliau menyifatkan Mesir sebagai "syurga buku" kerana kepesatan dunia penerbitan dan budaya ilmu yang sangat hidup, di mana para ulama dan penulisnya sangat aktif menulis untuk membincangkan isu-isu semasa. Pengalaman inilah yang akhirnya tercetusnya inspirasi untuk beliau menghasilkan karya bertajuk "Aku, Buku dan Kota Kaherah".  Buku ini mencapai kejayaan luar biasa apabila terjual hampir 3,000 naskah walaupun diterbitkan sendiri (swaterbit) sewaktu tempoh PKP sebelum diterbitkan oleh sebuah penerbit buku.
Sekembalinya ke Malaysia, beliau berkhidmat di Pejabat Agama di Batu Gajah, Perak sebelum menjadi guru sekolah selama 12 tahun. Beliau kemudiannya bergelar pensyarah di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) selama kira-kira tujuh tahun. Namun, rasa cinta terhadap buku mendorong beliau untuk meletak jawatan dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada Toko Buku Azbakia. Nama kedai buku tersebut diambil sempena nama pasar buku di Mesir sebagai tanda kenangan dan penghormatan kepada budaya ilmu di sana. Bagi beliau, menjual buku bukan sekadar perniagaan untuk mencari keuntungan semata-mata, tetapi merupakan satu tanggungjawab sosial untuk menyambung budaya ilmu dalam masyarakat. Beliau mengakui bahawa minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah, namun beliau tetap bertahan demi kelangsungan ilmu.
Sebagai kesimpulan, beliau percaya bahawa seorang penuntut ilmu mestilah seorang pengembara untuk meluaskan pemikiran dan pengalaman. Beliau memegang pesanan Saidina Ali bin Abi Thalib bahawa ilmu itu menjaga kita, manakala harta pula adalah sesuatu yang terpaksa kita jaga. Baginya, buku adalah teman yang paling setia yang sentiasa memberikan panduan dan tidak pernah jemu kepada pembacanya.
Jangan lepaskan peluang untuk mendengar perkongsian penuh beliau dalam episod audio podcast kali ini. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada para pendengar, khususnya para pengembara.
Facebook: Syed Shahriman Jamalullayl & Kedai Buku Azbakia









