top of page

Wartawan vs Pengembara: Perspektif dalam Memahami Dunia.

Updated: 3 hari lalu

Dalam episod kali ini dengan tajuk “Wartawan vs Pengembara: Perspektif dalam Memahami Dunia”, kita akan melihat bagaimana wartawan memahami sesuatu peristiwa melalui pengalaman dan pemerhatian di lapangan, sebelum menyampaikan fakta serta perkembangan semasa kepada masyarakat. Bagi membincangkan topik ini dengan lebih lanjut, bersama tetamu jemputan kita iaitu Seth Akmal, yang merupakan seorang jurugambar kewartawanan dari Astro AWANI untuk berkongsi pengalaman serta perspektif beliau dalam melihat dunia dari kaca mata seorang wartawan.


Liputan di Grand Musalla Tehran pada hari ke-3 upacara penghormatan terakhir buat Ayatollah Ali Khamenei (Julai 2026)
Liputan di Grand Musalla Tehran pada hari ke-3 upacara penghormatan terakhir buat Ayatollah Ali Khamenei (Julai 2026)

Sebelum perbincangan dengan lebih lanjut mengenai penglibatan beliau dalam dunia kewartawanan, beliau mendedahkan tentang minatnya terhadap isu-isu semasa dan pemikiran sosiopolitik sejak zaman persekolahannya di SMK Cochrane. Sekitar tahun 2008, ketika berada di Tingkatan 3, beliau dan rakan-rakannya sudah terbiasa membincangkan pelbagai isu global berdasarkan pengetahuan yang mereka peroleh pada ketika itu. Antara isu yang menjadi bahan perbincangan mereka ialah konflik antara Israel dan Hizbullah di Lubnan serta perkembangan krisis kewangan yang berlaku di Wall Street. Perbincangan tersebut turut didorong oleh pembacaan mereka mengenai krisis kewangan dan fenomena 'financial bubble' yang dikaitkan dengan sistem perbankan serta spekulasi dalam pasaran. Perkara-perkara inilah yang menjadi antara topik yang mereka bahaskan sejak di bangku sekolah.


Namun, apabila beliau melangkah ke alam IPTA, beliau mendapati bahawa perbincangan kritis mengenai isu-isu semasa yang menjadi kebiasaannya ketika di sekolah tidak begitu berlaku dalam kalangan mahasiswa. Beliau menyifatkan zaman persekolahan sebagai satu kenangan yang amat dekat di hatinya berbanding zaman di IPTA. Menurut beliau, pengalaman dan pendedahan yang diperoleh sepanjang tempoh tersebut menjadi bekalan penting yang terus dibawa hingga ke hari ini dalam membentuk perjalanan kerjaya beliau sebagai seorang wartawan.


Dalam perjalanan kerjayanya, beliau mula menceburi dunia kewartawanan sebagai jurugambar di The Malaysian Insider pada tahun 2014. Ketika berlaku skandal 1MDB, portal tersebut kemudiannya disekat oleh MCMC, menyebabkan laman berkenaan tidak dapat diakses oleh rakyat Malaysia. Keadaan itu turut memberi kesan kepada sumber pendapatan portal tersebut apabila syarikat-syarikat yang mengiklankan di platform berkenaan tidak lagi dapat meneruskan pengiklanan. Apabila sumber dana terjejas, keadaan tersebut akhirnya membawa kepada penutupan The Malaysian Insider.


Namun, Jahabar Sadiq, yang merupakan CEO The Malaysian Insider dan antara individu yang banyak memberikan beliau pengalaman serta pendedahan dalam bidang kewartawanan, tetap meneruskan usaha dalam memperjuangkan kewartawanan bebas dengan menubuhkan The Malaysian Insight. Beliau kemudiannya menyertai The Malaysian Insight pada tahun 2016 dan berkhidmat sebagai jurugambar sehingga tahun 2022.


Selepas itu, beliau berpindah ke KiniTV atau lebih dikenali sebagai Malaysiakini, untuk memperoleh pengalaman baharu sebagai juruvideo dan pembantu penerbit. Sepanjang tempoh tersebut, beliau banyak terlibat dalam liputan politik. Sehinggalah pada suatu hari, beliau menerima panggilan daripada Ashwad Ismail, seorang individu yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Penyiaran RTM dan pernah menjadi Ketua Pengarang Astro AWANI, yang dianggap sebagai antara individu penting dalam perjalanan kerjayanya serta menjadi batu loncatan kepada langkah seterusnya dalam bidang kewartawanan. Ashwad telah menghubungi beliau dan bertanyakan sama ada beliau berminat untuk menyertai Astro AWANI. Tanpa berfikir panjang, beliau terus menerima peluang tersebut kerana Astro AWANI merupakan sebuah syarikat media yang lebih kukuh, tersusun dan formal. Malah, memberikan ruang dan fleksibiliti untuk menghasilkan karya berdasarkan minat, kehendak serta perkara yang ingin beliau ketengahkan kepada masyarakat.


Pembabitan beliau dalam bidang kewartawanan juga dipengaruhi oleh pembacaan sejarah tokoh-tokoh politik lama yang memulakan perjuangan mereka menerusi penulisan berita. Beliau pada asalnya meminati bidang aktivisme politik. Setelah membaca kisah hidup tokoh-tokoh gerakan Kiri lama seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy, Datuk Ahmad Boestamam, dan Pak Sako, beliau menyedari bahawa kesemua perjuangan mereka bermula daripada kerjaya sebagai wartawan. Bagi memahami realiti sosiopolitik manusia dan konteks masyarakat yang sebenar, beliau perlu berada di dalam dunia kewartawanan terlebih dahulu. Beliau menganggap tugas menyampaikan kebenaran kepada orang awam sebagai satu amanah dan tuntutan tanggungjawab yang sangat penting sama seperti konsep fardu ain dan juga fardu kifayah.


Minat yang mendalam terhadap bidang jurugambar kewartawanan (photojournalist) mendorongnya untuk sentiasa berada di barisan hadapan dalam merakam pelbagai peristiwa penting, sekali gus menjadi saksi secara langsung (firsthand witness) kepada detik-detik bersejarah negara. Beliau telah menyaksikan sendiri detik bersejarah tumbangnya kerajaan Barisan Nasional pada malam Pilihan Raya Umum ke-14. Beliau berpeluang melihat reaksi para pemimpin parti pada ketika itu, termasuk merakam detik kegembiraan dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan, termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau juga antara yang terawal menyaksikan secara langsung bekas Perdana Menteri, Najib Razak, dan isterinya, Rosmah Mansor, pertama kalinya dibawa ke mahkamah.


Sepanjang sesi temu bual ini, perkara yang lebih menarik perhatian ialah kisah dan pengalaman beliau menjalankan tugasan di luar negara sebagai seorang wartawan di lapangan. Beliau terpaksa berhadapan dengan pelbagai proses birokrasi yang memakan masa berminggu-minggu lamanya apabila melibatkan di negara berisiko atau zon konflik seperti Syria, Iran, Lubnan, dan juga Mesir seperti menguruskan visa, mendapatkan kelulusan pihak kedutaan, tempahan tiket penerbangan yang rumit selama dua hingga tiga minggu hanya untuk tugasan yang singkat. Sebaik sahaja tiba di lokasi, perancangan awal yang sudah disusun rapi sering diubah atau disesuaikan semula mengikut jadual sebenar yang disediakan oleh pihak stesen TV.


Tugas wartawan perlu mengejar deadline untuk memastikan laporan dapat disiapkan dan disiarkan mengikut jadual berita stesen TV. Disebabkan perbezaan zon waktu, beliau terpaksa membuka komputer riba di mana-mana sahaja, tanpa sempat pulang ke hotel. Bagi memastikan berita sempat disiarkan untuk slot buletin dalam waktu terdekat, rakaman visual perlu dihantar segera terlebih dahulu ke stesen TV melalui Google Drive, diikuti dengan draf skrip dalam format PDF supaya penyunting video di stesen TV boleh terus memulakan kerja-kerja suntingan. Pada masa yang sama, sudah menjadi tugas wajib baginya untuk menyiapkan dua jenis kandungan, iaitu pakej berita untuk siaran TV (story TV) dan juga laporan bertulis yang lebih ringkas bersama gambar untuk portal web stesen berita tersebut (story web).


Beliau turut berkongsi pengalamannya berdepan dengan pelbagai masalah teknikal yang tidak dijangka ketika menjalankan tugasan di lapangan. Ketika berada di lokasi yang terlalu bising, sedangkan rakaman suara latar (voice-over) perlu disiapkan dengan segera, tandas atau bilir air menjadi pilihan untuk mendapatkan ruang yang lebih sesuai bagi membuat rakaman suara bagi mengurangkan gangguan bunyi dari luar serta menghasilkan audio yang lebih jelas untuk siaran berita.


Peranti internet mudah alih antarabangsa juga tidak dapat digunakan di negara seperti Iran dan Syria. Keadaan ini berlaku disebabkan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat menyebabkan ketiadaan talian kabel atau akses satelit yang menghubungkan rangkaian tersebut di sana. Situasi tersebut memaksa beliau menggunakan data roaming yang lebih mahal atau mendapatkan bantuan penduduk tempatan untuk memperoleh kad SIM agar visual berita dapat dihantar ke pejabat sebelum waktu siaran berita.


Peranan dan tanggungjawab utama seorang wartawan terhadap masyarakat adalah menyampaikan maklumat yang benar, tepat dan seimbang agar masyarakat dapat memahami sesuatu isu serta membuat penilaian berdasarkan fakta. Wartawan memikul amanah yang besar untuk memandaikan masyarakat, bukannya sekadar menjual berita. Dalam suasana media sosial yang dipenuhi pelbagai reaksi netizen, seorang wartawan sepatutnya bertanggungjawab meredakan keadaan dan mengelakkan diri daripada "menyimbah minyak ke dalam api". Sebagai contoh, dalam melaporkan isu sensitif seperti krisis pelarian Myanmar, termasuk isu Rohingya, wartawan sepatutnya menyampaikan fakta dan data yang tepat serta mengambil kira konteks undang-undang negara supaya masyarakat dapat memahami isu tersebut secara rasional dan berasaskan maklumat yang tepat, bukannya membuat penilaian atau bertindak menggunakan emosi semata-mata.


Namun, di sebalik sumbangan besar kerjaya kewartawanan, terdapat sisi gelap jarang diceritakan kepada masyarakat. Hakikatnya, wartawan sering kali menerima bayaran gaji yang rendah dan menghadapi masalah kekurangan masa bersama keluarga. Adakalanya, beliau terpaksa bekerja pada hari cuti umum dan ketika musim perayaan. Tekanan kerja dan waktu tidur yang tidak teratur juga mendedahkan mereka kepada risiko penyakit kronik seperti strok, darah tinggi, dan kencing manis. Cabaran yang paling membimbangkan adalah apabila kehilangan empati secara tidak sedar dalam kalangan wartawan. Wartawan boleh menjadi terlalu kritikal sehingga hilangnya kemanusiaan. Pengalaman seperti ini kadangkala menjadikan wartawan lebih sinis dan skeptikal dalam melihat sesuatu perkara. Mengenai budaya hedonisme turut berlaku dalam kalangan segelintir pengamal media dan tidak semestinya melibatkan semua wartawan. Terdapat situasi apabila sesetengah wartawan mengamalkan gaya hidup atau budaya melepak di tempat-tempat tertentu bagi mendapatkan kenalan atau bahan berita.


Di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapinya sepanjang berada dalam industri ini, beliau menjadikan beberapa sosok penting sebagai role model yang menjadi sumber inspirasi serta mempengaruhi perjalanan kerjayanya dalam dunia kewartawanan. Idola pertama beliau ialah ibu bapanya sendiri yang pernah berkhidmat di RTM. Suatu ketika dahulu, ibunya merupakan seorang DJ Radio Siaran Islam manakala bapanya bekerja sebagai juruteknik berita. Malah, kegigihan kedua ibu bapanya yang mampu membesarkan enam orang anak walaupun terpaksa bekerja mengikut syif siang dan malam turut menjadi antara sumber inspirasi dalam hidupnya. Seterusnya, Zainal Abdul Halim yang merupakan anak Melayu pertama dari Malaysia yang menjadi jurugambar Reuters sebagai turut dijadikan sebagai rujukan profesionalnya. Beliau tidak melupakan rakan karibnya, Amin Iskandar, yang disifatkan sebagai seorang yang sangat luas ilmu pengetahuan serta tidak lokek berkongsi pengalaman dan kepakarannya. Akhir sekali, beliau sentiasa meletakkan Rasulullah SAW, ahli keluarga baginda serta para sahabat pada kedudukan yang paling tinggi sebagai pedoman hidupnya.


Antara negara yang pernah dikunjunginya ialah Mesir, Lubnan, Syria, Indonesia, Sepanyol, Turkiye dan Iran. Daripada pengalaman mengunjungi negara-negara tersebut, Iran menjadi pilihan beliau kerana masyarakatnya yang baik, rendah diri serta sangat terbuka terhadap kehadiran media. Pengalaman perjalanan ke pelbagai negara ini menyebabkan beliau lebih cenderung melihat dirinya sebagai seorang pengembara kerana setiap perjalanan yang dilakukan banyak didorong oleh sifat ingin tahu (curiosity). Menurut beliau, “curiosity to know things that make me come”, iaitu sifat ingin tahu terhadap sesuatu perkara yang menyebabkan beliau hadir sendiri ke sesuatu tempat untuk mengetahuinya.


Pelancong pula biasanya pergi ke sesuatu tempat kerana sudah mengetahui destinasi yang ingin dituju. Sebaliknya, pengembara datang dengan sifat ingin tahu. Pengembara lebih kepada curious dan didorong oleh perkara yang ingin diketahui sehingga menyebabkan mereka pergi ke sesuatu tempat. Sebagai contoh, jika seseorang pergi ke Iran sebagai pelancong, mereka mungkin memilih untuk mengunjungi Isfahan atau Tabriz, iaitu tempat-tempat yang cantik dan menjadi destinasi pelancongan. Namun, bagi seorang pengembara, perjalanan mungkin bermula daripada sesuatu berita atau perkara yang dilihat, seperti tentang keadaan di Iran. Rasa ingin tahu terhadap perkara tersebut kemudian mendorongnya untuk pergi sendiri dan melihat keadaan itu.


Menurut beliau, perbezaan yang paling ketara antara wartawan dengan pengembara ialah deadline. Walaupun pengembara dan wartawan mempunyai persamaan dari segi perjalanan, wartawan masih terikat dengan deadline kerana terdapat tugasan yang perlu dipenuhi.


Beliau turut menghormati pengembara dan dari sudut tersebut, beliau 'tabik' dengan pengembara yang mampu mengembara menggunakan sumber pendapatannya sendiri. Berbeza pula dengan wartawan yang menjalankan tugasan dengan pembiayaan daripada syarikat, termasuk tiket dan keperluan perjalanan.


Apabila menyentuh tentang pempengaruh (influencer) atau content creator, beliau melihat terdapat kecenderungan untuk menghasilkan kandungan tanpa melalui proses menyemak fakta yang menyeluruh. Keadaan ini berbeza dengan wartawan profesional yang terikat dengan tanggungjawab untuk membuat semakan serta mendapatkan kenyataan daripada pelbagai pihak bagi memastikan sesuatu laporan disampaikan secara tepat, seimbang dan berlandaskan fakta.


Sebagai penutup audio podcast bagi episod kali ini, beliau menyatakan bahawa selain memiliki sifat ingin tahu (curiosity), para pengembara juga boleh menghasilkan kandungan yang lebih menarik sepanjang perjalanan. Perkongsian daripada pengembara juga dapat memberi manfaat kepada wartawan kerana mereka juga dapat belajar banyak perkara daripada pengalaman dan kandungan yang dihasilkan oleh pengembara. Beliau turut melihat pengalaman pengembara sebagai satu bentuk maklumat first-hand yang boleh membantu orang lain memahami sesuatu tempat.


Dengarkan audio podcast ini untuk mengetahui kisah, pengalaman dan pandangan beliau sepanjang berada dalam dunia kewartawanan, termasuk cabaran yang dilalui serta perkara yang dipelajari sepanjang pengembaraan kerjayanya.


Facebook: Seth Akmal | Instagram: Seth Akmal


Seth Akmal: Astro AWANIPengembara Nomad

 
 
  • Instagram
  • Facebook
  • TikTok

Semua penulisan dan pengalaman yang dirujuk di laman ini bertujuan semata-mata untuk memberi inspirasi dan ilustrasi.

Kami tidak mengesyorkan atau menyokong sebarang penulisan dan pengalaman tertentu pada mana-mana platform.

© 2026 JURNAL NOMAD STUDIO (003545717-U).

SEMUA HAK TERPELIHARA.

bottom of page