top of page

Turki: Antara Persepsi dan Realiti

  • Writer: Pengembara Nomad
    Pengembara Nomad
  • 2 hari lalu
  • 22 min membaca

Updated: 7 jam lalu

Latar Belakang Diri & Penghijrahan ke Malaysia.


Nama beliau ialah Atakan Korkmaz, seorang warganegara Turki yang dilahirkan di wilayah Samsun di utara Turki. Bapanya merupakan seorang anggota polis yang telah bersara, manakala ibunya ialah seorang suri rumah. Latar belakang pendidikannya bermula di sebuah sekolah menengah berprestasi tinggi di Turki, di mana beliau mengikuti pembelajaran dalam bahasa Inggeris dan Jerman. Selepas itu, beliau melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Marmara University, Istanbul. Beliau turut menyambung pengajian dalam bidang Ilahiyat (Teologi) pada peringkat diploma di Anadolu University dan peringkat Ijazah Sarjana Muda di Atatürk University. Seterusnya, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di Ankara University dengan pengkhususan dalam kajian sejarah mazhab-mazhab Islam.



Kisah penghijrahan beliau ke Malaysia sangat berkait rapat dengan sejarah perkenalannya dengan isteri beliau. Pada tahun 2005, beliau ke Bandung, Indonesia sebagai pelajar program pertukaran dan bertemu dengan bakal isterinya, seorang pelajar perubatan dari Kelantan yang ditaja oleh MARA. Mereka bertunang pada tahun 2007 dan berkahwin pada tahun 2008.



Keluarganya, khususnya bapanya, sangat tegas dan menitikberatkan aspek pendidikan serta kerjaya. Bapanya menetapkan bahawa beliau perlu menamatkan pengajian di universiti terlebih dahulu, membina kerjaya sebagai peguam atau hakim, serta menyelesaikan latihan ketenteraan wajib selama setahun sebelum memikirkan soal mencari pasangan atau berkahwin.



Selepas berkahwin, beliau berkhidmat sebagai pegawai bomba di Turki. Isterinya pernah menetap di Ankara selama hampir setahun, namun tidak dapat menyesuaikan diri dengan perbezaan budaya, cuaca, dan makanan. Keadaan menjadi lebih mencabar apabila undang-undang Turki pada ketika itu tidak membenarkan warga asing berkhidmat sebagai doktor, walaupun di hospital swasta. Hal ini menyebabkan isterinya terpaksa pulang untuk bekerja di Malaysia, manakala beliau terus berkhidmat di Turki.




Selepas dikurniakan anak kelima dan menamatkan latihan sebagai peguam, serta berhenti daripada kerjanya sebagai pegawai bomba, beliau membuat keputusan bersama isterinya untuk berpindah ke Malaysia. Walaupun beliau sedar bahawa warga asing amat sukar memperoleh visa pekerjaan, hampir mustahil mendapatkan status Pemastautin Tetap (PR), dan tidak boleh bekerja sebagai peguam mengikut sistem perundangan di Malaysia, beliau tetap memilih untuk berpindah. Beliau tidak mempedulikan kedudukan kewangannya asalkan dapat bersama isteri dan anak-anak di Malaysia. Beliau mula membina rumah dan menetap sepenuhnya di Malaysia pada tahun 2019.



Pada masa yang sama, beliau sebenarnya berhasrat menyambung pengajian PhD di Malaysia (seperti di UIA dan USIM) untuk mengkaji pandangan Nusantara terhadap aliran Muktazilah dan Islam Liberal/Reformasi, namun hasratnya ditolak kerana topik tersebut dianggap terlalu sensitif oleh universiti tempatan. Disebabkan faktor ini, beliau berhasrat untuk menyambung PhD di Turki.


Kini, beliau menyara keluarganya di Malaysia dengan bekerja bebas membuat terjemahan buku dari bahasa Turki ke bahasa Melayu, menjadi perunding undang-undang dan sesekali pulang ke Turki sekiranya ada sesi di mahkamah.



Gambaran tentang Turki.


Bagi mereka yang tidak tahu, Turki adalah sebuah negara republik berteraskan sekularisme, ahli anggota NATO, dan merupakan ekonomi ke-17 terbesar di dunia. Negara ini terletak di kedudukan geopolitik yang sangat strategik di Eurasia, iaitu tepat di tengah-tengah laluan yang memisahkan antara benua Eropah, Rusia di bahagian utara, dan kawasan Timur Tengah. Turki pada hari ini masih banyak dipengaruhi oleh warisan sistem Empayar Uthmaniyah. Turki mempunyai keunikan tersendiri. Walaupun secara geografi kelihatan seperti sebahagian Asia, negara ini lebih dekat dengan Eropah. Malah, dari segi agama, ia lebih mirip dengan Timur Tengah, tetapi gaya hidup masyarakatnya cenderung ke arah Barat.


Identiti sebenar Turki. Adakah ia lebih Eropah, Asia, atau gabungan kedua-duanya?


Identiti sebenar Turki merupakan satu gabungan yang sangat unik antara elemen Eropah, Asia, dan Timur Tengah, tanpa menjadi salah satu daripadanya secara mutlak. Secara geopolitik pun, Turki dilabelkan sebagai negara Eurasia kerana kedudukannya di tengah-tengah yang memisahkan Eropah dan Asia.


Secara genetik, sejarah keturunan, budaya, dan bahasa, akar identiti bangsa Turki berasal dari Asia Tengah. Keturunan mereka adalah serumpun dengan bangsa Asia Tengah yang lain seperti Uzbek, Kazakh, Kyrgyz, dan Uyghur, Tatar, Turkmen, yang mana mereka kemudiannya berasimilasi atau bercampur dengan penduduk peribumi di Anatolia.


Jika dilihat dari sudut sistem ekonomi, perundangan negara, gaya hidup luaran yang lebih bebas (Barat), serta penampilan fizikal, masyarakat Turki dilihat sangat hampir dengan corak kehidupan Eropah. Walau bagaimanapun, meskipun cara hidup mereka menyerupai warganegara Eropah, dari segi jiwa, karakter, dan emosi, mereka lebih cenderung kepada ciri-ciri masyarakat Timur Tengah. Sebagai contoh, masyarakat Turki sering digambarkan sebagai lebih ekspresif dan memiliki emosi yang kuat, sepertimana yang sering dikaitkan dengan masyarakat Arab.


Kesimpulannya, mereka menegaskan bahawa bangsa Turki bukanlah sepenuhnya Arab, Eropah, mahupun Asia. Sebaliknya, mereka membentuk sebuah komuniti yang tersendiri yang lebih unik dan kompleks. Ini disebabkan hasil daripada pertembungan serta gabungan ketiga-tiga elemen tersebut.


Salah Faham Terhadap Turki.


Orang luar kerap menyangka orang Turki adalah orang Arab, bercakap dalam bahasa Arab, atau mempunyai rupa paras seperti bangsa Arab. Hakikatnya, bangsa Turki mempunyai akar umbi dari Asia Tengah dan mereka sangat tidak suka disamakan dengan bangsa Arab. Ramai masyarakat luar, menyangka Turki masih diperintah di bawah sistem pemerintahan beraja (Sultan atau Khalifah) seperti sesetengah negara Arab. Di sudut yang lain pula, wujud juga kelompok yang salah anggap bahawa sistem demokrasi di Turki adalah 100% sempurna seperti yang diamalkan di negara-negara Eropah, padahal realitinya ia tidaklah begitu.


Ramai yang mengandaikan Turki beroperasi sebagai sebuah negara Islam yang mengguna pakai undang-undang syariah. Beliau menjelaskan bahawa dari segi perlembagaannya, Turki adalah sebuah negara sekular. Sistem keadilan mereka merawat semua etnik, falsafah, dan agama secara sama rata di sisi undang-undang sivil, dan mereka menolak undang-undang berteraskan agama di mahkamah. Sebagai contoh, amalan poligami adalah diharamkan di sisi undang-undang Turki.


Bagaimana beliau melihat negara Turki hari ini?


Dari sudut pandangan yang positif, beliau melihat negaranya sebagai salah sebuah kuasa terbesar di dunia dari segi diplomasi, kedudukan geopolitik, dan ketenteraan. Turki kini menduduki tempat sebagai ekonomi ke-17 terbesar di dunia dan mempunyai kekuatan tentera ketujuh paling kuat. Jika dibandingkan dengan negara-negara jiran, khususnya negara-negara Arab dan Islam yang lain, beliau mengakui bahawa Turki jauh lebih maju ke hadapan.


Walau bagaimanapun, dari sudut pandangan yang negatif, beliau berterus-terang bahawa beliau tidak berpuas hati dengan keadaan Turki pada masa kini. Beliau merasakan negara tersebut tidak semaju atau sempurna yang diimpikan dan masih dianggap agak perlahan, lebih-lebih lagi memandangkan usia projek kemodenan dan republik Turki kini sudah mencecah 100 tahun. Beliau turut melihat negaranya masih bergelut dengan konflik dalaman berpunca dari "sistem" atau kesan sampingan daripada peralihan drastik sistem kesultanan (yang berusia 500 ke 600 tahun) kepada sistem republik.


Secara keseluruhannya, walaupun Turki berada di hadapan berbanding banyak negara Islam lain dan menunjukkan tahap pencapaian yang lebih baik, negara tersebut masih belum mencapai sasaran sebenar yang diharapkan oleh rakyatnya.


Apakah perubahan paling besar yang berlaku di Turki dalam 10 tahun ini?


Perubahan ini dilakukan susulan daripada insiden cubaan rampasan kuasa oleh pihak tentera (pemberontakan) yang berlaku pada 15 Julai 2016. Sebelum ini, kuasa pengurusan negara dipecahkan secara adil kepada tiga bahagian utama iaitu kementerian, parlimen (pembuat undang-undang), dan sistem kehakiman. Namun kini, semua kuasa pentadbiran di Turki dipegang sepenuhnya oleh satu tangan sahaja, iaitu Presiden Recep Tayyip Erdogan.


Pada sistem yang lalu, pembentukan kabinet menteri perlu mendapat undian pengesahan (undi percaya) daripada parlimen terlebih dahulu. Di bawah sistem baharu ini, Presiden berkuasa penuh melantik sendiri kabinet menteri (seperti menteri luar dan ekonomi), para pegawai kerajaan, dan juga hakim-hakim mahkamah secara terus dari luar tanpa sebarang penglibatan kelulusan parlimen.


Perubahan pemusatan kuasa ini telah menjejaskan sistem republik Turki, menjadikannya lebih mirip kepada corak pentadbiran negara-negara Arab di mana ketentuan nasib dan masa depan negara bergantung mutlak kepada seorang pemimpin sahaja, tanpa mengira sokongan rakyat terhadap dasar tersebut.


Secara keseluruhannya, tindakan Erdogan menukar tiang-tiang asas sistem negara ini telah memberikan kesan mendalam terhadap kestabilan sistem kehakiman, sistem pendidikan, pengurusan, dan terutamanya sistem ekonomi negara Turki.


Sejauh mana sejarah Empayar Uthmaniyyah masih mempengaruhi Turki hari ini?


Dari sudut pandang sejarah di Turki, Republik Turki hari ini tidak dianggap sebagai sebuah negara yang benar-benar baharu. Sebaliknya, ia dilihat sebagai kesinambungan kepada warisan Empayar Uthmaniyah. Perubahan utama yang berlaku hanyalah pada sistem pemerintahan daripada kesultanan kepada republik. Namun begitu, sebahagian besar struktur dan institusi pentadbiran seperti pejabat kerajaan, pasukan polis, bomba, tanggungan hutang luar negara, serta konflik etnik, merupakan kesinambungan yang diwarisi secara langsung daripada era Uthmaniyah.


Ceritakan mengenai Mustafa Kemal Atatürk dalam membentuk Turki moden dan menjadi sekular?


Ramai orang luar menganggap Mustafa Kemal Atatürk sebagai tokoh pertama yang memulakan proses pembaratan dan kemodenan secara radikal di Turki. Namun hakikatnya, gerakan kemodenan dan reformasi tersebut telah bermula lebih awal, iaitu sekitar 100 tahun sebelumnya sejak era Empayar Uthmaniyah di bawah pemerintahan tokoh seperti Sultan Mahmud II dan Sultan Abdul Hamid II. Sultan Mahmud II merupakan antara pemimpin terawal yang memulakan perubahan besar, termasuk mengubah gaya pemakaian rasmi dengan menukar penggunaan jubah dan serban, merombak sistem ketenteraan, serta memperkenalkan elemen undang-undang dari Barat ke dalam sistem pentadbiran.


Oleh itu, peranan sebenar Mustafa Kemal Atatürk lebih dilihat sebagai melengkapkan dan menyempurnakan asas sistem yang telah mula dibina sejak era Empayar Uthmaniyah. Reformasi yang dilaksanakan beliau bukan sepenuhnya bermula dari kosong, tetapi merupakan kesinambungan kepada proses pemodenan yang telah wujud lebih awal. Beliau berjaya melaksanakan perubahan tersebut secara lebih menyeluruh kerana memegang kuasa sebagai pemimpin tunggal yang kuat dalam fasa awal penubuhan republik, sekali gus membolehkan pelaksanaan dasar dilakukan dengan lebih konsisten tanpa gangguan berterusan akibat pertukaran sultan atau ketidakstabilan politik yang sering berlaku pada penghujung era Uthmaniyah.


Sekularisme bukanlah dicipta secara mengejut oleh Atatürk. Sejak era Empayar Seljuk sehinggalah ke Empayar Uthmaniyah, sistem pentadbiran mereka tidak pernah mengamalkan undang-undang Syariah secara 100%. Mereka banyak mencampurkan hukum agama dengan undang-undang yang digubal oleh sultan serta memasukkan adat-adat budaya tempatan (uruf) dalam kehidupan harian.


Satu hakikat yang jarang diketahui adalah majoriti rakyat Turki pada waktu itu sebenarnya lebih memilih sistem sekular Atatürk berbanding mengekalkan sistem Syariah Uthmaniyah. Hal ini berlaku kerana genetik dan sejarah bangsa Turki memeluk Islam menerusi pendekatan rohani Tasawuf (Sufisme) yang lebih menekankan soal akhlak dan teladan, berbanding masuk Islam melalui pendekatan perundangan fiqh atau kitabi. Tidak seperti bangsa Arab atau Melayu. Oleh itu, bangsa Turki tidak suka dipaksa dengan kekerasan dalam bab perundangan agama dan menganggap ibadah sebagai hak kebebasan peribadi.


Badiuzzaman Said Nursi sewaktu pemerintahan Ataturk.


Satu hakikat yang jarang didedahkan adalah Said Nursi mula-mula dimasukkan ke dalam penjara pada era Empayar Uthmaniyah oleh Sultan Abdul Hamid dan juga pada masa pemerintahan Adnan Menderes, bukannya oleh Atatürk. Pada fasa kehidupannya yang digelar sebagai "Said Lama", beliau amat aktif berpolitik, mencampuri urusan organisasi, dan bersekongkol dengan kaum muda Turki untuk menjatuhkan kuasa Sultan Abdul Hamid.


Apabila Atatürk berjaya membentuk kerajaan republik pada tahun 1923, Said Nursi tidak terus ditangkap. Beliau hidup bebas selama kira-kira 11 tahun di bawah pentadbiran Atatürk sebelum akhirnya ditahan pada tahun 1934, dan tempoh penahanannya itu pun hanyalah sekitar 10 ke 13 bulan sahaja.


Penahanan Said Nursi pada era republik bukanlah kerana Atatürk semata-mata memusuhi Islam atau gerakan agamanya, tetapi berpunca daripada keadaan geopolitik yang sangat teruk dan mengancam kestabilan Turki pada waktu itu. Kerajaan baharu Turki sedang bergelut untuk bertahan di tengah-tengah ancaman diktator Perang Dunia Kedua di Eropah, konflik dengan Perancis di wilayah Hatay, ancaman Soviet di utara, serta pemberontakan demi pemberontakan bersenjata oleh etnik Kurdi di sebelah timur Turki.


Kerana tidak mahu negara yang baharu dibina ini berpecah belah atau tercetusnya perang saudara akibat mempunyai "banyak kepala", kerajaan Turki mengamalkan dasar menahan dan membersihkan kesemua ketua organisasi yang membawa ideologi alternatif, tanpa mengira latar belakang. Oleh itu, bukan Said Nursi (golongan Islamis) sahaja yang ditangkap, malah ketua-ketua puak sosialis, puak komunis, dan juga puak nasionalis pro-Turan (Pan-Turkism) turut disumbat ke dalam penjara.


Said Nursi secara peribadinya pernah menegaskan bahawa beliau tidak mahu mencetuskan sebarang revolusi menjatuhkan negara, sebaliknya sekadar mahu berdakwah menakluki hati rakyat satu demi satu. Pihak kerajaan membebaskannya selepas tempoh yang singkat, namun beliau diletakkan di bawah pemerhatian di rumah dan disekat daripada aktif berorganisasi bagi mengelakkan sebarang kekacauan.


Ceritakan generasi muda Turki masa kini.


Generasi muda Turki kini lebih condong ke arah gaya hidup Barat. Menurut pemerhatian, sekitar 70% pemuda Turki kini menolak amalan agama dan beralih kepada fahaman deisme (percaya adanya Tuhan tetapi tidak mempercayai institusi agama) mahupun ateisme.


Peralihan drastik ini berpunca daripada pemerintahan parti pimpinan Erdogan selama 25 tahun kebelakangan ini. Generasi muda berasa muak apabila melihat ahli politik yang secara luarannya berpenampilan Islamik (seperti bertudung, pandai membaca al-Quran, dan menjaga solat), tetapi di belakang tabir mereka kuat mengamalkan rasuah, ketidakadilan, serta mementingkan "kabel" atau kronisme.


Tindakan kerajaan Erdogan yang memaksa pembukaan sekolah-sekolah menengah agama (Imam Hatip) dan mengehadkan pilihan sekolah biasa telah memakan diri. Paksaan ideologi ini menyebabkan generasi muda berasa tertindas, lantas mencetuskan kebencian terhadap agama dan mendorong mereka berpusing kembali untuk kuat menyokong ideologi sekularisme Atatürk yang dilihat lebih telus dan tiada kepentingan peribadi.


Bagaimana keadaan ekonomi di Turki sekarang dari perspektif orang tempatan? Ceritakan kos sara hidup di Turki.


Dana pelaburan dan ekonomi diuruskan semata-mata untuk meraih undi pilihan raya. Kerajaan lebih gemar melabur dalam pembinaan infrastruktur yang boleh dilihat mata kasar (seperti jalan raya, bangunan, dan jambatan) dan mengabaikan pelaburan penting dalam sektor teknologi atau industri berat yang boleh menjana kewangan jangka masa panjang. Nilai mata wang Lira menjunam dengan sangat dahsyat.


Kejatuhan ini berpunca daripada tindakan Presiden Erdogan yang sering campur tangan dan memecat ketua Bank Pusat (sebanyak lima hingga enam kali dalam tempoh tiga tahun). Beliau menolak sistem menaikkan kadar faedah kerana menganggapnya sebagai riba, biarpun Turki tidak mempunyai struktur sistem kewangan Islamik yang kukuh untuk dijadikan pengganti.


Petani tempatan mengalami kerugian kerana terpaksa menjual hasil tanaman dengan harga yang sangat murah kepada kerajaan atau syarikat peraih berbanding harga pasaran, sedangkan kos petrol sangat mahal. Akibat ketiadaan sokongan ini, sektor pertanian kalah dan rakyat lebih rela bekerja di pasar raya besar.


Bagaimana peluang pekerjaan untuk anak muda di Turki?


Peluang pekerjaan untuk anak muda di Turki pada masa kini amat terhad, terutamanya untuk mendapatkan pekerjaan di sektor swasta yang menawarkan gaji yang berpatutan. Keadaan ekonomi yang teruk serta ketiadaan persaingan yang adil telah memberikan tekanan emosi yang besar kepada generasi muda di sana.


Bagi gaji minimum pula, pekerja di Turki secara puratanya dibayar pada kadar sekitar 25,000 Lira, yang nilainya dianggarkan lebih kurang RM2,500. Walau bagaimanapun, gaji minimum ini hakikatnya sangat tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup asas yang melampau tinggi.


Layanan masyarakat dan hospitaliti.


Masyarakat luar bandar jauh lebih ramah, ikhlas, dan sentiasa tersenyum. Mereka menyambut tetamu dan pelancong luar dengan penuh kemesraan seolah-olah menganggap mereka sebagai saudara sendiri. Beliau lebih menggemari penduduk luar bandar kerana mereka mempamerkan reaksi jujur tanpa sebarang niat buruk.


Kehidupan di kota seperti Ankara dan Istanbul disifatkan lebih moden dan pantas. Beliau merujuk kepada falsafah Ibnu Khaldun untuk menggambarkan bahawa kehidupan di bandar metropolitan penuh dengan unsur hipokrasi.


Bagaimana kepimpinan Erdogan dalam memerintah? Secara jujurnya, suka dengan kepimpinan Erdogan? Kenapa?


Menurut beliau, kepimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan sepanjang 25 tahun ini telah melalui pelbagai fasa, dan secara jujurnya, beliau secara tegas tidak menyokong dasar dalaman dan politik pentadbiran Erdogan, walaupun beliau mengakui beberapa pencapaian positif dalam dasar luar negaranya. Berikut adalah rumusan bagaimana Erdogan memerintah mengikut tiga fasa kepimpinannya, dan sebab utama mengapa beliau mempunyai pandangan sedemikian:


Pada lima tahun pertama pentadbirannya, Erdogan memerintah dengan sangat cemerlang dengan menjadi "suara" kepada semua kelas masyarakat. Beliau berjaya menyatukan pelbagai golongan ideologi yang berbeza termasuk puak Islamis, sekular, Kurdi, sosialis, dan liberal.


Selepas berasa selesa dengan sokongan rakyat, Erdogan mula "mabuk kuasa" (power poison). Beliau mula membolot kuasa kerajaan dengan meletakkan ahli keluarga dan kroninya ("kabel") di posisi penting. Akibatnya, ramai kawan rapat dan pengasas parti asalnya (seperti bekas Perdana Menteri Ahmet Davutoglu) mula menjauhkan diri daripadanya.


Terkini, kerana ketakutan akan dijatuhkan, Erdogan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada sentimen agama. Beliau beralih taktik dengan menggunakan emosi nasionalisme untuk meraih sokongan daripada rakyat dan pihak tentera.


Beliau memuji kelantangan dasar luar Erdogan dan kemajuan teknologi ketenteraan seperti penghasilan dron buatan Turki (Bayraktar) serta pembukaan pangkalan tentera di luar negara (Qatar, Somalia), kerana hal ini mengukuhkan kuasa Turki di pentas dunia.


Beliau juga menyokong beberapa peraturan kecil yang bermanfaat untuk ketenteraman awam, seperti larangan penjualan arak selepas jam 10 malam.


Adakah masyarakat Turki berpecah dari segi politik?


Ya, masyarakat Turki sangat terbelah dan berpecah dari segi politik. Perpecahan ini sering kali diibaratkan seperti pecahan 50-50 dalam isu-isu besar negara. Sebagai contoh, jika timbul persoalan sama ada sesuatu dasar itu baik atau buruk, atau dalam pungutan suara (referendum) berkaitan sistem presiden, sokongan rakyat selalunya terbahagi hampir sama rata. Pilihan raya di sana juga sering dimenangi dengan margin yang sangat tipis, seperti 51% berbalas 49%.


Perpecahan politik di Turki tidak boleh disamakan dengan struktur politik di Malaysia. Blok pembangkang yang menentang kerajaan tidak hanya terdiri daripada golongan sekular semata-mata. Sebaliknya, pakatan pembangkang ini menggabungkan pelbagai ideologi yang berbeza termasuklah puak Islamis, nasionalis (baik yang konservatif agama mahupun sekular), golongan liberal atau komunis.


Walaupun perbezaan ideologi politik ini sangat ketara dan rakyat sangat lantang, perpecahan ini tidaklah sampai mencetuskan pergaduhan fizikal, rusuhan, atau pembunuhan sesama sendiri.


Menariknya, ketidakpuasan hati terhadap pemerintahan Presiden Erdogan masa kini secara tidak langsung telah menyatukan pelbagai golongan yang berbeza ideologi ini di bawah satu payung pembangkang. Disebabkan penyatuan ini, perpecahan politik di Turki pada masa kini dilihat tidak lagi seperti dahulu.


Bagaimana isu demokrasi dan kebebasan media dibincangkan di Turki?


Turki mempunyai rekod yang sangat teruk dalam kebebasan media kerana ia berada di kedudukan ketujuh atau kelapan tertinggi di dunia dalam jumlah memenjarakan wartawan.


Rakyat dan pengamal media tidak mempunyai jaminan keselamatan secara mutlak kerana sesiapa yang mengkritik kerajaan atau pemerintah boleh ditangkap dan dipenjarakan secara tiba-tiba bergantung pada keputusan pemimpin.


Namun begitu, wujud ironi dari segi kebebasan bersuara apabila dibandingkan dengan Malaysia. Rakyat Turki secara realitinya masih sangat lantang dan berani mengkritik pemimpin nombor satu mereka (Presiden Erdogan) secara terbuka, berbeza dengan amalan di Malaysia di mana kritikan terhadap Yang di-Pertuan Agong sangat dihadkan.


Terdapat limitasi yang sangat tegas pada kebebasan media terutamanya yang melibatkan kebocoran operasi risikan dan keselamatan negara. Sebagai contoh, seorang wartawan (Can Dündar) telah dipenjarakan kerana menyiarkan berita mendedahkan trak risikan Turki yang membawa dan menghantar bantuan senjata kepada pihak pemberontak di Syria. Beliau melihat sekatan ini sebagai wajar, di mana media harus bebas membincangkan isu hak asasi dan demokrasi, tetapi tidak mencampuri rahsia ketenteraan yang boleh membahayakan negara.


Adakah ramai orang Turki telah berhijrah ke luar negara? Mengapa?


Golongan muda yang berpendidikan sukar mendapat peluang pekerjaan dengan gaji yang memuaskan di sektor swasta Turki. Mereka melihat di luar negara, persaingan untuk mendapatkan pekerjaan adalah jauh lebih adil berbanding di negara sendiri. Keadaan ekonomi Turki yang sangat teruk telah menjejaskan kesejahteraan mental generasi muda. Kos sara hidup yang tinggi menyebabkan mereka hilang harapan untuk hidup selesa di tanah air sendiri lalu memilih untuk lari.


Beliau menyatakan Turki kini berada di satu era di mana orang yang tidak berpendidikan kelihatan lebih berbangga diri berbanding orang yang berilmu. Suasana masyarakat yang seolah-olah mengetepikan nilai ilmu pengetahuan ini menyebabkan golongan bijak pandai berasa tidak dihargai dan memilih untuk pergi.


Generasi muda berasa muak, kemurungan, dan tidak mahu nasib atau masa depan mereka diuruskan secara mutlak (dicengkam) oleh Presiden Erdogan seorang sahaja. Mereka berhijrah ke Barat untuk mencari sedikit kebebasan.


Sememangnya sejak zaman Uthmaniyah lagi, mentaliti dan kecenderungan rakyat Turki adalah "pusing ke Barat" berbanding ke negara-negara Asia atau Timur Tengah, lantas menjadikan Eropah destinasi utama pilihan mereka.


Walau bagaimanapun, satu hakikat yang pahit adalah ramai pendatang berpendidikan dari Turki ini akhirnya terpaksa pulang semula ke tanah air. Hal ini berlaku kerana setibanya di sana, mereka mendapati mereka langsung tidak ada harga diri di mata orang Barat akibat sikap prejudis dan rasisme (Xenofobia) masyarakat Eropah terhadap negara dan identiti Islam mereka.


Bagaimana hubungan Turki dengan Eropah hari ini?


Walaupun Turki merupakan salah sebuah calon dan telah mematuhi beberapa dasar yang ditetapkan, Eropah tidak akan sesekali menerima Turki secara rasmi ke dalam Kesatuan Eropah (EU). Terdapat dua faktor utama penolakan, iaitu:


Negara-negara Eropah seperti Perancis, Austria, dan negara-negara di Balkan masih merasai keperitan sejarah dan tidak boleh melupakan empayar Uthmaniyah yang pernah menguasai dan menjajah kawasan mereka.


Tahap rasisme dan sentimen xenofobia di Eropah, terutamanya di Austria dan Eropah Utara, adalah sangat tinggi. Meskipun gaya hidup orang Turki sangat dekat dengan Eropah dan berteraskan sistem sekular, masyarakat Barat masih memandang Turki sebagai sebuah negara Islam kerana mereka masih Islam, menyokong Palestin, solat dan bertudung.


Meskipun Eropah tidak menyukai identiti Turki, hubungan antara Turki dan Eropah dari segi ekonomi masih sangat elok kerana Eropah secara realitinya amat bergantung kepada Turki.


Turki kini memainkan peranan yang besar sebagai "kem pendatang" yang menjadi tembok penahan bagi Eropah. Kerajaan Turki menahan dan mengutip jutaan pendatang serta pelarian dari negara seperti Syria, Afghanistan, Pakistan, dan Iran daripada terus membanjiri benua Eropah.


Bagaimana Turki melihat peranan mereka antara Timur Tengah dan Eropah?


Turki melihat sistem demokrasi, perundangan, ekonomi, dan etika mereka jauh lebih baik dan maju berbanding negara-negara di Timur Tengah. Kelebihan ini diakui sendiri oleh masyarakat negara Arab dan Iran yang sangat menghormati orang Turki seolah-olah orang Turki adalah "tuan rumah". Realiti ini menjadikan Turki sebagai kiblat atau negara contoh (role model) yang utama bagi negara-negara di rantau tersebut.


Apakah peranan geopolitik Turki dalam dunia hari ini?


Turki merupakan anggota penting Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan memiliki kekuatan tentera terbesar di Eropah, menjangkaui kekuatan negara-negara seperti Perancis, United Kingdom, dan Jerman. Amerika Syarikat amat menyedari kepentingan ini dan terpaksa menjaga hubungan baik dengan Turki kerana blok Barat tidak sanggup kehilangan kelebihan pertahanan strategik ini kepada pihak lawan.


Dalam pertembungan kuasa besar dunia, Turki memilih untuk menjadi aktor bebas yang mengamalkan politik seimbang dengan tidak berpihak secara mutlak kepada Amerika Syarikat, Rusia, mahupun China. Sebagai contoh, ketika berdepan konflik antara AS dan Iran, Turki mengambil pendirian neutral dengan tidak membenarkan tentera AS menggunakan pangkalan operasi mereka secara penuh untuk melancarkan serangan terhadap Iran, sebaliknya pangkalan tersebut hanya dibenarkan untuk tujuan logistik sahaja.


Berbeza dengan majoriti negara Islam yang memboikot Israel, Turki secara rasminya mengekalkan hubungan diplomatik bersama Israel kerana mereka sedar akan kepentingan kelangsungan politik antarabangsa. Kelonggaran hubungan bersama pihak Barat dan Israel ini menjadikan Turki entiti yang sangat penting sebagai orang tengah atau moderator utama dalam sebarang perundingan konflik di Timur Tengah.


Ceritakan sedikit tentang ketenteraan Turki.


Tentera Turki memiliki kekuatan tentera terbesar di Eropah, melepasi saiz angkatan tentera kuasa-kuasa besar Eropah yang lain seperti Perancis, United Kingdom, dan Jerman. Di pentas global, angkatan tentera mereka berada di kedudukan ketujuh paling kuat di dunia dan memegang status sebagai kuasa kedua terbesar di dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).


Peralatan ketenteraan Turki beroperasi menggunakan peralatan berstandard moden dan dikendalikan oleh staf serta juruterbang yang sangat mahir. Bagi mengurangkan kebergantungan luar, Turki giat membangunkan industri pertahanan mereka sendiri secara unik, termasuklah keupayaan menghasilkan helikopter, dron dll.


Turki mempunyai lebih kurang 650,000 orang tentera profesional, namun jumlah ini mampu mencecah antara 1 juta hingga 3 juta anggota jika digabungkan dengan tentera simpanan dan sukarelawan. Negara ini mengamalkan sistem perkhidmatan tentera wajib bagi kaum lelaki. Selepas menamatkan latihan asas selama enam bulan, mereka diletakkan dalam senarai simpanan wajib yang membolehkan kerajaan memanggil mereka berkhidmat pada bila-bila masa sehingga mereka mencecah usia 42 tahun.


Sejajar dengan matlamat untuk menjadi kuasa geopolitik utama, tentera Turki tidak hanya menjaga sempadan di dalam negara. Mereka kini mempunyai pangkalan dan beroperasi secara rasmi di pelbagai negara luar seperti Libya, Somalia, Sudan, Qatar, Bosnia, dan Azerbaijan. Kehadiran ini membuktikan bahawa Turki tidak mahu menjadi sebuah negara kecil yang berdiam diri, sebaliknya mereka aktif bersaing mencabar pengaruh Israel, Rusia, Amerika Syarikat, dan China.


Rakyat Turki sangat setia, menghormati, dan mencintai angkatan tentera mereka. Berbekalkan semangat nasionalisme yang kuat, rakyat Turki bersedia untuk turut sama ke medan perang mempertahankan negara jika diserang, dan bukannya melarikan diri ke luar negara.



Respon beliau berkaitan hubungan Turki dan Israel?


Turki merupakan antara negara terawal yang mengiktiraf kewujudan Israel sejak era pemerintahan Adnan Menderes. Dari sudut realpolitik, hubungan ini saling menguntungkan. Sebagai pertukaran, diaspora Israel di Amerika Syarikat banyak membantu dan menyokong Turki dalam undian di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) membabitkan pelbagai isu antarabangsa.


Turki sengaja mengekalkan hubungan diplomatik bersama Israel supaya mereka boleh bertindak sebagai orang tengah (moderator) sekiranya berlaku krisis di Timur Tengah. Negara Arab lain kesukaran memainkan peranan ini kerana majoriti mereka memboikot Israel sepenuhnya.


Beliau melihat Presiden Erdogan yang tidak bersikap konsisten dalam melayan Israel. Di hadapan media dan pentas antarabangsa (seperti di Forum Davos), Erdogan sering dilihat "menjadi wira" dengan memarahi Israel secara lantang kerana menindas warga Palestin. Namun di belakang tabir, Turki secara rahsia masih meneruskan latihan ketenteraan bersama Israel dan tidak memotong hubungan ekonomi mereka. Sebagai contoh, Turki masih membenarkan saluran paip minyak dari Azerbaijan (melalui laluan Baku-Tiflis-Ceyhan) dieksport terus ke Israel.


Walaupun wujud hubungan ekonomi, beliau menegaskan bahawa pada era Benjamin Netanyahu masa kini, Turki wajib bermusuh secara tegas dengan Israel. Hal ini kerana pelan peluasan kuasa pelampau Zionis untuk membina "Tanah yang Dijanjikan" secara terangnya memasukkan sebahagian wilayah Turki ke dalam peta perluasan mereka.


Ceritakan sisi gelap atau kekurangan negara Turki yang tidak diketahui?


Kes jenayah melibatkan pembunuhan wanita sangat tinggi. Turki berhadapan dengan masalah keadilan sistem undang-undang keluarga yang dilihat sangat berat sebelah terhadap kaum lelaki. Mengikut undang-undang di sana, jika berlakunya perceraian walaupun perkahwinan tersebut hanya bertahan selama satu jam, pihak suami diwajibkan untuk membayar nafkah kepada bekas isteri sepanjang hayatnya selagi wanita itu tidak berkahwin lain secara rasmi (didaftarkan). Akibatnya, ada wanita yang mengeksploitasi kelemahan ini dengan bernikah secara tidak sah (tidak mendaftarkan perkahwinan baharu) semata-mata untuk terus memakan duit nafkah daripada bekas suami bersama teman lelaki baharu mereka Ketidakadilan dan perasaan cemburu ini, ditambah pula dengan hakikat bahawa perbuatan zina tidak dianggap sebagai jenayah di Turki, sering mencetuskan kemarahan melampau pihak bekas suami sehingga membawa kepada tindak balas membunuh. Pembunuhan, penyeksaan, isu kesihatan mental terhadap wanita terlalu tinggi di Turki lebih tinggi berbanding di Eropah.


Penceraian di Turki berada pada paras yang amat tinggi, mencecah kadar 280,000 kes penceraian dalam tempoh setahun.


Masalah penyalahgunaan dadah sangat berleluasa dalam kalangan masyarakat di sana. Keadaan ini diburukkan lagi oleh sistem sempadan negara yang rapuh di mana pihak kerajaan gagal mengawal kebanjiran imigran. Kelonggaran ini membolehkan imigran dari luar (seperti Afghanistan, Pakistan, dan Syria) dengan mudah menyeludup masuk barangan narkotik ke dalam wilayah Turki seolah-olah melalui lebuh raya terbuka.


Eksploitasi kanak-kanak dalam jenayah terancang (Suça Sürüklenen Çocuk). Terdapat trend jenayah yang sangat menakutkan di mana budak-budak belasan tahun (sekitar 14 hingga 15 tahun), terutamanya dari kaum etnik Kurdi dari kawasan timur Turki, diupah dan dimanipulasi untuk melakukan jenayah berat seperti mencederakan orang dengan pisau, mengugut, atau membakar kedai orang yang disasarkan. Sindiket jenayah sengaja menggunakan budak-budak ini kerana mereka tahu undang-undang Turki tidak akan menjatuhkan hukuman yang berat kepada pesalah bawah umur, lantas membolehkan penjenayah cilik ini keluar dari penjara dalam tempoh beberapa bulan sahaja. Lebih parah lagi, ahli keluarga kanak-kanak ini berani menelefon dan mengugut mangsa supaya menarik balik dakwaan polis jika tidak mahu rumah atau keluarga mereka diganggu. Kelemahan sistem keadilan ini amat mengecewakan sehinggakan beliau berasa sistem perundangan yang lebih keras (seperti hudud dan qisas) wajar dipraktikkan untuk memberi pengajaran.


Turki adalah destinasi pelancongan terkenal. Bagaimana penerimaan masyarakat terhadap pelancong dari luar ke Turki?


Penerimaan masyarakat Turki terhadap pelancong dari luar adalah sangat positif dan mengalu-alukan. Rakyat Turki secara umumnya tiada masalah dan sangat suka menerima kedatangan pelancong ke negara mereka. Sikap ramah dan layanan baik (hospitaliti) ini amat ketara, terutamanya jika pelancong masuk ke kawasan luar bandar atau kampung. Penduduk tempatan sering menyambut pengembara dari luar, termasuk pengembara solo dari Malaysia, dengan penuh kemesraan dan menganggap pelancong seagama sebagai saudara (brother).


Masyarakat Turki tidak akan mengambil pusing dan sangat meraikan pelancong asalkan mereka datang sekadar untuk bercuti, menikmati makanan, dan berseronok tanpa melanggar undang-undang, melakukan jenayah, atau mengganggu prinsip serta akhlak masyarakat tempatan.



Apakah kesilapan yang pelancong selalu lakukan ketika datang ke Turki?


Kesilapan paling utama pelancong adalah membawa prejudis dan mengkritik Mustafa Kemal Atatürk serta ideologi sekularisme secara berdepan dengan rakyat Turki. Beliau menyamakan kelakuan ini seolah-olah pelancong luar datang ke Malaysia dan secara biadab mengkritik institusi Yang di-Pertuan Agong. Walaupun perbincangan secara akademik diterima, rakyat Turki amat tidak suka apabila pelancong luar mempertikaikan secara berlebih-lebihan gaya hidup sekular mereka, seperti mempersoalkan mengapa mereka meminum arak atau memilih untuk tidak mendirikan solat.


Ramai pelancong, khususnya dari negara seperti Malaysia, Indonesia, Pakistan, dan negara Arab, selalu melakukan kesilapan dengan mempercayai bulat-bulat cerita-cerita palsu (hoax) mengenai sejarah Turki dan Atatürk. Antara mitos karut yang kerap dipercayai secara mistik adalah kononnya "bumi tidak menerima mayat Atatürk" atau mayatnya menjadi terlalu panas lalu dibuang ke laut.


Terdapat juga kecenderungan dalam kalangan pelancong (terutamanya dari Malaysia dan Indonesia) yang suka mengkritik dan merungut mengenai tabiat rakyat Turki, termasuklah dalam kalangan wanita yang kuat merokok. Walaupun budaya ini mungkin janggal bagi pelancong, rakyat Turki melihat tabiat mengkritik gaya hidup orang awam ini sebagai sesuatu yang kurang disenangi.


Satu lagi pantang larang besar adalah apabila pelancong melabel orang Turki itu adalah bangsa Arab. Rakyat Turki berasa sangat tersinggung dan marah dengan perbandingan ini kerana mereka masih menyimpan luka sejarah akibat peristiwa pengkhianatan puak Arab (seperti Syarif Hussein) terhadap Empayar Uthmaniyah sewaktu bersekongkol dengan pihak British pada zaman dahulu.



Apakah persamaan antara budaya Turki dan Malaysia?


Walaupun masyarakat Turki majoritinya bermazhab Hanafi manakala Malaysia bermazhab Syafie, asas kedua-dua bangsa adalah seagama (Islam). Persamaan agama ini secara langsung telah membentuk prinsip akhlak dan tertib yang selari.


Kedua-dua budaya amat menitikberatkan sifat hormat kepada golongan yang lebih tua. Sebagai contoh, adalah menjadi kewajipan adab di Turki mahupun di Malaysia untuk tidak memanggil orang yang lebih tua dengan sapaan kasar seperti "kamu" atau "kau".


Masyarakat dari kedua-dua negara mengamalkan tata susila yang sangat teratur dalam perbuatan seharian seperti cara makan, minum, duduk, berdiri, dan cara bercakap. Malah, kebiasaan asas budaya Asia seperti membuka kasut di hadapan pintu sebelum masuk ke dalam rumah turut diamalkan bersama.


Beliau secara peribadi melihat bahawa jiwa bangsa Malaysia dan Turki berkongsi karakter yang rendah diri (humble), mudah memaafkan kesilapan orang lain, dan kadangkala sedikit sensitif.


Dari sudut kehidupan berumahtangga, tiada perbezaan ketara dalam cara kedua-dua masyarakat ini membesarkan anak-anak, menjaga isteri, serta memupuk rasa hormat sesama ahli keluarga.


Apakah perbezaan yang paling besar antara dua negara ini?


Latar belakang mazhab turut mempengaruhi corak pemikiran rakyat. Masyarakat Turki yang berteraskan pendekatan Hanafi dan Sufi dilihat lebih santai, bersikap terbuka, dan boleh bertolak ansur (tolerate) dengan kepelbagaian gaya hidup. Manakala masyarakat Malaysia pula dilihat lebih mudah sensitif dan sedikit cepat menghakimi (judgmental). Di Malaysia, perbuatan memberi bantuan sering kali hadir dengan harapan agar budi itu dibalas kelak.


Rakyat Malaysia didapati bersikap lebih tertutup, kuat menjaga privasi, dan membina sempadan jarak terhadap orang yang tidak dikenali berbanding masyarakat di Turki, Iran, ataupun Indonesia yang mana mereka jauh lebih ramah serta mudah menyantuni orang asing.


Sifat agak "tertutup" orang Malaysia ini bukanlah berniat jahat, tetapi didorong oleh didikan yang mengajar mereka agar sentiasa meletakkan keselamatan diri sendiri sebagai keutamaan. Beliau memberikan contoh pengalamannya di sebuah lapangan terbang di Malaysia di mana beberapa individu tempatan enggan meminjamkan alat penukar kad SIM kecil kepadanya semata-mata kerana rasa curiga dan tidak aman berurusan dengan orang luar, suatu situasi yang jarang berlaku jika di Turki.


Apakah perubahan rakyat Turki sendiri ingin lihat dalam negara sendiri?


Dari sudut positif, rakyat Turki kini sedang mengalami perubahan pemikiran yang sangat baik apabila mereka semakin celik maklumat dan tidak mudah lagi dibodohkan dengan berita palsu (hoax). Generasi sekarang pantas merujuk internet untuk mendapatkan fakta yang sahih dan mahir memanipulasi teknologi terkini (seperti AI) untuk mencari peluang perniagaan baharu bagi mengatasi himpitan ekonomi.


Beliau secara peribadi sangat ingin melihat rakyat Turki kembali menjadi masyarakat yang lebih beragama, mengekalkan budaya asal, dan mempamerkan akhlak yang tinggi. Beliau kecewa melihat keruntuhan moral masa kini yang disifatkannya semakin teruk berbanding di Barat, seperti hilangnya adab menghormati atau memberi tempat duduk kepada orang tua di dalam bas, serta sikap masyarakat yang kini hilang rasa hormat apabila bergaduh tanpa mengira keberadaan wanita atau ahli keluarga di sekeliling. Beliau juga mahu melihat rakyatnya lebih rajin membaca dan membuat kajian secara mendalam.


Adakah Turki sedang menuju ke arah perubahan besar?


Ya, Turki sememangnya sedang dan akan berhadapan dengan perubahan besar yang sangat kritikal, terutamanya bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.


Perubahan paling membimbangkan adalah dari sudut landskap pentadbiran negara. Terdapat kerisauan besar bahawa jika kepimpinan dan kuasa mutlak yang berpusat pada Presiden Erdogan masa kini terus diwariskan kepada ahli keluarganya kelak, sistem republik demokrasi Turki berisiko terhakis dan berubah bentuk seolah-olah menjadi sistem "kesultanan" autokratik.


Masa depan sosial masyarakat Turki diramalkan akan menjadi lebih sekular berbanding kehidupan hari ini. Akibat daripada paksaan ideologi dan perasaan muak terhadap hipokrasi politikus yang "menunggang agama", generasi akan datang dijangka akan terus menolak amalan beragama dan memilih haluan baharu seperti fahaman ateisme, deisme, mahupun agnostisisme. Pada masa yang sama, nilai moral dan adab tradisi masyarakat turut dilihat semakin runtuh jika dibandingkan dengan generasi lama.


Meskipun pegangan agama masyarakat Turki semakin memudar, semangat nasionalisme mereka pula dijangka akan terus memuncak hari demi hari. Keadaan ini didorong oleh realiti kedudukan geografi Turki yang dikelilingi pelbagai ancaman keselamatan serantau yang berterusan (seperti konflik dengan Greece, Syria, Armenia, dan ancaman peluasan kuasa Israel). Kesedaran ini akan memastikan rakyat Turki kekal agresif dan sentiasa bersedia untuk mengangkat senjata demi mempertahankan tanah air. Turki diramal akan memimpin dunia Islam kelak bukan lagi sebagai contoh atau ikon agama yang baik, sebaliknya semata-mata kerana status mereka yang memiliki kekuatan tentera yang digeruni.


Sebagai orang Turki sendiri, apakah perkara tentang negara Turki yang paling dibanggakan?


Beliau sangat berbangga dengan sejarah gemilang nenek moyangnya yang tidak pernah menerima kekalahan, di mana bangsa Turki telah berjaya menubuhkan 16 buah negara atau empayar sepanjang lipatan sejarah (bermula dari era bangsa Hun di China dan Mongolia sehinggalah ke Empayar Uthmaniyah), menjadikan Republik Turki pada hari ini sebagai entiti negara mereka yang ke-17.


Satu lagi perkara yang paling membanggakan beliau adalah setia kepada kemerdekaan. Sebagai bukti semangat ini, sekiranya terdapat anggota askar yang terkorban (syahid) di medan pertempuran, penduduk di seluruh bandar malahan seluruh negara akan keluar beramai-ramai untuk menunaikan solat dan memberi penghormatan terakhir.


 

Kata-kata atau nasihat pada para pendengar berkaitan Turki.


Beliau memohon agar orang luar tidak terus menelan bulat-bulat apa sahaja cerita yang disebarkan mengenai Turki. Ini termasuklah mitos karut seperti bumi tidak menerima mayat Atatürk, dakwaan bahawa Presiden Erdogan akan menjadi Khalifah, atau pandangan bahawa era Empayar Uthmaniyah itu sangat murni. Beliau menggalakkan para pendengar untuk mengkaji kebenaran menggunakan sumber rujukan akademik yang sah (sama ada dalam bahasa Inggeris, Arab, atau Turki) atau bertanya terus kepada mereka yang benar-benar hidup dan faham akan situasi di Turki.


Beliau berasa amat sedih dan kecewa apabila membaca hantaran atau komen netizen yang mudah mencaci negaranya dan menghina angkatan tentera Turki bersandarkan naratif sejarah yang salah. Atas dasar tanggungjawab, beliau sering mencuba membetulkan persepsi tersebut dengan membalas komen-komen berkenaan dalam bahasa Melayu, walaupun ada kalanya komen fakta beliau dipadam oleh pemilik akaun.


Beliau menasihatkan masyarakat agar tidak memandang sesuatu perkara secara berlebihan atau melampau (exaggerate) atau meromantiskan sejarah berdasarkan emosi dan ‘wishful thinking’. Sebagai contoh, ramai orang luar meromantiskan sistem Khalifah Islam sebagai sebuah pentadbiran yang maksum dan sempurna, namun hakikat sejarah membuktikan bahawa sejak zaman awal para sahabat sehinggalah kepada pemerintahan Uthmaniyah, dunia Islam sentiasa dilanda krisis dalaman, pemberontakan, dan pengkhianatan. Oleh itu, beliau meminta masyarakat untuk bersikap lebih adil, objektif, dan realistik dalam menilai sejarah.


Facebook: Atakan Korkmaz


Turki: Antara Persepsi & RealitiPengembara Nomad

 
 
  • Instagram
  • Facebook
  • TikTok

Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman ini bertujuan semata-mata untuk memberi inspirasi dan ilustrasi.

Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2026 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U).

SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page