Realiti Mekah dan Madinah dari Perspektif Pengembara.
- Pengembara Nomad
- 12 Mac
- 16 min membaca
Updated: 4 hari lalu
Perkongsian kali ini saya ingin menyentuh tentang realiti di sebalik Mekah dan Madinah dari perspektif saya sebagai seorang pengembara. Ianya jarang sekali diketahui atau dibincangkan secara terbuka dalam masyarakat kita pada hari ini. Artikel ini ditulis atas dasar kesedaran diri, hasil pemerhatian dan pengalaman yang saya lalui sendiri sepanjang berada di sana, serta perbualan ringkas bersama penduduk tempatan dan juga pekerja asing. Saya ingin menegaskan bahawa artikel ini bukan bersifat akademik dan masih memerlukan penilaian semula secara menyeluruh terhadap realiti kedua-dua kota suci ini.
Pada hari ini, saya melihat semakin ramai dalam kalangan masyarakat Islam yang sudah berkemampuan untuk menunaikan ibadah umrah atau haji, walaupun kos bagi menunaikan kedua-dua ibadah ini semakin meningkat setiap tahun. Bagi saya, ianya adalah suatu perkara yang positif dan ini menunjukkan bahawa kesedaran masyarakat kita pada hari ini dalam memperbaiki diri dan menyedari tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Namun begitu, masyarakat kita jarang didedahkan dengan realiti sebenar yang berlaku di kedua-dua kota suci ini, yang biasanya jarang atau tidak diketahui atau dibincangkan secara terbuka.
Sering kali masyarakat kita melihat Mekah dan Madinah hanya dari sudut yang positif sahaja, tanpa menyedari realiti kehidupan sebenar yang berlaku di sana. Adakalanya, saya berpendapat bahawa masyarakat kita pada hari ini juga cenderung mengelak daripada membincangkan aspek negatif yang berkaitan dengan kota suci, mungkin ingin menjaga rasa hormat terhadap kesucian kedua-dua kota tersebut. Saya turut merasakan bahawa mereka juga sukar untuk menerima hakikat sebenar, atau berada dalam keadaan denial terhadap realiti yang wujud di sana.
Persoalan saya, sejauh manakah masyarakat kita benar-benar memahami realiti sebenar yang wujud di sana? Adakah kita menyedari terdapatnya eksploitasi yang dihadapi oleh pekerja asing di sana? Adakah kita peka terhadap jurang sosial dan kemiskinan yang semakin ketara yang jelas dapat dilihat? Walaupun masyarakat tahu tentang perkara ini, kesedaran tersebut hanyalah bersifat sementara dan jarang disertai dengan sikap prihatin yang sebenar terhadap isu serta realiti yang tersembunyi di sebalik kedua-dua kota suci ini. Sebagai seorang pengembara yang memiliki kesedaran yang tinggi, mereka pastinya peka terhadap setiap perubahan yang berlaku.
Sering kali saya mendengar jemaah yang pulang dari Tanah Suci membawa pelbagai cerita dan juga pengalaman. Kebanyakan daripada mereka lebih gemar berkongsi tentang ibadah yang telah mereka lakukan di sana. Malah, menceritakan tentang ujian dan kesusahan yang dihadapi sepanjang berada di Tanah Suci, dan tidak kurang juga yang berkongsi tentang ‘nasib baik’ atau kebaikan yang mereka peroleh di sana. Selain itu, ada juga yang menceritakan pengalaman bertemu dengan insan-insan yang baik hati dan sanggup membantu ketika mereka berada dalam kesusahan. Cerita-cerita seperti ini sering menjadi sebahagian daripada naratif perjalanan mereka.
Daripada pelbagai kisah dan pengalaman yang saya terima, dapat disimpulkan bahawa setiap individu membentuk pemahaman yang berbeza terhadap perjalanan ke Tanah Suci. Sebahagian melihatnya secara eksklusif dari sudut ibadah, manakala sebahagian yang lain memaknainya melalui pengalaman yang dilalui sepanjang berada di sana. Dalam masa yang sama, terdapat segelintir individu yang mula menyedari sisi lain yang jarang diceritakan, melalui pemerhatian kritikal terhadap realiti serta sisi gelap yang turut wujud di kedua-dua kota suci ini. Segelintir individu yang saya maksudkan ini telah menunjukkan tahap kesedaran diri (self-awareness) yang tinggi, kerana mereka bukan sahaja menumpukan ibadah semata-mata, tetapi turut peka terhadap realiti sosial yang berlaku di sana.
Namun, sebelum saya meneruskan perbincangan tentang realiti tersebut, saya ingin berkongsi sedikit tentang perjalanan saya di Turki sebelum menuju ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah secara solo.
Penulisan ini bukanlah bertujuan untuk menghakimi atau mempertikaikan kesucian kedua-dua kota tersebut, sebaliknya bertujuan membuka ruang refleksi terhadap realiti di Mekah dan Madinah yang pada hakikatnya mungkin berbeza atau bercanggah dengan gambaran yang sering dibayangkan oleh masyarakat kita hari ini. Diharapkan agar perkongsian ini dapat difahami secara seimbang dan jujur, di samping mengekalkan rasa hormat terhadap kesucian kedua-dua kota suci tersebut.
***************
Sebelum saya berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah, saya terlebih dahulu mengembara ke Turki. Dalam tempoh tersebut, saya sebenarnya mengejar waktu sebelum masuknya musim luruh dan juga musim sejuk. Sepanjang pengalaman saya mengembara ke luar negara, cuaca dan musim sentiasa menjadi antara faktor paling penting yang perlu dipertimbangkan sebelum memulakan perjalanan. Saya lebih gemar memilih musim panas sebagai waktu untuk mengembara berbanding pada musim yang lain.
Sewaktu saya ke Korea Selatan pada musim bunga tahun 2015, pengalaman pada waktu itu dianggap agak kurang menyenangkan kerana kesukaran saya dalam menyesuaikan diri dengan cuaca yang sangat sejuk. Pengalaman tersebut membuatkan saya untuk merancang perjalanan pengembaraan pada musim panas sahaja, iaitu sekitar bulan Mei hingga Oktober. Di Turki, musim luruh boleh menjadi agak dingin, sekali gus memaksa saya menyediakan lebih banyak pakaian dan kelengkapan, yang secara tidak langsung akan menambah beban, khususnya bagi perjalanan jangka panjang. Membeli pakaian hanya untuk dipakai sekali dua tetap terasa membazir, walaupun ia hanyalah pakaian terpakai.
Saya pernah melalui pengalaman yang sama pada tahun 2019 ketika berada di Turki selama dua bulan, iaitu sekitar Ogos hingga akhir Oktober. Saya mendapati bahawa cuaca pada bulan Oktober mula menjadi lebih dingin, terutamanya pada awal pagi dan waktu malam. Namun, demi menjimatkan kos, bagi mengurangkan beban membawa terlalu banyak barangan, serta ingin mengekalkan prinsip pengembaraan secara minimalis, saya memilih untuk tidak melakukan perjalanan pada musim yang memerlukan pakaian tebal dan juga kelengkapan musim sejuk. Atas faktor inilah saya memutuskan untuk mengunjungi Turki terlebih dahulu sebelum saya menunaikan umrah.
Untuk perjalanan kali ini, saya hanya berada di Istanbul, dengan tujuan melakukan sedikit lawatan, menjalankan beberapa sesi temu bual, serta mengumpul bahan-bahan untuk tugasan kerja saya. Pada perancangan awal, saya sebenarnya bercadang untuk turut ke Isparta, khususnya ke Barla, yang merupakan lokasi penting berkaitan kehidupan dan penulisan Badiuzzaman Said Nursi. Hasrat saya ketika itu termasuklah menjalankan temu bual bersama pelajar atau tenaga pengajar yang mendalami Risalah An-Nur, serta seterusnya mengunjungi Sanliurfa dan Bursa.
Namun, sepanjang berada di Istanbul, saya melalui beberapa pengalaman yang kurang menyenangkan dan agak mengecewakan. Saya menganggap misi kali ini hampir dikira gagal. Pengalaman inilah yang membuatkan saya menilai semula keadaan emosi, bajet, serta kemampuan diri untuk meneruskan perjalanan yang lebih jauh. Dalam erti kata lain, saya merasakan bahawa saya tidak dapat meneruskan pengembaraan sekiranya objektif yang ditetapkan tidak berjaya dicapai.
Situasi yang berlaku sedikit sebanyak telah mengubah persepsi saya terhadap sebahagian orang Turki. Saya tidak dapat menafikan bahawa pengalaman tersebut menyebabkan saya melihat negara itu dari perspektif yang lebih negatif, berbanding pengalaman saya ketika mengembara pada tahun 2019 yang lebih positif. Apabila menyedari hal ini, saya memilih untuk berhenti dan berehat seketika di Istanbul. Saya memerlukan masa supaya tidak meletakkan tanggapan buruk terhadap seluruh Turki hanya kerana pengalaman pahit yang melibatkan beberapa individu. Saya juga sedar bahawa pengembaraan kali kedua tidak semestinya membawa perspektif yang sama, walaupun seringkali kita merasakan bahawa pengembaraan pertama adalah yang paling menyeronokkan.
Sebolehnya saya tidak mahu terjatuh ke dalam perangkap ‘bias’ dengan menilai masyarakat hanya melalui tindakan segelintir orang Turki. Namun, bersikap neutral dalam hal yang jelas salah bukanlah sesuatu yang boleh ditolak ansur. Pernah saya katakan sebelum ini, setiap negara terdapat sisi baik dan buruknya, dan begitu juga perbezaan masyarakat yang hidup di dalamnya. Apabila bercakap tentang penilaian terhadap sesuatu negara berdasarkan pengalaman, saya lebih cenderung untuk melakukannya setelah pulang ke tanah air. Bukan ketika saya masih berada di negara tersebut.
Pengalaman saya pada tahun 2019 benar-benar mengajar saya bahawa terlalu awal untuk memuji sesebuah negara dan terlalu awal juga untuk membuat perbandingan antara Malaysia dengan negara-negara lain. Apatah lagi meromantiskan sesebuah negara secara berlebihan. Inilah yang selalu dilakukan masyarakat kita pada hari ini. Apabila saya mendengar kisah dan pengalaman menarik mereka di sesebuah negara, kebanyakan yang saya dapati bukanlah bersifat maknawi. Mereka sering menggambarkan sesuatu tempat dengan memuji bangunannya yang cantik dan canggih, serta makanannya yang sedap. Pengalaman yang mereka ceritakan itu bukanlah pengalaman hidup yang benar-benar boleh dipelajari. Ada yang begitu mudah membandingkan negara sendiri dengan negara yang lain sehingga merendah-rendahkan negara sendiri. (Kecenderungan saya menulis begini, mungkin datangnya daripada rasa patriotik dalam diri.)
Akhirnya, saya memutuskan untuk mengubah perancangan asal. Pengembaraan ini bukanlah untuk membuktikan apa-apa kepada sesiapa, tetapi perjalanan ini masih memiliki objektif dan tujuan yang jelas untuk saya sampaikan sesuatu kepada masyarakat.
Kali ini, pengembaraan saya di Turki hanya tertumpu di sekitar Istanbul, tanpa melibatkan wilayah yang lain. Sepanjang berada di kota itu, saya mendapat banyak ibrah (pengajaran) yang masih segar di dalam ingatan dan tidak semuanya pernah saya kongsikan kepada orang ramai. Menariknya, pengajaran tersebut lebih banyak terhasil melalui pertemuan dan interaksi dengan manusia, bukannya sekadar keindahan tempat yang sering digambarkan oleh kebanyakan pelancong.
Sejak saya berlepas dari Malaysia menuju ke Turki, saya seolah-olah memikul suatu ujian yang berat. Setiap hari, fikiran saya terus kembali kepada ibadah umrah yang bakal dilaksanakan. Perjalanan kali ini membuatkan saya benar-benar memahami maksud azab dalam pengembaraan sebagaimana disebut dalam sebuah hadis. Umrah kali ini bukanlah seperti melancong yang kebiasaan dilakukan oleh kebanyakan masyarakat kita pada hari ini.
(Baca artikel Depresi dalam Perjalanan.)
Tambahan pula, mengerjakan umrah secara bersendirian bukanlah sesuatu yang mudah. Saya tidak mengikuti sebarang kursus umrah dan tidak melakukan ulang kaji bagaimana untuk melakukan umrah. Sebaliknya, saya hanya bergantung kepada pengalaman umrah yang pernah saya lalui sebelum ini serta panduan umrah dalam bentuk PDF yang disimpan di dalam telefon pintar. Dalam situasi ketika ini, saya hanya mampu berharap agar segalanya dipermudah. Berat rasanya perjalanan kali ini.
Apabila membincangkan realiti di Mekah dan Madinah, saya mula menyedari bahawa terdapat persamaan antara kedua-dua kota suci ini dengan Turki. Antaranya ialah kos sara hidup yang agak mahal, terutamanya di kawasan tarikan pelancong dan juga di tempat-tempat makan atau restoran. Satu perkara lagi yang perlu saya ingatkan ialah jangan sesekali menyangka bahawa masyarakat Turki sama dengan masyarakat Arab. Bagi masyarakat Turki, mereka boleh berasa tersinggung sekiranya disamakan dengan masyarakat Arab, kerana kedua-dua bangsa ini mempunyai identiti dan budaya yang berbeza.
Berdasarkan pemerhatian saya lagi, persamaan yang lebih ketara dapat diliihat apabila kedua-duanya kini benar-benar berkembang sebagai pusat pelancongan dunia. Saya melihat Turki sebagai salah satu pusat pelancongan utama dunia yang berjaya menarik pelancong dari seluruh dunia. Manakala, Mekah dan Madinah pula boleh dianggap sebagai pusat pelancongan dunia yang berfokus kepada ibadah dan pengalaman rohani yang masih menerima pelancong dari pelbagai negara.
Dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini, terdapat tanggapan bahawa Mekah dan madinah adalah pusat tumpuan ibadah yang paling utama. Seolah-olah hanya di situlah mereka dapat merasai suasana kerohanian yang mampu mendekatkan diri kepada Allah. Suatu pengalaman yang bagi mereka sukar ditemukan di tempat lain selain di kedua-dua kota suci ini. Secara peribadi, saya boleh katakan bahawa saya dapat merasakan suasana kerohanian tersebut. Namun, kunjungan saya ke Tanah Suci buat kali kedua ini selepas hampir 13 tahun tidak menjejakkan kaki ke sana, tidak dapat saya nafikan bahawa begitu banyak perubahan yang telah berlaku, khususnya dari aspek pembangunan yang kini jauh berbeza berbanding dahulu. Lawatan saya kali ini menunjukkan bahawa roh atau suasana kerohanian yang pernah dirasai semakin berkurangan.
Kini, Mekah dan Madinah kelihatan semakin moden dan berkembang pesat sebagai pusat pelancongan. Hotel-hotel mewah bertaraf empat hingga lima bintang semakin banyak dibangunkan di sekitar masjid, jalan raya sedia ada dinaik taraf, manakala jalan raya baharu turut giat dibina, dan kerja-kerja penambahan serta pembesaran Masjidil Haram semakin meluas seiring dengan Arab Saudi menjelang tahun 2030 (Vision 2030). Semua perubahan ini dapat dlihat dengan jelas berbanding kunjungan saya dahulu, seolah-olah roh atau suasana lama yang lebih kerohanian kini semakin hilang di sebalik pembangunan yang semakin moden.
Sewaktu berada di Istanbul pula, saya melihat bandar ini dipenuhi pelancong dari serata dunia, sama ada dari Asia, Eropah, mahupun Afrika. Kini, di Mekah dan Madinah, suasananya tidak jauh bezanya. Kita sebenarnya tidak jauh bezanya seperti seorang “pelancong” ketika berada di Tanah Suci. Bezanya, perjalanan itu diisi dengan ibadah; sama ada kita melancong sambil beribadah, atau beribadah sambil melancong. Kita selalu meletakkan niat mengerjakan umrah sebagai matlamat utama perjalanan. Tetapi pada hakikatnya, perjalanan yang kita lalui tidak sentiasa seiring dengan niat awalnya. Namun, semuanya berbalik semula kepada niat setiap individu. Apakah sebenarnya tujuan ke Tanah Suci?
Di sini, saya ingin menekankan bahawa tahap keselesaan di Mekah dan Madinah kini jauh lebih ketara berbanding dahulu. Keselesaan telah menjadi aspek penting dalam aktiviti pelancongan. Para jemaah kini boleh melancong sambil beribadah. Kata kunci yang ingin saya tekankan di sini ialah “kemudahan = keselesaan”. Semakin banyak kemudahan disediakan untuk memudahkan pelancong, semakin tinggi tahap keselesaan pelancong rasai. Sebagai contoh, apabila seseorang datang ke Mekah dan Madinah, fokus utama dahulu adalah ibadah dan mengenang sejarah para nabi. Namun kini, ramai yang datang bukan sahaja untuk beribadah, malah turut mencari pengalaman melancong, termasuk penginapan yang selesa, makanan yang enak, dan tempat-tempat menarik untuk dikunjungi untuk tujuan berhibur.
Dari satu sudut yang lain, hal ini bukanlah sesuatu yang salah. Namun, dari sisi yang lain, saya melihat makna kepayahan dalam beribadah semakin berkurang. Umrah atau haji pada hari ini menjadi lebih mudah dan lebih selesa. Tetapi, dalam masa yang sama, unsur “kepayahan” yang menguji jemaah semakin berkurang. Tiada lagi kepayahan mencari arah ketika sesat. Tiada lagi kepenatan yang mengajar makna sabar. Semuanya serba lancar, mudah dan serba moden, seolah-olah kita sudah terlalu selesa dalam melakukan ibadah ini.
Antara perkara yang masih dapat saya lihat ialah kemiskinan yang wujud di Mekah dan Madinah. Keadaan ini dapat dilihat bukan sahaja dalam kalangan masyarakat setempat, tetapi juga dalam kalangan peminta sedekah yang kebanyakannya terdiri daripada pendatang luar. Kemiskinan ini banyak berkait dengan peluang pekerjaan yang terhad. Sebahagian besar pekerjaan bergaji tinggi dan profesional, seperti jurutera, jururawat, pengurus hotel, dan pekerja korporat, sering diberikan kepada pekerja asing kerana ia memerlukan kemahiran dan latihan khusus. Tidak hairanlah, ramai jururawat dari Malaysia sanggup memilih bekerja di Mekah kerana tawaran gaji yang lebih lumayan berbanding di Malaysia. Alasan lain yang diberikan adalah membolehkan mereka menunaikan ibadah umrah dengan lebih kerap. Pekerja buruh pula juga mudah diperoleh daripada kalangan pekerja asing seperti Bangladesh, Pakistan, India, dan sebagainya. Akibatnya, penduduk tempatan yang kurang bernasib baik biasanya hanya mendapat pekerjaan yang berkaitan dengan servis untuk jemaah, seperti pembersih hotel atau masjid, pemandu teksi, pembantu restoran, atau berniaga di kaki lima.
Walaupun sebahagian pekerja asing untuk golongan profesional mendapat gaji yang tinggi, realitinya banyak kawasan di Mekah dan Madinah masih menghadapi kemiskinan dan kesukaran hidup. Pekerja asing yang bekerja sebagai buruh atau dalam sektor perkhidmatan menerima gaji yang sangat rendah. Kos sara hidup yang tinggi membuatkan penduduk tempatan dan pekerja asing yang berpendapatan rendah sukar untuk menampung keperluan harian. Situasi ini secara tidak langsung mewujudkan jurang ekonomi yang ketara antara golongan berkemahiran dan bergaji tinggi dengan mereka yang hanya bekerja dalam perkhidmatan asas atau pekerjaan tidak formal. Hakikatnya, kewujudan kemiskinan di Mekah sangat mengejutkan untuk mereka yang menyedari realiti ini, kerana wujudnya eksploitasi terhadap pekerja asing.
Kemiskinan yang melibatkan pendatang dari luar, saya lebih cenderung melihat peminta sedekah dalam kalangan kanak-kanak. Golongan kanak-kanak ini kebanyakannya digunakan oleh pihak tertentu dengan mengemis meminta sedekah untuk mendapatkan wang. Kehadiran mereka menimbulkan banyak persoalan. Antaranya, adakah isu ini dianggap normal atau ia sebenarnya menandakan satu isu yang masih gagal ditangani, walaupun kerajaan Arab Saudi sudah melarang aktiviti mengemis di seluruh negara, termasuk dua masjid suci ini.
Dari sudut lain pula, saya juga melihat Mekah sebagai sebuah kota yang membuka peluang ekonomi. Mekah telah menjadi tempat pertemuan manusia dari pelbagai negara yang datang untuk mencari rezeki atau sumber pendapatan. Menurut Ministry of Hajj & Umrah (2025), menunjukkan bahawa jumlah jemaah yang berkunjung ke Mekah dan Madinah boleh mencecah jutaan pelawat setiap bulan. Satu gambaran jelas betapa besarnya manusia di dua kota suci ini. Pada masa yang sama, saya melihat dari pelbagai negara dan berbeza latar belakang, turut berusaha mencari sumber pendapatan di sini.
Selain kehadiran peminta sedekah sebagai usaha untuk mencari sumber pendapatan, saya juga menyedari terdapat pelbagai bentuk usaha lain yang dilakukan sebagai survival. Mereka berusaha sedaya upaya untuk mencari rezeki. Antara yang menarik perhatian saya apabila dapat melihat servis memotong rambut sewaktu tahallul dengan menetapkan kadar bayaran tertentu, dan kebanyakannya dilakukan dalam kalangan kanak-kanak. Selain itu, terdapat juga individu yang menjual bekas plastik untuk simpanan air zam-zam, di samping menawarkan servis menolak kerusi roda bagi jemaah yang kurang upaya. Saya dapat melihat sendiri realiti survival mereka dalam mencari rezeki di kedua-dua kota suci ini.
Saya sering melihat jemaah dari Indonesia menjual makanan hasil masakan mereka di tepi kaki lima di sekitar hotel berhampiran masjid pada harga yang jauh lebih murah berbanding di Safwa Tower. Makanan tersebut banyak dibeli oleh jemaah dari Indonesia yang bukan sahaja kerana harganya lebih murah, tetapi juga sebagai satu cara mereka memberi sokongan kepada saudara sebangsa mereka. Saya turut melihat jemaah dari negara lain seperti Bangladesh dan Pakistan turut membeli makanan tersebut kerana harganya yang jauh lebih murah. Situasi yang sama turut saya perhatikan berlaku dalam kalangan warganegara Bangladesh dan Pakistan. Ramai daripada mereka bekerja di Mekah sama ada di kedai, hotel, restoran, atau membantu pelbagai urusan harian jemaah yang datang menunaikan ibadah. Namun, saya tidak pasti sama ada mereka di sana merupakan jemaah umrah yang mencari rezeki sementara, atau pekerja sah yang berada di Mekah tetapi dalam masa yang sama melakukan kerja sampingan untuk menampung kehidupan.
Saya berpendapat, mungkin juga disebabkan kelonggaran dalam jenis visa yang diberikan kepada orang asing. Beberapa tahun yang lalu, kerajaan Arab Saudi memperkenalkan visa pelancong elektronik yang lebih fleksibel, membolehkan pelancong memasuki negara itu sama ada untuk melancong, menunaikan umrah, yang membolehkan mereka mengambil peluang ini dengan mencari sumber pendapatan tanpa memerlukan visa khas.
Banyak perkara di Tanah Suci kini kelihatan berbeza berbanding dahulu. Perubahan yang berlaku kadangkala membuatkan suasana tidak lagi sama seperti yang pernah saya rasai sebelum ini. Di sekitar Masjidil Haram, bangunan tinggi-tinggi seolah-olah menenggelamkan pandangan terhadap Kaabah. Di Madinah pula, keadaan hampir serupa dapat dilihat. Masjid Nabawi kini dikelilingi deretan hotel besar dan mewah, sehingga terasa seolah-olah masjid itu ‘dikepung’ dan suasana rohani di sana menjadi amat berbeza.
Pada waktu siang pula, dahulunya saya merasakan panasnya tidak terasa panasnya dan suasana di sekitar masjid masih memberikan ketenangan. Kini, panasnya benar-benar terasa. Perubahan ini memberi pengalaman yang berbeza. Saya berharap agar kesucian Tanah Suci ini terus dapat dirasai. Walaupun banyak pembangunan dilakukan atas nama keselesaan dan demi menjaga keselamatan jemaah, semoga roh dan makna spiritual tempat suci ini tidak hilang ditelan arus perubahan zaman.
Penginapan yang terletak berhampiran Masjidil Haram dan Masjid Nabawi kebanyakannya jauh lebih mahal, disebabkan kedudukannya yang sangat strategik serta permintaan yang tinggi daripada jemaah yang ingin beribadah dengan lebih mudah dan selesa. Pada masa yang sama, pembangunan pesat di kawasan sekitar kedua-dua masjid suci ini menyaksikan banyak hotel mewah bertaraf antarabangsa dibina, ini memberi banyak pilihan dan kemudahan bagi mereka yang berkemampuan. Banyak bangunan lama serta penginapan yang dahulunya mampu dimiliki oleh jemaah berpendapatan rendah telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek baharu. Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan ramai jemaah yang berpendapatan sederhana dan miskin terpaksa menginap lebih jauh daripada kawasan masjid. Walaupun terdapat kemudahan pengangkutan seperti bas secara percuma yang memudahkan mereka ke sana, perbezaan dari segi kemampuan masih jelas dirasai. Bagi saya, situasi ini menjadikan ibadah umrah kelihatan semakin eksklusif dan tidak bersifat inklusif. Mereka yang berkemampuan boleh memilih penginapan yang lebih dekat dan selesa, manakala yang lain terpaksa berjalan jauh atau bergantung pada pengangkutan awam untuk sampai ke Masjidil Haram atau Masjid Nabawi.
Saya turut melihat tingkah laku jemaah yang gemar berkongsi pengalaman mereka menginap di Tanah Suci. Mereka lebih gemar menceritakan pengalaman mereka menginap terletak berhampiran Masjidil Haram, terutamanya jika hotel itu mempunyai pemandangan terus menghadap Kaabah. Pengalaman sebegini sering dianggap detik paling istimewa sepanjang berada di Mekah, dan ramai yang berkongsi dengan penuh bangga. Namun, apabila saya meneliti harga yang dikongsikan di media sosial, jelas ia jauh di luar kemampuan kebanyakan jemaah biasa, dengan satu malam boleh mencecah ribuan ringgit. Persoalan saya, adakah Mekah kini semakin bertukar menjadi kota untuk mereka yang berkemampuan sahaja? Saya membaca di ruangan komen, rasa puas hati dan bertuahnya mereka mampu menginap di hotel-hotel mewah ini. Satu realiti yang jarang dibincangkan, tetapi memberi kesan langsung kepada pengalaman rohani jemaah yang sederhana dan kurang berkemampuan.
Saya tertanya, jika tujuan utama jemaah adalah untuk beribadah, bukankah sepatutnya fokus mereka pada ibadah itu sendiri, bukannya kemewahan hotel atau penginapan? Adakah pengalaman ini sebenarnya lebih untuk menunjukkan kepada orang lain bahawa mereka sedang mengalami pengalaman istimewa di Tanah Suci? Situasi ini menimbulkan persoalan tentang tujuan sebenar ke Mekah, sama ada jemaah datang dengan hati yang ikhlas untuk beribadah, atau sudah mula dipengaruhi oleh status, imej, dan kemampuan wang?
Berdasarkan pemerhatian saya sewaktu di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, ramai jemaah yang tidak berkemampuan atau miskin lebih banyak menghabiskan masa di masjid dan tidur di masjid berbanding di penginapan mereka. Pada satu tahap, saya tertanya, di manakah golongan miskin ini menginap sebenarnya? Mereka tidak dapat merasai keselesaan yang sama seperti jemaah lain yang menginap di hotel mewah atau lebih selesa.
Realiti di Tanah Suci pada hari ini yang semakin membimbangkan bagi saya ialah kurangnya adab sewaktu berada di dalam masjid. Saya menyaksikan sendiri semakin ramai jemaah lebih memberi tumpuan kepada mengambil gambar dan merakam video ketika melakukan ibadah, walaupun mereka sedang dalam ihram yang sepatutnya lebih menjaga pantang larang dan juga adab. Saya menyaksikan terdapat jemaah yang melakukan sa‘i sambil membuat panggilan video. Malah, terdapat pasangan yang kelihatan terlalu mesra atau romantis ketika berada di dalam masjid. Bayangkan, terdapat juga jemaah ketika sedang melakukan tawaf sambil merakam video. Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah apabila berada di makam Rasulullah dan di Masjid Nabawi, semakin hilang adabnya. Ketika berada di Raudhah, jemaah berdoa sambil merakam video dan mengambil gambar. Anehnya, merakam diri sendiri ketika berdoa dan menangis. Seolah-olah setiap pengalaman mereka melakukan ibadah perlu dirakam.
Adakah fokus sebenar masih pada ibadah atau lebih kepada keinginan untuk menunjukkan pengalaman tersebut kepada orang lain? Perubahan ini turut memberi kesan kepada suasana keseluruhan di masjid. Apabila terlalu ramai yang sibuk dengan telefon, kamera, dan rakaman video, suasana terasa terganggu. Fokus kepada ibadah menjadi semakin sukar apabila ruang di sekeliling dipenuhi dengan orang yang sibuk merakam setiap detik pengalaman mereka.
Di sebalik keselesaan dan kemewahan yang dinikmati oleh jemaah, adakah kita sedar terdapat eksploitasi terhadap ramai pekerja asing atau golongan imigran yang datang untuk mencari rezeki? Mereka bekerja sehingga berjam-jam sehingga lebih 16-24 jam sehari, menjaga kedai yang beroperasi 24 jam, membersihkan kawasan masjid, dan juga membantu jemaah yang memerlukan bantuan fizikal. Saya pernah berbual dengan pekerja dari Bangladesh yang pernah bekerja di Malaysia tentang bagaimana perasaan beliau apabila bekerja di Mekah yang kebanyakannya menjadi impian setiap Muslim untuk bekerja di sini. Mereka dalam keadaan terpaksa, sedangkan bayaran yang diterima rendah. Adakalanya, gaji dibayar lewat. Perlindungan dan hak mereka hampir tiada. Kehidupan sebenar mereka bekerja di sana jarang diceritakan. Hidup mereka hanya bekerja. Tanpa sumbangan tenaga mereka, pengalaman jemaah lain tidak mungkin berjalan lancar. Keselesaan yang kita rasai hari ini tidak mungkin tercapai tanpa jasa mereka.
Apa yang membuatkan saya terfikir, sebenarnya situasi ini sama seperti 13 tahun yang lalu serta bertahun-tahun lamanya. Adakah kita pernah terfikir, kebanyakan barangan yang dijual hampir sama di semua kedai dengan harga yang hampir sama. Saya tertanya, mengapa begitu ramai pekerja asing terpaksa bekerja sehingga 16-24 jam sehari dengan hanya menjual barangan yang sama di semua kedai? Ditambah pula beroperasi selama 24 jam. Situasi ini jelas menunjukkan ini adalah salah satu bentuk eksploitasi terhadap pekerja asing. Kita sebagai jemaah, perlu sedar tentang realiti ini. Walaupun jam sudah pukul 2 pagi, kita masih sibuk membeli-belah. Masih sempat menikmati ayam goreng AlBaik walaupun pada tengah malam. Sesuatu yang tidak pernah menjadi kebiasaan di negara sendiri. Namun. apabila berada di sana, kita menganggapnya sesuatu yang normal. Sedangkan mereka terpaksa bekerja berjam-jam lamanya.
Satu realiti lain yang lebih menarik perhatian saya sewaktu di Tanah Suci ialah semakin ramai 'mutawwif jadian' yang menawarkan khidmat membimbing jemaah. Kehadiran mereka mungkin membantu, terutamanya bagi jemaah yang pertama kali datang dan memerlukan panduan tentang mengerjakan umrah serta lawatan ke tempat-tempat bersejarah.
Apakah yang dimaksudkan 'mutawwif jadian'? 'Mutawwif jadian' dan pemandu pelancong tidak berlesen yang pernah saya bangkitkan sebelum ini tidak jauh bezanya. Kedua-duanya tidak bertauliah dan adakah mereka benar-benar kompeten? Sedangkan, Kerajaan Arab Saudi sudah memberi peringatan terhadap jemaah agar berhati‑hati dengan pengendali atau perkhidmatan yang tidak berlesen (seperti agensi pelancongan dan pemandu pelancong) yang boleh memberi masalah dalam perjalanan ibadah dan sepatutnya menggunakan ejen atau perkhidmatan yang sah dan berlesen.
Lambakan mutawwif vs 'mutawwif jadian' ini sudah menjadi satu trend. Keadaan ini menimbulkan persoalan apabila peranan mutawwif itu sendiri semakin dilihat sebagai satu peluang untuk memperoleh pendapatan dengan cepat dan lumayan. Akhirnya, perkhidmatan mutawwif ini sama ada bertauliah atau tidak, semakin bersifat komersial dan lebih memberi keuntungan kepada mereka.
Daripada pemerhatian saya, realiti di Mekah dan Madinah hari ini menunjukkan bahawa apa sahaja yang berkaitan dengan kemodenan cenderung diterima dengan alasan ia membawa kemajuan dan memberi manfaat kepada jemaah semula. Ironinya, kita tetap mampu menerimanya dan bersikap neutral, walaupun terdapat sisi gelap di kedua-dua kota suci ini. Seolah-olah, perkara tersebut bukan dianggap isu besar atau kritikal.
Saya tertarik dengan satu petikan dari Ali Shariati yang merupakan seorang intelektual yang terkenal di Iran yang saya kagumi mengenai beliau. Petikan ini akan membawa kita untuk berfikir sejenak tentang keseluruhan perbincangan ini:
“Jiwa yang tercerahkan ialah orang yang sedar tentang ‘keadaan kemanusiaannya’ dalam zamannya dan dalam konteks sejarah serta sosialnya, dan kesedaran itu secara tidak langsung dan pasti memberikannya rasa tanggungjawab sosial.”
Kritikan ini bukan bertujuan untuk merendahkan kesucian Mekah dan Madinah, tetapi untuk membuka ruang refleksi yang lebih mendalam. Pengalaman ibadah seharusnya bukan sahaja tentang perjalanan yang indah dan memberi kepuasan para jemaah tetapi juga tentang kesedaran dan tanggungjawab terhadap realiti yang berlaku di kedua-dua kota suci tersebut.
Rujukan: