top of page

Turki Uthmaniyyah vs Turki Moden.

Updated: 26 Apr

Latar Belakang Diri & Minat Terhadap Mengkaji sejarah Uthmaniyyah


Muhammad Alif Fitri (kanan)
Muhammad Alif Fitri (kanan)

Nama beliau ialah Muhammad Alif Fitri bin Abdul Halim. Beliau mula jatuh hati, meminati, dan mengkaji sejarah Uthmaniyyah sejak tahun 2014 ketika berada di Tingkatan Empat. Pada waktu itu, beliau mengambil peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) yang mempunyai subjek al-Tarikh al-Islami (Sejarah Islam), di mana silibusnya mewajibkan beliau belajar dan menghafal tentang sejarah kerajaan Uthmaniyyah. Beliau juga mula mengenali Uthmaniyyah melalui bacaan ringan seperti novel Sultan Muhammad al-Fatih karya Pak Latip.


Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di bawah Fakulti Pengajian Islam, dengan pengkhususan dalam bidang Pengajian Arab dan Tamadun Islam. Selepas tamat ijazah, beliau menyambung pengajian ke peringkat Sarjana (Master) di Institut Islam Hadhari, UKM untuk mendalami falsafah sejarah Uthmaniyyah dengan lebih mendalam.



Selain pendidikan formal, beliau turut terlibat dengan sebuah NGO yang dikenali sebagai Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD). Melalui NGO tersebut, beliau menyertai satu kumpulan khusus bernama "Legasi Fatih - Turki", yang membolehkan beliau menjejakkan kaki ke Istanbul buat pertama kali pada tahun sebelum rakaman ini dibuat.



Mengambil kelebihan latar belakang pendidikannya, beliau memfokuskan kajian Uthmaniyyah melalui naratif dan sumber ulama atau sejarawan berbangsa Arab. Bermula dari tahun 2016, beliau telah mengumpulkan sekitar 28 naskhah berbahasa Arab berkaitan Uthmaniyyah, dan kini sedang memfokuskan usahanya untuk menterjemahkan buku-buku tersebut. Beliau mampu membaca bahan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab, serta mempunyai sedikit kemahiran membaca bahasa Turki Uthmaniyyah (tulisan jawi Uthmaniyyah)



Apakah Turki Uthmaninyyah ini sebenarnya dengan lebih mudah difahami untuk pemula? Siapakah tokoh penting dari empayar Turki Uthmaniyyah ini?


Beliau memperbetulkan salah faham umum yang mengaitkan Uthmaniyyah dengan Sayidina Uthman bin Affan ataupun istilah "Bani Uthman". Mereka sebenarnya tergolong dalam bangsa "Ajam" (bukan Arab), beragama Islam, dan berasal dari sebuah cabang puak Turki yang besar bernama Oghuz. Daripada cabang Oghuz ini, lahirlah sebuah puak bernama puak Kayi, yang merupakan keturunan pengasas kerajaan ini. Nama Uthmaniyyah dinisbahkan kepada pemimpin pertama mereka, iaitu Uthman (orang Turki menyebutnya Osman), anak kepada Ertugrul.


Asal-usul kerajaan ini bermula apabila datuk kepada Uthman, iaitu Sulaiman Shah, terpaksa membawa puaknya berhijrah dari pergunungan Altai (Asia Tengah) ke dunia Islam di Anatolia akibat serangan tentera Gengkhis Khan. Apabila kuasa besar ketika itu iaitu Kerajaan Seljuk mula jatuh, Uthman telah mengisytiharkan kerajaannya sebagai sebuah kerajaan yang merdeka, dan bermula dari detik itulah lahirnya kerajaan Uthmaniyyah.


Beliau membahagikan tokoh-tokoh penting ini kepada tiga golongan utama:


  1. Golongan Sultan:

    • Uthman bin Ertugrul: Sultan pertama yang mengasaskan kerajaan.

    • Sultan Muhammad al-Fatih: Tokoh yang berjaya membuka kota Konstantinopel.

    • Sultan Sulaiman al-Qanuni: Membawa empayar Uthmaniyyah ke kemuncak keluasan wilayahnya.

    • Sultan Salim I: Ayah kepada Sultan Sulaiman dan merupakan Khalifah yang pertama bagi Uthmaniyyah.

    • Sultan Abdul Hamid II: Sultan yang memerintah di era penghujung kerajaan.


  2. Golongan Negarawan / Perdana Menteri (Sadrazam):

    • Luthfi Pasha: Perdana Menteri pada zaman Sultan Sulaiman al-Qanuni.

    • Koprulu Mehmed Pasha: Perdana Menteri pada zaman Sultan Muhammad IV

    • Kara Mustafa Pasha: Tokoh signifikan yang mengetuai pasukan tentera Uthmaniyyah untuk membuka kota Vienna buat kali kedua, walaupun akhirnya gagal.


  3. Golongan Ulama:

    • Sayid Luqman.

    • Taşköprüzade (Tashkubrazadah).

    • Katib Celebi / Haji Khalifah.


Ceritakan kekuatan dan kejayaan empayar Turki Uthmaniyyah.


Rahsia kekuatan dan kejayaan empayar Turki Uthmaniyyah banyak dirujuk melalui sebuah buku bertajuk "Falsafah al-Tarikh al-Uthmani" (Falsafah Sejarah Uthmaniyyah) karya Muhammad Jamil Bayhum.


Uthmaniyyah bangkit pada waktu dunia Islam secara umumnya sedang lemah dan bangsa Arab sedang bergaduh sesama sendiri. Turki Uthmaniyyah mengambil kesempatan daripada kelemahan ini untuk membina kekuatan sehinggalah mereka berjaya menjadi penguasa dunia Islam pada ketika itu. Pembentukan, kebangkitan, dan kekuatan sesuatu bangsa itu hakikatnya berkait rapat dengan sunnatullah (ketetapan Tuhan) dan kepatuhan bangsa tersebut kepada Allah.


Tunjang pemerintahan Uthmaniyyah telah dibina dengan sangat jelas sejak awal penubuhannya. Sebagai contoh, selepas kemerdekaan diisytiharkan oleh Uthman, anaknya Sultan Orhan telah mewujudkan mata wang sendiri, menubuhkan pasukan tentera khusus yang dipanggil Janissari, dan membina institusi-institusi seperti "kulliye" (masjid yang dikelilingi madrasah) serta sistem ulama.


Kekuatan empayar ini amat bergantung kepada sultan-sultan mereka (seperti Sultan Muhammad al-Fatih) yang sentiasa turun padang memimpin sendiri pasukan tentera untuk membuka dan menguasai wilayah-wilayah baharu.


Kejayaan Uthmaniyyah turut dibantu oleh kelemahan musuh mereka di Eropah. Kebangkitan mereka berlaku selari dengan waktu Eropah sedang berpecah-belah dan saling berperang akibat perebutan pengaruh antara kerajaan-kerajaan Kristian Katolik, Ortodoks, dan Protestan.


Menjelang kemuncaknya pada zaman Sultan Sulaiman al-Qanuni, Uthmaniyyah memiliki pasukan tentera yang bergaji tetap, meriam yang tercanggih, dan menjadi antara pasukan terawal yang menggunakan senapang. Ekonomi mereka juga sangat kukuh kerana mereka mempunyai banyak sumber asli serta mengawal sepenuhnya laluan pelabuhan penting seperti Laut Merah dan Laut Mediterranean. Penguasaan mereka sangat hebat sehinggakan Laut Mediterranean itu diumpamakan seperti "tasik" bagi Uthmaniyyah sahaja, di mana segala urusan perlu dilaporkan kepada mereka.


Apakah yang menyebabkan kejatuhan Turki Uthmaniyyah?


Beliau menegaskan bahawa kejatuhan ini adalah satu sunnatullah (ketetapan Tuhan) memandangkan tidak ada mana-mana kerajaan Islam dalam sejarah yang mampu bertahan lebih daripada 600 tahun.


Mereka mempunyai sikap tradisionalisme yang sangat kuat dan terlampau kuat berpegang kepada tradisi atau sukar mengadaptasi dengan perubahan. Antara kesannya, mereka menolak teknologi mesin cetak dari Barat kerana bersikap skeptikal terhadap "buatan kafir" dan bimbang teknologi itu akan menghilangkan pekerjaan golongan jurutulis khat (katib).


Penolakan terhadap hal-hal dari dunia Barat menyebabkan pasukan tentera Uthmaniyyah menjadi tidak moden. Walaupun sudah hampir memasuki Perang Dunia Pertama, askar mereka masih tidak cukup moden jika dibandingkan dengan kemajuan barat.


Beliau mengakui wujudnya sisi gelap keruntuhan moral di peringkat dalaman seperti amalan rasuah, amalan mengampu pemerintah, serta adanya pemerintah yang culas (seperti sultan yang mabuk dan tidak mendirikan solat).


Apabila tentera sudah tidak kuat dan sultan tidak lagi turun memimpin jihad, kerajaan banyak kalah dalam siri peperangan. Kekalahan yang melibatkan kos tinggi ini telah menjerat Uthmaniyyah dengan bebanan hutang perang yang terlampau banyak daripada negara Eropah, sehinggakan mereka sudah tidak mampu untuk bangkit lagi.

 

Ceritakan siapa Mustafa Kemal Ataturk dan apakah peranan Mustafa Kemal Atatürk dalam perubahan ini?


Mustafa Kamal Ataturk pada asalnya merupakan seorang "Pasha" atau menteri Uthmaniyyah, dan juga seorang panglima tentera yang berjuang mempertahankan sempadan kerajaan Uthmaniyyah daripada serangan kuasa-kuasa bersekutu (British, Perancis, dan Rusia) semasa berlakunya Perang Dunia Pertama. Beliau melihat Ataturk lebih mahu menyelamatkan negara dan bangsanya yang sedang terancam.


Pada awalnya, perjuangan Ataturk adalah murni untuk mempertahankan sistem khilafah. Namun, beliau mendapati khilafah sudah semakin lemah, umat Islam tidak mampu memimpin, dan yang paling kemuncak adalah apabila ibu kota Istanbul dikuasai oleh Perancis yang disifatkannya sebagai satu kehinaan yang sangat teruk kepada bangsanya. Bertitik tolak daripada saat itulah, beliau merubah haluan dengan mengangkat sentimen nasionalisme "Turaniah" bagi membangkitkan kembali kehebatan bangsa Turki semata-mata.


Antara peranan dan sumbangan besar Ataturk yang membuatkan beliau dihormati oleh rakyatnya berikutan usahanya menyelamatkan negara adalah:


Ataturk telah mengetuai sendiri pasukan kemerdekaan dan berjaya merampas kembali satu persatu wilayah di Anatolia dan Balkan daripada penguasaan penjajah Perancis dan British. Kejayaannya menghalau penjajah keluar dianggap oleh beliau sebagai satu usaha yang sangat besar.


Menyedari bahawa sistem empayar lama sudah rosak akibat kekalahan perang dan tidak lagi dapat diselamatkan, beliau menubuhkan kerajaan Republik bagi menyelamatkan negaranya dan mengisytiharkan diri beliau sebagai Presiden yang pertama.


Walaupun Ataturk dikritik hebat oleh umat Islam kerana membawa ideologi sekular, menyingkirkan kuasa politik Sultan, dan memansuhkan Khilafah, dari satu sudut yang lain beliau langsung tidak memusnahkan tinggalan monumen atau sejarah Uthmaniyyah. Sebagai contoh, beliau hanya menukarkan status Aya Sofia menjadi sebuah muzium tanpa memadamkan tulisan kalimah Allah di dalamnya, yang membolehkan warisan sejarah tersebut kekal dipelihara dan boleh dilihat.

 

Ceritakan sistem pemerintahan Turki Uthmaniyyah dan bagaimana terjadinya penubuhan Republik Turki?


Sistem Pemerintahan Turki Uthmaniyyah


Ideologi kerangka politik Uthmaniyyah adalah Din ü Devlet, yang bermaksud agama dan negara disatukan sekali. Pemerintahan ini membawa kefahaman bahawa Sultan Uthmaniyyah adalah naungan Allah Taala di bumi (al-Sultan Zillullahu Fil alam). Sultan bertindak seumpama wakil yang meneruskan kepimpinan dan menegakkan agama yang dibawa oleh Rasulullah. Sultan-sultan Uthmaniyyah menggunakan gelaran-gelaran berteraskan Islam seperti Khalifah Allah, naib Rasulullah, Amirul Mukminin, dan Imamul Muwahidin.


Beliau menegaskan Uthmaniyyah bukanlah mengamalkan sistem "monarki mutlak" sepertimana yang dilabelkan oleh orang Barat, sebaliknya ia adalah sistem khilafah atau daulah di mana keutamaan pemimpin adalah untuk menjaga kemaslahatan agama.


Sistem pentadbiran mereka mewarisi kesinambungan sistem daripada era Islam awal dan Byzantine, di mana wujudnya diwan (jabatan) dan wazir (menteri). Hierarki pentadbirannya meletakkan jawatan Syaikhul Islam (yang menguruskan agama) sebagai orang nombor dua, sebaris dengan Perdana Menteri atau Sadrazam. Sistem mereka juga melantik wakil bagi orang bukan Islam, contohnya paderi dilantik menjadi ketua mewakili penduduk Kristian Ortodoks.


Bagaimana Terjadinya Penubuhan Republik Turki


Semuanya bermula kesan daripada Perang Dunia Pertama apabila empayar Uthmaniyyah tewas dan ibu kotanya, Istanbul, ditakluk oleh British dan Perancis.


Sistem empayar yang lama sudah rosak dan tidak dapat diselamatkan, Mustafa Kamal Ataturk (pada asalnya seorang panglima tentera Uthmaniyyah) bertindak mengetuai gerakan peperangan kemerdekaan untuk menyelamatkan wilayah-wilayah dan bangsanya.


Selepas berjaya merampas kembali wilayah daripada penjajah bersekutu, beliau mula membuka lembaran baharu dengan mewujudkan sistem Republik dan mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden pertama.


Peralihan ini dilakukan secara berperingkat; Ataturk pada mulanya memansuhkan kuasa politik Sultan terlebih dahulu. Selepas kuasa Sultan dipencenkan, baharulah beliau memansuhkan institusi kekhalifahan pada tahun 1924.


Negara baharu Turki ini dibina di atas falsafah sekular (di bawah gagasan Kemalism) yang memisahkan terus hal agama daripada kehidupan rakyatnya, yang merangkumi pemisahan agama daripada aspek politik, ekonomi (seperti mengamalkan riba), dan dasar-dasar sosial.

 

Mengapa Mustafa Kemal Atatürk memperkenalkan sistem sekular?


Atatürk melihat sistem yang sedia ada pada ketika itu (sistem khilafah/agama) sudah lemah dan beliau merasakan sudah tiada harapan lagi untuk diselamatkan. Beliau seolah-olah merasakan institusi agama sudah tidak dapat berfungsi lagi untuk mentadbir negara.


Memandangkan sistem lama sudah runtuh dan tidak boleh digunakan lagi, Atatürk terpaksa mengambil kaedah dan alternatif lain. Beliau memperkenalkan sekularisme semata-mata untuk mengisi kelompongan (kekosongan) sistem pada waktu itu, yang mana beliau menyifatkannya sebagai Atatürk mungkin "tak tahu nak isi dengan apa".


Atatürk memerhatikan perkembangan negara-negara Barat seperti Perancis dan Britain, iaitu musuh yang mengalahkan kerajaannya dahulu. Beliau melihat kekuatan empayar-empayar Barat pada ketika itu adalah bersandarkan kepada sistem mereka yang sememangnya sudah lama mengamalkan sekular. Oleh itu, beliau memilih sekular kerana mahu mencuba dan mengikut apa yang telah memajukan Eropah.


Mengambil iktibar daripada sejarah Eropah yang keluar daripada "Zaman Gelap" dengan memisahkan kawalan agama Kristian, Atatürk membuat hipotesis yang sama. Beliau bertekad mahu mengeluarkan unsur-unsur agama daripada keseluruhan hal kehidupan manusia yang merangkumi pemisahan politik, ekonomi (menerima riba), dan dasar sosial.



Mengapa rakyat Turki masa kini lebih memilih pendekatan sekular?


Kecenderungan sebahagian rakyat Turki pada masa kini untuk memilih pendekatan sekular banyak didorong oleh keinginan untuk gaya hidup yang bebas serta kesan daripada pengaruh sejarah di kawasan bandar. 


Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pandangan sekular ini sama sekali tidak mewakili keseluruhan gaya hidup rakyat Turki. Dari sudut demografi, komposisi dan kefahaman rakyat di negara tersebut sebenarnya sangat seimbang dan saling menyeimbangkan di antara kawasan bandar dan kawasan pedalaman. Beliau menjelaskan bahawa wujudnya persepsi Turki kelihatan sangat sekular adalah semata-mata kerana pemerhatian selalunya hanya tertumpu di kawasan bandar. Sebaliknya, jika dihayati kehidupan di kawasan kampung-kampung dan pedalaman, masyarakat Turki masih kuat mempertahankan identiti serta tradisi agama mereka. Hal ini dapat dibuktikan melalui pemeliharaan budaya Islam seperti pemakaian tudung yang masih diguna pakai secara meluas dalam kalangan penduduk tempatan


Adakah masyarakat Turki hari ini masih kuat identiti Islamnya?


Untuk melihat sama ada identiti Islam masyarakat Turki hari ini masih kuat atau tidak, beliau menjelaskan bahawa ia boleh dinilai melalui dua perkara utama:


Pertama, melalui dasar-dasar Islam yang diketengahkan oleh kerajaan Turki sekarang. Dari sudut pandangan umum, ada yang beranggapan kerajaan Turki hari ini sudah Islamik dan Presiden Erdogan sedang menghidupkan balik syiar Islam. Walau bagaimanapun, wujud pandangan lain yang mengatakan Erdogan sebenarnya masih terpaksa mengekalkan dan menjaga kepentingan kumpulan sekular.


Kedua, melalui pemerhatian di kawasan luar bandar. Menurut pengalaman kawan-kawan beliau yang pergi ke kawasan kampung di sebelah timur Turki, suasananya adalah sangat berbeza berbanding di bandar. Beliau menyatakan bahawa kita perlu lihat dan rasai sendiri perbezaan pengalaman tersebut di sana.


Namun begitu, beliau menegaskan bahawa untuk mencapai tahap menjadi kembali sebagai sebuah negara yang berteraskan Islam, ia mungkin masih jauh lagi ataupun belum sampai ke tahap itu. Hasrat untuk menghidupkan kembali Turki Uthmaniyyah juga dianggap sebagai suatu hal yang mungkin di luar jangkaan. Beliau turut menambah bahawa setakat ini, tahap kekuatan identiti Islam tersebut belum sampai ke tahap yang mampu merubah kerajaan ataupun membentuk polisi sepertimana yang wujud di negara-negara majoriti Islam yang lain.


Adakah beliau melihat sistem politik Turki hari ini masih dipengaruhi oleh warisan Uthmaniyyah?


Beliau mengiyakan secara langsung bahawa sistem pentadbiran dan politik hari ini memang tidak dapat dinafikan masih mempunyai warisan Uthmaniyyah, dan ia merupakan satu kesinambungan yang sentiasa diadaptasi.


Politik dan pentadbiran manusia sentiasa diadaptasi sepanjang sejarah, bermula dari tamadun Roman (senat) dan zaman Islam (syura). Kerajaan Uthmaniyyah sendiri mewarisi sistem daripada Byzantine dan tamadun Islam awal, dan sistem yang diguna pakai hari ini adalah kesinambungan daripada warisan tersebut.


Pengaruh zahir Uthmaniyyah dapat dilihat melalui pembentukan jabatan-jabatan kerajaan (diwan) yang merupakan peninggalan zaman Sayidina Umar, di mana setiap jabatan mempunyai ketuanya sendiri yang dinamakan sebagai menteri atau wazir.


Pada zaman Uthmaniyyah, jawatan Syaikhul Islam diletakkan pada tahap nombor dua sebaris dengan Perdana Menteri (Sadrazam). Walaupun statusnya tidak lagi sama hari ini, aplikasinya tetap diteruskan dengan kewujudan kementerian yang menjaga agama (Menteri Agama). Selain itu, sistem hari ini juga mewarisi perwakilan bagi bukan Islam, sama seperti Uthmaniyyah dahulu yang membenarkan paderi (archbishop) menjadi wakil rakyat Kristian Ortodoks.


Beliau berpandangan konsep raja berperlembagaan itu sendiri adalah warisan daripada Islam Uthmaniyyah. Rangka asas kerajaannya masih sama, iaitu kita mempunyai Ketua Negara (seperti Agong atau Sultan Uthmaniyyah) dan Ketua Kerajaan (seperti Perdana Menteri atau Sadrazam), berserta diwan dan kementerian.


Beliau menegaskan bahawa “roh” itu mungkin tidak sama kerana konteks sistem pada hari ini sudah baru dan berbeza. Sebagai contoh, tahap ketaatan kepada raja pada hari ini sudah tidak sama seperti tahap ketaatan mutlak kepada Sultan Uthmaniyyah pada zaman dahulu.


Apa budaya utama yang lahir daripada Empayar Uthmaniyyah dan apa yang masih kekal sehingga kini?


Budaya meraikan dan melayan tetamu dengan sangat baik adalah warisan langsung daripada zaman Uthmaniyyah. Beliau menyebut, jika kita berjumpa orang Turki yang baik, mereka memang akan melayan kita dengan sangat baik seperti budaya lama tersebut.


Interaksi yang baik seperti memberi salam masih ditonjolkan. Contoh yang disebut beliau adalah amalan menyapa dengan ucapan "kolay gelsin" yang bermaksud "semoga dipermudahkan" apabila berjumpa dengan orang lain.


Orang Turki sangat menjaga artifak dan muzium warisan Uthmaniyyah. Contohnya, kerja-kerja pemuliharaan bangunan bersejarah sentiasa dilakukan.


Di kawasan seperti Fatih, struktur tempat paip air lama warisan Uthmaniyyah masih dipelihara dan tidak dibuang, malah dijaga rapi seolah-olah baru dicat biarpun terletak di tengah-tengah laluan jalan.


Koridor khusus yang dibina sebagai rumah burung pada zaman Uthmaniyyah juga masih dijaga sehingga ke hari ini.


Kebudayaan pancaragam berkonsepkan marching band Uthmaniyyah yang dipanggil Mehter masih hidup. Ia sering dibawa dan digunakan dalam sambutan rasmi kerajaan yang besar, malahan juga dimainkan di padang ketika perlawanan bola sepak.


Majlis-majlis sufi atau tasawuf masih lagi diamalkan di sana. Orang ramai boleh datang untuk mendengar dan menonton majlis tersebut tanpa ada sebarang ancaman penutupan daripada pihak berkuasa.


Apakah perubahan budaya besar yang berlaku dalam Turki moden?


Perubahan budaya yang paling besar berlaku dalam Turki moden adalah dari segi cara pemakaian. Pakaian kebudayaan kini sudah menjadi seperti pemakaian masyarakat moden hari ini, di mana orang Turki sudah jauh berubah dan tidak lagi memakainya dalam kehidupan harian. Pakaian kebudayaan tersebut kini hanya sekadar menjadi tradisi yang dipakai untuk urusan-urusan tertentu sahaja, seperti untuk tujuan persembahan atau sesuatu acara (event).


Secara umumnya, masyarakat Turki pada hari ini berpakaian sama sahaja seperti kita. Walau bagaimanapun, oleh sebab mereka masih ada rasa untuk menjaga warisan, tidak timbul sebarang isu seperti rasa "alergik" atau sebarang bantahan (statement) berhubung pakaian warisan tersebut.

 

Ceritakan kedudukan Turki dalam geopolitik dunia hari ini?


Bangsa Turki sudah berpolitik sejak sekian lama memandangkan sejarah nenek moyang mereka yang pernah memerintah dunia (tiga benua pada zaman Uthmaniyyah). Justeru, cara fikir orang Turki pada hari ini sememangnya dipengaruhi oleh warisan zaman dahulu.


Dasar atau polisi kerajaan Turki sekarang lebih menjurus kepada sikap suka memerhati dan mencari proksi bagi menjaga kepentingan mereka di luar negara.


Turki bertindak mencampuri urusan di Syria secara langsung semata-mata untuk menjaga kepentingan sempadannya. Mereka mahu mengawal serta melemahkan kumpulan pemberontak militan Kurdish (yang ada kaitan dengan rejim Basyar al-Assad) supaya pihak Turki tidak lagi pening dengan isu sempadan.


Biarpun ada pandangan serong yang melabel Turki sekadar "jaguh sembang" atau pandai "condemn" (merujuk kepada kelantangan presidennya), hakikatnya kerajaan Turki diam-diam membelanjakan bajet yang banyak untuk terus membangunkan fasiliti ketenteraan dan teknologi senjata mereka sendiri (buatan tempatan).


Beliau mengaitkan sikap Turki yang kadang-kadang memerhati ini dengan falsafah kebanggaan Turki yang mengumpamakan diri mereka sebagai "serigala" (wolf/kurt). Serigala sifatnya tenang tetapi ada masa ia akan menyerang. Manakala musuh mereka pula digelar sebagai "cakal" (hyeana) yang bengis dan tergesa-gesa menyerang.


Hubungan Luar yang Neutral dan Taktikal:


o   Turki tidak bermusuhan sangat dan keadaannya "okey" dengan negara seperti Iran dan Rusia.

o   Dengan Amerika Syarikat (US) pula, Turki bersikap anti, tetapi "tak anti sangat" (neutral).

o   Manakala dengan Israel, biarpun sering mengecam tindakan Israel, Turki hakikatnya masih mengekalkan hubungan rasmi dan diplomatik. Beliau berpandangan ia dikekalkan atas dasar manfaat dan kepentingan ekonomi seperti keperluan laluan saluran paip gas. Israel pula didapati tidak berani mencari fasal secara langsung dengan Turki kerana Turki memiliki fasiliti dan ketenteraan antara yang terkuat di dunia.


Kesimpulannya, geopolitik Turki amat penting dan tidak boleh diketepikan. Turki dilihat mampu menjadi satu kuasa "pengimbang" di Timur Tengah dalam kancah pergaduhan bangsa-bangsa besar (Arab, Parsi/Iran, dan Yahudi/Israel), lebih-lebih lagi apabila didapati negara-negara Arab pada ketika ini sangat bergantung sepenuhnya kepada pihak Barat atau US.

 

Ceritakan kedudukan Turki dan Israel. Adakah Turki boleh dikira sebagai masih mempunyai hubungan diplomatik bersama Israel?


Turki sememangnya masih mempunyai hubungan rasmi dan diplomatik bersama Israel.


Beliau menyamakan situasi ini dengan keadaan di Malaysia yang mengutuk Amerika Syarikat atau China tetapi tetap mengekalkan hubungan. Konteks Turki dan Israel juga sama, di mana mereka sentiasa mengecam tingkah laku Israel secara ketara, namun dari sudut untuk memutuskan hubungan yang ada faedah tertentu, tahap itu mungkin belum sampai lagi.


Pandangan yang diterima beliau menyatakan bahawa hubungan diplomatik ini terpaksa dikekalkan kerana adanya manfaat ekonomi. Ia sangat berkait rapat dengan saluran paip gas, yang mana Israel dikatakan membeli gas daripada Turki melalui wilayah Azerbaijan dan Laut Mediterranean. Turki tidak mahu memutuskan saluran ini demi menjaga sumber kewangan dan ekonomi mereka.


Dari sudut pandang Israel pula, beliau mendapati bahawa kerajaan Israel sendiri hakikatnya tidak berani untuk berhadapan secara langsung (direct) dengan Turki. Biarpun terdapat menteri ultra Israel yang menyatakan sasaran mereka yang seterusnya selepas Iran adalah Turki, pihak Turki sentiasa berada dalam keadaan bersedia (get ready) kerana memiliki fasiliti dan ketenteraan yang terkuat.


Beliau berpandangan bahawa buat masa sekarang tindakan Turki terhad kepada kecaman. Namun, sekiranya pada suatu hari nanti hubungan tersebut sudah tidak lagi memberi apa-apa manfaat ekonomi, mungkin pada waktu itulah Turki akan bertindak lebih ofensif ataupun mula menyerang Israel.


Ceritakan realiti sebenar Turki sekarang menurut pandangan beliau.


Realiti sebenar Turki pada hari ini adalah sama seperti negara-negara lain dan boleh dipecahkan kepada dua keadaan masyarakat yang berbeza:


Terdapat keadaan masyarakat Turki yang sememangnya mengikut cara hidup Barat dan bergaya dengan gaya hidup Barat. Ini termasuklah cara kehidupan seperti minum (arak) dan sebagainya.


Terdapat juga masyarakat yang masih mengekalkan tradisi, gaya hidup Turki Uthmaniyyah, dan juga nilai Islam. Keadaan masyarakat seperti ini masih mengekalkan cara hidup tersebut terutamanya di kawasan sebelah timur ataupun sebelah Asia.


Beliau menegaskan bahawa ini adalah gambaran awal yang wajib diketahui supaya kita tidak terkejut apabila pergi ke sana. Terdapat pelancong yang hanya tahu Turki itu sebagai tempat Uthmaniyyah hasil daripada kajian mereka, namun terkejut apabila pergi melancong ke kawasan sekitar Taksim di Istanbul kerana ia sangat berbeza dengan sangkaan mereka.


Menurut beliau, keadaan gaya hidup sebegitu tidak menghairankan kerana sejak zaman Uthmaniyyah lagi, Istanbul sememangnya bertaraf metropolitan (seperti Kuala Lumpur) di mana pelbagai bangsa dari luar seperti orang Venice, Hungary, Poland, dan Arab datang ke situ. Bezanya cuma orang Turki di kawasan itu pada masa kini telah mula meniru dan mengikut cara hidup masyarakat luar yang pernah menduduki tempat yang sama.


Sebagai analogi, beliau menyamakan realiti Turki itu seperti keadaan di Malaysia. Umpamanya, jika pelancong luar datang ke Kuala Lumpur, mereka boleh melihat orang minum-minum, tetapi jika mereka pergi ke negeri seperti Kelantan, Terengganu, atau Kedah, keadaannya adalah berbeza (tidak boleh minum). Kesimpulannya, realiti kehidupan masyarakat di Turki sebenarnya tidak banyak beza dan lebih kurang sama sahaja dengan rakyat kita di Malaysia.


Apakah perbezaan paling ketara yang beliau lihat antara Turki moden dengan empayar lama?


Perbezaan yang paling ketara antara Turki moden dengan empayar Uthmaniyyah dahulu adalah dari sudut ideologi pemerintahan.


Ideologi pemerintahan mereka adalah "Din ü Devlet", yang bermaksud agama dan negara adalah sekali. Kerangka politik Uthmaniyyah membawa kefahaman bahawa Sultan adalah "Zillullahu Fil alam" (naungan Allah di bumi), di mana rakyat mendapat naungan rahmat Islam melalui sultan yang memerintah. Selain itu, dalam pemerintahan Islam dahulu, keutamaan nombor satu mereka adalah untuk menjaga kemaslahatan agama.


Pemerintahan hari ini sudah mengikut corak pemerintahan Barat berteraskan sistem demokrasi di mana wujudnya "taadudil imam" (banyak pemimpin), berbeza dengan Islam yang menetapkan seorang pemimpin (khalifah). Disebabkan perubahan sistem ini, "roh" (semangat) hubungan antara pemerintah dan agama seperti zaman dahulu sudah tidak ada. Perbezaan paling nyata adalah kerajaan hari ini tidak lagi meletakkan pemeliharaan kemaslahatan agama sebagai keutamaan nombor satu.


Ceritakan politik sebenar yang berlaku di Turki.


Realiti politik yang berlaku di Turki pada hari ini banyak tertumpu kepada dinamika sokongan terhadap Presiden Erdogan dan pertembungan dengan parti sekular. Erdogan pada asalnya menjadi fenomena apabila mewakili parti Islam dan bermula sebagai Datuk Bandar (Mayor) Istanbul sebelum perlahan-lahan naik dan mewujudkan parti kerajaannya iaitu AK Parti.


Walau bagaimanapun, senario hari ini telah berubah di mana tempat-tempat yang beliau pernah menang dahulu kini telah kalah kepada parti Kamalis (sekular). Bandar-bandar besar di Turki sekarang ini banyak dikuasai oleh parti-parti sekular sehinggakan kelibat poster besar Erdogan di bandar sudah tidak nampak lagi. Sebaliknya, kawasan yang kuat menyokong pemerintahan Islamiknya banyak tertumpu di belah timur dan kawasan kampung-kampung seperti di Sanliurfa.


Beliau turut memberitahu sentimen bahawa Erdogan sudah terlampau lama berkuasa sehinggakan timbul persoalan mengenai siapa yang akan menggantikannya, memandangkan anaknya Bilal dilihat sudah tidak berminat dengan politik. Terdapat golongan yang lantang menzahirkan rasa tidak setuju dan tidak menyokong kepimpinannya.


Namun begitu, Erdogan masih berjaya mengekalkan kuasanya berikutan beberapa faktor utama:


Rakyat tidak menolaknya sepenuhnya kerana kerajaan dilihat sangat responsif dalam membantu membina semula rumah dan bandar selepas bencana gempa bumi melanda.


Selain itu, berkenaan isu ketidakpuasan hati di kawasan bandar, beliau mendedahkan bahawa demonstrasi atau bantahan yang berlaku biasanya dicetuskan oleh golongan perlembagaan sekularis dan juga pencinta alam sekitar (environmentalist). Kumpulan pencinta alam sekitar ini pernah mencetuskan bantahan hanya kerana tidak bersetuju dengan tindakan membina masjid yang telah mengambil ruang kawasan taman.


Kekuatan paling besar yang menstabilkan Erdogan adalah kemampuannya menjaga dan mengawal golongan tentera daripada menggulingkannya. Hal ini penting kerana di Turki, golongan tenteralah yang melindungi perlembagaan sekular dan selalu mencampuri urusan politik dengan melakukan rampasan kuasa (kudeta) terhadap pemimpin terdahulu seperti Perdana Menteri Adnan Menderes.


Adakah rakyat Turki terbuka dengan dunia Arab?


Pada zaman awal pemerintahan Kamal Ataturk, sentimen anti-Arab memang agak ketara berpunca daripada faktor nasionalisme. Pada waktu itu, orang Arab dan orang Turki masing-masing mahu menonjolkan bangsa sendiri. Ataturk beranggapan bahawa unsur Arab itu mewakili agama, jadi beliau menolak unsur-unsur tersebut. Kesannya pada waktu itu, tulisan Arab diharamkan (banned), kitab-kitab Arab terpaksa diseludup secara sembunyi, dan azan dalam bahasa Arab juga menjadi isu.


Pada hari ini, dasar Turki telah banyak berkembang dan menjadi lebih terbuka seiring dengan penerapan nilai-nilai Islam di sana. Unsur-unsur dan masyarakat Arab sudah mula diterima. Buktinya:


o   Beliau sendiri dengan mudah terjumpa kedai makan Nasi Arab yang dibuka oleh orang Arab di tengah-tengah bandar Istanbul pada waktu malam.

o   Terdapat lambakan kedai buku yang kini bebas menjual kitab-kitab berbahasa Arab di Turki, suatu hal yang diharamkan pada zaman dahulu.

o   Penerbit-penerbit di Turki juga sudah mula menerbitkan dan mencetak buku-buku dalam bahasa Arab.


Walaupun rakyat Turki "okey sahaja" dengan bangsa Arab secara umumnya, keadaan berubah menjadi agak tegang apabila ia melibatkan golongan pelarian Arab dari Syria. Ketegangan sentimen ini berlaku kerana rakyat Turki melihat kerajaan mereka terpaksa membelanjakan duit yang banyak untuk menanggung pelarian-pelarian ini. Apabila pelarian ini mula merayau masuk ke kawasan bandar, ia turut mencetuskan konflik dengan penduduk tempatan. Atas sebab itulah, kerajaan Erdogan berusaha sedaya upaya untuk menstabilkan sempadan di Syria supaya pelarian ini dapat dihantar pulang, yang mana langkah penyelesaian ini diyakini amat disukai oleh rakyat Turki.


Bagaimana hubungan mereka dengan masyarakat Islam yang lain?


Hubungan orang Turki dengan masyarakat Islam yang lain (khususnya orang Arab) secara umumnya adalah masih baik sekiranya mereka bukan kelompok pelarian. Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa keadaan akan menjadi agak tegang sedikit apabila melibatkan pelarian Syria.


Mengapa Turki sering dianggap sebagai destinasi tumpuan untuk para pelancong?


Kumpulan pertama menjadikan Turki sebagai tumpuan semata-mata kerana sudut sejarah tamadun lama, iaitu sejarah Uthmaniyyah dan juga Byzantin. Kebiasaannya, tujuan ini dipegang oleh pelancong-pelancong dari Barat yang datang ke Turki memang untuk melihat peninggalan tersebut.


Kumpulan kedua pula melibatkan orang Islam dari sebelah timur yang datang atas faktor agama. Mereka melihat Turki sebagai sebuah negara Islam yang bekas atau pernah menjadi pusat khilafah. Selain itu, daya tarikan ini didorong oleh faktor wujudnya banyak seni bina Islam serta peninggalan syiar-syiar Islam di sana.


Untuk memahami sejarah Turki Uthmaniyyah, di mana lokasi yang boleh dilawati di Turki?


Beliau menyarankan supaya pergi sendiri melalui pembacaan ataupun pergi mengikut ejen trip private yang sememangnya dah buat kajian tentang tempat yang ingin dituju. Tidak digalakkan mengikut travel agency biasa yang ramai kerana mereka terkejar-kejar masa dan menyebabkan pelancong terlepas banyak tempat bersejarah.


Terdapat empat tempat utama yang menjadi "base" atau asas kepada kerajaan Uthmaniyyah mengikut susunan sejarahnya:


  1. Sogut: Sebuah pekan kecil yang menempatkan makam Uthman Ghazi.

  2. Bursa: Kota yang dikaitkan dengan Sultan Orhan.

  3. Edirne: Terletak di sebelah Eropah dan dikaitkan dengan Sultan Bayazid yang pertama.

  4. Istanbul: Ibu kota terakhir yang dikaitkan dengan Sultan Muhamad Fateh.


Beliau mengingatkan bahawa jika pergi ke Ankara, di sana tidak menjadi pusat utama peninggalan Uthmaniyyah kerana Ankara dikira sebagai pusat Turki moden.


Lokasi sezaman dan lokasi bersejarah lain:


o   Barla: Tempat yang sezaman dengan Uthmaniyyah dan sangat berkait rapat dengan tokoh Badiuzzaman Said Nursi.

o   Trabzon: Terletak di kawasan utara Turki. Ia sangat penting kerana Sultan Sulaiman al-Qanuni lahir di situ. Trabzon juga merupakan kawasan saki-baki tinggalan empayar Byzantin yang terakhir sebelum ia dikalahkan oleh Sultan al-Fateh, di mana kawasan tersebut mempunyai kubu dan gereja-gereja tinggalan Byzantin.


Satu ciri utama jika pergi ke tempat-tempat warisan Uthmaniyyah ini adalah ia mesti mempunyai "cami" ataupun "kulliye", iaitu kompleks-kompleks bangunan yang dibina di sekeliling masjid.



Apa yang jarang orang luar tahu tentang rakyat Turki?


Aapabila ditanya mengenai apa yang orang tidak tahu mengenai rakyat Turki, beliau menyatakan bahawa sebenarnya "lebih banyak dah dah diketahui" oleh orang luar.


Beliau mengakui pengalamannya bergaul dengan mereka masih "tak cukup" dan "kejap sangat" untuk membolehkannya mengulas lebih dalam.


Walau bagaimanapun, beliau menyenaraikan beberapa perkara spesifik yang beliau rasakan orang luar hanya akan betul-betul tahu sekiranya mereka tinggal lama dan bergaul secara langsung dengan masyarakat di sana.


Ceritakan sisi gelap yang tidak diketahui tentang Turki.


Beliau bersetuju bahawa hal ini boleh dikira sebagai satu sisi gelap (seperti yang dibangkitkan oleh penemu bual yang terkejut melihat pemakaian bikini dan ada yang separuh bogel di pantai Izmir). Beliau menjelaskan bahawa dari segi demografi, kawasan tepi pantai tempat pelancongan sememangnya akan dikuasai dan didominasi oleh orang-orang Barat, orang luar, dan orang Turki sendiri yang hidup dengan gaya hidup sedemikian.


Beliau teringat bahawa wujudnya istilah budaya "mengatuk" ataupun scam yang menyasarkan pelancong di sana. Beliau juga menambah bahawa sepertimana keadaan kebiasaan di tempat lain, pusat-pusat hiburan turut ada di sana.


Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa untuk meletakkan sisi gelap ini sebagai satu generalisasi terhadap Turki adalah mungkin tidak tepat tapi benar. Beliau menjelaskan bahawa apa-apa sahaja benda yang negatif yang ada di negara-negara biasa dan di negara kita, turut ada juga di Turki. Sebagai contoh, kelibat scammer pelancong bukan sahaja ada di Turki, malah di negara kita juga ada kumpulannya seperti kes "ulat gambar" di KLCC.

 

Apa kenangan yang tidak dapat dilupakan tentang Turki?


Beliau tiba dari Malaysia secara bersendirian tanpa ejen dan bertawakal untuk berjumpa kawannya di Lapangan Terbang Sabiha (di sebelah Asia). Walaupun ia adalah kali pertama, beliau bersyukur kerana berjaya berjumpa kawannya yang datang menaiki kereta api.


Untuk pergi mendaftar masuk hotel di kawasan Fatih, beliau bermula sekitar pukul 9:00 malam menaiki kereta api dari Sabiha terus ke Kadikoy. Selepas itu, beliau terpaksa menyeberang selat dengan menaiki feri pada pukul 12:00 tengah malam dalam keadaan cuaca yang sejuk.


Pengalaman berjalan kaki inilah yang beliau paling tidak boleh lupakan. Oleh sebab tidak mahu menaiki teksi dan hanya menggunakan peta di telefon, mereka berjalan kaki dari kawasan berhampiran istana Dolmabahce sehingga ke kawasan Fatih. Beliau terpaksa berjalan jauh meredah keadaan jalan yang berbukit, walaupun ada menaiki bas untuk jarak yang sedikit.


Beliau tidak dapat melupakan pengalaman berjalan kaki bersama rakan sambil bersembang dari pukul 12:00 tengah malam sehingga 1:00 pagi tersebut kerana keadaan jalan di kawasan itu sangat cerah (tidak gelap), bersih, dan sejuk. Beliau juga berasa selamat kerana tiada sesiapa yang mengganggu mereka di sepanjang jalan tersebut. Beliau menegaskan perkara luar kebiasaan ini sukar dilupakan kerana beliau sudah lama tidak berjalan kaki sejauh itu sejak zaman belajar dahulu.


Apa yang menarik tentang Turki? Apa yang Turki ada, Malaysia tak ada.



Antara perkara yang menarik tentang Turki dan tidak ada di Malaysia terbahagi kepada dua aspek utama, iaitu budaya dan sejarah.


Beliau berpandangan bahawa budaya orang Turki dari segi hospitality, kebudayaan, interaksi sosial, amalan, dan etika yang mereka tunjukkan tidak ada di Malaysia. Beliau menjelaskan bahawa walaupun orang Melayu pada asalnya terkenal dengan sifat sopan, keperibadian tersebut seolah-olah sudah "tenggelam" kerana secara realitinya tidak semua orang di Malaysia bersikap sedemikian. Sebaliknya, orang Turki di mana-mana sahaja dilihat semuanya sama dari sudut etika dan cara layanan mereka yang sangat baik.


Perkara paling besar yang beliau nampak ada di Turki tetapi tiada di tempat kita adalah sejarah. Beliau mengiyakan pandangan bahawa orang Turki jauh lebih menghargai sejarah dan memelihara monumen warisan berbanding di Malaysia. Sebagai contoh bukti penghargaan tersebut, pihak di Turki bersungguh-sungguh akan menggali dan mengorek tapak bersejarah semata-mata untuk mencari batu-batu peninggalan tamadun awal manusia, seperti peninggalan di tapak Gobekli Tepe.

 

Secara jujurnya, adakah beliau meminati Turki?


Secara jujurnya, beliau sangat menyukai dan meminati negara Turki, dan rasa minat yang mendalam inilah yang menjadi faktor utama yang mendorong beliau untuk mengkaji sejarah negara tersebut secara terperinci. Apabila ditanya mengenai kedudukan Turki berbanding negara-negara lain, beliau meletakkan Turki pada kedudukan nombor satu di dalam senarai peribadinya.


Walaupun pengalaman pengembaraannya ke luar negara masih belum begitu meluas, di mana sebelum ini beliau lebih tertumpu kepada negara-negara sekitar seperti Indonesia dan Singapura, Turki merupakan destinasi paling jauh yang pernah dilawatinya dan kekal menjadi negara yang paling berbekas di hatinya.


Apakah pengajaran yang boleh di ambil disebalik sejarah Turki Uthmaniyyah ini dan juga Turki Moden?


Beliau melihat pengajaran terbesarnya adalah dengan memerhatikan bagaimana bangsa Turki itu sendiri berubah dan mampu bertahan.


Sejarah awal penubuhan mereka bermula dengan penuh kepayahan, cabaran ketahanan, tekanan, serta cabaran penghijrahan dari Asia Tengah. Namun, segala kepayahan dan tekanan yang dihadapi di awal penubuhan itulah yang akhirnya membawa mereka menjadi kuat.


Sejarah Turki menggambarkan kitaran sejarah yang sebenar. Melalui kepayahan, mereka berjaya membina sebuah kerajaan yang hebat sehingga menjadi pemerintah dunia. Biarpun selepas mencapai puncak kekuasaan mereka mengalami kemerosotan, mereka tetap berupaya untuk bangkit kembali sedikit demi sedikit.


Walaupun kebangkitan Turki Moden pada hari ini hadir dalam "rupa yang berbeza" atau rupa yang baru, Beliau menegaskan bahawa semangat dan momentum bangsa Turki itu masih kekal ada. Beliau sangat mengagumi bagaimana bangsa Turki boleh tahan dengan tekanan, bangkit mengawal kekuatan dunia, kemudian diuji, dan mampu bangkit kembali.


Beliau merumuskan bahawa pengajaran ini selari dengan pesanan al-Quran (ayat Inna khalaqnakum min zakarin wa unsa...) di mana Allah SWT mencipta manusia dengan pelbagai kabilah dan puak supaya kita saling mengenali dan belajar daripada kehebatan bangsa-bangsa lain.



Apakah maksud pengembara pada pandangan beliau? Adakah beliau menganggap dirinya seorang pelancong atau pengembara?


Maksud Pengembara berbanding Pelancong:


Perbezaan paling jelas adalah dari segi persiapan pengetahuan. Seorang pelancong tidak ada persiapan dan pergi tanpa mengambil tahu latar belakang tempat tersebut. Sebaliknya, seorang pengembara "kena tahu", "akan tahu", dan "akan ambil tahu tempat yang dia nak pergi". Pengembara pergi dengan mempunyai objektif dan matlamat yang jelas. Pengembara akan berasa puas hati kerana dapat melihat dengan mata kepala sendiri perkara yang telah mereka baca dan kaji sebelum ini. Manakala pelancong pula hanya sekadar "menantikan saja" untuk dibawa ke sana sini oleh pihak lain.


Beliau secara terus terang mengiyakan perkara ini dengan menyatakan, "Saya menganggap diri saya ni pengembara". Beliau hanya akan menganggap dirinya sebagai pelancong sekiranya beliau sememangnya meletakkan niat semata-mata untuk pergi melancong santai, seperti pergi ke pantai.


Apakah perkara yang beliau tidak suka mengenai pelancong pada masa kini?


Terdapat sesetengah pelancong yang tidak boleh menerima hakikat realiti keadaan tempat yang mereka lawati dan tidak mahu membiasakan diri dengan tempat tersebut. Mereka bersikap seolah-olah mahu memaksakan tempat percutian itu supaya mengikut cara dan kebiasaan mereka, dan mahu dilayan selesa sepertimana mereka berada di rumah sendiri.


Beliau memberikan contoh pelancong yang banyak merungut kerana sukar menemui makanan pedas, terlalu banyak dihidangkan menu berasaskan ikan, serta rasa makanan yang tawar. Sepatutnya, pelancong perlu belajar mengadaptasi budaya di tempat yang mereka pergi.


Beliau menegaskan bahawa perbuatan tidak mahu mencuba untuk menyesuaikan diri di tempat orang dan sentiasa mahu "mengatasi tuan rumah" adalah satu sikap yang tidak elok serta didorong oleh rasa mudah ego.


Golongan pelancong lebih mementingkan aspek keselesaan dan sentiasa mahukan semua kemudahan disediakan untuk mereka, berbanding fokus kepada kepuasan perjalanan, menyelami sejarah, ataupun mencapai objektif sesuatu pengembaraan itu.


Berikan kata-kata atau nasihat yang boleh diberikan kepada para pendengar untuk keseluruhan perbincangan ini.


Beliau berpesan bahawa sebenarnya masih banyak lagi aspek yang boleh digali tentang Uthmaniyyah. Kekurangan pendedahan ini berlaku kerana kita sering fokus kepada sumber naratif dari Barat dan tidak mampu membaca tulisan asal Turki Uthmaniyyah (Osmanlica), lalu menyukarkan kita untuk mendapat pandangan baharu. Oleh itu, beliau menyarankan perlunya satu gerakan atau kumpulan untuk memanfaatkan sumber-sumber dalam bahasa Arab bagi kajian Uthmaniyyah supaya sumber tersebut tidak lapuk dan ditinggalkan.


Pesanan berkaitan sikap pelancong dan pengembara, apabila kita membaca sejarah, kita seboleh-bolehnya perlu berusaha untuk pergi menjejak tempat tersebut. Untuk menjejak sejarah, kita kena sedia fizikal dan mental bahawa kesusahan serta kepayahan itu akan ada, dan kita perlulah menghayati semangat sebagai seorang pengembara.


Walau bagaimanapun, untuk memenuhi keselesaan diri, tidak dinafikan kita juga boleh menjadi pelancong. Namun, beliau menegaskan, kalau nak melancong sambil nak kaji sejarah, ia tidak boleh duduk sekali dan kita kena asingkannya. Jika kita pergi dengan tujuan melancong bersantai, melancong sahajalah tanpa perlu memikirkan tentang sejarah supaya kita tidak berasa terkejar-kejar.



 

Berminat untuk dapatkan buku-buku karya penulis? Hubungi kami di 011-35733715 (Admin) untuk sebarang pembelian buku.


Turki Uthmaniyyah vs Turki ModenPengembara Nomad


 
 
  • Instagram
  • Facebook
  • TikTok

Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman ini bertujuan semata-mata untuk memberi inspirasi dan ilustrasi.

Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2026 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U).

SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page